Nadia nafi seksi

PENAMPILAN wanita berusia 25 tahun ini boleh dikatakan cukup berani kerana tidak kekok mendedahkan sebahagian tubuh badannya. Namun, Nadia Aqilah yang semakin dikenali sebagai seorang pelakon drama dan teater tidak begitu ambil pusing dakwaan itu. Apa yang penting baginya, hasil kerjanya diterima baik oleh umum.

Jika diteliti, sudah banyak produk televisyen yang menampilkan dirinya sebagai pelakon. Antaranya ialah Emil Emelda, Sindarella, Merah Putih dan Tari Tirana.

Selain itu, dia juga pernah bergiat dalam teater Puteri Gunung Ledang The Musical pada tahun 2005 dan P. Ramlee The Musical pada tahun 2008.


Ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, D.I.V.A di Studio Bentley, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nadia menegaskan bahawa penampilannya tidak begitu seksi seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Saya masih menjaga penampilan agar tidak keterlaluan,” tegasnya.

Selanjutnya dia lebih teruja berbicara perihal album sulungnya itu.

Bercita-cita untuk mengadakan konsert solo, penyanyi yang berasal dari Subang Jaya, Selangor ini berasa puas kerana dapat menghasilkan album sulung setelah sekian lama menanti.

Membataskan diri

Hakikatnya, Nadia telah mula melibatkan diri dalam dunia nyanyian sejak berusia 14 tahun lagi.


Ujarnya, dunia lakonan dan persembahan teater juga sedikit sebanyak membataskan dirinya untuk tampil dengan album solo.

“Sebenarnya, saya mula melibatkan diri dengan nyanyian sejak bersekolah lagi. Kini, Lakefront Record selaku label syarikat rakaman yang telah merealisasikan cita-cita saya untuk menghasilkan album.

“Album D.I.V.A menampilkan 10 lagu baru dan lirik hasil karya saya sendiri termasuk bekerjasama dengan komposer Daniel Veerapan.

“Saya berterima kasih kepada pihak label kerana memberi peluang menghasilkan album dan ini merupakan sebuah peluang yang amat saya nantikan,” katanya.

Album itu menampilkan dua buah single iaitu D.I.V.A yang dinyanyikan dalam bahasa Melayu, manakala Free dalam bahasa Inggeris.

Ia mempunyai tujuh lagu dalam bahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu termasuk Percaya dan Teman.

“Ramai bertanya kenapa saya tidak menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Jujurnya, saya percaya peminat tempatan juga menyukai lagu-lagu bahasa Inggeris

“Selain itu, lagu bahasa Inggeris dalam album saya merupakan idea pihak label dengan harapan supaya dapat menembusi pasaran luar,” katanya yang turut berterima kasih kerana pihak Lakefront Record yang memberi peluang untuk dirinya berkarya melalui penulisan lirik dan penciptaan lagu.

Duet dengan Chrome Cats

Khusus untuk lagu bertajuk Free, Nadia berpeluang berduet dengan penyanyi rap antarabangsa dari Los Angeles,Amerika Syarikat iaitu Chrome Cats. Uniknya, syarikat rakaman naungan Nadio itu turut mempunyai cawangan di Los Angeles.

“Kolaborasi dengan Chrome Cats menerusi lagu Free secara tidak langsung memberi peluang untuk saya memasarkan lagu ke Amerika Syarikat. Realitinya, seni muzik tiada sempadan dan jurang tanpa mengira budaya, bahasa dan negara,” katanya yang yakin dengan pemasaran betul, lagunya bakal berpotensi untuk diminati pendengar dari luar negara.

Berbicara mengenai bidang lakonan pula, Nadia memberitahu dia ingin berehat buat sementara kerana ingin untuk memberikan fokus kepada album. Namun dengan minat berlakon yang semakin menebal dalam dirinya, dia tidak menolak untuk kembali berlakon pada tahun 2011 ini.

“Saya ingin fokus menyanyi dahulu. Selain itu, saya ingin juga menghabiskan pengajian peringkat diploma lanjutan dalam bidang perniagaan di sebuah universiti awam.

“Kebiasaannya pada umur 25 tahun, ramai yang telah memperolehi diploma atau ijazah. Namun tahun depan saya yakin dapat memperolehi diploma,” ujarnya yang menyusun satu persatu hala tuju hidupnya untuk berjaya dalam bidang seni dan pendidikan.


source

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)