TIDAK menjadi rahsia lagi mengenai berita penceraian pelakon dan penyampai radio, Raja Azura dengan Adzmin Tan Sri Osman kerana ia sudah dilaporkan oleh semua media utama
Dan kini, selepas hampir tiga minggu bercerai, Raja Azura yang juga dikenali dengan nama di pentas sebagai Kak Engku mengakui betapa hidupnya kini dibelenggu rasa sunyi, rindu dan terasa ‘kehilangan’ selepas bercerai pada 28 September lalu.
Tanpa berselindung, Raja Azura yang lebih dikenali dengan nama pentas sebagai Kak Engku, menegaskan dia bersedia rujuk kalau Adzmin jujur untuk berbuat demikian.
"Ia (penceraian) sekali gus menilai perasaan kami. Adakah perkahwinannya seharusnya diteruskan atau perlu meletakkan titik noktah? Nyata, perceraian ini mematangkan kami. Saya yakin jika jodoh kami panjang, ruang dan harapan memulih serta menyelamatkan rumah tangga masih terbentang luas.
"Peluang rujuk atau berkahwin semula masih terbuka kerana perceraian bukanlah penamat kehidupan. Selagi nyawa dikandung badan, segala-galanya belum selesai. Saya akui jika saya sayangkan seseorang, saya akan menyayanginya sampai mati. Terserah pada Adzmin, saya sentiasa menunggunya,” katanya.
Menurutnya, walaupun sudah tidak ada lagi ikatan suami isteri, hubungan dengan Adzmin masih rapat dan mereka kekal menjadi sahabat yang baik demi anak-anak kami yang masih kecil dan memerlukan perhatian ibu bapa.
"Saya tidak sanggup melihat anak-anak terabai disebabkan perceraian. Mereka tidak pernah tahu apa yang berlaku, malah hingga hari ini mereka tidak pernah diberitahu saya dan Adzmin sudah berpisah. Adzmin melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bapa seperti biasa, cuma tidak tinggal sebumbung dengan kami selepas melafazkan talak pada saya.
"Adzmin pulang ke rumah selepas saya keluar bekerja kira-kira jam 5 pagi. Dia masih menidurkan anak-anak sebelum pulang ke rumahnya. Jadi, anak-anak tidak pernah sedar kami sudah berpisah. Kami bukan berlakon, tetapi apa yang dilakukan demi tidak mahu mengganggu dan melukakan perasaan anak-anak. Atas permintaan Adzmin, dia juga mahu ikut serta dalam apa saja majlis keluarga atau percutian," katanya.
Mengakui sangat kecewa dengan apa yang berlaku tetapi keputusan amat berat terpaksa dilakukan kerana dia tidak sanggup untuk berkongsi kasih dengan ‘orang ketiga’.
Kak Engku, 38, dan Adzmin Tan Sri Osman, 37, yang dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 7, Megat Luqman Hakim, 6, dan Puteri Mia Maizura, 4, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor pada 28 September lalu. Ia dilakukan dalam prosiding tertutup atas permintaan mereka.
"Saya buntu seketika. Rumah tangga kami sudah bergolak sejak tujuh tahun lalu tetapi saya masih berusaha mempertahankannya. Bagaimanapun, saya hanya manusia biasa, tahap kesabaran saya ada batasannya. Apabila bekas suami tidak mampu bersikap jujur, saya tekad memfailkan perceraian. Ruang sudah diberikan, tetapi perselisihan antara kami tidak mampu diselesaikan.
"Tidak guna memaksa hati dan perasaannya. Saya punya perasaan, saya tidak rela berkongsi apa yang dimiliki dengan orang lain. Bagaimanapun, saya sentiasa memaafkannya walaupun hati dan perasaan saya terluka dalam.
“Apapun yang dilakukan pintu hati saya sentiasa terbuka untuknya, tetapi Adzmin perlu berubah. Kembalikan kepercayaan saya. Ambillah masa selama manapun, saya dan anak-anak sentiasa menanti kehadirannya dalam hidup kami,” katanya.
Kak Engku juga menegaskan, kasih dan sayang serta kesetiaan pada suaminya memang tidak berbelah bagi kerana selama sembilan tahun mendirikan rumah tangga, hanya Adzmin saja lelaki yang sentiasa bertakhta di hatinya.
Mungkin lama memendam rasa, Kak Engku kelihatan cengkung tetapi masih mampu berlawak, satu sifat semula jadi yang ada pada dirinya.
Kak Engku berkata, bekas suami memang ada memintanya memberikan ruang untuknya memperbaiki kekurangan diri tetapi dia tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila perkara sama berulang.
"Kami tidak bersengketa malah sepanjang perkahwinan Adzmin tidak pernah bergaduh, meninggikan suara dan mengangkat tangannya pada saya. Cuma perselisahan antara kami tiada mampu diselesaikan melainkan dipulihkan dengan perceraian. Rumah tangga mana tidak bergelora, tetapi kami bercerai secara aman, selain berusaha mencari jalan penyelesaian selama tiga bulan tempoh edah.
“Saya tahu Adzmin sendiri pun memang sangat berat hati mahu melafazkan talak tetapi terpaksa mengikut permintaan. Saya percaya perceraian bukan bermakna rumah tangga kami tidak dapat diselamatkan lagi. Pemimpin, ulamak, orang kenamaan dan artis juga bercerai,” katanya
credit: rajamawar
Rindu, sunyi dan kehilangan
Labels: Raja Azura
Luaran saja dingin
Zulhuzaimy memang bijak berkata-kata kalau kena gaya
SUKAR didekati, sombong dan dingin serta bersikap acuh tak acuh. Itulah karektor Zulhuzaimy Marzuki yang menimbulkan rungutan kepada peminat, mahupun orang media yang hendak menemubualnya
Dari hujung talian, Zul seperti tidak berminat menjawab soalan yang diajukan. Sepuluh patah perkataan yang ditanya, hanya sepatah dua yang dijawab. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi pertemuan di majlis pengumuman 12 pasangan finalis Mari Menari serta pengumuman tenaga penasihat yang terdiri daripada Erra Fazira, Lisdawati, Ferhad dan dirinya.
Kesempatan untuk mendekati Zul dan menemuramah lelaki berusia 32 tahun tidak dilepaskan kerana bukan mudah melihat dia muncul di khalayak ramai. Lebih-lebih lagi kalau acara atau majlis itu tidak berkaitan dengannya.
Soalan pertama yang diajukan sebaik saja pelakon itu melabuhkan punggung di kerusi empuk di sebuah kelab di tengah-tengah segi tiga emas Kuala Lumpur tentu sekali mengenai sikapnya yang dikatakan ‘kekwat’ atau sombong.
Namun Zul bertanya kembali apa maksud perkataan ‘kekwat’, seraya mengeluarkan falsafah berbahasa Inggeris, katanya, untuk mengenali seseorang itu, kita perlu masuk ke dalam kasutnya.
Tutur itu bagaikan salam perkenalan selepas beberapa ketika berbual dengannya. Ternyata pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2009 itu bukanlah sukar untuk didekati.
Cuma perlu kena cara dan gayanya. Malah, dia yang lebih banyak bercerita sehingga terleka mendengar celotehnya.
Kehebatannya beraksi di depan kamera dan kelincahan bergerak di pentas teater menyebabkan bapa kepada seorang cahaya mata Awal Haziq yang berusia empat tahun itu mendapat kepercayaan menjadi seorang daripada empat tenaga penasihat program terbaru Mari Menari yang akan mula disiarkan pada 16 Oktober ini.
Segala persiapan berdepan tiga pasangan yang bakal berada di bawah jagaannya kini sedang dipersiapkan. Mendengar dia bercerita, menyerlahkan kesungguhan dan keikhlasan pelakon itu terhadap kerjanya.
Sebaik dilamar untuk memikul tanggungjawab dalam program itu, Zul mula membuat persediaan seperti mencari kembali nota yang pernah dipelajari sewaktu menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang sebelum ini dikenali Akademi Seni Kebangsaan atau ASK.
“Jangan kecewa mendapat saya atau penasihat lain hanya disebabkan kami pelakon. Janganlah meletakkan harapan orang setanding Michael Jackson atau Britney Spears untuk membimbing mereka, kerana kami juga ada pengalaman lain yang boleh dikongsikan bersama.
“Saya mahu melihat peserta di bawah bimbingan saya kelak mempunyai jiwa dan raga ketika membuat persembahan. Salah langkah ketika menari bagi saya tidak mengapa, asalkan penonton dapat merasakan gerak tubuh mereka,” kata pelakon itu yang sememangnya berkebolehan menari.
Wawasan Zulhuzaimy untuk program ini cukup besar. Dia mahu menurunkan segala ilmu yang pernah dipelajari ketika menuntut kepada pelajarnya nanti. Sebelum pelajarnya mempelajari lebih lanjut mengenai ilmu tarian, kata Zul, mereka terlebih dulu perlu tahu sejarah dan asal usul tarian. Tidak hanya di dalam negara, tetapi mereka juga perlu tahu sejarah tarian di seluruh dunia.
“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menari tetapi mereka perlu tahu sejarah. Mereka tak boleh sibuk menghafal langkah tarian tetapi mereka perlu ada jiwa ketika menari.
“Saya akan mengajar mereka bagaimana untuk mengatasi rasa gementar ketika membuat persembahan di hadapan penonton. Juga bagaimana menonjolkan apa yang ada dalam diri mereka. Selain itu mengenai pergerakan, pengurusan pentas dan ruang serta pencahayaan dan juga pergerakan kamera.
“Sejak diundang untuk menjayakan program ini, saya mula buat persiapan rapi. Segala nota yang pernah saya belajar dulu semuanya dikeluarkan balik, saya memang tidak membuang nota yang dipelajari kerana mengikut pesanan pensyarah. Katanya, apa yang kita pelajari jangan dibuang, sebaliknya di simpan kerana kita tak tahu satu hari mungkin kita akan mencarinya kembali,” kata Zul.
Memang ketika menyertai Mari Menari, Zul sendiri bertanya kenapa dia? Sedangkan masih ramai lagi insan lebih berbakat.
Bagaimanapun hatinya terpanggil menerima pelawaan itu kerana berasa tanggungjawab untuk berkongsi ilmu yang dimiliki dengan peserta program realiti baru itu.
Ini bermakna, selepas ini saban minggu wajah Zul akan kelihatan muncul di kaca televisyen. Zul memberitahu, selama ini bukan dia tidak suka tampil ke depan tetapi peluang tidak banyak yang datang kepadanya.
“Bukan saya mengelakkan diri atau tidak suka ke depan. Saya juga memerlukan publisiti tetapi peluang tidak datang kepada saya untuk menonjolkan diri,” katanya
credit:serima
Labels: Zulhuzaimy
Aaron dijangkiti air kencing tikus
Keadaan terkini semakin baik tetapi masih tidak bermaya
PADA Julai lalu, rakyat negara ini cemas seketika apabila beberapa individu yang terbabit dalam misi mencari mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran, Pahang, meninggal dunia akibat penyakit Leptospirosis (jangkitan air kencing tikus).
Lalu, apabila pelakon popular, Aaron Aziz, 33, dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana pada Khamis lalu, tentu sekali peminat aktor dari Singapura ini disalut kebimbangan. Aaron disahkan terkena jangkitan air kencing kucing dan dimasukkan ke hospital berkenaan selama dua malam.
Menurut isterinya, Diyana Halik, pada minggu lalu, Aaron terbabit dalam penggambaran sebuah filem Inggeris di Singapura.
"Dalam filem terbabit, dia beraksi sebagai lelaki harimau yang sudah pastinya membabitkan babak aksi dan lasak di dalam hutan. Ketika dia melakukan babak berkenaan, hujan turun di kawasan penggambaran.
"Apabila pulang ke Kuala Lumpur minggu lalu, badannya panas sehingga mencecah 40 darjah. Pada mulanya kami bimbang dia dijangkiti demam denggi.
"Badannya panas, matanya berair dan sendi-sendinya lemah. Malah, ketika saya membawanya ke hospital, Aaron terpaksa diletakkan di atas kerusi roda kerana badannya memang tidak bermaya," cerita Diyana ketika dihubungi, Selasa lalu.
Doktor kemudian mengesahkan pelakon itu dijangkiti Leptospirosis setelah ujian ke atasnya dijalankan.
Namun wanita itu cukup bersyukur apabila tindakan membawa suaminya segera ke pusat rawatan mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku ke atasnya.
"Di hospital, Aaron menerima suntikan antibiotik, sampel darah dan air kencingnya diambil, malah badannya dimasukkan air. Selama dua malam Aaron diletakkan di bawah pengawasan doktor di pusat rawatan berkenaan," ujar Diyana.
Ketika dihubungi, Diyana turut memaklumkan keadaan suaminya bertambah baik, bagaimanapun dia masih lagi perlu mengambil antibiotik.
"Saya minta maaf sebab Aaron masih lagi tidur. Dia juga dinasihatkan banyak berehat.
“Maklumlah, sejak akhir-akhir ini, dia bekerja tidak tentu masa. Apabila kejadian seperti ini berlaku, inilah juga masanya untuk dia berehat," katanya.
Sejak beberapa minggu lalu, Aaron berulang alik antara Singapura dan Kuala Lumpur untuk menjalani penggambaran filem berkenaan. Dia ialah satu-satunya pelakon Melayu dalam filem cereka yang dikatakan diterbitkan sebuah syarikat antarabangsa.
Akibat jangkitan berkenaan, pelakon Habil Qabil kini direhatkan seketika daripada projek terbabit, sebelum dia benar-benar sembuh untuk menyambung baki dua hari lagi penggambaran
credit:nurul
Labels: Aaron Aziz
Shahz Jaszle Tak Minat Wanita Melayu
"Bukan saya tak suka tapi susah bila bercinta dengan wanita Melayu. Pengalaman sebelum ini buatkan saya takut dekati mereka.
"Saya pernah ada teman wanita Melayu tapi saya kena control sampai susah untuk saya libatkan diri dengan industri kerana cemburu yang melampau. Saya baru 21 tahun tapi dia asyik paksa untuk berkahwin," ujar pelakon baru, Shahz Jaszle yang dikenali melalui Tari Tirana.
Kini Shahz bahagia dengan teman wanita berbangsa Ukraine yang juga seorang model dari United Kingdom. Dikenali melalui kenalannya enam bulan lepas, namun Shahz mengakui tidak tahu ke mana arah tuju hubungan selepas gadis tersebut pulang ke negara asalnya.
"Dia tak berapa fasih berbahasa Inggeris so saya banyak ajar dia berkomunikasi. Sekarang dia sudah balik ke Ukraine tapi sebelum pulang dia suruh saya cari orang lain kerana dia akan menetap terus di sana," ujarnya pasrah.
Cantas Ashraf Muslim?
Biarpun masih mentah dalam industri hiburan, namun Shahz diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama Dari Mata ke Hati walaupun terdapat nama besar seperti Ashraf Muslim yang turut terlibat. Ia menimbulkan persoalan sejauh manakah bakat yang ada dalam diri pelakon ini sehingga berjaya mencantas bakat pelakon yang lebih hebat?
"Pada saya semuanya rezeki. Saya kenal dengan pengarah drama ini dari Tari Tirana lagi. Mungkin dia melihat bakat saya dari situ dan terus menawarkan kepada saya. Dari drama ini juga saya terus mendapat tawaran menjadi duta produk InnerShine Pati Beri," ujar anak kelima daripada tujuh beradik ini.
Dari Mata Ke Hati
Shahz akan muncul dalam drama Dari Mata ke Hati terbitan TV3 yang mengisahkan seorang pengarah muda, Farid, yang sedang mencari sebuah skrip hebat untuk projek seterusnya. Ketika itulah dia ternampak sepasang mata yang telah menawan hatinya. Berjayakah Farid menemui empunya mata tersebut?
Menariknya drama 15 minit ini adalah untuk mencari pemilik mata tersebut melalui Pencarian InnerShine Berry Beautiful Eyes. Drama ini turut membarisi pelakon muda lain seperti Intan Ladyana, Ashraf Muslim dan Sari Yanti.
Bagi mereka yang berminat boleh menghantar penyertaan Pencarian InnerShine "Berry Beautiful Eyes" 2009 yang menawarkan hadiah set barangan kemas berlian tajaan Diamond & Platinum selain berpeluang berlakon bersama Shahz Jaszle, pelakon utama Dari Mata Ke Hati. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web di www.innershinebeauty.com.my atau di talian 1800-88-6226.
Labels: Shahz Jaszle
Kahwin: Bienda masih berahsia
Penyanyi Bienda mengadakan majlis persandingan perkahwinannya dengan penerbit kanan di Media Prima Berhad, Kamarul Zariman Abdul Rahman di Selayang, Selangor pada Jumaat, 8 Oktober 2010.
Namun penyanyi itu masih ingin berahsia pasal tarikh sebenar dia dan suaminya disatukan. Mengapa Bienda masih tak mahu dedahkan tarikh pernikahan yang dijalankan secara tertutup itu? Adakah benar Bienda sebenarnya sudah lebih setahun bergelar isteri?
"Saya masih belum bersedia untuk memberitahu bilakah saya bernikah. Saya akan mengumumkan apabila tiba masa yang sesuai nanti," kata Bienda kepada media ketika ditemui selepas majlis persandingannya.
Keputusan enggan memberitahu umum pasal tarikh pernikahan membuatkan ada pihak yang tertanya-tanya apa alasan yang bermain di minda pasangan itu. Apatah lagi mereka kini sudah sah sebagai suami isteri dan wajah suaminya juga sudah dikenali.
Si kacak pilihan hati Bienda
Bienda yang berasal dari Tumpat, Kelantan, sebuah daerah yang dipisahkan oleh sungai dengan Selatan Thailand bagaimanapun memberitahu dia bernikah di kampungnya.
Adakah gosip pasal pernikahan rahsia Bienda yang pernah diperkatakan sekitar setahun lalu benar belaka? Bienda mungkin belum sedia menjelaskannya kerana semasa gosip itu diperkatakan dulu, Bienda bersungguh-sungguh menafikannya. Dia perlukan masa untuk memberitahu kebenaran.
Susuk badan Bienda yang dilihat sedikit berisi sejak akhir-akhir ini membuatkan banyak yang membuat andaian Bienda sudah lama bernikah. Namun apa-apapun kena tunggu pengakuan Bienda sendiri. Dia mungkin ada alasan mengapa masih mahu berahsia tarikh pernikahannya.
Pertemuan di lokasi
Bienda atau nama sebenarnya Nur Razlinda Razli, 26, mengenali Zariman atau lebih mesra dipanggil Boy sekitar tiga tahun lalu semasa terlibat dalam penggambaran drama. Pada masa itu boy bekerja sebagai krew filem dengan Skop Productions.
Dalam pertemuan itu Boy memberanikan diri meminta nombor telefon Bienda untuk perbincangan pasal satu produk penjagaan mata.
"Pada 15 April 2007 Boy melamar saya... dia bukan melamar untuk menjadikan saya kekasih dia, sebaliknya mahu menjadikan saya isteri dia," kata anak kepada penyanyi dangdut Sheeda itu lagi.
credit:manggaonline
Labels: Bienda