Awal, Scha kahwin 4 Mei ini


KUALA LUMPUR - Pasangan pelakon dan pengacara popular, Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 29, atau Scha akhirnya sepakat untuk mendirikan rumah tangga pada 4 Mei ini.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Ampwalk, Jalan Ampang semalam, Awal menjelaskan, dia memilih bulan Mei untuk majlis pernikahannya kerana dia dan Scha mempunyai kelapangan pada waktu tersebut.

"Sebelum ini saya dan keluarga telah merisik Scha pada 30 Mei tahun lalu. Mengikut perancangan, kami sepatutnya bernikah pada bulan lepas, tetapi jadual kerja kami yang padat serta masalah tempahan dewan membuatkan kami terpaksa menangguhkannya.

"Bagaimanapun, saya tetap gembira kerana hasrat untuk memperisterikan Scha bakal menjadi kenyataan setelah kami menjalinkan hubungan cinta selama lebih dua tahun," ujarnya.

sumber

Kate Moss bagi bilik percuma


KATE MOSS dilaporkan telah memberikan salah sebuah bilik di kediaman mewah baharunya di London untuk dihuni oleh pendandan rambutnya, James Brown secara percuma!

Supermodel berusia 38 tahun itu baru sahaja berpindah ke rumah agam yang dilengkapi tujuh buah bilik tidur itu, yang mana salah satu dari bilik tersebut dikhususkan untuk Brown.

Sumber memberitahu akhbar Daily Star: "Kate telah menyediakan salah satu bilik tidur di kediaman baharunya itu untuk dihuni oleh pendandan rambutnya, James Brown.

"Dia beritahu Brown supaya menganggap bilik tersebut sebagai rumah keduanya. Brown kini sudah meletakkan barang-barangnya dalam bilik itu."

Moss membeli rumah agam yang bernilai 7 juta pound sterling (RM34 juta) itu selepas mengahwini gitaris band rock Kills, Jamie Hince pada Julai tahun lepas.

sumber

Ifa letak harga tinggi?


KALI terakhir kelibat Ifa Raziah muncul di layar kaca televisyen pada awal tahun ini menerusi telefilem berjudul, Mr. Labuci di TV9. Sebelum itu dia giat mempersiapkan diri sepanjang menyertai program Maharaja Lawak yang disiarkan menerusi Astro.

Timbul beberapa dakwaan bahawa penyanyi, pengacara, pelakon dan kini merangkap pelawak itu kini sudah berani meletakkan harga yang tinggi untuk bayaran khidmat seninya!

Spekulasi segera timbul bahawa faktor tersebut adalah penyebab kenapa pemilik nama sebenar Saripah Raziah Mustapha itu semakin kurang muncul di kaca televisyen.

Ifa, 37, yang ditemui pada sidang akhbar majlis makan malam Hari Ibu bersama Jamal Abdillah di Restoran Khan Baba, Gombak, Selangor baru-baru ini menjawab spekulasi yang timbul.

Kosmo!: Ifa didakwa semakin cerewet dan menolak beberapa tawaran selepas Maharaja Lawak tamat.Benarkah begitu?

IFA: Selepas Maharaja Lawak tamat saya sebenarnya bercuti rehat selama dua bulan. Bukan saya sahaja suka-suka tetapi saya jatuh sakit sehari selepas program itu tamat sehinggakan tidak boleh keluar suara. Terpaksa saya tolak tawaran. Bulan Mac sudah beransur pulih. Tak berbaloi untuk saya cerewet. Penerbit bimbang bagi tawaran selepas saya keluar Maharaja Lawak sebab ingatkan saya sudah demand (letak harga). Sebab itu saya kurang berlakon sekarang ini.

Selama 10 minggu kekal dalam rancangan Maharaja Lawak pastinya meninggalkan impak buat karier dan kehidupan Ifa. Komen Ifa?

Saya dimaki hamun peminat Maharaja Lawak seluruh Malaysia! Ramai yang tak suka saya jadi pelawak. Alasannya adalah untuk menjadi pelawak perlu berwajah buruk tidak terkecuali pelawak wanita, juga tidak perlu cantik. Ia terbukti apabila saya mula bawa watak seperti nenek tua, baru penonton boleh terima.

Gelaran 3P iaitu penyanyi, pelakon dan pengacara sudah Ifa sandang dan kini pelawak pula. Adakah Ifa akan meneruskan bidang yang telah Ifa ceburi ini?

Jadi pelawak lebih susah daripada penyanyi. Oleh kerana saya menanggung tekanan selama 10 minggu itulah yang menyebabkan saya sakit. Kita boleh tertekan walaupun tidak terkurung. Bakat melawak sudah ada dalam diri cuma perlu lebih buat kajian, perlu skrip, jalan cerita dan punch line (penekanan) yang betul walaupun lawak spontan.

Pengalaman Ifa menjadi pelawak wanita?

Selama 17 tahun jadi artis, tempoh paling tertekan apabila menjadi pelawak tapi dalam masa yang sama saya gembira sebab dapat belajar. Bukan senang nak buat orang ketawa.

Kali pertama Ifa muncul sebagai penyanyi menerusi album pop pada tahun 1996, sebelum setahun kemudian muncul pula sebuah album dangdut. Tahun 2004 merupakan kali terakhir Ifa mengeluarkan album sekali gus hanya tampil bersama single. Bagaimana Ifa melihat senario itu?

Tidak mengeluarkan album tidak bermakna saya berdiam diri. Single terbaharu berjudul Luar Biasa sudah dilancarkan pada bulan April tahun lepas namun promosi hanya di YouTube dan menerusi beberapa buah stesen radio. Berlaku kekeliruan pada masa itu sebab single Luar Biasa nyanyian Shahir AF pun dilancarkan pada waktu yang sama. Pendengar keliru dan menyebabkan saya tenggelam akibat judul lagu saya yang sama dengan lagu Shahir. Apa yang pasti, saya bakal muncul dengan single baharu genre balada berjudul Tanpa Ku Sedar pada bulan Mei ini ciptaan sepenuhnya Aesah Mustafa.

Bagaimana pula Ifa melihat perkembangan muzik dangdut negara kita sekarang ini?

Saya kecil hati sebenarnya. Peminat masih ramai tapi stesen radio tidak menyokong artis dangdut. Konon dangdut adalah lagu kampung. Saya merayu kerjasama daripada stesen-stesen radio untuk mennaikkan semula pengaruh lagu-lagu dangdut.

Dangdut dan balada merupakan dua genre dan teknik nyanyian berbeza. Apakah langkah Ifa untuk menjamin kualiti single pada masa akan datang?

Suara perlu diasah dan saya akui dangdut dan balada berlainan lenggok. Peti suara kita juga perlu sentiasa dijaga untuk memastikan vokal kita kemas. Kekurangan saya adalah pada nada rendah, jadi saya akan mula belajar teknik nyanyian dengan Cikgu Siti Hajar pada setiap hari Isnin bermula bulan April nanti.

Perkembangan terkini Ifa?

Saya akan bersama Roslan Shah bakal menjadi hos acara Projek Keamanan 1Malaysia di Taiping, Perak selama empat hari mulai 5 hingga 8 April ini. Bersempena acara itu akan berlangsung juga konsert rock dan dangdut. Antara artis lain yang turut hadir, Haiza, Syida, May, Bandi Amuk dan XPDC.

Selain itu saya juga akan menjadi pengacara majlis Makan Malam Hari Ibu bersama Jamal Abdillah pada hari Ahad, 6 Mei ini, di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam. Untuk mendapatkan keterangan lanjut hubungi Pengarah MSiS Event, Suriyani Kassim (019-3834300).

sumber

Budak kampung ke supermodel


BAGAIKAN peluru, isinya ditembak laju ke arah sasaran meninggalkan kelongsong yang barangkali tidak berguna. Ironi rentetan kehidupan itu dilalui Wilson Tan Siong Ping sepanjang 30 tahun usianya.

Enggan menoleh ke belakang, perjalanan hidupnya yang dilalui penuh berliku sebelum bergelar supermodel lelaki tersohor tanah air ditransformasikan menjadi sebuah pengalaman penuh berharga.

"Tiga tahun lalu sewaktu pulang ke kampung, keluarga halau saya keluar dari rumah! Saya menangis, kata mereka saya bukan darah daging mereka lagi.

"Selepas kejadian itu saya lari dan bertekad tidak akan pulang ke kampung sehinggalah kakak saya datang dan pujuk saya pulang.

"Kini, kedua-dua ibu dan ayah saya peminat nombor satu saya," ungkap supermodel yang mengunakan nama pentasnya Wilson Tan itu sewaktu memulakan bicara bersama Kosmo! pada petang yang diiringi hujan di kafe Godiva Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Benar, dia lebih rela memilih risiko semata-mata mahu mengejar impian. Selain berdepan tentangan keluarga suatu masa dahulu, Wilson juga pasrah melepaskan kerjaya jurutera di pelantar minyak untuk kerjaya di bidang penuh glamor itu.

"Saya tiada jiwa untuk meneruskan kerjaya jurutera yang sememangnya menawarkan gaji lumayan itu, dan sewaktu mula melangkah ke dunia peragaan saya berdepan situasi getir.

"Hidup memang sengsara sebelum orang kenal saya, gaji yang tidak menentu, sedikit dan kadang-kadang ada orang mengeji.

"Berbekalkan duit simpanan daripada hasil kerjaya sebagai jurutera saya mengubah penampilan, ibarat 'membeli' sebuah karisma," katanya menghabiskan sehingga ribuan ringgit untuk kelihatan menonjol dari segi penampilan.

Mujur dia dikurniakan kulit dan ketinggian sempurna seorang peragawan iaitu 190 sentimeter. Namun, Wilson akui dahulunya dia bukan seperti dirinya yang ditatap umum hari ini.

Boleh diibaratkan seekor rama-rama yang keluar dari kepompong, ramai yang tidak menduga daripada seorang budak kampung, Wilson boleh berubah menjadi supermodel.

"Saya masih ingat asal usul, saya sedar kedudukan saya suatu masa dahulu. Orang yang dekat dengan saya nampak perubahan demi perubahan yang saya lalui.

"Dulu saya seorang yang comot dan selekeh. Langsung tiada aura, kalau orang melihat perbandingan gambar saya dahulu dan sekarang masih ramai yang sukar percaya," ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Jaga perangai

Pernah dia merasakan untuk menamatkan impiannya memburu gelaran supermodel sehinggalah dia meraih semangat yang jitu sebaik sahaja dinobatkan menjadi model terbaik Asia sempena Asian Model Festival Awards di China tahun lalu.

Baru-baru ini pula, dia dianugerahkan pencapaian penuh berprestij Model Of The Year 2012 pada pertunjukan fesyen Mercedez-Benz Stylo 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu.

Wilson juga sebelum itu memenangi anugerah paling berprestij iaitu Industrial Awards sempena World Championship of Performing Arts pada tahun 2009 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Sesiapa boleh jadi supermodel katanya, ia adalah satu pakej dalaman dan luaran yang melengkapi diri seseorang.

"Kalau ikutkan ukuran antarabangsa, ketinggian yang diperlukan untuk menjadi supermodel adalah 180 untuk wanita dan 187 untuk lelaki.

"Biasanya, model yang tidak cukup ketinggian akan menceburkan diri untuk iklan produk di kaca televisyen atau papan iklan, yang paling utama ada rupa yang unik, karisma dan menjaga perangai," cerita Wilson yang memulakan bidang peragaan selepas diajak rakan sebiliknya sewaktu menuntut di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Curi duit Thailand

Tahun lalu Wilson tidak terlepas daripada terpalit kontroversi dalam dunia peragaan sendiri. Dia dituduh mencuri sejumlah wang bernilai 500,000 baht Thailand (RM49,000) sewaktu menjadi sami Wat Nuan Chan, di sana.

"Kes itu sudah selesai, apabila mendapat tahu saya difitnah saya terus membuat laporan polis sekali gus mengharamkan individu terbabit mendekati saya dan memasuki negara Thailand dan Malaysia," katanya yang mendakwa difitnah oleh seorang model lelaki dari Vietnam.

Menurut Wilson, model itu sering kali terlibat dengan beberapa konspirasi menjatuhkan model yang sedang meningkat naik di sekitar negara Asia Tenggara.

"Namun, saya sudah maafkan dia. Katanya ketika kebetulan terjumpa, dia disuruh beberapa pihak untuk menjatuhkan saya," tambah Wilson yang berada di negara itu selama sebulan untuk menjadi sami.

Karier supermodel pasti tidak lari daripada dikaitkan isu dan etika sesi fotografi khususnya apabila dikehendaki berbogel. Bagi Wilson, dia melihat perkara itu daripada perspektif seni namun perlu ada batasan.

"Bergambar dalam keadaan bogel adalah perkara biasa di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, cuma di Asia kita perlu menghormati budaya ketimuran.

"Berbogel atau separuh bogel bagi saya merupakan seni dan sesuatu yang dipandang tinggi dalam dunia fesyen, namun had saya tidak sampai menunjukkan kemaluan semata-mata untuk sekeping gambar," katanya yang pernah bergambar separuh bogel untuk sebuah majalah luar negara pada bulan April tahun lalu.

Tambahnya, sesi fotografi yang dijalankan itu sebahagian caranya mengumpul pengalaman dan melengkapkan diri dengan pelbagai teknik peragaan.

"Saya suka mencabar diri, suka perkara yang sering berubah-ubah, semakin susah semakin itu yang saya suka," katanya.

sumber

Aiman ke layar perak


Aiman Hakim Ridza atau Aiman memang semakin popular dalam kalangan peminat sejak berlakon dalam drama rantaian popular Vanila Coklat di TV3 dengan episod akhirnya pada Selasa lalu ditonton seramai 4.5 juta penonton.

Jangan ada yang terkejut jika fakta sebenarnya, Aiman, 23, yang mula terjun dalam bidang seni menerusi program realiti nyanyian, Mentor, kini menjadi subjek carian kesembilan tertinggi daripada sepuluh carian tertinggi oleh pelayar Google di negara ini sepanjang bulan Februari lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara rasmi oleh pihak Google Malaysia baru-baru ini dan dalam kenyataan mereka, Aiman merupakan selebriti tunggal tempatan yang berada dalam senarai sepuluh carian tertinggi tersebut.

Aiman yang ditemui pada majlis tontonan episod akhir drama Vanila Coklat bersama peminat di Rasta, Damansara, Selangor malam Selasa lalu ternyata cukup terkejut dengan penerimaan peminat terhadapnya bagaimana masih belum meninggalkan cita-citanya sebagai penyanyi.

Kosmo!: Apakah perasaan Aiman apabila diumumkan sebagai satu-satunya selebriti tempatan dalam senarai sepuluh carian tertinggi oleh pelayar Google di Malaysia sepanjang bulan Februari lalu?

Aiman: Saya tidak tahu bagaimana nak cakap tetapi mestilah gembira. Saya tahu pun apabila terbaca di akhbar baru-baru ini. Syukur selepas berlakon beberapa buah drama Vanila Coklat drama kelima lakonan saya dan ia benar-benar berjaya melonjakkan nama saya. Terima kasih buat peminat setia Vanila Coklat.

Apabila dikerumuni peminat dan semakin dikenali, Aiman rasa diri makin popular?

Entahlah, saya masih macam dahulu lagi, saya masih orang sama cuba yang bezanya penerimaan orang terhadap saya berubah. Kalau dulu saya pergi ke mana-mana tiada orang yang kisah, sekarang Alhamdulillah ada juga orang kenal (ketawa).

Mungkinkah Aiman menjadi pelakon kerana kerjaya nyanyian yang tidak berapa menjadi?

Apa yang boleh saya katakan adalah peluang yang datang. Saya tidak sangka saya akan dikenali seperti hari ini, tetapi bagi saya lakonan juga satu cabang seni. Walaupun saya lebih dikenali sebagai pelakon hari ini tidak bermakna saya lupakan bidang nyanyian.

Nama Aiman memang semakin popular tetapi ada juga pihak yang mengatakan lakonan Aiman masih kaku. Komen?

Saya akui perkara itu sebab saya pelakon baharu. Masih terlalu banyak perkara tentang ilmu lakonan yang harus saya pelajari. Bagi memantapkan lagi mutu lakonan, saya telah meminta ibu saya mendaftarkan saya di sebuah kelas lakonan.

Nampaknya Aiman kini semakin sibuk di set penggambaran, ada masa untuk rakam lagu?

Ada. Sebuah lagu berjudul Bicara Hati yang dicipta oleh Adi Six Sense, saya akan nyanyikan lagu itu untuk dijadikan lagu tema sebuah drama. Saya tidak pernah lupakan bidang nyanyian, buat masa ini saya tidak boleh janjikan apa-apa lagi tetapi saya mempunyai perancangan untuk muncul dengan single tidak lama lagi.

Tidak ada sebarang kerjasama dengan bekas mentor dalam program Mentor, Rahim Maarof?

Rasanya tidak kerana dia pernah berkata mahu bersara daripada dunia seni untuk memberi tumpuan kepada keluarga, jadi saya tidak mahu menyusahkan Rahim Maarof. Lebih baik saya bergerak sendiri.

Projek terbaharu selepas drama Vanila Coklat berakhir?

Saya ada mendapat beberapa tawaran drama dan filem. Filem itu datangnya daripada produksi yang menerbitkan drama Vanila Coklat sendiri.

Mungkinkah ada sambungan Vanila Coklat versi filem?

Mungkin (ketawa). Saya tidak tahu, harus tunggu dan lihat sahaja



sumber

JYJ tidak kering kontroversi


KIM JAEJOONG, Park Yoochun dan Kim Junsu sering dihimpit kontroversi sejak mereka bertiga menarik diri daripada menganggotai kumpulan TVXQ.

Sementelah mereka bertindak menyaman syarikat pengurusan TVXQ, SM Entertainment atas dakwaan kontrak tidak munasabah pada pertengahan tahun 2009.

Malah, aktiviti seni mereka di Jepun juga pernah tergendala kerana isu pergolakan kontrak dengan SM Entertainment.

Tidak habis di situ minggu lalu nama mereka bertiga sekali lagi diheret ke kancah kontroversi dan kali ini membabitkan peminat fanatik mereka sendiri.

Menurut beberapa laporan media di Korea Selatan terdapat bukti audio ada antara anggota JYJ dikatakan telah berkasar, memukul dan mengherdik peminat fanatik mereka yang mengekori setiap pergerakan ketiga-tiga anggota JYJ itu.

Mengakui kesalahan mereka berkasar dengan peminat, Jaejoong, Junsu dan Yoochun telah membuat permohonan maaf secara terbuka pada 8 Mac lalu dalam sidang media di Santiago, Chile sempena dengan konsert jelajah Amerika Latin JYJ 2012.

Tutur Junsu, sejak mereka muncul sebagai penyanyi pada tahun 2004, mereka terpaksa bersabar dan banyak perkara yang menyakitkan hati mereka berlaku akibat tindakan melampau peminat fanatik mereka itu.

Junsu membuka cerita dengan memberitahu tahap ekstrem peminat mereka: "Mereka (peminat fanatik) menggunakan nombor kad pengenalan kami untuk mendedahkan panggilan peribadi kami dan juga meletakkan sistem penentududukan sejagat (GPS) di kereta kami untuk memantau setiap pergerakan kami.

"Bukan itu sahaja, malah ada kesan rumah kami dipecah masuk oleh peminat dan mengambil gambar kami ketika kami sedang tidur, cuba mencium kami dan mencuri barangan peribadi kami."

Tambahnya: "Sesetengah peminat turut mengupah pemandu teksi untuk menyelinap masuk ke dalam kereta kami hanya untuk melihat kami dengan lebih dekat.

"Kehidupan kami terganggu apabila kami disentuh dan diperhatikan setiap saat sepanjang hari. Kami juga manusia biasa dan mahukan privasi diri dalam kehidupan biasa seperti mana orang lain tetapi kami dipaksa untuk hidup dalam keadaan yang sungguh menyukarkan ini."

Jaejoong pula menyambung: "Kami mahu memohon maaf atas tindakan melampau kami sebelum ini. Kami juga meminta maaf kepada peminat setia JYJ kerana memaksa mereka untuk berkongsi kesukaran yang kami alami.

"Pada masa depan, kami akan memikirkan orang yang menyayangi kami dalam apa juga keadaan yang kami hadapi meskipun ia sangat sukar, kami akan cuba mengambil langkah lebih bertanggungjawab.

"Sebabnya, kami tidak mahu merisaukan serta mengecewakan peminat yang sentiasa menyokong kami dalam apa jua keadaan. Bagi peminat yang sentiasa sokong kami setiap kali kami membuat persembahan, saya akan melakukan yang terbaik."

Yoochun juga mengakui cukup tertekan dengan tindakan peminat fanatik JYJ tersebut yang memerhatikan setiap gerak-gerinya sehingga peminat itu berani memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium kediaman anggota JYJ.

Walaupun berhadapan dengan kontroversi berkaitan dengan peminat, sokongan peminat terhadap JYJ tidak pernah putus malah, kontroversi itu telah membuka mata banyak pihak di Korea Selatan mengenai masalah dan gangguan serius yang dihadapi golongan artis popular negara itu

Khabarnya berhubung kontroversi JYJ, pihak berkuasa Korea Selatan sedang berbincang meluluskan undang-undang untuk menghukum peminat fanatik yang boleh dikelaskan sebagai pengendap jika pihak berkuasa terdapat cukup bukti.

Demam JYJ melanda Amerika Selatan

Tidak terganggu dengan kontroversi terbaharu mereka sebaliknya JYJ telah mencatat sejarah tersendiri sebagai band dari Korea Selatan yang membuat konsert solo di hadapan seramai 9,000 peminat di Chile dan Peru.

Kumpulan JYJ telah membuat persembahan di 15 buah negara termasuk di Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Jepun dan Korea semenjak April 2011 dan telah memilih Chile dan Peru pada Mac 2012 untuk mengakhiri konsert jelajah dunia ini.

Para peminat menyambut JYJ dengan ucapan apa khabar dalam bahasa Korea, sambil memakai baju berwarna merah yang merupakan warna rasmi buat peminat mereka.

Peminat juga sanggup memegang poster dan kain rentang yang tertulis nama anggota band JYJ, keadaannya tidak seperti mengadakan konsert di Chile kerana sambutan masih hangat seperti di Korea Selatan.

Pengaruh yang dibawakan oleh JYJ ternyata sangat hebat. Peminat telah menempah tiket berminggu-minggu sebelum konsert berlangsung. Ada peminat memberitahu, dia telah beratur dua hari sebelum konsert bermula semata-mata untuk mendapat tempat yang terbaik.

"Saya tidak penat langsung, sebaliknya melihat barisan yang panjang membuatkan saya lebih bersemangat. Saya juga telah belajar bahasa Korea supaya boleh bertutur dalam bahasa itu sekali gus memahami maksud lagu band JYJ," kata Alison Salas salah seorang peminat band tersebut.

Kemuncak konsert itu telah bermula beberapa jam sebelum konsert berlangsung apabila terdapat beberapa orang peminat yang terlalu teruja telah pengsan dan terpaksa diusung keluar dari lokasi konsert.

Konsert JYJ bermula dengan lagu Empty. Pierrot dan Ayyy Girl. Para peminat kelihatan terpegun menonton persembahan solo Yoochun menerusi lagu I Love You.

Tidak terhenti di situ, peminat menjerit seperti terkena histeria apabila mereka mendendangkan lagu berjudul Found You yang merupakan lagu runut bunyi untuk drama rantaian popular Sungkyunkwan Scandal yang dilakonkan oleh anggota JYJ, Yoochun, kemudian persembahan diteruskan dengan lagu Be The One dan Fallen Leaves.

Kesungguhan peminat menyanyikan lagu dalam bahasa Korea amat mengagumkan JYJ memandangkan perbezaan bahasa dan budaya Amerika Selatan dan Korea adalah sangat jauh berbeza.

Kedua-dua konsert di Chile dan Peru mencatat sejarah apabila sebanyak 9,000 tiket habis dijual. Konsert di Chile mereka beraksi di hadapan 3,000 peminat di Teatro Caupolican dan di Peru, penganjur terpaksa menambah sebanyak 1,000 tiket tambahan setelah semua 5,000 tiket habis terjual.

Menurut penganjur, mereka cukup terkejut dengan jualan tiket yang cukup pantas kerana penyanyi pop Amerika juga tidak dapat menandingi jualan tiket konsert JYJ.

Laporan akhbar tempatan Peru iaitu El Comercio yang turut terkejut dengan sambutan peminat terhadap JYJ menulis: "JYJ adalah artis Korea, bukannya Justin Bieber ataupun Miley Cyrus tetapi telah mencatat sejarah dari segi penjualan tiket di Peru."

sumber

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)