
ROM, Itali - Seorang aktres Britain merupakan antara 500 wanita glamor yang diundang untuk menghadiri 'majlis memeluk Islam' anjuran pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di kediaman Duta Libya di sini pada Ahad lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebuah akhbar melaporkan, undangan kepada aktres berkenaan, Clio Evans, 28, dan ratusan wanita lain dibuat menerusi sebuah agensi tempatan, Hostessweb.
Majlis tersebut diadakan di Akademi Libya, bandar raya ini selama dua hari berturut-turut selepas Gaddafi menyeru mereka supaya memeluk Islam semasa lawatan rasmi beliau ke Itali.
Sebelum ini, Evans dan dua lagi wanita didakwa telah memeluk Islam selepas mendengar penjelasan terperinci Gaddafi mengenai agama suci tersebut di majlis itu tetapi dinafikan olehnya.
"Saya masih belum memeluk Islam tetapi saya telah berkunjung ke Libya sebanyak tiga kali untuk melawat beliau dan kami menjadi kawan baik. Beliau memberikan saya seutas rantai emas sebagai hadiah," kata aktres berkenaan yang menetap di sini
"Gaddafi merupakan seorang yang amat bersopan dan juga kelakar," tambahnya.
Menurut aktres tersebut, mereka disajikan minuman tanpa alkohol sambil mendengar syarahan pemimpin Libya itu.
Majlis pada hari Ahad lepas merupakan yang keempat dianjurkan oleh pemimpin Libya itu dalam tempoh kurang setahun. - Agensi
credit:KOSMO
Aktres Britain hadiri syarahan Gaddafi
Labels: Clio Evans
Mariah percaya benda karut

MARIAH CAREY dikhabarkan sudah hamil empat bulan. Namun, penyanyi itu enggan mengesahkan atau menafikan berita itu kerana dia seorang yang percayakan kepada benda-benda karut.
Dalam satu laman web miliknya, dia menulis: "Saya menghargai keprihatinan semua orang. Tetapi saya mempunyai kepercayaan terhadap benda-benda karut. Apabila tiba masa yang sesuai, semua orang akan tahu perkara sebenar."
Dalam pada itu, Nick dalam kenyataannya mengatakan Mariah yang digosip sudah hamil empat bukan bakal menjadi seorang ibu yang baik.
Hos rancangan TV, America's Got Talent yang enggan mengesahkan mengenai kehamilan isterinya itu sebaliknya memberitahu majalah People: "Mariah akan menjadi ibu yang baik.
"Kalau saya ada anak nanti, saya akan membesarkan dia sebagaimana saya dibesarkan oleh ibu bapa saya.
Nick, 29, mengakui tidak kisah sekiranya dikurniakan anak lelaki atau perempuan, namun mengakui agak gusar dengan jantina anaknya.
Katanya: "Memang seronok kalau ada anak perempuan sehinggalah apabila dia meningkat remaja. Ketika itu, ramailah yang mengurat dia. Itu agak membimbangkan saya.
"Tapi kalau anak lelaki, saya bimbang pula dia akan tercedera kerana lasak, sebab saya masa kecil dulu pun memang sangat lasak."
credit:KOSMO
Labels: Mariah Carey
Yuna buka pintu ke Amerika

TIGA anak muda berjaya mencipta gelombang - Aizat, Noh dan Yuna saling bercanda dan mengusik sesama sendiri. Tidak ketinggalan, kedengaran ucap serentak dilontar dua jejaka tersebut dalam nada bersahaja: "Kami cemburu dengan Yuna sebab dia dapat pergi ke luar negara untuk mengetengahkan bakat seni kepada orang asing."
Pemilik mata bundar, Yuna pula hanya mampu terkebil-kebil sambil wajah manisnya bertukar merah padam menahan malu dipuji tinggi melangit. Enggan tunduk dengan kenakalan dua sahabat sama aliran itu, sempat juga Yuna mencelah sekali gus mengisyarat dia juga punya potensi bergelar pelawak.
"Aizat dan Noh apa kurangnya. Populariti masing-masing juga sedang naik ditambah ramai peminat terutama wanita yang meminati kamu," jawab Yuna spontan sambil dibalas hilaian tawa Aizat dan Noh sebelum larut dalam perbualan membahas keakraban mereka sebagai sahabat dan memperdagang karya berkualiti.
Tidak dinafikan, Aizat, Noh dan Yuna punya persamaan. Paling ketara, mereka masih ranum baik dari segi umur dan hayat beradu nasib di padang seni. Dikurnia segudang bakat - menyanyi, menggubah serta menulis lirik dan bermain alat muzik, itu pakej dibalut oleh ketiga-tiga nama tersebut sebagai kelangsungan pelapis karyawan sedia ada.
Bukan itu sahaja, Aizat, Noh dan Yuna muncul membuat persembahan di atas pentas sambil membawa kumpulan sendiri. Noh terbiasa dengan ahli kumpulan Hujan manakala Aizat dan Yuna selesa dilihat bersama pemuzik iringan tidak bernama bagi melengkapkan penghasilan bunyi-bunyian indah sewaktu berdendang serta menghibur audiens.
Lantaran itu, penyatuan Aizat, Noh dan Yuna menerusi program raya, Akustika 2010 dijangka bertandang di skrin televisyen pada 11 September pukul 6 petang bukan satu atmosfera luar biasa. Menjalani rakaman di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, individu-individu saling memuji itu nampak teruja saat diminta memuntahkan rasa sesama sendiri.
Cemburu Yuna
Tidak mencuri masa panjang menghurai, Muhammad Aizat Amdan atau Aizat menganggap Yuna dan Noh sebagai bakat muda berjaya menarik perhatian dirinya. Selepas kemunculan mereka, anak muda berusia 21 tahun itu melihat kedua-duanya memiliki aura dalam menghimpun pengikut tersendiri.
"Terus terang, saya anggap Yuna macam kakak manakala Noh ibarat abang selama bergiat dalam industri ini. Selain itu, saya sentiasa mahu mengikut jejak langkah mereka kerana setiap karya dipersembah kepada umum, ia lekas meraih tumpuan daripada khalayak.
"Tipu kalau saya cakap tidak cemburu dengan kejayaan Yuna yang sudah mara setapak di tahap antarabangsa dan Hujan juga dikenali di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Cuma, perasaan ini tidak sampai dengki mendengki. Paling teruk sekalipun, cemburu sikit dengan setiap dicapai oleh mereka.
"Tetapi, ia hanya melibatkan persaingan sihat supaya saya dapat lakukan lebih baik pada masa depan. Setiap daripada kami bertiga ada pencapaian berbeza dan berlainan cerita. Justeru, kami gembira tengok masing-masing melangkah setapak lagi meluaskan skil.
"Pernah terfikir untuk menggandingkan saya, Noh dan Yuna dalam sebuah projek istimewa selain menyanyi di pentas sama. Tetapi, mereka sangat sibuk dengan komitmen kerja. Harap ia jadi kenyataan suatu hari nanti," jelasnya yang sempat menghubungi Yuna ketika penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu berada di Los Angeles selama tiga bulan mencari peluang membikin album dan menjayakan persembahan.
Julang Aizat
Vokalis Hujan, Mohammad Noh Salleh atau akrab disapa sebagai Noh, 25, pula menjulang Aizat sebagai antara graduan Akademi Fantasia (AF) paling menyerlah. Apa tidaknya, dia berhasil membuktikan dirinya sebagai pendatang baru punya variasi kemahiran untuk dikongsi bersama peminat.
"Sejujurnya, saya cukup menghormati Aizat. Sebelum kami betul-betul rapat, saya beberapa kali pernah melepak dengan Aizat. Tidak malu cakap, saya sentiasa teruja untuk mengenali insan-insan hebat seperti Aizat yang ada keupayaan membikin serta menulis lagu dengan stail tertentu.
"Benar, ada orang yang sukar sikit hendak faham dengan sesebuah lirik lagu ditulis. Tetapi, impak penulisan Aizat cukup berkesan. Aizat menjadi antara orang-orang misteri menurut pemerhatian saya," jelasnya yang ternyata tidak sabar lagi menjalankan kolaborasi dengan Aizat dan Yuna kelak.
Mengulas tentang keperibadian dan pengkhususan Yuna, pelontar Pagi Yang Gelap itu menerangkan, selain memiliki wajah jelita, artis sinonim dengan imej bertudung tersebut ada keberanian menghadapi rintangan di laluan depan. Mengambil contoh, dikritik khabarnya kurang mesra dan sukar memberi kerjasama dengan pihak media sebelum ini.
"Bayangkan, walaupun dia masih mentah dalam muzik arus perdana, Yuna okey saja melalui pengalaman dihentam para wartawan. Bukan calang-calang, kalau artis baru, sudah pasti ada antara mereka awal-awal lagi telah mengaku kalah sekali gus tidak berupaya meneruskan perjuangan.
"Diakui, perkenalan saya dengan Aizat boleh dikatakan baru. Dengan Yuna, kami mengenali antara satu sama lain sekitar tiga tahun lalu semasa terlibat dalam muzik bebas. Malah, Yuna sebelum masuk ke pentas komersial, dia pernah bertanya pendapat saya terlebih dulu," ujar Noh sambil mengerling ke arah Yuna yang duduk bersebelahan dengannya.
Noh abang
Puas sudah berdiam diri, giliran Yuna, 23, pula membuka lembaran satu persatu mengulas tentang Aizat dan Noh. Pemuja Alanis Morrissette dan Norah Jones itu mengaku dua artis dambaan ramai wanita itu merupakan orang-orang paling erat dengan dirinya dalam dunia muzik tanah air.
"Kebetulan, kami banyak persamaan yang membuatkan Aizat, Noh dan saya boleh duduk sekali bercakap soal muzik sambil bergelak ketawa. Saya baru kenal rapat dengan Aizat ketika kami menjayakan persembahan di satu pentas sama Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17) beberapa bulan lalu.
"Saya lihat Noh dan Aizat sebagai abang dan adik. Sudah pasti, saya mahukan kami yang masih baru ini dapat bertahan lama dalam lapangan hiburan. Kalau boleh, saya hendak setiap daripada kami ada pencapaian lebih besar selepas ini lalu mampu mengharumkan nama negara di mata dunia.
"Begitupun, dengan bakat dimiliki oleh Aizat atau Noh, saya harap dalam usia 40 tahun, kami masih boleh berkarya untuk industri. Indah rasanya dapat merealisasi setiap impian dipendam kerana kami boleh dianggap mendaki tangga bersama merasai manis dan pahit sebagai penggiat seni," tuturnya manakala Aizat dan Noh yang berada dekat di sisinya bertepuk tangan tanda setuju dengan bicara Yuna.
Sebelum perbualan bertemu titik noktahnya pada malam itu, sekali lagi Aizat dan Noh membuka mulut sambil menunjukkan reaksi wajah penuh sedih dan kasihan: "Yuna, jangan lupa bawa kami sekali kalau pergi ke Amerika Syarikat (AS) selepas ini. Teringin juga hendak tembusi pasaran luar dan kerja dengan orang-orang hebat."
Yuna yang muncul dengan album sulung, Decorate itu kini berada di AS selepas menerima tawaran menyertai label pengurusan, Kensaltown Studios yang pernah mencungkil bakat penggubah lagu termasuk beberapa nama masyhur di Hollywood seperti James Morrison, James Blunt dan Jason Mraz.
Gadis Melayu 3 tiada penyingkiran

RANCANGAN realiti TV Gadis Melayu yang berteraskan nilai-nilai tradisional sebagai lambang tamadun dan warisan bangsa Melayu kini kembali lagi di TV9 untuk musim ketiga.
Masih berdiri kukuh dengan idea asal program dua musim sebelum ini, Gadis Melayu musim ketiga itu bagaimanapun diberi suntikan elemen tradisional dan kontemporari serta kandungan yang lebih menarik, informatif dan penuh kejutan.
Itu yang akan menjadi landasan buat para peserta musim baru ini berpegang, sekali gus bertarung merebut posisi juara. Lebih menarik, pertarungan musim ini tidak akan menyaksikan penyingkiran kerana pihak produksi berpendapat setiap peserta yang terbabit mempunyai hak untuk diadili sehingga akhir program tersebut.
“Kelainan yang ditampilkan dalam musim ketiga ini ialah tidak akan ada penyingkiran sehingga episod akhir. Ini kerana kami berpendapat, semua peserta yang bertanding mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
“Jadi jika ada yang tersingkir seawal minggu pertama, ia seperti tidak memberi peluang atau hak untuk mereka menonjolkan apa yang ada dalam diri mereka,” jelas Penerbit Eksekutif Gadis Melayu 3, Wan Sabariah Shikh Ali, sewaktu sidang media memperkenalkan barisan peserta program tersebut.
Telah memulakan episod sulungnya pada Jumaat minggu lalu pukul 9 malam, Gadis Melayu 3 juga hanya akan dibarisi oleh sembilan gadis sahaja, berbanding 12 peserta pada musim terdahulu.
Menjalankan uji bakat terhadap gadis berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun di Kota Bharu (Kelantan), Johor Bahru (Johor), Sungai Petani (Kedah), Shah Alam (Selangor) dan Sri Pentas, kata Wan Sabariah lagi, para peserta perlu bersedia untuk meniti proses pembelajaran dan pendedahan aspek-aspek fizikal dan kerohanian yang membentuk nilai kemelayuan pada diri calon ikon Gadis Melayu.
Munurutnya, sepanjang uji bakat dijalankan pelbagai kerenah dapat dilihat apabila peserta diberi tugasan seperti mengukur kelapa, menyediakan sambal belacan dan menata rias busana Melayu pada patung.
“Apa yang cuba diketengahkan dalam rancangan ini adalah warisan bangsa Melayu tidak harus dibiarkan terhakis begitu sahaja walaupun kita hidup di persekitaran moden dalam gelombang globalisasi.
“Untuk meraih gelaran Ikon Gadis Melayu musim ketiga, peserta bukan sahaja harus menitikberatkan tentang keanggunan dan imej gaya diri, malah pengetahuan dan kemahirannya dalam pelbagai aspek juga harus diasah dan digilap,”ujarnya yang pertama kali menerajui program realiti ini mengganti posisi asal penerbit Shukri Ibrahim.
Sembilan peserta tersebut terdiri daripada, Afiqah Hazwani Md. Nordin, 18 (Johor), Nur Diana Zainuddin, 19, (Pulau Pinang), Nor Shamimi Ernida Mansor, 20, (Kedah), Norhidayah Samsudin, 21, (Johor).
Antara yang lain seperti, Siti Nurzakiah Abdul Aziz, 21, (Selangor), Siti Mastura Mohamad Saleh, 24, (Pahang), Fatheen Nabila Ghazali, 24, (Johor), Norazrina Mohd Salleh, 25, (Selangor) dan Siti Amira Mustakhim, 25, (Kedah).
Gadis Melayu 3 bakal dikendalikan oleh pelakon, Ashraf Muslim, sementara bagi proses pemarkahan pula akan dinilai oleh juri sepenuhnya dan diterajui oleh Ezzah Aziz Fawzy selaku juri tetap.
credit:KOSMO
Labels: Gadis Melayu
Ameesha Patel dijangkiti kuman

AKTRES jelita Ameesha Patel tidak mempunyai mood yang baik ketika menjalani penggambaran untuk sebuah filem Telegu di Hyderabad baru-baru ini.
Ini kerana dia baru sahaja kematian neneknya beberapa hari sebelum penggambaran berlangsung.
Disebabkan cuaca yang panas ditambah pula dengan kesihatan Ameesha yang tidak terjaga, dia telah pengsan di set penggambaran dan dikejarkan ke hospital.
Berita Ameesha yang ditahan di wad menyebabkan ibunya bergegas dari Mumbai untuk berada di samping anaknya itu.
Menurut sumber yang rapat dengan Ameesha: "Sebenarnya Ameesha sangat rapat dengan neneknya yang baru meninggal dunia. Dia tertekan selepas kehilangan neneknya itu.
"Bagi melupakan kesedihannya, dia menyibukkan dirinya dengan penggambaran meskipun keluarganya menasihati supaya dia berehat untuk satu tempoh masa sehingga semangatnya kembali pulih."
Abang Ameesha, aktor Ashmit Patel mengesahkan berita adiknya di masukkan ke hospital. Katanya, disebabkan cuaca panas dan debu di bandar Hyderabad ditambah semangatnya yang masih lemah menjadi punca adiknya pengsan. 
Selain itu tambah Ashmit, Ameesha turut dijangkiti kuman ketika berada di sekitar bandar tersebut. Itu juga antara puncanya pengsan. Meskipun begitu, Ashmit gembira kerana ibunya berada di sisi adiknya dan menjaga dia dengan baik.
"Jangan risau, dia hampir sembuh dan akan kembali bekerja seperti biasa dalam masa terdekat," kata Ashmit lagi tentang perkembangan kesihatan adiknya itu.
Labels: Ameesha Patel
