Gerhana wanita tujuh kali


MENGANGKAT kisah sebenar seorang wanita yang berkahwin sebanyak tujuh kali, drama 7 Gerhana terbitan syarikat pelakon Hans Isaac, Tall Order Productions, dikatakan sekadar memberi pendedahan dan pengajaran kepada orang ramai bukan bertujuan mengaibkan individu terbabit.

Paparan kisah benar itu dikatakan dialami sendiri seorang rakan kepada pengarah urusan Tall Order Productions yang juga merangkap pelakon, pengarah bersama dan penerbit drama 7 Gerhana iaitu Hans Isaac.

Menurut Hans, dia terlebih dahulu sudah meminta kebenaran rakan wanitanya itu untuk memaparkan kisahnya dalam bentuk drama dan rakan wanitanya itu telah bersetuju.

“7 Gerhana ini adalah kisah sebenar yang terjadi dalam hidup kawan saya yang mana dia berkahwin sebanyak tujuh kali. Dia beri peluang kepada saya untuk buat cerita ini.

“Walaupun dia berkahwin sebanyak tujuh kali namun hampir semua lelaki yang berkahwin dengannya bukan atas pilihan sendiri. Sebaliknya adalah atas desakan keluarga dan penipuan lelaki-lelaki yang meminatinya,” ungkap Hans mengenai 7 Gerhana yang dilakonkan oleh pelakon hebat Vanida Imran.

Kenapa memilih Vanida, kata Hans, dia sudah mempunyai keserasian dengan pelakon hebat itu dan merasakan Vanida sangat layak memegang peranan Rozie dalam 7 Gerhana.

“Dalam banyak artis yang saya kenal Vanida memang boleh membawakan watak ini dengan baik,” katanya lagi.

Menurut seorang lagi pengarah 7 Gerhana, Amar Delon, watak Rozie yang berkahwin sebanyak tujuh kali ketika remaja dilakonkan oleh Andrea Abdullah sebaliknya watak Rozie ketika dewasa pula dilakonkan oleh Vanida Imran.

Ujar Amar, belum ada lagi sebuah drama yang menggambarkan wanita berkahwin sebanyak tujuh kali dan itu merupakan kekuatan bagi drama tersebut.

”Memang cerita ini lain daripada yang lain. Penonton akan beranggapan Rozie ini jahat tetapi sebenarnya tidak. Dia terlalu naif namun perkahwinan demi perkahwinan yang ditempuhinya sedikit sebanyak telah mematangkannya,” katanya mengenai drama keempat arahannya itu.

Ditanya mengenai cabarannya sepanjang mengarahkan drama tersebut, tutur Amar lagi, disebabkan kenal dengan individu sebenar yang berkahwin sebanyak tujuh kali dia tidak mahu penonton menganggap individu tersebut jahat seterusnya memburukkan nama individu tersebut.

Tambahnya, musim pertama 7 Gerhana menggambarkan tiga suami pertama Rozie dan perjuangan wanita ini bermula dari umur 17 hingga usianya mencecah 30 tahun.

Ia mengungkap kisah tentang kehidupan bersama ketiga-tiga suaminya itu daripada yang memadukannya tanpa pengetahuannya sehinggalah yang meninggalkannya pada malam pertama perkahwinan.

Selain Hans, Vanida dan Andrea 7 Gerhana turut dibintangi oleh Omar Abdullah, Zulkifli Ismail, Kay Maria, Riz Aminm Ery Zuhkairi dan Hafiz Halim.

Drama 7 Gerhana kini ditayangkan di Astro Prima saluran 105 setiap hari Rabu pukul 9 malam

sumber

Asmidar mahu rakam lagu


KONSERT akhir program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa yang telah sempurna menutup tirai pada malam Ahad lalu menyaksikan Norhasmidar Ahmad, 25, menjadi penyandang gelaran juara sulung musim pertama.

Masih sukar mempercayai dirinya mampu menjulang trofi juara apatah lagi bertanding di pusingan akhir, Asmidar sudah merancang skop hidupnya berbekalkan wang kemenangan RM50,000.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira, ini pertandingan paling sengit seumur hidup saya. Saya tahu kemampuan Mafa, apa yang dia ada saya tak ada, memang di luar jangka!

“Saya ingin rakam album atau single sendiri supaya kerjaya tidak terhenti di sini, selebihnya belum lagi diputuskan,” katanya yang ditemui selepas tamat konsert akhir Vokal Bukan Sekadar Rupa di Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.

Asmidar yang meminati muzik tradisional serta pop jazz bagaimanapun mengakui masih mencari identiti diri untuk membawanya hanyut dalam gelombang seni.

Kekuatan

Mafarika Mohd. Akhir, 19, atau Mafa kata Asmidar merupakan pesaing sengit sepanjang 10 minggu rancangan itu ke udara.

Tambah Asmidar, Mafa punyai suara yang lebih nyaring, bijak meletakkan bunga suara pada tempat yang betul serta lebih bertenaga berbandingnya.

Namun bagi Mafa, kekecewaan tidak tertulis dalam diari hidupnya. Malah dia lebih percaya pada rezeki.

“Saya percaya pada rezeki dan reda dengan keputusan, tak semestinya selepas ini saya tidak akan berjaya dan sekarang pun saya sudah buktikan kepada semua, orang yang berbadan besar pun mampu sampai ke tahap ini,” ujarnya yang mengaku membuat salah terutama dalam menyanyikan lagu baharu.

Asmidar dan Mafa masing-masing diberikan lagu baharu untuk didendangkan konsert final itu.

Asmidar menyanyikan lagu ciptaan Ajai berjudul Biar Sampai Ke Bintang manakala Mafa memperoleh lagu Tiba yang dicipta komposer Audi Mok dan lirik Omar K dalam pusingan kedua.

Pusingan pertama memperlihatkan kehebatan Mafa membawakan lagu Jangan Tinggal Daku meninggalkan pencabarnya Asmidar yang menyanyikan lagu My Way apabila menjadi pilihan juri tetap Azmeer dan Erra Fazira serta juri jemputan Ziana Zain.

Dalam pusingan ketiga iaitu Battle membuktikan kekuatan lenggok suara Asmidar membawakan lagu Laksamana Raja Di Laut nyanyian asal Datuk M. Daud Kilau dan mendapat tempat di hati Erra dan Ziana.

Makin jauh meninggalkan Mafa menerusi lagu Hurt (Christina Aguilera) yang dipilih Mafa sendiri untuk pusingan yang sama, Asmidar dinobatkan sebagai penyanyi yang punyai pernafasan paling baik oleh Azmeer.

Keputusan akhir hasil undian SMS dan juri diungguli oleh Asmidar dengan 73 peratus dan Mafa, 53 peratus.

Konsert akhir Vokal dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada Adibah Noor dengan lagu Siapa Dia dan aksi-aksi bekas finalis Vokal iaitu Azmarul, Irsa, Fakhrul dan Boby dengan rangkaian lagu Cinta Harus Memiliki, Someone Like You, Gerhana dan Tapi Bukan Aku serta diakhiri menerusi lagu tema Vokal; Aksi Suara.

Musim kedua

Azmeer yang ditemui usai acara itu mengakui sukar untuk membuat keputusan kerana kedua-dua peserta akhir itu miliki kekuatan tersendiri.

“Secara peribadi saya suka ton suara Mafa tapi corak pertandingan ini siapa buat salah dia kalah! Saya yakin Mafa boleh berjaya dengan ton suara dan kreativiti yang dia ada cuma kawalan pernafasan perlu dipertingkatkan.

“Tapi saya tidak menafikan Asmidar ada teknik pernafasan yang hebat dan dia penyanyi yang saya cari selama ini, ton suara dia tebal dan lunak! Dari segi pitching suara Asmidar, 98 peratus hampir sempurna,” jelas Azmeer.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Vokal, Muhammad Sufian Che Isa mengakui ada beberapa aspek yang kurang dititikberatkan dalam program musim pertama.

“Kita akan membuat penambahbaikan untuk musim kedua, tapi dari segi pencapaian dan rating penonton pihak produksi amat berpuas hati,” katanya yang akan memaklumkan sekiranya program realiti itu bakal diteruskan untuk musim akan datang.

sumber

Tuah Tom Cruise


KEJAYAAN yang dimiliki aktor terkenal Hollywood Tom Cruise hari ini bukan datang dengan mudah meskipun aktor kelahiran Syracuse, New York itu memiliki wajah yang tampan. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 11 tahun dan kehidupan berpindah-randah memaksanya bersekolah di 15 buah sekolah. Sekolah terakhirnya adalah Glen Ridge High School, New Jersey.

Dibuli merupakan perkara biasa ketika zaman persekolahannya, tambahan dia mempunyai masalah disleksia iaitu gangguan dalam pembelajaran iaitu sukar membaca dan menulis. Justeru, Cruise bukanlah pelajar yang cemerlang ketika zaman persekolahannya, dia mengalih tumpuan kepada aktiviti sukan dan kecederaan lutut yang dialaminya ketika bergusti, membuat dia secara tidak sengaja terjun ke dunia lakonan.

Pada usia 18 tahun, dia meninggalkan Glen Ridge dan memburu impian sebagai seorang aktor di New York. Waktu siang dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya sebagai budak penghantar surat sehinggalah sebagai pembersih restoren dan pada waktu malam diperuntukkan untuk kelas lakonan sebagai persediaan buatnya menjalani uji bakat iklan, drama dan filem.

"Bukan mudah untuk saya berdiri seperti hari ini, sebelum berjaya mendapat kontrak filem pertama Endless Love pada tahun 1981, saya telah merasai pengalaman ditolak pengarah dan penerbit. Saya tidak menjadi aktor untuk memiliki kuasa (wang dan populariti) tetapi ia berlaku dengan sendirinya secara tidak langsung menyebabkan saya memperoleh lebih banyak peluang.

"Saya juga sedar yang kuasa itu tidak akan kekal selamanya dalam kerjaya saya sebagai pelakon. Jadi, saya mahu menggunakannya sehabis yang mungkin, terlibat dalam naskhah yang hebat dan apabila masa itu berlalu saya akan tersenyum kerana telah menjalani hidup dengan sepenuhnya," ujarnya.

Meskipun merupakan aktor yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood, dia menegaskan dia tidak pernah melakukan kerja kerana wang.

"Jujur, saya tidak pernah lakukan kerja semata-mata kerana wang. Ya, sebagai aktor saya diberi pilihan dan tawaran yang menarik tetapi terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menerimanya atau tidak. Jika pilihan terletak pada wang dan filem tersebut tidak mendapat sambutan, wang itu tidak bererti apa-apa," jawabnya yang masih menerima tawaran berlakon dalam filem indie.

Kini, selepas lebih tiga dekad terlibat dalam industri perfileman, Cruise bukan sekadar seorang pelakon tetapi dia juga seorang penerbit filem dan mungkin juga bakal penyanyi kerana selepas filem Mission Impossible - Ghost Protocol, dia diangkat sebagai penyanyi rock legenda dalam filem muzikal berjudul Rock of Ages akan berada di pawagam pada Jun tahun hadapan.

Menariknya, ramai yang terkejut apabila mendapat tahu Tom benar-benar boleh menyanyi dan suaranya turut mendapat pujian ramai. Malah, salah seorang pelakon dalam filem itu yang juga seorang penyanyi terkenal, Mary J. Blige turut mendedahkan yang dia teringin untuk merakamkan lagu duet bersama Cruise.

"Jika dia tanya saya, saya terus setuju. Dia memang seorang penyanyi yang bagus dan benar-benar mempunyai aura sebagai seorang penyanyi terkenal. Jiwa rock dalam dalam diri seseorang dan Tom memilikinya," kata Mary J. Blige.

Kebolehan menyanyi Cruise itu turut diakui oleh isterinya, Katie Holmes, bagaimanapun memberitahu, suaminya itu mengikuti kelas vokal selama beberapa minggu sebelum penggambaran bermula.

"Ya, saya suka menyanyi tetapi saya tidak rasa saya boleh lakukannya sebaik lakonan. Jika untuk suka-suka ya tetapi untuk serius saya belum terfikir mengenainya lagi," katanya yang membawakan watak Stacee Jaxx dalam filem muzikal itu.

Misi mustahil

Aktor yang telah berlakon 44 buah filem itu termasuk semua filem sekuel Mission Impossible serta terkini Ghost Protocol tidak hanya berlakon sebaliknya turut bertindak sebagai penerbit telah melakukan pelbagai aksi lagak ngeri sebagai ejen perisik bernama Ethan Hunt.

Sebagai penerbit memilih pengarah JJ Abrams untuk mengarah filem buat kali pertama merupakan satu risiko yang besar tetapi Cruise mempunyai alasan yang tersendiri terhadap pilihannya.

"Kisahnya begini, saya dan Steven Spielberg tengah bekerja untuk filem War of the Worlds dan kami berjumpa beberapa orang penulis dan penulis itu termasuk JJ. Tidak mengambil masa yang lama untuk saya menyukai kerjanya dan dia seorang yang berkarisma serta bijak.

"Kami bekerjasama secara tidak sengaja apabila setiausaha JJ memberi saya pita drama aksi Alias musim pertama yang diarah oleh JJ. Selang beberapa hari saya habis menonton satu musim drama Alias dan saya menyukai kerjanya. Saya menghubunginya ketika itu dia berada di Hawaii melakukan penggambaran drama Lost. Sekembalinya dia di Los Angeles kami berjumpa dan saya tanya bila dia mahu mengarah filem," jelas Tom.

Sungguhpun begitu, untuk seorang pengarah yang tidak pernah mengarah filem berbajet besar pasti menimbulkan kebimbangan di hati seorang penerbit.

"Saya rasa seperti ini bukan filem pertamanya. Filem ini paling kompleks dan sekuel Mission Impossible terbesar yang pernah kami hasilkan. Lihat sahaja lokasi penggambarannya, China, Rom, Dubai dan Jerman tetapi kami berjaya melakukan penggambaran mengikut jadual dan di bawah bajet. Hasilnya juga cukup mengagumkan.

Dalam filem ini banyak aksi lagak ngeri dilakonkan Cruise dan paling diingati adalah babak dia keluar daripada bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa di Dubai dan berjalan di atas cermin tingkap bangunan yang mempunyai ketinggian 2,717 kaki bersamaan dengan 163 tingkat. Katanya untuk babak yang dilakukan di tingkat 140 itu sahaja dia telah berlatih selama sebulan.

"Pengalaman paling tidak boleh saya lupakan berpusing di tepi tingkap bangunan tersebut dengan bergantung nyawa pada tali setebal wayar piano. Menakutkan tetapi untuk menampilkan kelainan, ia harus dilakukan dan seluruh produksi telah mengambil langkah keselamatan terbaik.

"Kami harus mencari lokasi antarabangsa yang mengagumkan dan Burj Khalifa adalah pilihan terbaik. Saya hanya berlatih sehari untuk aksi melompat keluar daripada bangunan itu sebelum memulakan penggambaran," ujarnya yang berada di Dubai selama lima minggu.

Disoal apakah perkara yang paling menakutkannya ketika penggambaran, jawab Cruise: "Terjatuh ke bawah."

Sambung aktor berusia 49 tahun itu lagi: "Apabila kami melakukan penggambaran perkara pertama dalam fikiran bagaimana kami lakukan untuk nampak hebat dan mustahil di layar. Kedua soal keselamatan dan kami sudah berlatih dan merancangnya selama berbulan-bulan. Saya hanya lakukan dan ya, saya selamat dan hidup sampai hari ini. Tiada sebarang kecederaan serius berlaku sepanjang penggambaran."

Sebagai penutup tahun 2011 Mission Impossible - Ghost Protocol yang menelan kos sebanyak RM459,505,000 itu turut dilakonkan oleh Jeremy Renner, Simon Pegg, Paula Patton dan bintang Bollywood Anil Kapoor merupakan sebuah filem yang cemerlang.

Suri di hati Tom

Cruise yang pernah bercinta dengan aktres Penelope Cruz juga pernah berkahwin sebanyak tiga kali, pertama Mimi Rogers, kedua, Nicole Kidman dan terakhir sejak tahun 2005 dan kekal sehingga hari ini bersama Katie Holmes.

Momen tidak boleh dilupakan apabila Cruise secara terbuka mengaku cintakan Katie dalam program bual bicara popular Oprah Winfrey Show pada 23 Mei, 2005. Dalam program itu, Cruise kelihatan tidak senang duduk malah siap melompat di atas sofa apabila berbicara tentang Katie.

Kebahagiaan Cruise bertambah apabila dia dikurniakan anak perempuan bernama Suri yang kini berusia lima tahun dan secara sah berkahwin dengan Katie pada November 2006. Khabarnya, kini Cruise sedang merancang untuk menambah jumlah ahli keluarganya

"Ya, saya berharap dan sedang merancang untuk memperolehi cahaya mata lagi dan beri adik kepada Suri," katanya.

Meskipun sentiasa sibuk, katanya, jika ada kesempatan dan peluang dia pasti akan membawa keluarganya ke lokasi penggambaran atau promosi filem seperti ketika dia mempromosi filem sekuel terbaharu Mission Impossible itu di beberapa buah negara baru-baru ini.

"Setiap hujung minggu jika kelapangan kami pasti akan habiskan masa bersama seperti berkelah atau melepak di taman, menemani Suri ke pusat membeli-belah kerana dia suka sangat memakan aiskrim. Dia anugerah terhebat yang pernah saya perolehi dalam hidup," kata Cruise.

Jelas sekali hidup Cruise kini lebih bermakna. Dia juga sering mengatakan saban hari cintanya pada isteri semakin besar.

"Semakin hari saya semakin cinta Katie, dia seorang yang istimewa dan memahami saya sepenuhnya. Kehadiran Suri melengkapkan hidup saya sebagai seorang lelaki, suami dan bapa. Tetapi nampaknya, Suri lebih banyak mengikut isteri saya terutamanya bab fesyen. Saya yakin apabila dia besar kelak, dia akan menjadi seorang penggila fesyen, lihat sahaja dia hari ini, walaupun baru lima tahun, pakaiannya lebih banyak daripada ibu bapanya," cerita Cruise.

Bercakap mengenai tahun 2012, kata Cruise banyak projek filem menantinya dan tahun hadapan merupakan tahun paling sibuk buatnya.

"Saya ada beberapa buah filem yang menanti penggambaran dan ada yang sedang dalam penggambaran, sebagai pelakon saya mahu beri yang terbaik dan impak kepada penonton serta diri sendiri. Sebagai penerbit saya mahu menerbitkan lebih banyak filem bermutu dan pecah panggung, apa pun terima kasih kepada peminat yang tidak henti menyokong kerjaya saya selama ini," katanya yang turut bercuti panjang sempena Krismas baru-baru ini.

sumber

Salman 'halau' Shah Rukh






KEJADIAN lucu telah berlaku antara Salman Khan dan Shah Rukh Khan yang dikatakan secara tidak sengaja telah menaiki kapal terbang yang sama untuk ke New Delhi baru-baru ini.

Umum mengetahui hubungan antara kedua-dua aktor tersohor Bollywood itu tidak baik tetapi takdir telah menemukan kedua-duanya dalam kapal terbang yang sama.

Ujar sumber: "Shah Rukh yang baru memasuki perut kapal terbang penerbangan ke New Delhi di bahagian kelas bisnes terkejut apabila mendapati Salman telah duduk di salah satu kerusi di situ.

"Sedangkan ketika itu Salman serta krew filem terbaharu lakonannya, Ek Kha Tiger juga berada dalam kapal terbang itu. Apabila Shah Rukh melihat Salman dalam kapal terbang itu, dia kelihatan panik sambil menelefon seseorang dan serta-merta turun dari kapal terbang itu."

Namun jurucakap Shah Rukh pula telah memberi alasan yang tersendiri yang boleh dipersoal kebenarannya.

Katanya: "Shah Rukh pada awalnya mahu menaiki jet peribadi. Namun, disebabkan sesuatu perkara dia terpaksa menukar rancangan pada saat-saat akhir dengan menaiki kapal terbang komersial. Namun, apabila dia sudah duduk di kerusi kapal terbang tersebut, dia tiba-tiba mendapat panggilan telefon bahawa jet peribadi untuknya telah disediakan."

sumber

Gabungan band lama, baharu


MENGGABUNGKAN empat buah band rock dalam satu pentas adalah hal biasa. Ia selalu dilakukan oleh banyak penganjur lain. Namun bagi empat band yang bersatu di dalam konsert yang diberi nama Loudspeaker, Wings, XPDC, Azlan & The Typewiter dan Faizal Tahir, mereka teruja bergabung sama kerana ia umpama gabungan dua band otai yang cukup disegani bersama dua band baharu yang sedang naik daun.

Vokalis Azlan & The Typewriter, Alan yang ditemui sewaktu sesi temu bual memberitahu dia teruja untuk berkongsi pentas dengan dua band otai tersebut. Menyifatkan ia sebagai satu platform yang bagus buat dia dan rakan band lain, Alan dalam seloroh mengatakan Azlan & The Typewriter sebagai 'budak' atau junior kepada dua band otai sedia ada.

"Ini adalah peluang yang bagus buat kami. Mungkin aliran rock kami tidak seperti Wings dan XPDC, namun saya harap muzik kami akan membantu menyemarakkan konsert tersebut. Sementelah kami berkongsi pentas dengan dua band otai tanah air yang memang sudah banyak pengikut," ujar Alan lagi.

Menurut Alan, mereka akan membuat persembahan selama setengah jam dengan lima buah lagu termasuk sebuah lagu berjudul Rock & Roll milik band legenda Led Zeppelin.

Ditanya timbul atau tidak rasa bimbang kerana berkongsi pentas dengan band otai, Alan mengakui bahawa perasaan itu pernah wujud suatu ketika dahulu. Namun saat mereka sering diberi kepercayaan untuk berkongsi pentas dengan band otai, perasaan gusar atau takut itu hilang secara perlahan-lahan.

"Cuma untuk konsert ini, saya takut tidak mampu menarik perhatian dan suasana yang ada. Sebab itu kami memilih untuk memainkan lagu-lagu yang penonton kenal serta lagu luar yang juga terkenal di kalangan penggemar muzik rock," katanya lagi.

Bagi XPDC saat pertama kali ditanya penganjur Red Garage Group Sdn. Bhd. adakah mereka mahu terbabit dalam konsert anjuran mereka, ia segera dipersetujui. Kata Mael, ini adalah saat yang mereka idamkan - membuat sebuah persembahan berskala besar.

Ia juga kata Mael lagi sebagai satu mercu tanda bahawa selain band seperti Search dan Wings sahaja yang laku dijual penganjur, band seperti XPDC dan yang lain juga mampu dijual dan membawa pulangan kerana mereka mempunyai pengikut tersendiri.

"Sebenarnya di Malaysia, kita ada banyak band rock yang bagus, hanya kadangkala ia terlepas pandang. Justeru apabila kami ditawarkan untuk bergabung dengan tiga lagi band untuk konsert ini, kami tidak menolak. Mungkin ini adalah pintu buat penganjur lain melihat kredibiliti kami," ujar Mael yang mengaku XPDC banyak membuat persembahan tanpa liputan media.

Memberitahu tidak akan menyanyikan lagu baharu, XPDC yang sudah berusia lebih 20 tahun sebaliknya memilih untaian lagu hit mereka seperti C.I.N.T.A dan Hidup Bersama sebagai antara 'peluru' mereka pada konsert tersebut. Mereka juga buat pertama kali akan tampil bersama dua vokalis mereka iaitu Mael dan Ali.


Awie yang mewakili Wings memberitahu mereka tidak suka menolak rezeki. Sentiasa teruja apabila banyak penganjur sudah mula memberi kepercayaan kepada artis tempatan, ujar Awie, Wings akan beraksi selama setengah jam dengan membawa lagu-lagu hit mereka.

Tidak dilupakan adalah untaian lagu balada seperti Sejati atau Taman Rashidah Utama. Sementelah kata Awie, Wings tidak mempunyai lagu baharu untuk diperdendangkan kerana mereka sudah 11 tahun tidak membikin album dan khalayak sendiri sentiasa teruja untuk mendengar lagu lama setiap kali konsert berlangsung.

"Ini adalah konsert gabungan muda-mudi atau otai dan orang muda yang baik untuk kami," katanya yang menyifatkan vokal Alan sebagai unik.

Tambah Awie, selain gembira kerana muzik rock tak pernah mati, sesuatu yang membuat dia teruja adalah apabila konsert berbayar telah kembali hidup. Ia sekali gus memupuk aprisiasi kepada penonton agar menilai muzik atau artis dengan bayaran kerana itu adalah perkara yang sewajarnya dilakukan.

Ditanya apa yang boleh diharap khalayak tentang penampilan mereka pada hari konsert itu kelak, Awie menyatakan, tidak akan ada banyak gimik yang bakal dilakukan, kecuali Wings akan muncul dengan motosikal berkuasa besar.

sumber

Kepayahan Ning berbaloi


TERNYATA pengorbanan dan kepayahan Ning Baizura dan suaminya Omar Sharif Dalton sebagai penerbit eksekutif konsert solo sempena 18 tahun penglibatannya dalam industri muzik tempatan, Ning @ KL Live berbaloi.

Ia berikutan konsert yang berlangsung di KL Live, Life Center, Kuala Lumpur pada 2 Disember lalu dibanjiri kira-kira 500 peminat setia Ning.

Melihat kepada sorakan dan teriakan peminat, ternyata penampilan Ning pada malam itu tidak mengecewakan mereka yang hadir melepaskan rindu terhadap idola mereka itu.

Walaupun tidak mendapat tajaan dan bantuan kewangan, namun Ning meluahkan rasa keterujaannya apabila keluar dari belakang pentas melihat peminat yang hadir menyokong karier seninya selama ini.

Ternyata dia merupakan seorang artis yang mampu berdiri di kaki sendiri tanpa bergantung pada mana-mana pihak dengan kejayaan konsert solo itu.

Menurut Ning ketika ditemuramah sebelum ini, konsert tersebut merupakan langkah permulaan supaya pihak di luar dapat membuka mata dan melihat bahawa artis senior sepertinya juga mampu memberi impak kepada industri hiburan tempatan.

Wanita yang memiliki vokal soprano itu memilih konsep flora sebagai tema konsert pada malam itu yang mana busana yang dipakainya semua dipadankan dengan tema bunga-bungaan seperti matahari, teratai, melur, mawar serta orkid dan setiap kali muncul dengan salinan baharu, pastinya dia menceritakan kisah atau kenangan indah yang dikaitkan dengan pengalaman diri bersama bunga tersebut.

Konsert yang dianjurkan oleh syarikatnya sendiri, Happenings Sdn. Bhd. itu sangat berwarna-warni yang mana diserikan lagi dengan vokal mantap Ning yang sememangnya tampil penuh semangat.

Konsert Ning @ KL Live yang mementaskan perjalanan seni Ning dengan lagu-lagu yang disampaikan adalah dari album pertama hingga terkini yang berjudul Dewa.


Menerusi konsert ini, Ning telah menyampaikan sebanyak 20 buah lagu yang berdurasi lebih kurang dua jam setengah.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Ning pada malam tersebut ialah Curiga, Dugaanku, Pasti, Percaya, Bersama Berdua, Selagi Ada Cinta, Awan Yang Terpilu, Mama Papa dan juga lagu baharu di dalam album Tiga Suara, Beribu Sesalan.

Apa yang menariknya, Ning telah mendendangkan lagu popular kolaborasinya bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah berjudul Beribu Sesalan secara solo.Namun, apa yang unik dia sebenarnya berduet dengan dirinya sendiri, yang mana ‘kembar’nya itu dipancarkan menerusi projektor.

Konsert jelajah Malaysia

Kemunculan penyanyi Altimet juga menyerikan lagi suasana apabila berduet bersama Ning ketika menyampaikan lagi Mama Papa.

Selain itu, Ning juga menjemput seorang pemain biola yang bernama Dennis Lau serta salah seorang pemain saksofon jazz yang didatangkan khas dari Jepun iaitu Chika Asamoto.

Kata Ning, Chika merupakan salah seorang rakan baiknya. Selain itu, Ning sempat berduet dengan penyanyi Russel Curtis untuk lagu Antara Kita.

Pengalaman bergelumang dalam industri muzik selama 15 tahun membuatkan Ning memilih rakan baiknya, Alwin Santiago yang bertindak selaku Pengarah Muzik bagi konsert tersebut bagi mengiringi konsert solo keduanya itu selepas tahun 1996 yang ditaja oleh Salem Cool Planet.

Selain dibanjiri peminat setianya, rakan-rakan artis turut sama hadir memberi sokongan moral buat Ning termasuklah Adibah Noor, Anuar Zain, Datuk Zahim Al-Bakri, Zahida Rafik, Ida Nerina dan Zizan Nin.

Menyedari lagu-lagu yang disampaikan semasa konsert

sumber

Cinta air tangan Ana, Riz


TEMPOH lapan bulan sudah memadai buat heroin filem Mantra, Ana Dahlia dan Chef Riz mengenal hati budi masing-masing seterusnya menyimpul mati.

Perjalanan cinta singkat Ana Dahlia dengan juri program realiti pencarian tukang masak selebriti, Masterchef Malaysia itu bernoktah sudah pada Ahad lalu.

Dengan sekali lafaz, pemilik nama Diyana Mastura Jaafar, 28, tersebut sah menjadi suri kepada Chef Riz, 29, atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan dalam majlis pernikahan yang berlangsung pada pukul 12.25 tengah hari.

Pasangan berkenaan dinikahkan Naib Kadi Kampung Batu 8, Changkat Jering, Nawi Osman di rumah pengantin perempuan di Kampung Bendang Siam, Changkat Jering, Taiping, Perak.

“Keputusan untuk mengahwini Ana Dahlia sebenarnya telah diputuskan pada minggu pertama perkenalan kami lagi,” jelas Chef Riz yang ditemui Kosmo! pada majlis persandingan mereka di Dewan Banquet Menara Kamalbina, Taiping pada sebelah malam.

Rombongan pengantin lelaki yang segak dan anggun berbusana biru firus diketuai bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 53.

Beberapa rakan artis seperti Farhan AF, Adam Corrie Lee, Wan Sharmila dan Zarynn Min turut memeriahkan majlis resepsi yang bermula pukul 8.30 malam itu.

Cukur muka dengan krim

Mengakui perkenalan dirinya dan isteri hasil inisiatif adik perempuannya, Serina, Chef Riz tidak pernah melupakan detik-detik awal perkenalan mereka.

Ujarnya, adik perempuannya yang menemui jodoh kira-kira dua tahun lalu itu adalah individu yang rajin menjadi pencari jodoh ‘tanpa gaji’ buat dirinya.

“Serina sering memperkenalkan kawan-kawan perempuannya yang masih bujang kepada saya namun semuanya tidak menjadi.

“Sehingga pada suatu hari dia menunjukkan sekeping foto saya kepada kawan baiknya, Ana Dahlia,” beritahunya.

Namun jelas Chef Riz: “Foto itu gagal menarik minat Ana Dahlia yang menyifatkan wajah Chef Riz terlalu ‘jambu’.”

Serina yang tidak putus asa kemudiannya menunjukkan pula foto terbaharu abangnya itu yang kebetulan ketika itu berjambang dan berkumis.

Penampilan maskulin itu juga gagal menarik perhatian bekas peserta program realiti Pilih Kasih yang membuat persepsi Chef Riz kelihatan sebagai seorang yang garang dan perengus pula.

Begitupun setelah dipaksa Serina, Ana Dahlia pergi juga ke restoran On The Table milik chef muda itu di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur beberapa hari kemudian.

“Kali pertama menatap wajah Ana Dahlia semasa dia mahu melangkah masuk restoran, saya terkesima dengan keayuannya.

“Cepat-cepat saya berlari ke dapur dan secara spontan menyapu krim masakan di muka lalu mencukur misai dan jambang dengan pantas sebelum bertemunya,” beritahu Chef Riz sambil tergelak mengingatkan momen yang menggelikan hati itu.

Pertemuan kedua

Ana Dahlia yang anggun di sebelah suaminya dengan berbusana gaun ungu rekaan Fendi dari butik Syarakim menyampuk, detik itu kemudian membawa kepada pertemuan kedua di restoran sama selepas itu.

“Sebenarnya, hati saya masih berbelah bahagi lagi pada masa itu tapi mengenangkan kesungguhan Serina, saya pergi juga.

“Sampai di restoran, Chef Riz menghidangkan saya beberapa hidangan istmewanya dengan memberi layanan kelas satu. Di situ baru timbul keserasian,” katanya.

Jelasnya, akibat terlalu rancak bersembang di meja makan, mereka tidak perasan temu janji kedua itu berlarutan selama 10 jam dan sedar-sedar sudah dinihari.

Chef Riz yang mewarisi kemahiran kulinari daripada bapanya juga bersyukur hasrat untuk mengahwini wanita yang mahir memasak termakbul jua.

“Rakan-rakan sering mengusik sebagai tukang masak, saya pasti bertemu jodoh yang isteri yang kekok beraksi di dapur.

“Alhamdulillah telahan mereka itu terbukti salah. Bagi saya segah mana pun saya di dapur, air tangan isteri tetap menjadi pilihan semasa di rumah,” katanya yang turut mengimpikan salah seorang daripada zuriatnya bakal mengikut jejak langkah menjadi chef.

Mengakui air tangan Ana Dahlia menyelerakan, Chef Riz mengiktiraf kecekapan isterinya itu di dapur setaraf peserta Masterchef.

Menurutnya, secara purata, wanita yang kini bertakhta di hatinya itu mampu memasak empat jenis menu yang lazat dalam jangka masa sejam sahaja.

“Sehingga kini masih terkenang-kenang kesedapan masakan rendang ayam, kangkung goreng belacan, sambal tumis petai dan ayam goreng berempah yang merupakan menu pertama dimasaknya untuk saya,” katanya.

sumber

Cinta ringkas Dong Wook, Sun-A


AKTOR Lee Dong Wook nampaknya masih popular dan diminati ramai meskipun sudah dua tahun menyepi daripada dunia lakonan kerana menjalani latihan ketenteraan yang wajib diikuti oleh setiap lelaki Korea Selatan.

Pertemuan dengan figura yang menjadi pujaan ramai selepas kemunculan dalam drama popular My Girl (2005) pada sidang akhbar bersempena promosi drama terbaharu Scent of Woman gandingannya bersama aktres popular Kim Sun-A, di Kuala Lumpur pada minggu lalu membongkar sedikit sebanyak rahsia Dong Wook.

Akuinya, selepas dua tahun berada dalam kem tentera, dia yang menamatkan latihan ketenteraan pada 20 Jun lepas bimbang andai peminat sudah melupakannya impak lambakan aktor baharu yang muncul saban hari.

Disebabkan itu, dia menerima tawaran untuk berlakon dalam drama Scent of Women ketika dia masih berada dalam latihan ketenteraan. Tidak sempat berehat, sebaik sahaja latihannya ketenteraannya tamat, Dong Wook terus berada di set penggambaran drama Scent of Women.

"Saya menerima tawaran berlakon Scent of Woman kerana jalan ceritanya yang menarik dan ia sebuah cerita cinta yang ringkas tetapi terdapat kesedihan dan kegembiraan di dalamnya.

"Bahkan saya yakin drama ini mampu menaikkan nama saya semula. Selain itu, selepas menjalani latihan ketenteraan, saya mahu terlibat dalam sebuah karya yang tidak terlalu berat tetapi dalam masa yang sama memberi impak kepada penonton," ujar Dong Wook.

Sambungnya, apabila mendengar aktres Kim Sun-A bakal mendokong watak kekasihnya dalam Scent of Women, dia terus bersetuju membintangi drama itu kerana dia yakin dengan kemampuan Sun-A.

"Sebenarnya saya sedikit gugup ketika mula-mula berada di set penggambaran kerana sudah dua tahun saya tinggalkan kerjaya sebagai aktor.

"Tetapi kerana Sun-A berada di tangga teratas dalam senarai aktres pilihan saya, saya yakin dengan bantuannya, saya mampu beri lakonan yang terbaik," tuturnya yang telah berlakon 18 buah drama dan empat buah filem.

Dong Wook dedah tubuh

Dalam drama serta filem lakonannya sebelum ini, jarang sekali dapat dilihat Dong Wook menayangkan badan. Bagaimanapun, dalam drama Scent of Women, Dong Wook tanpa segan silu mendedahkan tubuhnya.

Mengetahui dia harus melakukan adegan dedah tubuh dalam banyak babak Scent of Woman, justeru sejak berada dalam kem tentera lagi, Dong Wook telah bersenam untuk memperoleh tubuh yang berotot.

"Semasa masih dalam kem tentera lagi saya berusaha bersenam untuk mendapatkan tubuh seperti sekarang. Malah, ketika penggambaran, saya akan bersenam untuk dua jam setiap hari meskipun keletihan dan penggambaran habis lewat pagi.

"Sebenarnya, saya tidak berapa selesa dengan adegan tayang tubuh tetapi adegan itu diperlukan dan sebagai aktor, saya lakukannya.

"Tambahan, kami melakukan penggambaran di laut dan tepi pantai, bagi mengelakkan warna kulit badan saya tidak sekata, saya lebih selesa buka baju," jawabnya mengenai drama yang menjalani penggambaran di Okinawa, Jepun itu.

Aktor berusia 30 tahun itu yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Wild Romance mengakui dirinya kini lebih matang berbanding awal kemunculannya dahulu.

"Saya masih ingat ketika berlakon dalam drama My Girl saya berusia 24 tahun. Sejak itu, terlalu banyak perubahan yang berlaku pada diri saya dan ia merupakan pengalaman yang amat berharga buat saya.

"Sebagai seorang aktor, saya mahu diingati sebagai seorang aktor yang bagus dan saya mahu orang mengenali saya kerana bakat lakonan saya," tuturnya yang kini semakin cenderung dalam bidang pengarahan.

Rahsia diet Sun-A

Peminat Kim Sun-A di Malaysia pasti masih ingat dengan watak Kim Sam Soon seorang wanita yang suka berterus terang dan lucu dalam drama My Lovely Sam Soon (2005). Ketika drama itu menjadi popular, Sun-A dikritik bukan kerana lakonannya tetapi kerana fizikalnya yang agak gempal dan berisi, tidak seperti selebriti yang lain.

Kini, Sun-A pada usia 36 tahun sebaliknya memiliki tubuh badan yang langsing cukup berbeza daripada awal kemunculannya dahulu.

Ujarnya: "Saya bersenam untuk mendapatkan tubuh badan seperti ini. Tetapi tubuh badan saya sekarang terlalu kurus untuk disesuaikan dengan watak saya dalam Scent of Women kerana dalam drama itu saya ialah seorang pesakit kanser yang memiliki jangka hayat yang pendek."

Drama 16 episod arahan Park Hyung Ki yang kini hangat ditayangkan di Astro ONE HD setiap hari Rabu dan Khamis pada pukul 9.05 malam itu mengisahkan tentang seorang wanita bernama Lee Yeon Jae (lakonan Sun-A) yang disahkan oleh doktor menghidap penyakit kanser dan memiliki jangka hayat selama enam bulan sahaja.

Disebabkan penyakitnya itu, Yeon Jae meletakkan jawatannya di agensi pelancongan untuk menjalani kehidupan sepenuhnya dengan pergi melancong sendirian.

Ketika melancong, dia bertemu dengan Kang Ji Wook (Dong Wook), anak lelaki tunggal kepada pemilik sebuah syarikat pelancongan. Selain Sun-A dan Dong Wook, pelakon lain yang terlibat dalam drama itu ialah Uhm Ki Joon dan Seo Hyo Rim.

Tambah Sun-A: "Peminat di luar sana jangan ikut diet saya kerana ia sesuatu yang tidak menyihatkan. Bagi mendapatkan tubuh kurus dan wajah orang sakit, saya tidak makan dan tidak tidur dengan cukup dan hasilnya, saya jadi kurus.

"Kini, saya dalam proses untuk menambahkan berat badan. Saya tidak kisah jika tubuh sedikit berisi asalkan saya berada dalam keadaan yang sihat," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai Scent of Women, terdapat adegan intim yang dilakonkan bersama Dong Wook. Katanya, meskipun jurang usia antara mereka begitu ketara tetapi adegan itu dilakukannya dengan baik.

"Tidak sukar untuk lakonkan adegan intim kerana ketika pengarah sebut action!, kami akan larut dalam watak masing-masing. Bila pengarah kata cut!, kami kembali menjadi normal," bicaranya yang telah berlakon dalam 11 buah drama dan 12 buah filem.

Sun-A menjelaskan, meskipun penggambaran Scent of Women sudah tamat beberapa bulan lepas, bagaimanapun disebabkan dia terlalu menjiwai, sukar buat Sun-A untuk mengikis karakter lakonannya daripada kehidupan realiti.

"Setiap kali mendapat skrip, saya akan mula berimaginasi watak yang akan saya lakonkan. Jadi, apabila tamat penggambaran drama atau filem, sukar untuk saya membuang emosi watak tersebut dan ia akan hilang sendiri dalam satu tempoh masa.

"Watak-watak yang saya lakonkan juga banyak membimbang saya untuk menilai semula kehidupan saya hari ini. Saya bersyukur kerana menjadi seorang aktres dan diterima ramai sehingga ke hari ini," ungkapnya yang masih bujang.

Kekerapan Sun-A melakonkan watak seorang wanita berusia yang jatuh cinta dengan lelaki lebih muda daripadanya menimbulkan persoalan adakah di dunia realiti dia juga selesa dengan lelaki lebih muda?

Jawabnya: "Saya tidak kisah jika bertemu dengan lelaki lebih muda kerana pada saya umur itu sekadar angka. Apa yang penting adalah hati dan kasih sayang yang dirasakan terhadap seseorang."

Sumber

Deepika tampar hos TV


DEEPIKA PADUKONE telah bikin gempar! Aktres jelita itu telah mengejutkan umum apabila dia menampar hos TV, Vivaan pada majlis pelancaran program Zoom di Mumbai, India baru-baru ini.

Namun, Deepika nampaknya ada alasan tersendiri. Kata Deepika: "Sebenarnya ia adalah kehendak skrip. Saya diperlukan untuk menampar Vivaan untuk episod pertama Zoom. Jadi saya pun tampar muka dia."

Namun perbuatannya tidak dilihat oleh peminatnya dan masyarakat umum sebagai suatu skrip, justeru keadaan itu memaksa Deepika untuk tampil memberikan penjelasan mengenainya.

Tambahnya kepada lawab web TOI: "Ya, saya faham peminat saya dan masyarakat umum tidak memahami bahawa saya tampar Vivaan itu atas kehendak skrip. Sebab itu saya tampil membuat penjelasan ini supaya tidak timbul masalah di masa depan."

sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1206&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

Cinta atau sumpah setia


CINTA Dara pada Aduka atau ikatan pertunangan antaranya dan Taruna? Mana satu pilihan Dara untuk dikorbankan? Persoalan itu dibiarkan tergantung untuk penonton yang akan hadir menyaksikan naskhah filem Semerah Padi yang diangkat ke pentas teater di Istana Budaya bermula 22 Disember ini, jawapan ada di hujung ceritanya.

Dara, watak yang akan dilakonkan oleh Jue Aziz manakala Aduka dan Taruna masing-masing dimainkan oleh pelakon berbakat Khir Rahman dan Fauzi Nawawi.

Semerah Padi, sebuah karya hebat arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1956 yang mengisahkan dua sahabat Aduka (lakonan P. Ramlee) dan Taruna (lakonan Nordin Ahmad) yang mahir dalam ilmu persilatan di kampung Semerah Padi.

Biarpun Dara (lakonan Saadiah) yang merupakan anak kepada penghulu kampung itu sudah ditunangkan bersama Taruna, cinta tetap 'menghalalkan' hubungannya dengan Aduka. Khilaf pada agama dan persahabatan diakhiri dengan hukuman hudud seperti tuntutan dalam Islam.

Pertemuan pada petang Khamis lalu beriring gerimis manja pantas terisi dengan kisah menarik sepanjang proses latihan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh itu.

Bersama Khir Rahman, Fauzi Nawawi dan Jue Aziz, kami menyelak lembaran kisah pendukung watak utama - Aduka, Taruna dan Dara.

Interpretasi Khir

Ibarat orang mengantuk disorong bantal, watak Aduka sememangnya sudah didamba oleh sutradara berkaliber, Khir Rahman, 38.

"Saya memang mahukan watak Aduka, bila sudah dapat memang sangat berbesar hati. Namun perlu ingat, tiada siapa dapat gantikan tempat P. Ramlee.

"Sama ada ia boleh jadi lebih baik atau lebih teruk daripada versi asal, saya pilih untuk jadi lebih baik!" kata pemilik nama Khairulizam Abdul Rahman.

Teater Semerah Padi ujar Khir perlu diberi makna dalam setiap pengucapan dialog begitu juga pergerakan bagi menyalut sifat teater itu dengan momen 1950-an.

"Kalau kita teliti, cara gerak dan percakapan dalam filem-filem dahulu lebih dramatik, perilakunya berbeza daripada sekarang. Itu yang istimewanya teater ini, mengubat rindu orang-orang lama," luncur butir bicara sambil menunjukkan beberapa contoh aksi yang dikatakannya dramatik itu.

Menterjemahkan filem ke pentas teater bukan kerja mudah kata Khir. Perlu diberi penelitian atas segala aspek. Risiko untuk penonton membanding bezakan filem dan teater juga tinggi.

"Tapi seelok-eloknya usah membandingkan naskhah filem dan teater sebab masing-masing ada sudut pandangan tersendiri, kadangkala ia menyeronokkan dan tidak mustahil mengecewakan," ulas pendukung watak Aduka.

Aduka bagi Khir adalah seorang yang setia pada kawan karibnya, Taruna. Menerusi teater itu watak Aduka akan 'dipusing' sedikit, setelah menyelamatkan Dara daripada tangan Borek dia terpaksa menjadi 'pak sanggup' semata-mata untuk menjaga maruah Dara yang telah diperkosa.

Pakej Fauzi

Taruna pula taat dan tegas! Kata pemain watak itu, Fauzi Nawawi, 38, dek kerana sifat itu, Dara berpaling perhatian kepada Aduka.

"Watak itu (Taruna) memang sudah sinonim dengan Nordin Ahmad, seorang yang setia pada pemerintah dan taat pada agama.

"Tidak jauh beza watak asal dengan ciri-cirinya dalam teater, cuma perbualan tak akan sama sebab dia legenda, kalau nak tiru memang tidak mampu, apa yang boleh ikut cara saya sendiri," ucap Fauzi yang sudah siap berpakaian pendekar ketika sesi temu ramah berlangsung.

Berkobar-kobar dan menyala-nyala api semangatnya menyarung pakaian yang mula memperkenalkan seorang Fauzi Nawawi 15 tahun dulu.

"Seni silat mungkin menjadi kelebihan pada saya untuk memainkan peranan Taruna, saya akan pamerkan sesuatu yang selama ini tidak berpeluang untuk beraksi dalam drama atau filem.

"Akhirnya dapat juga saya kembali bersilat setelah lama tinggalkan dunia pendekar," ujar Fauzi akan pakej sempurna yang dimilikinya.

Boleh berlakon, menyanyi dan menari merupakan kredit eksklusif yang dimiliki suami kepada pelakon jelita, Lisdawati. Namun, mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri menolaknya sedikit ke hadapan.


"Untuk menjadi anak seni bagi saya perlu ada pakej lengkap, perlu tahu semua bidang. Berlakon, menyanyi dan menari serta kredit jika tahu seni mempertahankan diri," katanya yang pada asal terkeliru mengenai naskhah Semerah Padi ini sama ada ia sebuah teater atau bangsawan.

Janji Fauzi, kualiti dan hasil terbaik akan dihadiahkan khusus untuk peminatnya. Katanya:"Kejujuran dan keikhlasan dalam berkarya itu penting, orang yang menonton akan menilainya sendiri."

Jue dirogol

Inti cerita daripada filem Semerah Padi dibentang untuk menjadi landasan dan kompas buat naskhah baharu iaitu sebuah teater memecut laju.

Perlu diingat, tidak semestinya segala yang tersurat di filem diterjemahkan ke pentas. Umpama babak Dara yang dirogol ketika diculik oleh kumpulan penjahat yang diketuai oleh Borek (lakonan Opie Zami) yang hakikatnya berlainan susur galur cerita asal filem.

Kata empunya nama Zuliana Abdul Aziz, 28, babak dia dirogol oleh watak Borek paling mencabar baginya.

"Jue suka babak ini, sumpah! Susahnya sebab cipta aksi sendiri, Jue sendiri yang minta dipukul dan diterajang melalui perbincangan dengan Opie.

"Itu kepuasan bagi Jue, mungkin setiap pelakon ada lain-lain penerimaan, tapi bila kita sendiri puas penonton juga akan dapat rasa. Memang semua akan terkejut, babak itu sangat zalim!" cerita Jue yang turut cedera sepanjang sesi latihan yang masih berlangsung.

Ditanya adakah Jue sendiri akan menyanyi, menari dan berlakon pada waktu yang sama? Jawabnya: "Jue akan menari, tapi kalau menyanyi nanti orang akan dengar Jue buat versi rock dalam teater Melayu."

Dara dalam kisah Semerah Padi adalah anak kepada penghulu yang akur pada arahan orang tuanya untuk dijodohkan dengan Taruna biarpun dalam hati kuat membentak.

Bergolak setiap kali berjumpa Aduka yang akan sentiasa bersama Taruna, terumbang-ambing dipukul perasaan sayang dan bersalah. Dara berdepan dua sisi berbeza saat bertemu dengan Taruna mahupun Aduka.

"Jue mainkan dua karakter berbeza, dengan Aduka lain, lebih relaks, berterus-terang dan degil.

"Tapi kalau dengan Taruna, Jue tak sanggup pandang mukanya sebab dia terlalu baik dan dia Jue sanjungi," singkap figura berambut panjang mengurai itu.

Mana satu pilihan Jue atau Dara akan terjawab dalam pementasan teater Semerah Padi yang akan bermula pada 22 Disember ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut layari www.istanabudaya.gov.my dan www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600.

sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=1206&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

Perkahwinan Musa Hassan dengan artis Syella Kamaruddin


NEGARA menyaksikan perkahwinan selebriti yang bernilai jutaan ringgit. Terbaru, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melangsungkan perkahwinan dengan artis Syella Kamaruddin dalam satu upacara "Wedding of The Year"

Perkahwinan ini adalah yang termahal dianggarkan menelan belanja perkahwinan dan hantaran sehingga khabarnya mencecah RM 15 juta.
Syella menerima hantaran mewah berupa sebuah banglo bernilai RM5 juta yang terletak di sebuah lokasi di ibu negara. Dia turut menerima sebuah kereta rekaan British, iaitu Mini Cooper. Baju perkahwinannya menerima sentuhan pereka terkenal tanah air, iaitu Hatta Dolmat.

Syella yang juga pemilik butik D’Syella Place menjalankan perkahwinannya tanpa pengetahuan media kerana menghormati permintaan suaminya.

Penyanyi yang pernah merakamkan lagu 'Menangis dalam Hujan' ini agak popular dikalangan peminat hiburan tanah air. Namun, tahun berganti tahun apatah lagi dengan kemunculan penyanyi baru secara tidak langsung menenggelamkan namanya.

Kiranya selepas ini, Syell tidak perlu lagi menangis hatta di dalam hujan sekalipun. Kehidupan yang ternyata sangat mewah disamping bekas penjawat awam yang cukup terkenal, sememangnya menjadi idaman ramai anak gadis diluar sana.

Semoga perkahwinan termahal dalam sejarah Malaysia ini kekal abadi ke akhir hayat

sumber

Popular kerana Bieber


SIAPA yang tidak kenal jika disebut nama, Yuna mahupun Ana Raffali yang kini merupakan dua nama besar yang sedang meniti arus popular dunia seni hiburan tanah air. Jika diimbas semula, dua wanita ini hanyalah gadis biasa yang meminati bidang muzik dan nyanyian serta memuat naik video persembahan yang dirakam ke dalam laman sosial YouTube untuk menerima komentar rakan-rakan.

Namun, kini mengikut peredaran zaman moden yang berteknologi, melalui laman web sosial sahaja, kita sudah boleh melihat pelbagai bakat terpendam terutamanya bidang nyanyian.

Seorang remaja perempuan yang berusia 15 tahun ketika itu juga tidak ketinggalan mencuba perkara yang sama dengan memuat naik video pertama yang menampilkan dirinya menyampaikan lagu sang idola, Justin Bieber yang berjudul Baby.

Najwa Latif, 16, atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif tidak sangka video yang dimuat naik untuk tatapan ayah dan kakaknya melihat perkembangan diri dalam bermain gitar turut sama ditonton oleh orang lain.

"Saya muat naik video dalam YouTube adalah untuk ayah yang telah berpindah ke Kota Tinggi, Johor dan kakak saya yang berada di Shah Alam, Selangor untuk melihat perkembangan prestasi saya bermain gitar dan dalam masa yang sama dapat menilai saya.

"Oleh kerana mungkin saya kerap muat naik video ke dalam YouTube, pihak NAR Records nampak persembahan saya dan menghantar e-mel kepada kakak saya untuk memanggil saya menghadiri uji bakat.

"Selepas berbincang selama dua minggu bersama keluarga, saya setuju menerima tawaran NAR untuk menjadi artis di bawah naungan mereka," tutur Najwa yang menandatangani kontrak selama dua tahun dengan syarikat rakaman yang pernah dinaungi penyanyi hebat seperti Siti Sarah dan grup Exist.

Bagi pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor ini, perasaan seronok kerana dapat menimba pengalaman baharu melalui persembahan promosi yang diadakan membuatkan dirinya teruja ingin 'menjelajah' kehidupan sebagai anak seni.

Katanya, mungkin dahulu semasa tidak dikenali, apabila bersiar-siar tiada siapa yang menegur, namun kini, setelah terjebak di dalam dunia hiburan, ke mana sahaja yang dituju pasti ada yang menegur termasuk ada yang ingin bergambar sama.

Selain itu, menangkis persoalan khabar liar tentang dirinya tidak pernah mengaku bahawa hasil penulisan lirik dicipta oleh kakaknya, jawab anak ketiga dari empat beradik ini, dia tidak pernah menafikan sumbangan besar kakaknya dalam penghasilan lagu yang didendangkan. Dia mengaku bahawa kakaknya iaitu Iqhwatul Syafika adalah penyumbang bersama dalam karya dendangannya.

"Saya memang sering bekerjasama dengan kakak saya Syafika untuk menghasilkan lagu. Ini kerana, apabila saya mendengar lagu, justeru saya akan mendapat kord-kord mudah melodi lagu. Oleh kerana kakak masih belajar di UiTM, Shah Alam dan saya di Johor, kami sering berkomunikasi melalui telefon.

"Saya akan memperdengarkan melodi tersebut kepadanya dan mungkin selepas beberapa minit kakak akan menelefon kembali untuk memperdengarkan pula kepada saya lirik kasar yang dihasilkannya," jelasnya tentang lagu-lagu hasil ciptaan mereka itu hasil dari pemerhatian orang dan keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.

Kunci mulut

Sebaik bergelar artis atau selebriti serta punyai peminat, maka kehidupan peribadi akan dikorek dan digembar-gemburkan. Itulah harga yang perlu diterima jika seseorang yang ingin 'hidup' dalam dunia seni.

CUBA bergaya. Sebagai artis baharu Najwa juga kini mula bergaya mengikut situasi majlis.

Bagi peminat fanatik Justin Bieber ini, setelah lima bulan bergelar artis, kehidupannya masih tidak punya banyak perbezaan. Mungkin bagi gadis yang gemar mengukir senyuman ini, bilangan rakan bertambah dan kerana masih bersekolah, guru juga banyak menasihati empunya diri supaya tidak mengabaikan pelajaran.

"Alhamdulillah, bukan sahaja keluarga, malah guru dan rakan juga menyokong dan tidak lupa memberikan nasihat. Dalam penyusunan jadual pula, pihak NAR Records membantu saya di mana mereka memberi kebebasan kepada aktiviti seni saya hanya pada hujung minggu mahupun cuti sekolah.

"Waktu sekolah memang tidak diganggu namun jika ada perkara yang tidak dapat dielakkan, maka NAR akan keluarkan surat kepada pihak sekolah meminta pelepasan. Tapi, saya ada masuk kelas tuisyen. Jadi jika ada pelajaran yang tertinggal, saya akan ulang semula semasa kelas tuisyen," cerita Najwa tentang pembahagian masa dirinya antara karier dan pelajaran.

Sementara itu, wujud juga cerita tidak menarik tentang hubungan kekeluargaan gadis manis ini bersama ayahnya. Najwa didakwa telah membuang bapanya disebabkan pertengkaran yang mungkin berpunca dari dirinya sendiri.

Tidak menunjukkan kegugupan mahupun rasa tidak selesa, Najwa memberikan alasan sopan dengan berkata hal yang melibatkan keluarga adalah terlalu peribadi untuk dikongsi dengan masyarakat.

"Jadi saya tidak mahu beri komen mengenai perkara ini dan saya lebih suka memilih untuk mendiamkan diri," jawabnya ringkas ketika ditanya.

sumber

Kejutan Maharaja Lawak Mega


MENYELITKAN elemen kejutan dalam sesebuah rancangan realiti TV dilihat antara langkah paling berkesan untuk menarik minat penonton serta mampu menaikkan lagi rating rancangan sebegitu.

Oleh yang demikian, rancangan Maharaja Lawak Mega yang menampilkan pelawak-pelawak otai dari tiga buah negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia sudah melakukan satu kejutan menarik biarpun baru minggu pertama disiarkan.

Siapa sangka pihak Astro telah melantik tiga orang juri tetap yang bukan terdiri daripada pelawak profesional, sebaliknya mereka yang dilantik sebagai juri adalah penyanyi, chef dan pemain bola sepak terkenal.

Antara tiga orang juri tetap yang dilantik adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan legenda bola Malaysia, Zainal Abidin Hassan.

Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani yang ditemui selepas rancangan tersebut berakhir berkata, memang daripada awal lagi pihaknya inginkan juri yang bukan terdiri daripada pelawak sendiri.

“Kalau kita memilih pelawak sebagai juri tetap, rasanya ia bukanlah satu tindakan yang tepat kerana mungkin ada di kalangan peserta yang bertanding adalah rakan baik dengan juri yang dilantik.

“Jadi kami merasakan adalah lebih baik sekiranya ketiga-tiga juri tetap ini adalah daripada bidang yang langsung tidak kena mengena dan komen yang diberikan adalah pandangan sebagai seorang penonton,” jelasnya.

Ditanya tentang pemilihan Siti, Chef Wan dan Zainal Abidin sebagai juri tetap Maharaja Lawak Mega, Nizam menganggap ia adalah sebagai satu tarikan istimewa memandangkan ketiga-tiganya memang terkenal dalam bidang masing-masing.

Jelasnya lagi, dengan persetujuan yang diberikan oleh mereka untuk menjadi juri, ia dilihat sebagai satu penghormatan yang tertinggi serta mampu menarik minat lebih ramai penonton untuk menonton rancangan tersebut.

“Dengan melantik mereka sebagai juri tetap, ini bermakna mereka perlu memberi komitmen selama 10 minggu rancangan ini disiarkan. Sedangkan kita tahu mereka sendiri turut mempunyai jadual yang cukup ketat.


“Misalnya, Datuk Siti Nurhaliza sendiri sebenarnya perlu membuat satu persembahan di tempat lain pada salah satu minggu. Namun, setelah perbincangan dibuat akhirnya jadual persembahan tersebut telah diubah dan beliau akan terus bersama Maharaja Lawak Mega sepanjang siaran ini berlangsung,” ujarnya.

Menurut Nizam lagi, selain ketiga-tiga juri tetap yang dilantik itu, pihak Astro akan turut mengundang seorang juri jemputan setiap minggu sama ada dari Singapura atau Indonesia.

Sementara itu, Siti menjelaskan dia menerima tawaran untuk menjadi juri tetap adalah disebabkan dia merupakan salah seorang peminat setia rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak serta sering menantikannya pada setiap minggu.

Ujarnya, dia memang gemar dengan sesebuah rancangan yang menghiburkan dan menganggap kedua-dua rancangan tersebut telah mewujudkan satu fenomena dalam dunia komedi tempatan.

“Pada mulanya saya memang terkejut apabila ditawarkan untuk menjadi juri tetap dan tidak yakin dapat memberikan komen yang baik. Namun, setelah diterangkan oleh pihak Astro barulah saya menerima tawaran berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak menganggap pemilihan saya semata-mata mahu menaikkan lagi rating kerana rancangan ini sebenarnya sudah pun mempunyai peminat yang cukup ramai termasuk saya,” ujarnya.

Seorang lagi juri iaitu Chef Wan pula menjelaskan dia sebenarnya adalah peminat setia rancangan komedi. Malah, dia kerap mengikuti pelbagai rancangan komedi luar negara.

“Memang komedi adalah bukan bidang saya, tetapi setiap komen yang saya berikan adalah berdasarakan kepada pengalaman saya sebagai penonton yang memang kerap menonton rancangan komedi sejak dahulu lagi.

“Pada masa yang sama, saya sangat mengharapkan agar kesemua peserta yang bersaing dalam rancangan ini dalam mempersembahkan satu bentuk komedi yang unik dan mampu menghiburkan penonton,” ujarnya.

Tiada penyingkiran

Memandangkan rancangan tersebut baru minggu pertama disiarkan, maka pihak Astro telah membuat keputusan untuk tidak melakukan sebarang penyingkiran dan semua peserta akan kembali bersaing untuk minggu seterusnya.

Kesemua 17 peserta yang beraksi di pentas Maharaja Lawak Mega rata-ratanya telah membuat satu persembahan yang cukup menarik termasuklah peserta dari Singapura dan Indonesia.

Bagaimanapun, kumpulan yang Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik paling mencuri tumpuan sehingga mendapat peratusan yang tertinggi daripada juri dan penonton.

Begitu juga dengan dua peserta solo iaitu Jalil Hamid dan Adlin Aman Ramli yang berada di tangga kedudukan 10 terbaik, manakala kumpulan Bawel dari Indonesia pula menjadi peserta luar negara yang berada di tangga teratas iaitu di kedudukan kelima

sumber

Keunggulan David Foster


CELINE DION, Barbra Streisand, Whitney Houston, Michael Buble, Madonna, Michael Jackson, Josh Groban dan N’Sync antara bintang ternama dunia yang berjaya digilap komposer ternama, David Foster.

Justeru, sesuatu yang mengujakan apabila David muncul di Kuala Lumpur minggu lalu menerusi konsert The Hit Man Returns - David Foster & Friends dengan menampilkan lima penyanyi bersuara emas.

Mereka terdiri daripada penyanyi remaja kelahiran Filipina yang mencipta nama di Hollywood, Charice Pempengco, penyanyi R&B dan hip hop, Ashanti, serta tiga artis hebat penyandang pelbagai anugerah Grammy, Michael Bolton, Russel Watson dan Philip Bailey.

“Saya sudah memiliki apa yang orang lain ada, dan kelima-lima penghibur yang saya pilih untuk datang ke Kuala Lumpur ini adalah antara lima keajaiban yang saya miliki. Memandangkan saya tidak boleh menyanyi maka saya perlukan mereka untuk konsert ini,” ujarnya pada sidang akhbar di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah David: “Saya sangat ketagih terhadap vokal hebat seperti yang dimiliki mereka dan semakin dalam saya gali semakin banyak yang saya temui dalam diri mereka.”

Ada perspektif tersendiri terhadap Malaysia dan David juga katanya masih belum puas bertamu di negara ini.

“Tujuh belas tahun lalu saya pernah berkunjung ke sini (Malaysia) dan peluang ini akhirnya datang sekali lagi, saya akui banyak perubahan telah berlaku. Apapun, tempat ini sangat cantik dan eksotik, kalau diberikan pilihan sekali lagi sudah tentu saya tidak akan menolak,” bicara penulis muzikal Broadway, Betty Boop itu.

Pujian yang diberikan komposer dan barisan penyanyi ajaibnya yang dibawa oleh JAG Concerts and Events dan dipersembahkan oleh Enrich Malaysia Airlines nyata diterjemahkan dengan indah pada malam konsert berlangsung.


Bertemankan piano, David memetik melodi-melodi indah, malah akrab dengan pemuja lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan dengan baik oleh lima penyanyi ajaibnya iaitu Charice, Russell Watson, Ashanti, Michael Bolton dan Philip Bailey.

Konsert yang dimulakan dengan lagu St. Elmos Fire, lagu runut bunyi yang dihasilkan pada tahun 1985 itu kemudian bagai dihujani deretan lagu lain yang sememangnya menjadi siulan seluruh dunia.

Antaranya ialah Unbreak My Heart, Power of Love, Because We Believe, Volare, You Raise Me Up, Fantasy, Always On Time, I Have Nothing dan I Will Always Love You.

Satu-satunya penyanyi Malaysia yang terpilih berkongsi pentas dengan penyanyi antarabangsa iaitu Dayang Nurfaizah telah menerima pujian yang cukup impresif kerana kredibilitinya yang tidak sedikit.

Konsert ditutup dengan sebuah lagu tribute untuk penyanyi terkenal Michael Jackson iaitu Earth Song dinyanyikan oleh kesemua penyanyi yang hadir di konsert ini.

sumber

Tahan kritikan


WALAUPUN peserta-peserta MasterChef Malaysia yang mengambil bahagian terdiri daripada doktor, artis mahupun penoreh getah, hakikatnya mereka adalah orang biasa yang perlu bersaing dalam menyediakan masakan yang menarik dan menyelerakan.

Cuma satu yang membezakan mereka iaitu rasa sesuatu makanan yang dimasak sama ada menepati selera juri mahupun gaya persembahan makanan yang disediakan dapat memikat hati juri. Bukan mudah tetapi itulah ciri-ciri utama untuk mencari seseorang yang boleh digelar sebagai MasterChef Malaysia.

Mula ditayangkan pada 22 Oktober lalu, seramai 40 orang peserta terpilih menyertai pertandingan MasterChef Malaysia. Kini, setelah ia ditayangkan selama dua minggu, tinggal 24 orang peserta yang masih tinggal.

Jika dilihat pada episod awal ia disiarkan, para peserta yang terdiri daripada 40 orang diasak cabaran getir apabila mereka perlu bersaing memasak makanan mengikut apa yang diminta dalam tempoh masa tertentu. Bukan itu sahaja, jika masakan mahupun persembahan makanan tidak mencapai tahap yang diinginkan juri-juri MasterChef Malaysia, mereka akan dikritik teruk.

"Bukan tujuan menghina masakan mereka, tetapi komen tersebut dibuat supaya mereka tidak lalai apabila sudah lama berada dalam pertandingan ini. Kita kena beri komen membina kepada mereka dan beri pendedahan awal kepada mereka mengenai dunia kulinari sebenar," kata salah seorang juri program realiti masakan ini, Mohd. Johari Edrus atau dikenali sebagai Chef Jo ketika dihubungi Kosmo!

Objektif berbeza

Menjengah ke 'medan tempur' 24 peserta, Kosmo! berkongsi sedikit pengalaman daripada para peserta yang mempunyai profesion berlainan, namun harus membuktikan kesedapan air tangan mereka tanpa mengira status.

Menurut penerbit dan juga pelakon Ary Malik, dia harus menerima dan menganggap positif komen-komen juri mengenai masakannya.

Ary juga mengaku tiga orang juri tersebut mempunyai pengalaman lebih luas daripadanya walaupun salah seorang juri, Mohd. Nadzri Redzuawan (Chef Riz), 29, begitu muda berbanding umurnya yang sudah menjangkau 40 tahun.

"Secara peribadi apabila menghidangkan makanan kepada ketiga-tiga chef, saya harus akui pengalaman mereka dalam bidang makanan cukup luas dan lebih lama daripada saya.

"Saya juga kena faham ada masanya di dalam pertandingan seumpama ini kita akan dipuji dan adakalanya kita akan dikritik jika tidak dapat mempersembahkan apa yang dikehendaki," katanya yang menyertai pertandingan ini atas minat yang terlampau mendalam dalam bidang masakan disertai dengan sokongan anak-anak terutama anak bongsunya, Ratu Chinta, 5

Menurut Ary, dia sangat teruja apabila pertandingan MasterChef diadakan di Malaysia. Ini kerana, ketika menonton rancangan MasterChef Australia di stesen Asian Food Channel (AFC), dia sering berangan untuk menyertai pertandingan seperti itu.

Hampir tiga bulan tidak bertemu anak-anak dan suami kerana menyertai pertandingan MasterChef Malaysia, baginya berjauhan dengan anak-anak dan suami merupakan cabaran paling besar yang harus dihadapi olehnya.

Ditanya mengenai kemenangan, kata Ary, jika tidak menang sekalipun dia berharap dapat membawa pulang kenangan manis memiliki ramai kenalan, mempelajari teknik-teknik masakan dan tahu memasak pelbagai jenis masakan.

Mengenali seorang lagi peserta, Mohd. Saiful Alip, 26, ada sesuatu yang istimewa mengenai diri pemuda penoreh getah ini. Biarpun ilmu dalam bidang masakannya tidak seluas peserta-peserta lain tetapi dia kreatif dan mampu menghasilkan sesuatu menu yang dilihat menerusi rancangan kegemarannya di kaca TV iaitu Top Chef.

"Saya sangat minat menonton rancangan Top Chef di saluran AFC. Malah, banyak resipi-resipi yang ada di dalam rancangan itu saya buat di rumah. Cuma, selalunya masakan Barat sering meletakkan minuman wine ke dalam masakan. Saya cuba mengubahnya dengan meletakkan ros merah yang diperah menggunakan sedikit limau agar rasanya sama," katanya yang hebat memasak makanan Barat dan negeri kelahirannya Sabah berbanding makanan lain.

Bukan itu sahaja, anak keenam daripada tujuh beradik itu juga kreatif menghasilkan gubahan-gubahan makanan menggunakan pisau. Katanya, ilham mengubah timbul selepas menoreh getah. Dia menggunakan pisau getah dan mula mengukir kayu-kayu yang ada dengan bentuk-bentuk yang diinginkan.

"Selain itu saya juga sering menghasilkan rekaan baju sendiri dan menghantar rekaan itu untuk dijahit. Saya juga ada mereka rekaan untuk jersi kawan-kawan," katanya yang pernah mendapat tawaran sambung belajar dalam bidang kulinari di sebuah kolej tetapi terpaksa tolak disebabkan kesempitan wang.

Siapa tahu mungkin dengan menyertai Master Chef, kehidupan Mohd. Saiful selepas ini berubah ke arah yang lebih baik. Baginya tiada apa yang lebih diutamakan ketika menyertai pertandingan Master Chef selain berniat untuk menyembuhkan penyakit ibunya.

Bapanya yang hanya bekerja sebagai penoreh getah dan bekerja kampung tidak mampu untuk mengubat ibunya yang memiliki penyakit gout, darah tinggi dan strok.

"Selain itu, saya juga menyertai pertandingan ini disebabkan urusan peribadi. Saya memiliki teman istimewa dan ingin melamarnya. Bukan itu sahaja, peluang menyertai pertandingan MasterChef Malaysia ini juga dapat menambahkan ilmu saya dalam bidang masakan," katanya yang berharap untuk menjadi juara MasterChef Malaysia.

Bagi Izani Farhana Md. Monoto, 26, pula, nasib menyebelahinya untuk menyertai MasterChef Malaysia selepas sahaja dia habis belajar bidang kedoktoran gigi di Universiti Adelate, Australia.

"Rezeki saya ketika pulang ke Malaysia selepas habis belajar pertandingan MasterChef Malaysia diadakan. Bila dapat tahu saya terus mahu menyertainya. Ini semua disebabkan pengaruh MasterChef Australia," katanya yang berjaya memenangi cabaran pertama iaitu Peti Saji Misteri yang memaksa peserta memasak makanan menggunakan bahan yang sama iaitu itik.

Anak bongsu daripada dua beradik itu juga tidak gentar untuk bersaing dengan peserta-peserta lain terutamanya lelaki yang dikatakan sering mendominasi dunia masakan.

"Zaman sekarang wanita semakin hebat dan berani. Tak rasa gender menjadi satu isu. Saya telahpun membuktikannya apabila memenangi cabaran pertama," katanya.

Sementara itu, menurut Chef Jo atau Papa Jo, MasterChef Malaysia mempunyai format yang berbeza dalam setiap episod siarannya.

"Peserta harus melepasi setiap cabaran yang diberi untuk melayakkan diri ke episod yang seterusnya," katanya.

Ditanya mengenai rungutan orang ramai yang melihat masa yang diberikan agak terhad kepada peserta, kata Chef Jo, sebelum MasterChef Malaysia memulakan siaran, ada sepasukan chef yang melakukan dulu cabaran-cabaran tersebut.

Misalannya, jika mereka dapat menyiapkan menu dalam masa sejam. Untuk para peserta pula, mereka akan diberikan masa tambahan setengah jam.

"Jadi tidak timbul masa yang diberikan untuk menyiapkan masakan tidak mencukupi. Mungkin cara dia memasak salah," katanya lagi.

sumber

Nabil tumpu nyanyian, lakonan


MINAT dalam bidang nyanyian tidak pernah menghalang artis remaja, Nabil Zamanhuri, 24, untuk mengejar segulung ijazah. Lebih daripada itu, Nabil punya cita-cita besar dalam bidang penerbitan filem.

Sepanjang empat tahun lalu, Nabil mengikuti menamatkan pengajiannya dalam bidang Filem dan Animasi dari Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya pada peringkat ijazah dan tamat baru-baru ini.

Dengan ilmu seni yang dituntutnya di MMU, ia membuatkan perasaan Naib Juara Mentor 3 itu begitu membuak-buak untuk menghasilkan karya tempatan yang berkualiti.

Nabil kini berharap kerjaya seni akan terus berkembang dari semasa ke semasa

“Saya masih terbabit dengan penggambaran dua drama muzikal berjudul Inspirasi Varsity dan Strawberry & Coklat. Karakter saya berbeza dalam kedua-dua produksi itu. Dalam Inspirasi Varsity, saya pegang watak pelajar kolej bernama Aryan manakala dalam Strawberry & Coklat sebagai Afli.

“Kedua-dua drama itu bukan saja memerlukan saya berlakon. malah menari serta menyanyi,” katanya.


Nabil berkata, dia memang minat berlakon dan ia penting bagi satu latihan praktikal untuk pengajian filem yang diikutinya. Selain berlakon, dia juga mampu menulis skrip.

“Saya pernah mengarah dan menulis skrip untuk filem pendek di universiti dulu.
Pelbagai cabaran dan pengalaman menarik saya lalui,” katanya.

Artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Alibi Music ini dikenali memiliki bakat menghasilkan melodi dan lirik.

Nabil pernah melakar sejarah dalam karier seni ketika mewakili Malaysia ke Beijing, China tahun lalu apabila diiktiraf sebagai Penyanyi Paling Menyerlah.
Selain itu, dia mendapat tempat kedua bagi kategori Lagu Terbaik Asean menerusi Dari Jauh ciptaannya bersama Lah Ahmad.

Nabil kini mempertaruhkan ‘single’ terbarunya, Cinta Bahagia. Namu, ia bukan lagu ciptaan beliau sebaliknya, Aiqa & Kimberly. Ia masih mengekalkan konsep pop dan R&B.

Pada masa sama, Nabil juga suka menyertai pertandingan lagu dan terbaru dia mencuba bakat dalam Pertandingan Cipta Malaysia di Angkasapuri, baru-baru ini.

Nabil layak ke peringkat separuh akhir selepas lagunya, Satu Malaysia Satu Jiwa menjadi antara 20 lagu yang memburu lapan tempat ke final yang dijadual berlangsung Disember ini.

Apa yang menarik mengenai lagu ciptaannya itu, Nabil berduet menyampaikan lagu itu bersama kakaknya, Najihah Zamanhuri.

sumber

Halloween cara Vanessa


DEMI memeriahkan cuti dan sambutan Halloween, bintang High School Musical, Vanessa Hudgens, tetap bertegas mendapatkan buah labu ketika bekalan di Amerika Syarikat merosot akibat pelbagai bencana alam.

Baru-baru ini, aktres berusia 22 tahun itu dilihat bersama adiknya, Stella, bagi membeli buah labu

Kelihatan bersahaja dengan seluar jeans dan baju putih, Vanessa mengunjungi kedai makan dan perabot Ralphs di Studio City, Los Angeles, sebelum membelek-belek buah labu yang dijual di situ.

Dia dilihat meneliti pelbagai saiz buah labu itu dan menunjukkan minat kepada buah labu luar biasa kerana berwarna putih

Tindakan Vanessa membeli buah labu lebih awal dianggap bijak kerana berdasarkan kepada keadaan semasa, sambutan Halloween kali ini mungkin berdepan masalah

Akibat masalah cuaca, bekalan buah labu dijangka berkurangan menjelang
sambutan perayaan berkenaan.

Menurut petani, harga borong buah labu meningkat dua kali ganda di sesete�ngah tempat.

Di bahagian tertentu, ada laporan mendakwa sese�tengah peniaga mengambil
kesempatan dengan menjual buah berkenaan dengan harga terlampau tinggi.

Masalah bekalan buah labu timbul apabila hujan lebat berlaku ketika kawasan pertanian AS sepatutnya mengalami musim panas.

Keadaan lembap itu menye�babkan buah berkenaan menghadapi masalah kulat yang meluas.

Tidak cukup dengan hujan, taufan Irene turut menyukar�kan keadaan, dengan seorang petani di New York kehilangan 15,000 hingga 20,000 buah labunya dihanyutkan air ke Tasik Champlain.

Sementara itu, Vanessa dan Stella nampaknya memilih penampilan yang hampir sama ketika membeli labu berkenaan.

Selain mengenakan jeans biru dan baju putih, adik-�beradik itu juga mengguna�kan beg sama.

Pada satu ketika, baju Vanessa terlondeh ketara sehingga mendedahkan sebahagian daripada colinya, namun aktres itu kelihatan langsung tidak kesah.

Pada masa sama, Stella kelihatan lebih bersahaja kerana tidak menghiasi penampilannya dengan barang kemas.

Pasangan itu ternyata begitu teruja menyambut perayaan Halloween apabila membeli penghidup api di samping makanan dan barangan keperluan lain.

Menyatakan perasaannya, Stella mencatat di laman sesawang Twitter: “setiap kali bulan bercahaya, saya gembira.”

Vaness juga tidak kurang gembira.

Sesekali, sambil melilau� mencari buah labu yang berkenan di hati, dia memeluk Stella membayangkan kemesraan dan keakraban mereka.

Aktres itu diberi pelepa�san seketika di antara penggambaran filem terbarunya, Gimme Shelter dan Frozen Ground.

Vanessa dijadual berpasangan dengan penyanyi rap, 50 Cent dalam filem thriller arahan Scott Walker, mengenai kisah tentera Alaska memburu seorang pembunuh bersiri.

Selain Stella, Vanessa meluangkan masa untuk kekasih barunya, aktor Austin Butler, yang dilihat semakin akrab dan sejiwa sejak beberapa minggu lalu. - DM

sumber

Aishwarya tarik minat kaki judi


AISHWARYA RAI yang dijadual melahirkan anaknya menjelang bulan November ini bukan sahaja mengujakan kaum keluarga, sahabat dan para peminatnya tetapi juga golongan kaki judi.

Ini kerana aktres jelita itu kini semakin hampir kepada tarikh untuk melahirkan anak sulungnya hasil perkahwinannya dengan aktor Abhishek Bachchan yang dijangka sekitar minggu kedua bulan November nanti.

Sumber berkata: "Kaki judi kini sedang sibuk untuk bertaruh bahawa Aishwarya akan melahirkan anak sulungnya itu menjelang 11 November ini kerana taksub dengan tarikh yang boleh ditulis sebagai 11.11.11 itu."

"Satu lagi tarikh yang menjadi pilihan kaki judi dalam bertaruh untuk kelahiran anak sulung Asihwarya adalah pada tarikh yang jatuh pada Hari Kanak-Kanak iaitu pada 14 November ini."

sumber

Sekadar gosip media Indonesia


KAMAL ADLI dan Olivia Lubes Jensen adalah nama yang cukup besar dalam industri seni di negara masing-masing. Dengan populariti yang diraih itu menyebabkan mereka telah digandingkan dalam sebuah filem berjudul Gerimis Mengundang yang diterbitkan oleh Erama Creative Sdn. Bhd.

Sebuah filem bercorak cinta, Gerimis Mengundang mengisahkan mengenai seorang juruterbang bernama Zamani (Kamal Adli) telah bertemu dengan seorang gadis dari Jakarta (Olivia) yang juga anak kepada Pak Harjo, wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia.

Dengan satu pertemuan yang tidak disengajakan ketika berada di Kota Kinabalu, Sabah dalam satu situasi salah faham sehingga membabitkan perasaan cinta di antara mereka berdua.

Bagaimanapun, di sebalik pembikinan filem yang kali pertama menggabungkan kedua-dua pelakon itu, terdapat satu kisah menarik yang dipaparkan tentang hubungan cinta yang terjalin di antara mereka berdua.

Dalam rancangan hiburan, Informasi Selebriti yang diterbitkan di negara tersebut dan pernah disiarkan di Malaysia melalui saluran Indopek Astro, mereka berdua digambarkan sebagai pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta.

Ketika ditemui ketika proses alih suara filem berkenaan di ibu negara minggu lalu, Kamal dengan bersungguh-sungguh menafikan menjalin hubungan istimewa dengan pelakon cantik dari negara seberang itu.

“Sebenarnya apa yang dipaparkan dalam rancangan berkenaan adalah gosip yang sengaja direka-reka oleh pihak produksi. Apa yang saya tahu, mereka sengaja berbuat demikian memandangkan Olivia bergandingan dengan saya dalam filem Gerimis Mengundang.

“Dalam rakaman rancangan itu, mereka memaparkan yang kami berdua pergi bercuti bersama-sama di Sabah, sedangkan ketika itu kami sedang menjalani penggambaran. Kalau ke mana-mana pun kami turut ditemani orang lain termasuk Ahmad Idham,” jelasnya dengan bersungguh-sungguh.

Menurut Kamal, dia sendiri sangat terkejut ketika menonton rancangan tersebut, namun dia dengan tegas menyatakan kisah yang dipaparkan itu adalah sebahagian daripada permainan media Indonesia.

Ujarnya, ketika rakaman rancangan itu dilakukan dia beranggapan ia adalah sebuah rakaman biasa tanpa mengetahui bahawa ‘percintaan’ mereka di lokasi penggambaran Gerimis Mengundang cuba disensasikan.

“Sebenarnya saya tidak mahu kecoh mengenai perkara ini kerana merasakan tidak ramai yang tahu kecuali penonton di Indonesia. Namun, saya tidak sangka ia akan turut disiarkan di sini.

“Cuma saya terpaksa menerangkan situasi yang sebenar kepada ahli keluarga dan Intan supaya mereka tidak keliru. Saya berasa lega dan syukur kerana mereka faham dengan perkara tersebut,” ujarnya.


Sementara itu, Olivia yang turut ditemui pada masa yang sama turut memberitahu dia dan Kamal sememangnya tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dan menganggap hubungan mereka adalah sebagai rakan sesama artis.

Ujarnya, sebagai seorang artis baharu yang sedang meningkat naik, dia sudah biasa digosipkan dengan ramai artis lelaki popular di sana dan tidak berasa terlalu tertekan dengan gosip tersebut.

“Lagipun saya sendiri tahu yang Kamal sudah mempunyai kekasih di sini dan hubungan kami memang tidak lebih daripada teman biasa. Namun, saya agak sudah tentu dia kurang selesa dengan gosip sebegini.

“Secara jujurnya sangat senang berlakon dengannya kerana dia adalah seorang pelakon yang bagus. Walaupun perbezaan umur kami agak jauh, tetapi ia tidak menyukarkan kami untuk mencari keserasian bersama dalam filem ini,” jelas pelakon yang baru menjangkau usia 18 tahun itu.

Belum bersedia

Di sebalik gosip hangat yang telah melanda dirinya itu, Kamal memberitahu perkara sebegitu sebenarnya ada membawa perkara positif kepada dirinya apabila semakin dikenali di Indonesia.

“Boleh dikatakan semenjak gosip tersebut tersebar memang semakin ramai yang sudah mengenali saya. Malah, terus terang saya katakan sudah ada beberapa produksi yang melamar saya untuk berlakon sinetron di Indonesia,” ujarnya.

Biarpun sudah menerima tawaran untuk berlakon dalam sinetron di Indonesia, dia mengakui pintu hatinya buat masa ini masih belum terbuka untuk mengembangkan sayap di negara berkenaan.

Tidak menafikan sama sekali tawaran yang diterima sememangnya cukup lumayan, namun pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Gemilang itu menyatakan dia masih lagi seronok dan gembira untuk terus berlakon di Malaysia.

“Kalau melihat dari satu sudut memang ia merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan. Selain industri lakonan di sana yang lebih besar, bayaran yang diterima oleh pelakon sangat lumayan

“Bagaimanapun, saya merasakan buat masa sekarang ini saya masih belum cukup bagus lagi untuk bersaing dengan pelakon-pelakon hebat di sana. Jadi, lebih baik kalau saya terus mencipta nama di negara sendiri,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia tidak menyesal kerana melepaskan peluang keemasan yang telah diberikan, pelakon itu memberitahu bahawa ia semuanya bergantung kepada rezeki dan akan memikirkan kembali sekiranya mendapat peluang yang sama pada masa akan datang.

Pilih filem

Jika kebanyakan pelakon di Indonesia dilihat berminat untuk berlakon dalam sinetron, tetapi Olivia mengambil pendekatan sebaliknya apabila dia lebih memilih filem dalam mengembangkan sayap lakonannya.

Semenjak muncul dalah filem pertama berjudul Bukan Cinta Biasa pada tahun 2009 ketika berusia 15 tahun, sehingga kini dia sudah membintangi sebanyak tujuh buah filem.

“Selama saya berkecimpung dalam dunia lakonan selama tiga tahun, saya lebih memilih untuk berlakon filem berbanding sinetron. Salah satu sebabnya filem tidak memerlukan tempoh yang lama untuk dihasilkan.

“Lagipun ketika sedang aktif sebagai pelakon, saya juga masih lagi bersekolah. Saya bimbang kalau tidak dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya kalau berlakon dalam sinetron,” jelasnya yang telah pun menamatkan alam persekolahan.

Antara filem-filem lakonannya adalah Kembang Perawan, Cinta 2 Hati, The Tarix Jabrix 3, Milli & Nathan dan Masih Bukan Cinta Biasa, manakala satu-satunya sinetron yang pernah dibintanginya iaitu Hafizah.

Ditanya pengalaman sepanjang berlakon dengan pelakon dan tenaga produksi dari Malaysia, Olivia menjelaskan ia adalah satu pengalaman yang cukup menarik dan gembira dapat berlakon dalam filem tersebut.

“Ternyata banyak yang saya pelajari terutamanya mengenai cara pembikinan sesebuah filem di Malaysia. Jika diberi peluang untuk berlakon lagi di sini, sudah tentu saya tidak akan menolak,” ujarnya.

sumber

Raina mohon maaf


SALAH seorang anggota kumpulan wanita popular Korea Selatan, After School, Raina telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada peminat kumpulan itu atas keterlanjurannya memberikan komen terhadap seorang lagi anggota kumpulan itu.

Kata Raina ketika muncul dalam program televisyen Immortal Song yang disiarkan secara langsung: "Saya memang ingin berada dalam program yang mengetengahkan bakat nyanyian saya.

"After School mempunyai ramai ahli (lapan orang) dan apabila sampai bahagian korus selalunya saya seorang yang akan menyanyi. Saya cuba yang terbaik tetapi kamera hanya fokus pada UEE sahaja (salah seorang ahli After School). Perkara itu membuatkan saya sedih."

Kebanyakan peminat After School yang telah menonton program itu kemudian telah mengkritik Raina dengan mengatakan dia telah menghentam ahli kumpulannya sendiri.

Selepas sahaja menerima kritikan itu, Raina secara peribadi telah membuat permohonan maaf menerusi laman sosial Twitter miliknya dengan berkata: "Saya tidak bermaksud untuk berkata demikian. Tetapi berita mengenainya telah mula tersebar dan menjadi satu isu besar. Mulai sekarang, saya akan lebih berhati-hati."

sumber

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)