Avril didakwa mabuk


BAGI peminat fanatik penyanyi rock kelahiran Kanada, Avril Lavigne, Sabtu lepas telah memberikan kepuasan dan rindu mereka terhadap penyanyi tersebut yang telah mengadakan konsert siri jelajahnya pada hari tersebut.

Malaysia yang merupakan lokasi terakhir jelajah The Black Star Tour Concert Live In Malaysia 2012 itu telah diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang telah dibanjiri oleh hampir 10 ribu peminat yang menanti kehadirannya di sini sejak kali terakhir mengadakan konsert solo pertama pada tahun 2008.

Konsert anjuran Tune Talk dan dibawakan oleh JS Concert itu merupakan siri konsert jelajah, Avril Lavigne di negara-negara Asia, Amerika dan Eropah dan walaupun cuaca ketika itu hujan renyai, namun peminat Avril tetap tidak berganjak menanti kehadiran penyanyi itu yang mula membuat persembahan pada pukul 9 malam.

Dimulakan dengan muzik putaran DJ yang dijemput bagi menghangatkan dahulu suasana konsert yang telah dipenuhi peminat yang hadir sejak petang untuk memastikan mereka mendapat tempat di barisan hadapan, kemunculan Avril pada pukul 9 malam dengan berpakaian serba hitam di atas pentas membuatkan peminat fanatiknya menjerit seperti terkena histeria. Tanpa berlengah lagi, Avril memulakan persembahan dengan lagu yang berjudul Black Star.

Pada konsert yang berlangsung hanya dalam tempoh satu setengah jam itu, Avril berjaya menyampaikan lebih 17 lagu termasuk lagu popularnya When You're Gone, Complicated, I’m With You dan Sk8er Boi serta lagu-lagu dari album terbaharunya, Goodbye Lullaby iaitu Wish You Were Here, Smile dan Black Star.

Tidak mengecewakan

Tidak menjemput mana-mana artis tempatan untuk membuat persembahan pembukaan, seperti biasa, gimik pasti dilakukan untuk memberi debaran kepada penonton yang masih tidak cukup dengan lagu-lagu yang disampaikan.

Avril muncul semula di atas pentas setelah namanya ‘diseru’ oleh ribuan peminatnya yang inginkan lebih persembahan dari penyanyi kecil molek yang bersuara nyaring ini.

Sepanjang konsert itu juga, Avril tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada peminat yang membanjiri stadium tersebut dan meluahkan keterujaannya berada di Malaysia.

Namun, bekas isteri kepada vokalis band Sum 41, Deryck Whibley ini kelihatan sedikit hambar dan kualiti vokalnya juga tidak mencapai tahap yang memuaskan seperti yang dijangkakan.

Bagaimanapun, lagu-lagu popularnya menjadi penyelamat kerana ramai yang turut menyanyi sama ketika dia menyampaikan lagu-lagu tersebut membuatkan konsert kembali ceria.

Kesimpulannya, konsert jelajah Avril, The Black Star Tour Concert Live In Malaysia tidak mengecewakan peminatnya di Malaysia dan kebanyakan mereka pulang dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir dan berpuas hati dengan persembahan idola yang ditunggu kehadirannya selama ini walaupun dikatakan mabuk ketika melakukan konsert tersebut.

Konsert diakhiri dengan lagu yang ditunggu peminat fanatiknya iaitu Complicated sebelum Avril terus beransur ke belakang pentas dan ghaib dari pandangan kira-kira 10 ribu pengunjung konsert tersebut.

sumber

Hajat Latiff tunai umrah tak kesampaian


PERGINYA seorang lagi seniman yang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan lakonan, Latiff Ibrahim memang memberi kesan bukan sahaja terhadap keluarganya malah rakan-rakan artis dan peminat.

Tanggal 20 Februari 2012 merupakan tarikh Abdul Latiff Ibrahim menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 6.10 petang di samping isteri tersayang, kedua-dua anaknya serta sanak saudara yang telah berkumpul di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kerana malam sebelumnya Latiff telah disahkan kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Masriah Mahadan, 57, serta dua orang anak iaitu Mohd. Hazriq, 35, dan Haznally, 34. Jenazah beliau kemudian dibawa pulang ke kediamannya sebelum dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Latiff yang pernah popular menerusi lagu hit Mengenang Dikau Kembali dan Nora itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) sehari sebelum meninggal setelah seminggu berada di wad biasa akibat sakit jantung dan komplikasi penyakit lain seperti kencing manis dan masalah paru-paru berair.

Menurut balu Latiff, Masriah berkata, dia puas menjaga arwah kerana sepanjang suaminya tidak sihat, dia memang sentiasa berada di sisi arwah. Namun, dia sedikit terkilan kerana arwah sememangnya begitu teruja untuk ke tanah suci Mekah menunaikan umrah.

“Kami sepatutnya menunaikan umrah bersama keluarga pada 13 Mac depan namun ia tidak kesampaian. Apabila ditanya, dia memang begitu teruja untuk ke Mekah. Tambahan pula, tiga hari lagi arwah bakal menyambut hari kelahirannya yang ke-60 pada 23 Februari ini.

“Saya tidak sangka kerana semuanya berlalu dengan pantas dan tidak percaya dia sudah tinggalkan saya. Sebelum itu saya masih berharap untuk dia sihat semula kerana dia memang begitu teruja namun, Allah lebih menyayanginya,” tutur Masriah yang telah mendirikan rumah tangga bersama Latiff selama 38 tahun.

Antara rakan artis yang dilihat hadir di kediaman penyanyi dan pelakon itu di AU3, Taman Keramat untuk memberikan penghormatan terakhir termasuklah Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Ramli Sarip, Azlina Aziz, Halil Chik dan ramai lagi.

Sementara itu, menurut adik Allahyarham, Datuk Khadijah Ibrahim, Latiff memang dikenali dengan sifat penyayang dan gemar membuat lawak oleh semua kaum keluarga serta sahabat handai yang lain. Tambahnya lagi, dia bukan sahaja kehilangan seorang abang, tetapi juga seorang sahabat karib kerana apabila mengadakan persembahan, mereka pasti akan bersama.

“Selain menyanyi, arwah juga seorang yang kuat makan. Kali terakhir kami makan bersama ialah di Restoran Johnny's, Jusco Keramat, awal bulan ini,” imbau dua orang sahabat karibnya pula, Halil Chik dan Azlina Aziz.

Latiff merupakan seorang penyanyi dan pelakon yang telah membintangi lebih 15 buah filem termasuk Hapuslah Air Matamu, Dendang Perantau, Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan dan Senja Merah. Filem terakhirnya merupakan filem arahan Profesor A. Razak Mohaideen yang berjudul 4 Madu pada tahun 2010.

sumber

Tahun cerah Aeril


DIA pernah menubuhkan sebuah kumpulan nyanyian yang dikenali sebagai CanDo Sahaja pada tahun 2008. Namun, terkubur begitu sahaja berikutan penerbitan album mereka dengan sebuah syarikat rakaman dibatalkan.

Gara-gara kumpulan itu juga, sosok kacak dan muda yang boleh dilabelkan sebagai awet muda kerana masih kelihatan seperti pelajar sekolah menengah biarpun sudah mencecah usia 24 tahun itu pernah dihambat kontroversi, ekoran beraksi di ranjang dengan hanya berselimut, khusus untuk gambar promosi kumpulan itu.

Kisah-kisah sensasi itu bagaimanapun berlaku sebelum namanya sudah dikenali ramai seperti hari ini. Biar permulaan kariernya sebagai seorang artis tidak memberangsangkan selain dilanda kontroversi yang memalukan itu, dia kini dilihat lebih matang dan kebal.

Tidak lagi terpalit dengan sebarang kontroversi negatif setakat ini, Aeril Zafrel juga tidak pernah dilanda gosip cinta dengan sebarang individu.

"Saya melihat tanggungjawab yang saya pikul sekarang sebagai satu harapan untuk memajukan diri sendiri," ujarnya.

Sememangnya ada sinar lebih cerah diimpikan Aeril terutama tahun 2012 yang menantikan kemunculan empat buah filem lakonannya masuk panggung.

"Tahun 2012 merupakan tahun positif bagi saya, filem saya banyak keluar tahun ini dan 2012 juga tahun permulaan bagi saya dalam industri," katanya yang sebelum ini terpaksa berundur diri seketika untuk menjaga ibu dan bapanya yang masing-masing menderita penyakit kanser payudara dan kanser leher.

Selepas pemergian kedua-dua orang tuanya, Aeril kembali menyemat tekad untuk bermula dengan lebih deras dalam industri.

Bakal muncul dalam filem Cinta Kura Kura yang akan memulakan tayangan pada 1 Mac ini, Aeril juga turut membintangi tiga buah filem yang dijadualkan untuk tayangan sepanjang tahun ini iaitu 7 Petala Cinta, Budak Pailang dan Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS).

"Keluarga saya tiada yang berdarah seni, memandangkan arwah bapa saya suka setiap kali melihat wajah saya muncul di televisyen, dari situ saya berikrar untuk jadi yang terbaik," tuturnya.

Imaginasi Aeril

Fokus dan tidak tamak membolot semua peluang yang hadir, ujar Aeril lagi dia lebih pentingkan komitmen untuk satu-satu perkara dan kaedahnya belajar adalah melalui daripada pengalaman silam.

Selain empat buah filem tersebut, Aeril bakal muncul di layar kaca menerusi naskhah berjudul Pelarian dalam slot Cerekarama TV3 pada hari Sabtu ini, 25 Februari. Bergandingan bersama Noorkhiriah, Sharifah Amani dan Vanidah Imran, telefilem itu mengisahkan kehidupan budak gelandangan.

Bercerita tentang pengalamannya berlakon dalam filem Cinta Kura Kura, nyata ia adalah filem pertama yang menggandingkan Aeril dan heroin drama rantaian Nur Kasih, Tiz Zaqyah.

Bukan sekadar seronok berlakon di samping aktres jelita itu, Aeril memberitahu Cinta Kura-Kura telah memberikan pengalaman menarik buat dirinya.

Sementelah dalam filem yang turut menampilkan lakonan Bob AF2 itu, pemilik nama sebenar Suhairil Suhari itu menghidupkan karakter lurus bendul dan perlu berkomunikasi dengan kura-kura yang diberi nama Nico. Ini bermakna Aeril lebih banyak berimaginasi.


"Memang sukar dan untuk menjadikan lakonan saya tersebut kelihatan selamba dan tidak kekok, saya ada membeli patung kura-kura di rumah untuk berlatih (berlakon) dengannya. Ini untuk membiasakan diri dan saya gunakan ia sebagai latihan di rumah.

"Saya perlukan imaginasi yang tinggi. Jadi saya perlu bayangkan bagaimana kura-kura itu membalas percakapan saya hanya berpandukan dialog yang diberi," ujar Aeril yang mengakui berlakon bersama manusia dan haiwan adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Tambah pelakon filem Aku Tak Bodoh itu, ada satu babak yang memerlukan dia menggoncang Nico, namun tanpa diduga kura-kura tersebut mula buang air di atas tubuh Aeril.

"Jadi, selepas kejadian itu, saya hanya memegang sahaja kura-kura itu tanpa menggerakkannya lagi," kenang Aeril tentang pengalaman manis berlakon dalam filem tersebut

sumber

Suzy Miss A paling banyak makan


AKTRES yang juga seorang penyanyi daripada kumpulan wanita Miss A, Suzy telah berkongsi pengalamannya ketika penggambaran filem pertamanya yang berjudul Introduction to Architecture dalam satu sidang media baru-baru ini.

Akuinya: "Saya makan enam kali sehari sepanjang penggambaran filem itu berlangsung."

Sementara aktor Uhm Tae Woong berkata: "Saya tidak pernah lihat dia makan tetapi krew penggambaran memberitahu mereka tidak pernah melihat penyanyi yang makan banyak sepertinya.

"Disebabkan berat badannya tidak naik, saya tidak tahu sama ada memang secara semula jadi badannya begitu atau dia bekerja keras di gim untuk mengekalkan berat badannya."

Suzy dikenali sebagai penyanyi dan aktres yang mempunyai badan yang sihat di kalangan selebriti Korea Selatan kerana gadis muda sepertinya lebih cenderung untuk mendapatkan tubuh badan yang kurus.

"Saya akan makan apa sahaja bila terasa lapar tetapi pengarah mempersoalkan rutin makan enam kali sehari kerana selalunya aktres atau penyanyi akan mengawal makan untuk menjaga bentuk badan tidak seperti saya yang makan tanpa kawalan," kata Suzy.

Filem lakonan Suzy yang diarahkan oleh Lee Yong Ju itu merupakan sebuah filem melodrama cinta sepasang kekasih yang bertemu di kolej, terpisah dan bertemu semula selepas 15 tahun.

sumber

Tiz nafi putus cinta dengan Remy


UMUM mengetahui hubungan cinta yang terjalin antara pelakon utama drama rantaian Nur Kasih, Tiz Zaqyah dan Remy Ishak makin mekar berkembang.

Namun, sekitar dua minggu lalu timbul gosip mengatakan hubungan pasangan kekasih itu berantakan dan mereka kini sudah tidak lagi bersama.

Malah, jika diperhatikan laman sosial Twitter dan Facebook kedua-dua selebriti itu ibarat masing-masing tengah memendam rasa dan seolah-olah sedang berperang.

Menerusi laman sosial milik Tiz juga baru-baru ini ada mengeluarkan beberapa kenyataan yang barangkali mempunyai makna tersirat.

Lebih memanaskan gosip tersebut, ada sumber yang memberitahu bahawa hubungan cinta mereka diputuskan oleh Remy sendiri kerana tidak tahan dengan sikap Tiz yang kuat cemburu serta beberapa faktor lain.

Kesempatan bersua dengan pelakon Tiz Zaqyah atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 23, ketika malam gala filem Cinta Kura-Kura di Cathay e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini, hal putus cinta tersebut membuat dia diserbu wartawan hiburan yang hadir.

Kosmo!: Sejak kebelakangan ini, laman sosial milik Tiz dan Remy seolah-olah memberi petunjuk bahawa anda berdua kini sedang berperang. Apa komen Tiz?

Tiz: Saya sudah agak perkara ini pasti akan diajukan. Tapi sebenarnya ini semua mengarut! Semuanya adalah gosip semata-mata. Apa yang terpampang di laman sosial tiada kena mengena dalam hubungan kami.

Jadi benarlah bahawa cerita itu sekadar khabar angin?

Dakwaan itu tidak berasas. Inilah cabaran yang perlu kami lalui apabila sudah mendedahkan hubungan kami kepada khalayak. Orang sekeliling akan ternanti-nantikan perkembangan seterusnya.

Jadi, bagaimana Tiz sifatkan hubungan antara anda dan Remy?

Kami masih macam biasa, kalau masing-masing ada kelapangan waktu kami akan berjumpa.

Bagaimana Tiz melihat spekulasi yang melanda hubungan kalian?

Pernah dulu pun timbul juga gosip bahawa hubungan antara saya dan Remy putus. Ini bukan kali pertama. Saya pun sebenarnya sudah lali dengan cerita-cerita sebegini. Saya anggap gosip seperti ini tidak pernah wujud!

Selain gosip keretakan hubungan cinta Tiz dan Remy, baru-baru ini juga Tiz ada mengeluarkan satu kenyataan di laman sosial Facebook bahawa anda sedang dating dengan lipas. Siapa 'lipas' yang Tiz maksudkan?

Saya tak maksudkan sesiapa, rumah saya memang banyak lipas. Kalau tak percaya boleh tanya mak saya. Saya tak tujukan kepada sesiapa pun apatah lagi untuk menegur sesiapa.

Masih mengenai kisah Tiz dan Facebook, sewaktu penyanyi diva pop, Whitney Houston dikhabarkan meninggal dunia, Tiz juga ada mengeluarkan satu kenyataan berkaitan artis di Malaysia dan Hollywood. Apa maksudnya?

Mengenai kenyataan itu, saya juga tidak maksudkan sesiapa. Itu pendapat peribadi saya. Kalau artis di Hollywood pun tak boleh mengawal tekanan apatah lagi artis di Malaysia ini. Itu saja.

Tiz lebih banyak tampil di layar kaca berbanding layar perak. Ada projek terbaharu Tiz yang mungkin boleh dikongsikan bersama?

Untuk filem buat masa sekarang belum lagi. Insya-Allah, saya bakal tampil menerusi filem Cinta Kura-Kura pada awal bulan Mac dan sedang dalam proses perbincangan untuk drama terbaharu tidak lama lagi.

Boleh Tiz ulas pengalaman berlakon dalam filem komedi romantik, Cinta Kura-Kura, bersama pelakon baharu, Aeril Zafril?

Saya memegang watak Nani seorang gadis berusia 21 tahun yang mempunyai haiwan peliharaan seekor kura-kura bernama Nico. Dalam diam-diam saya jatuh cinta dengan jiran bernama Adam (lakonan Aeril Zafril). Ini pengalaman pertama saya membawakan watak yang perlu berimaginasi dalam filem. Bagi saya yang selalu diberikan tanggungjawab membawakan watak berat, filem ini tidaklah terlalu senang dan tidak juga terlalu susah.

sumber

Dulu mengenali, kini memahami


PASANGAN ini mula bertemu sekitar dua tahun lalu untuk satu sesi fotografi bersama sebuah majalah tempatan. Namun, tiada sebarang ikatan yang terjalin antara Shila mahupun Sharnaaz sebaliknya hanya perkenalan sesama artis dan ia berlalu begitu sahaja.

Sehinggalah kedua-duanya bertemu sekali lagi ketika menjayakan klip video Patah Seribu nyanyian Shila. Berlakon sebagai pasangan kekasih dalam klip video itu, hubungan Sharnaaz dan Shila mula rapat selepas itu namun ia bukanlah cinta.

Pencipta klip video Patah Seribu, Micheal Ang kemudiannya menyusulkan cadangan kepada Astro untuk menghasilkan sebuah telefilem yang menggunakan judul yang sama, Patah Seribu.

Pihak Astro bersetuju malah mahukan Shila dan Sharnaaz membintangi telefilem tersebut. Kedua-duanya bersetuju dan akhirnya cinta mula berputik di lokasi penggambaran Patah Seribu.

Jika dulu, pasangan ini mengakui sedang dalam proses mengenali, kini mereka mengakui pula sedang dalam proses memahami. Namun, sejauh mana hubungan cinta anak perempuan tunggal ND Lala itu mampu pergi kerana Sharnaaz sendiri mengakui seorang yang panas baran.

Malah, khabarnya ke mana sahaja pasangan ini pergi mereka akan ditemani oleh ibu mahupun adik-beradik Shila.

Kosmo! bersemuka pasangan ini seterusnya merungkai segala intipati hubungan mereka ketika ditemui pada sidang media telefilem Patah Seribu di Alexis, Garden, Kuala Lumpur.

Sharnaaz tidak khianati Shila

Mengakui sedang dalam proses memahami sang kekasih, pemilik sebenar nama Sharnaaz Basir Ahmad, 27, memberitahu, tidak terdetik langsung di hatinya untuk mengkhianati cinta Shila kerana baginya penyanyi lagu Patah Seribu itu telah melengkapkan dirinya.

"Semua orang tahu keperibadian uncle ND Lala. Bagaimana dia menjaga anak perempuannya dengan baik. Tidak terlintas langsung di hati saya untuk mengkhianati cinta Shila.

"Dalam keluarga saya pun tak pernah ada unsur khianat. Kehadiran dia dalam hidup saya memang banyak membantu dari segi kerjaya saya dan sahsiah diri saya. Saya mengaku seorang yang panas baran. Tetapi Shila membantu meredakan saya seterusnya mengubah sahsiah diri saya ini," ungkapnya jujur.

Tutur Sharnaaz lagi, selama mereka bercinta sudah tentu berlakunya pergaduhan. Namun, tempoh pergaduhan itu tidak lama apabila selepas tiga jam mereka akan mula menghubungi antara satu sama lain dan berbincang.

Ditanya mengenai respons kedua-dua belah keluarga, ujar Sharnaaz, penerimaan keluarga Shila adalah memadai setakat hubungan mereka sekarang. Dia juga mengakui selesa dan menerima layanan yang baik daripada keluarga Shila.

Bagaimanapun Sharnaaz masih belum berpeluang menemukan Shila dengan keluarganya, dek kerana sibuk dengan kerja dan kekangan masa.

"Walaupun keluarganya menerima hubungan kami tetapi masih ada batas-batas dalam hubungan kami dan saya menghormatinya. Begitu pun saya menyedari dalam usia cinta yang masih muda ini, banyak perkara yang harus dijaga supaya tidak timbul pandangan negatif umum.

"Kata orang, masa ini lah peringkat yang paling menguji tetapi kita harus kuat untuk mengatasi segala halangan dan rintangan yang hadir," jelasnya yang sering ditemani oleh ibu atau adik-beradik Shila tatkala keluar dengan kekasih hatinya.

Melalui pengalaman keluar bersama kekasih sambil ditemani ahli keluarga tidak timbulkah rasa dikongkong? Saat diajukan soalan itu kepada Sharnaaz, ternyata pemegang Ijazah Logistik dari Kolej Olimpia, Kuala Lumpur itu tidak langsung merasai dikongkong malah menghormati perkara itu.

"Kalau dulu sebelum bercinta bila dengar keluar dengan pasangan kekasih dating sambil ditemani ahli keluarga rasa kelakar tetapi kini tidak lagi. Bila kita dah sayang seseorang itu kita tidak kisah. Lagipun, sebelum kami bercinta memang Shila sentiasa 24 jam bersama ibunya. jadi tidak timbul rasa dikongkong atau tidak selesa apabila keluar dengan Shila ditemani ahli keluarganya.

"Malah, saya akui lega dan boleh tidur lena bila berjauhan dengannya. Sebab, saya tahu dia tidak akan ke mana kerana sentiasa dijaga oleh keluarganya," tuturnya yang sudah berbincang mengenai masa depan bersama Shila tetapi belum ke tahap mahu berkahwin.

"Kami ada juga bercakap tentang masa depan. Tapi buat masa ini belum sampai ke tahap untuk berkahwin lagi. Memang kalau difikirkan saya pun bukan muda lagi, dah 27 tahun. Tapi saya rasa biar kami betul-betul bersedia. Sebab bila berkahwin ini, tanggungjawabnya lebih besar. Banyak perkara yang perlu diambil kira. Lagipun keluarga tak mendesak saya akhiri zaman bujang dalam masa terdekat ini," kata Sharnaaz lagi.

Sharnaaz cinta pertama Shila

Mempunyai pendapat sama dengan kekasih hatinya itu, ungkap Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah, 22, pula, dia dan Sharnaaz tidak mahu tergesa-gesa untuk ke tahap itu. Lebih-lebih lagi dia masih muda, baru 22 tahun.

Penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu ini merasakan buat masa ini dia belum benar-benar sempurna dan masih banyak yang perlu dipelajari di samping berusaha memberikan yang terbaik dalam perhubungan mereka. Shila turut mengharapkan semua pihak mendoakan agar perhubungan mereka ini berkekalan dan menuju ke arah kebaikan.

Dalam pada itu, ada suara nakal yang mendakwa Shila sendiri yang memilih Sharnaaz sebagai pelakon lelaki dalam klip videonya, Patah Seribu. Malah, menerima tawaran berlakon buat pertama kalinya dalam telefilem judul yang sama kerana ingin lebih mengenali hati budi dan mendampingi pelakon filem Seru itu.

Ditebak dengan soalan tersebut, Shila mengakui meminati lakonan Sharnaaz dalam telefilem Ungunya Cinta tetapi dia tidaklah sehingga mengambil peluang untuk mengenali pelakon itu dengan lebih rapat.

"Saya tidak meminta Sharnaaz untuk berlakon dalam klip video Patah Seribu sebaliknya Micheal Ang yang mencadangkannya kepada saya. Saya juga tak ambil peluang berlakon dalam telefilem Patah Seribu disebabkan ingin mendampingi atau mengenali hati budi Shahnaaz.

"Saya terima disebabkan telefilem ini mengangkat jalan cerita berdasarkan lagu Patah Seribu hasil ciptaan saya," itu lontaran kata-kata tersebut di bibir munggil Shila yang seterusnya mengakui tidak menyangka menceburi bidang lakonan dalam masa secepat ini.

Shila juga mengakui selepas bercinta dengan Sharnaaz dirinya lebih berasa tanggungjawab dan matang.

"Saya akui mengambil masa yang lama untuk menerima perasaan cinta yang lahir dalam diri saya. Namun, setelah mengenalinya saya boleh menerimanya dalam hidup saya dan tidak berselindung mengakui dialah cinta pertama yang hadir dalam hidup saya,

"Sebelum bertemu dengan dia saya seorang yang lain. Bukan berubah kepada yang buruk tetapi berubah kepada yang lebih baik," ujarnya lagi.

sumber

Whitney mati pada hari lahir ke-48


SABTU lalu, sepatutnya bintang terkenal Hollywood, Whitney Houston menyambut ulang tahun kelahiran ke-48. Bagaimanapun 11 Februari 2012 menjadi tarikh kematiannya.

Penyanyi kulit hitam yang telah menakluk dunia dengan vokal luar biasa dan kehebatan untaian lagu cinta seperti hit sepanjang zaman, I Will Always Love You itu meninggal dunia pada usia 48 tahun.

Ditemui mati di bilik Hotel Beverly Hilton di tingkat empat pada pukul 3.55 petang (waktu tempatan), Whitney sebenarnya sedang menunggu untuk sama-sama meraikan Grammy Awards.

Malah pada malam sebelum dia ditemui mati. Whitney dilaporkan telah berparti sakan dalam parti Pra Grammy Awards.

Menurut pihak polis Beverly Hills, punca kematian mantan isteri Bobby Brown itu belum dikenal pasti dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

Ironi, satu dunia tahu bahawa pemilik nama sebenar Whitney Elizabeth Houston itu menghadapi masalah ketagihan dadah yang kronik.

Memulakan karier nyanyian seawal usia 11 tahun dan menghabiskan usia remaja dengan bernyanyi di banyak kelab malam, Whitney mula meraih perhatian dunia saat debutnya yang menggunakan judul Whitney Houston dipasarkan pada tahun 1985.

Majalah Rolling Stone misalnya melabelkan Whitney sebagai ‘penyanyi dengan vokal yang mengagumkan tahun ini’ sebaik mendengar album debutnya itu.

Sejak itu dia tidak sukar mendaki tangga kemahsyuran, lebih-lebih lagi dengan berbekalkan lagu-lagu hebat yang dibikin khusus untuknya. Antara hitnya yang menjadi penawar hati lara dan penambah rasa cinta khalayak adalah Saving All My Love for You, Greatest Love of All, Where Do Broken Hearts Go dan Exhale (Shoop Shoop).

Popularitinya terus melonjak apabila menceburkan diri dalam dunia lakonan menerusi filem fenomena The Bodyguard pada tahun 1992.

Membawa watak sebagai Rachel Marron, dia berpasangan dengan Kevin Costner dan filem tersebut meledak bukan sahaja kerana popularitinya ketika itu, tetapi juga didorong dengan album runut bunyi yang memuatkan hit I Will Always Love You.

Bagaimanapun kemashyurannya tidak bertahan apabila Whitney sendiri merosakkan reputasinya. Disayang banyak pihak sejak dia menjejak kaki dalam dunia hiburan pada tahun 80-an dan awal 90-an, sikap Whitney mula berubah sekitar lewat 90-an.

Dia mula kerap lewat ke sesi temu bual, membatalkan kemunculan di televisyen pada saat-saat akhirnya, malah tidak hadir ke persembahan yang sepatutnya dihadirinya.

Pada ketika itu juga mula bertebaran tentang masalah peribadinya yang dikatakan telah terjerumus dengan najis dadah. Ia akhirnya terbukti apabila pihak imigresen di lapangan terbang di Hawaii menemui dadah jenis marijuana di dalam beg miliknya serta suami, Bobby Brown.

Sejak itu Whitney mula berdepan dengan zaman kegelapan. Kehidupan peribadinya menjadi tunggang terbalik, dia bercerai dengan Brown dan keluar masuk pusat pemulihan dadah juga adalah perkara biasa bagi wanita ini.

Malah percubaan untuk mengembalikan zaman kegemilangannya dengan muncul bersama album baharu dan terakhir iaitu I Look To You juga tidak begitu menjadi walau lagu tersebut dianugerahi Muzik Video Terbaik oleh NAACP Image Awards.

Biar bergelut dengan pelbagai masalah dan dugaan sepanjang tahun 2000 hingga 2010, Whitney bagaimanapun masih dianggap penting oleh industri hiburan.

Satu-satunya anugerah terakhir yang diberikan kepada Whitney dan memang akan menjadi kenangan selepas pemergiannya yang diterima pada Januari 2011 adalah BET Honors Award for Entertainer sebagai tanda penghargaan terhadap karier luar biasanya sepanjang 25 tahun menjadi artis

sumber

Kahwin, Iqram cari RM100,000


SEPANJANG bergelar aktor pelbagai pahit manis anak seni telah dilalui oleh Iqram Dinzly atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin.

Pernah dua kali terlintas di fikirannya untuk meninggalkan dunia seni kerana enggan terus hanyut dalam syurga dunia serta beralih angin ke bidang perniagaan.

Bagaimanapun jiwa seninya mahu dia meneruskan kerjaya sebagai aktor. Kini, Iqram menjadi seorang lelaki yang lebih matang, malah, dia turut terfikir untuk berumah tangga namun, akui Iqram dia masih mengumpul duit untuk berkahwin.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Iqram yang ditemui pada majlis pelancaran produk dan pelantikannya sebagai duta produk Ayamazz Roti Impit baru-baru ini.

Kosmo!: Tahun lepas Iqram pernah berkata ingin menamatkan zaman bujang pada tahun ini, jadi perkahwinan Iqram akan berlangsung tahun ini?

Iqram: Sebenarnya diri saya telah bersedia untuk berkahwin tetapi untuk berkahwin bukan perkara yang mudah. Jika saya ingin berkahwin saya akan pastikan saya mempunyai wang sebanyak RM100,000.

Maknanya, Iqram belum bersedia daripada segi kewangan?

Saya ada duit tetapi untuk meminang anak dara orang perlu pakai banyak duit, kalau orang biasa perbelanjaan mencecah RM50,000. Saya artis, jika saya kahwin saya merancang untuk buat tiga majlis, satu untuk keluarga di Ipoh, Perak, rakan-rakan dan pihak media di Kuala Lumpur serta sebelah pihak perempuan. Jadi bajet perkahwinan saya adalah RM100,000, selagi saya tidak dapat kumpul RM100,000 saya tidak akan berkahwin.

Bukankah perkahwinan artis selalu mendapat tajaan daripada pelbagai pihak?

Ya, memang benar tetapi saya juga harus mengeluarkan wang sendiri. Rasa tidak seronok kalau semuanya ditaja sedangkan majlis perkahwinan itu majlis saya.

Bercakap mengenai perkahwinan, adakah Iqram sudah mempunyai kekasih hati?

Memang saya ingin berkahwin kerana usia pun sudah masuk angka 31 tahun, tetapi saya masih belum bertemu dengan gadis pilihan hati. Berkasih, bersayang itu senang tetapi untuk bercinta itu satu perkara yang sukar.

Sebelum ini Iqram pernah berkata, jika tidak bertemu gadis pilihan, Iqram akan melepaskan tanggungjawab itu kepada ibu untuk mencari calon isteri. Benarkah?

(Ketawa) Saya rasa lebih baik saya cari sendiri, kalau jadi lelaki kasanova senang sahaja tetapi untuk menjadi lelaki yang mencintai hanya seorang wanita dalam hidupnya, bagi saya susah. Senang cakap saya belum bertemu orang yang sesuai.

Wanita yang jadi pilihan hati Iqram?

Saya ingin wanita yang memahami saya, kalau boleh bila saya kahwin saya mahu isteri saya berkahwin bukan sahaja dengan saya tetapi keluarga dan rakan-rakan saya. Saya tidak mahulah bila saya berkahwin, saya berubah terlalu drastik seperti tidak boleh keluar jumpa rakan-rakan.

Kenapa Iqram pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni sebanyak dua kali?

Sepanjang lima tahun saya berkecimpung dalam dunia seni, saya akui yang kadangkala saya hanyut dengan syurga dunia. Pertama kali perasaan untuk berhenti berlakon datang ketika saya menunaikan umrah pada tahun 2006, kali kedua perasaan itu datang apabila saya balik daripada lawatan ke Turki baru-baru ini. Saya terfikir untuk berhenti dan lakukan perniagaan tetapi jiwa saya mahu terus dekat dengan dunia seni. Alhamdulillah, walaupun masih berlakon, sekarang ada perubahan positif mendekatkan diri dengan Allah.

sumber

Rekod rating Tanah Kubur


SEBAGAI salah sebuah saluran yang khusus untuk rancangan yang berbentuk keislaman, Astro Oasis menerusi saluran 106 sememangnya banyak menyiarkan pelbagai rancangan yang menarik untuk tatapan penonton.

Salah satu rancangan yang telah berjaya menambat hati para penonton adalah drama bersiri Tanah Kubur yang memaparkan kisah mengenai pengalaman seorang penggali kubur yang telah disiarkan selama dua musim.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sejak mula disiarkan pada tahun lalu ternyata drama berkenaan adalah antara rancangan yang paling banyak mendapat sambutan penonton.

"Pihak kami mulanya memang tidak menjangkakan drama berbentuk keagamaan sebegini akan menarik minat penonton, tetapi dengan rating sebanyak 4.5 juta penonton tentunya ia adalah drama yang paling tinggi ditonton di saluran ini.

"Menerusi pemerhatian yang dibuat kami mendapati antara golongan yang menjadi penonton setia drama Tanah Kubur ini terdiri daripada suri rumah, pelajar dan pesara," ujarnya dalam satu acara pertemuan dengan pihak media baru-baru ini.

Menurut Izelan, berdasarkan penerimaan penonton Astro Oasis bakal menyiarkan drama berkenaan untuk musim ketiga bermula pada 24 Februari ini pada pukul 7.30 malam sebanyak 13 episod.

Ujarnya, untuk musim yang terbaharu ini pengolahan, jalan cerita dan sinematografi akan lebih dipertingkatkan lagi bagi memberi kesan kepada penghayatan penonton untuk setiap mesej yang ingin disampaikan.

"Astro Oasis sentiasa komited dalam menyiarkan rancangan-rancangan yang berbentuk dakwah dengan setiap pengajaran yang ingin dikongsi dan disampaikan adalah menerusi cara yang santai untuk menarik minat para penonton," ujarnya.

Sementara itu, pengarah Tanah Kubur, Rashid Sibir memberitahu untuk musim terbaharu ini dia masih mengekalkan konsep penceritaan yang sama iaitu setiap episod akan memaparkan kisah-kisah yang berlainan.

Jelasnya, setiap kisah yang dipaparkan adalah realiti yang berlaku kepada masyarakat sekarang seperti mempersiakan anak-anak yatim, menipu dalam perniagaan, bermain nombor ekor, kehidupan gigolo dan isu murtad.

"Mengenai pengolahan setiap kisah yang dipaparkan, saya juga banyak merujuk kepada hadis-hadis dan buku-buku agama sebagai panduan dan sehingga kini tiada masalah yang timbul terhadap jalan cerita drama ini.

"Bagi saya apa yang lebih penting adalah pengajaran yang mahu disampaikan iaitu pembalasan yang diterima oleh seseorang individu yang meninggal dunia terutama ketika jenazah hendak dikebumikan," ujarnya.

Sepanjang menjalani penggambaran selama 40 hari di beberapa lokasi seperti Hulu Langat, Kuang dan Paya Jaras, Selangor, Rashid mengakui dia dan kru produksi turut berdepan dengan beberapa halangan.

Antaranya, mereka telah dihalang untuk meneruskan penggambaran di sebuah kawasan tanah perkuburan oleh seorang penduduk kampung sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke lokasi lain.

"Bagaimanapun, kami tetap mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai semasa menjalani penggambaran. Ada juga yang menyatakan mereka sangat sukakan drama ini terutamanya kisah-kisah yang dipaparkan sangat dekat dengan masyarakat," ujarnya.

Melihatkan kepada sambutan hangat terhadap drama berkenaan, Rashid tidak menolak kemungkinan bahawa Tanah Kubur akan diangkat ke layar perak dan perkara tersebut sudah ada dalam perancangannya.

Tok Adi

Bagi mereka yang sering mengikuti drama bersiri Tanah Kubur selama dua musim pastinya sudah cukup sinonim dengan watak Tok Adi yang dibawakan oleh seorang pelakon hebat iaitu Nasir Bilal Khan.

Ditemui pada acara yang sama, Nasir menyatakan sudah lama dia ingin berlakon dalam drama-drama yang berbentuk keagamaan dan gembira kerana drama lakonannya itu mendapat sambutan baik.

"Sebelum ini saya pernah juga memegang watak sebagai penggali kubur, namun watak saya dalam drama ini sebagai Tok Adi lebih memberi impak kepada penonton dah tidak kisah membawakan watak sebegini.

"Dalam usaha untuk menghayati watak Tok Adi yang saya bawakan ini, saya banyak bergaul dengan penggali kubur sebenar dan mendengar sendiri cerita tentang pengalaman yang dilalui mengenai pekerjaan mereka itu," ujarnya dalam usaha memantapkan watak yang dibawakannya itu.

Menurut Nasir, pada masa ini juga dia telah mengambil keputusan untuk lebih selektif untuk memilih sebarang tawaran lakonan yang diterima dan akan menolak sekiranya watak atau cerita yang kurang sesuai buat dirinya.

"Saya akui ada menyenarai hitam beberapa orang pengarah sekarang ini kerana agak mustahil untuk kami bekerjasama memandangkan pemikiran yang berbeza serta pendirian saya lebih terarah kepada drama yang berunsur positif dan memberikan pengajaran," jelasnya

sumber

Elyana lupakan kontroversi


PENYANYI yang seorang ini memang cukup unik dan punya identiti tersendiri. Tentunya ramai yang mengenali Elyana sebagai seorang penyanyi yang gemar berkaki ayam ketika beraksi di pentas.

Erneelya Elyana Emrizal memulakan karier nyanyian sejak berusia 14 tahun sekitar tahun 2001, Elyana merupakan antara penyanyi remaja yang cukup popular dan mendapat tempat di hati peminat menerusi beberapa buah lagu seperti Niat dan Tak Tercapai Akalmu.

Namun, karier seninya tidak hanya terhad kepada bidang nyanyian apabila turut membuat kemunculan dalam bidang lakonan setelah muncul dalam beberapa buah drama dan filem.

Meskipun sudah bergelar seorang isteri kepada Khairul Anuar Hussin dan kini bergelar ibu kepada cahaya mata yang dinamakan Cinta Sumayyah sejak bulan Ogos lalu, ia langsung tidak menghalangnya untuk kembali aktif semula dalam dunia seni.

"Tidak semestinya sudah memiliki seorang anak saya perlu mengehadkan pembabitan saya dalam bidang seni. Kini sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif semula menyanyi dan berlakon.

"Lagipun anak saya sekarang sudah mencecah usia lima bulan, jadi tiada masalah untuk saya meninggalkannya buat seketika. Suami juga tidak pernah menghalang kalau saya ingin meneruskan kerjaya dalam bidang seni," ujarnya ketika ditemui semasa penggambaran drama bersiri Menantu 3 Rasa baru-baru ini.

Menariknya, biarpun dia dan suami mempunyai kerjaya masing-masing, Elyana memberitahu mereka telah mengambil keputusan untuk tidak menghantar Cinta Sumayyah ke rumah pengasuh.

Jelasnya, keputusan yang dibuat itu bukanlah disebabkan terpengaruh dengan kisah-kisah kejadian di rumah pengasuh yang kerap tersebar di media, sebaliknya dia lebih gemar membesarkan anaknya sendiri


"Sebagai seorang pemilik sebuah restoran Jepun di Bangsar, suami saya tidak mempunyai waktu kerja yang fleksibel. Jadi, kalau saya ada membuat persembahan atau penggambaran dia yang akan menjaga anak kami.

"Sekiranya saya dan suami mempunyai sebarang urusan atau kerja pada masa yang serentak, saya hanya perlu menghantar anak untuk dijaga oleh ibu yang tinggal berdekatan dengan rumah kami," ujarnya yang masih menetap di Shah Alam, Selangor.

Ditanya mengenai perjalanan karier seninya, Elyana meluahkan dia memang mempunyai keinginan untuk melahirkan sebuah album baharu setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 2007 menerusi album berjudul Jadi Diriku.

"Buat masa ini semua lagu untuk rakaman album baharu sudah pun ada, cuma saya masih belum berkesempatan untuk membuat rakaman di studio memandangkan baru sahaja lepas melahirkan anak.

"Untuk album baharu ini, saya juga masih lagi mengekalkan elemen Pop Rock seperti sebelumnya dan saya memang sangat berharap agar ia dapat disiapkan dalam tahun ini," ujar nya yang sudah bernaung di bawah syarikat rakaman FMC sejak berusia 15 tahun.

Bukan anak emas

Bercerita mengenai kontroversi yang pernah melanda dirinya apabila tidak hadir pada majlis pelancaran single baharu, Elyana seperti cuba untuk tidak mengulas lanjut mengenainya.

Menurut Elyana, dia mahu melupakan segala yang telah berlaku sebelum ini memandangkan perkara tersebut sudah lama berlalu dan mengakui kesilapannya kerana tidak hadir pada acara berkenaan.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terhadap masalah yang timbul dahulu kerana saya menganggap ia adalah berpunca daripada masalah komunikasi. Kalau boleh biarlah isu ini tidak lagi dibangkitkan dan saya percaya semua orang sudah melupakannya.

"Segala yang terjadi itu saya anggap sebagai satu pengajaran berguna buat diri saya dalam bidang nyanyian dan bertekad kejadian yang sebegitu tidak akan berulang lagi selepas ini," ujarnya.

Pada masa yang sama, penyanyi berkenaan turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap bahawa dia adalah merupakan anak emas kepada syarikat rakaman di bawah naungannya iaitu FMC.

"Selepas kejadian yang berlaku itu memang ramai yang membuat tanggapan sendiri sehingga melabelkan saya sebegitu. Biarlah apa orang hendak kata, tetapi sehingga kini saya memang selesa bekerjasama dengan FMC Music.


"Sudah hampir 12 tahun kami bekerjasama serta melahirkan empat buah album setakat ini. Malah, saya sebenarnya rasa cukup beruntung kerana memiliki seorang bos yang baik dan mampu memenuhi kehendak saya sebagai penyanyi," ujarnya. lagi

Dua watak

Setelah beberapa bulan berehat daripada sebarang aktiviti seni, Elyana telah kembali bergiat aktif semula dalam dunia lakonan dengan membintangi drama bersiri berjudul Menantu 3 Rasa.

Sudah memulakan penggambaran sejak bulan Januari lalu di beberapa buah lokasi seperti Shah Alam dan Hulu Langat, dia berhadapan dengan tugas yang mencabar apabila membawakan dua watak dalam drama berkenaan.

"Menerusi drama ini saya membawakan dua watak iaitu sebagai Anis dan Nisa. Saya merasakan ia memang cukup mencabar kerana kedua-dua watak tersebut memiliki karakter yang berlainan.

"Anis merupakan gadis yang berasal dari kampung, manakala Nisa pula seorang model yang agak urban. Jadi, semasa menjalani penggambaran saya perlu sering bertukar karakter setiap masa agar lakonan yang ditampilkan lebih baik," jelasnya mengenai watak yang dibawakannya itu.

Menurut pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Renjis dan Dunia Baru itu lagi, kini dia juga sedang menanti tawaran untuk kembali muncul di layar perak semula.

"Walaupun sekarang ini saya sudah memiliki seorang cahaya mata, saya akan tetap bersedia untuk menerima apa sahaja tawaran berlakon filem asalkan mendapat watak atau cerita yang bersesuian," ujarnya.

sumber

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)