Anne wanita istimewa - Aliff


PERCINTAAN antara penyanyi remaja kelahiran Singapura yang kini bergelar pelakon, Aliff Aziz, 21, dan aktres Anne Ngasri, 28, yang merupakan janda anak tiga meraih pelbagai reaksi.

Ada pihak yang menyokong dan ada pula yang menyindir dengan mengatakan hubungan mereka tidak akan ke mana disebabkan jurang usia yang begitu ketara.

Bagaimanapun, baik Aliff mahupun Anne tetap berpegang teguh terhadap hubungan yang terbina sejak tujuh bulan yang lalu. Mereka pertama kali berganding sebagai pasangan kekasih dalam drama berjudul Antara Kita dan akhirnya hubungan itu berlanjutan di luar lokasi.

Menurut Anne, keluarganya merestui hubungi mereka, malah tiga orang anak Anne, Abdul Warits Abdul Wafi, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhakah Afroza, 1, turut memanggil Aliff daddy.

Aliff pula yang ditemui pada majlis buka puasa anjuran Red Box baru-baru ini secara terang-terangan mengaku dia ada menyimpan niat dan bersedia untuk bergelar suami kepada Anne apabila tiba masa yang sesuai.

"Setiap orang yang bercinta pasti ada menyimpan niat untuk mengakhiri hubungan tersebut dengan sebuah perkahwinan. Begitu juga saya.

"Namun, tahun dan tarikh perkahwinan saya sendiri tak pasti kerana belum ada perjumpaan antara kedua-dua belah keluarga lagi. Jadi, buat masa ini saya tidak boleh menjawab soalan bila saya akan berkahwin dengan Anne," ujarnya.

Ditebak mungkinkah tiga tahun dari sekarang, Aliff secara tidak sengaja memecahkan rahsianya sendiri apabila berkata mereka mungkin akan berkahwin dalam tempoh lebih cepat daripada itu.

"Tidak sampai dua atau tiga tahun, mungkin cepat lagi (kahwin). Buat masa ini kami berdua, terutamanya saya harus stabilkan kewangan terlebih dulu sebelum berkahwin.

"Apabila kewangan sudah cukup, kalau boleh saya tidak mahu lama-lama, lagi cepat lagi bagus," kata Aliff sambil tersenyum.

Usia hanya angka

Apabila bercakap soal perkahwinan, pasti ramai yang terkejut memandangkan usianya yang terlalu mentah untuk memikul gelaran suami dan juga bapa ekspres kepada tiga orang anak.

Sudah bersediakah Aliff memikul tanggungjawab yang besar atau ini hanya angan-angan kosongnya sahaja? Persoalan itu pasti berlegar di minda ramai pihak kerana pelbagai kontroversi yang pernah ditimbul olehnya sebelum ini.

"Usia itu sekadar angka, saya langsung tidak ada masalah dengan jarak usia serta status Anne. Kalau Allah sudah menetapkan saya berkahwin muda, saya harus mengikut apa yang telah ditentukan.

"Soal tanggungjawab, saya sedar dulu saya banyak buat kesilapan kerana tidak matang. Bapa Anne juga pernah menyuarakan kebimbangannya kerana saya terlalu muda untuk anaknya, tetapi kini saya lebih matang dan secara perlahan-lahan belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab, bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi juga Anne serta anak-anaknya," ucap Aliff.

Tegasnya, hati lelakinya terguris jika kekasih hatinya itu dihina kerana kontroversi yang pernah ditimbulkan Aliff sebelum mengenali Anne.

"Saya cukup pantang jika orang menghina Anne kerana dia bercinta dengan saya. Kontroversi yang pernah saya timbulkan sebelum ini sudah menjadi sejarah yang banyak mematangkan saya.

"Sepanjang Anne menjadi pelakon, dia tidak pernah dihimpit kontroversi kecuali kisah cerai yang tidak boleh dielak dan bukan kehendaknya. Jadi, saya tidak mahu namanya tercalar disebabkan saya," tutur Aliff penuh serius.

Raya bersama

Selepas tujuh bulan bercinta, Aidilfitri kali ini bakal disambut bersama Anne apabila keluarga Anne akan melawat keluarga Aliff di Singapura pada hari raya ketiga.

Akui Aliff, dia tidak sabar untuk beraya kerana ingin meraikan Aidilfitri bersama Anne dan anak-anaknya.

"Rasa tidak sabar tunggu raya kerana kedatangan Anne ke rumah keluarga saya di Singapura sangat istimewa. Kami yang rancang bersama-sama dan Alhamdulillah keluarga saya sangat mengalu-alukan kedatangan Anne sekeluarga.

"Nanti pada hari raya ketiga, saya, Anne dan anak-anaknya akan mengenakan warna sedondon, tetapi saya rahsiakan dulu warnanya," ujarnya penuh teruja.

Sambung jejaka tinggi lampai itu lagi, sebelum bercuti raya, jadual hariannya sangat padat dengan persembahan pentas.

Disebabkan itu, Aliff mahu menggunakan cuti raya selama seminggu untuk menghabiskan masa bersama keluarga dan juga Anne sebelum kembali sibuk di lokasi penggambaran pada 26 Ogos.

"Saya akan gunakan cuti raya ini sepenuhnya untuk keluarga dan juga Anne serta anak-anaknya. Kesibukan kerja menyebabkan saya kurang masa bersama mereka, jadi masa cuti inilah saya mahu membawa mereka berjalan-jalan," jawabnya penuh ceria.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)