MENYUSUP perlahan di bawah lembayung seni semenjak ditabal sebagai sang juara Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) terbitan stesen penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun 2000, Alyah, 30, tidak lekas mengalah dalam mengharungi ranjau dan duri dunia seni. Bahkan, si genit itu semakin deras mencatur langkah.
Lebih sedekad berkarya di laman seni, akhirnya penyanyi bersuara lantang itu berjaya mengejutkan peminatnya menerusi kualiti lagu dan vokal menerusi lantunan Tak Mungkin Kerna Sayang, single pertama daripada album pertamanya, Alyah.
Setelah tumpuan berjaya dicuri dari hati peminat, figura pemilik nama Noor Hasliah Abu Hasan itu kini meniti di landasan yang tepat.
"Pengalaman lampau banyak mengajar Alyah untuk menjadi individu yang cekal sebenarnya," luahnya pada pertemuan singkat di Dataran Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang baru-baru ini.
Belajar daripada sejarah silam, penyanyi lagu Kisah Hati itu kini sedang berkira-kira untuk mencari klon buat pengganti dirinya kelak.
Maka, hasilnya kini sudah ada di depan mata. Kumpulan Chocolate yang terdiri daripada tiga orang gadis yang dipilihnya sendiri daripada sesi uji bakat sudah terbit dengan single pertama berjudul, Boomerang. Alyah turut berkolaborasi dengan Chocolate untuk lagu itu.
"Boomerang senang saja pengertiannya, ibarat sesuatu perbuatan yang kita lakukan akan kena pada kita semua, sama seperti permainan boomerang itu sendiri," cerita Alyah mengenai lagu ciptaan Audi Mok dan Omar K serta liriknya oleh Ed Samad.
Single itu akan memulakan pembikinan klip videonya pada bulan Oktober ini dan album penuh Chocolate pula dijangka siap pada akhir tahun ini.
Chocolate sebenarnya terdiri daripada tiga orang gadis yang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Mereka terpilih daripada sesi uji bakat yang dijalankan oleh syarikat rakaman milik Alyah, Like Music Entertainment.
"Daripada 25 orang yang hadir uji bakat, hanya tiga yang saya pilih iaitu Eeza (Nur Shafreeza Zainal Abidin), 18, Melly (Melley Matius), 23, dan Pam (Nadia Parmila Yunus), 24, pemilihan dibuat bukan hanya bersandarkan rupa tapi juga bakat."
Memandangkan Alyah sudah banyak meraih pengalaman dalam mengharungi duri dan ranjau dunia seni suara tanah air, dia cukup prihatin dengan masa depan Chocolate.
"Tahan banting! Itu yang Alyah tekankan kepada anggota Chocolate, setelah banyak dugaan yang Alyah lalui begitu jua kekebalan yang Alyah mahukan daripada mereka," katanya yang tidak sesekali membebankan anggota kumpulan itu apatah lagi mengganggu pelajaran mereka.
Ditanya adakah kumpulannya memiliki kriteria yang sama seperti beberapa kumpulan anak muda yang baru tumbuh di negara ini, Alyah menjawab ketiga-tiga anggota kumpulan itu ada cara pembawaan dan stail sendiri.
"Alyah carikan pereka pakaian mereka sendiri, perunding imej dan konsep muzik yang mereka bawakan lebih kepada retro pop, contohnya jelas dapat didengar melalui single, Boomerang.
"Alyah juga paksa mereka untuk menjadi berani!" jelasnya lagi yang pernah tampil dengan single, Ku Pinjam Satu Bintang bersama Riz AF6.
Dier Yasin
Biarpun sibuk merencanakan pergerakan kumpulan Chocolate, Alyah juga secara rasminya menjadi selebriti yang terlibat dengan kempen Siapa Peduli? yang membantu mengutip derma untuk membina hospital kanak-kanak di bumi Gaza, Palestin.
Kempen itu juga menampilkan sebuah album kompilasi daripada artis ternama tanah air seperti Mawi, Azhan Atan, Putera, Mila, Jay Jay, Liza Hanim, Syafinaz, Hafiz AF7 dan Alyah.
Album Siapa Peduli? yang dijual dengan harga RM25 memuatkan 10 buah lagu selain sajak khas daripada sasterawan negara, Datuk A. Samad Said.
Sementara dalam album ini, Alyah terlibat menyanyikan sebuah lagu berjudul Dier Yasin Bercerita Pedih yang menceritakan bagaimana situasi bergolak di sebuah kampung di Gaza bernama Dier Yasin daripada kaca mata seorang kanak-kanak yang terselamat, Faimi Zeidan yang berusia 12 tahun ketika kejadian.
"Alyah dipanggil oleh Kak Zera (nama sebenarnya, Zaira Aziz) iaitu penerbit album ini pada bulan Jun lalu, terkejut pada mulanya tapi kesempatan ini amat bermakna bagi Alyah untuk menyumbangkan bakat yang Alyah ada setakat termampu.
"Mungkin secara fizikalnya Alyah tidak mampu berikan sumbangan tapi hanya melalui suara dalam lagu, Alyah harap orang ramai akan menderma untuk penjualan album amal ini yang akan disalurkan kepada anak-anak di Gaza," bicaranya lagi ketika turut terlibat dalam persembahan konsert Malam Siapa Peduli? sempena Minggu Konvokesyen USM ke-44 di Pulau Pinang baru-baru ini.
Menyelami penderitaan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kekejaman yang berlaku di Dier Yasin, kata Alyah lagi setiap kali menyanyikan lagu ini hatinya berombak-ombak dan hampir menangis.
"Apabila Alyah menyanyikan lagu ini, Alyah akan membayangkan bagaimana dahsyat dan kejamnya peristiwa yang berlaku di kawasan itu serta trauma yang dialami seorang kanak-kanak yang satu-satunya terselamat dalam kejadian itu," tuturnya menahan sebak.
Tanggungjawab sebagai ibu
Dalam pada sibuk dengan kegiatan seninya, Alyah rupa-rupanya tetap menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Jangan silap faham, Alyah sebenarnya menjadi ibu kepada dua orang anak angkatnya, Mohd. Al ,6, dan Naziatul Afiqah,3.
Ditanya penerimaan Alyah andainya kedua-dua permata hatinya itu akan turut terlibat dalam bidang seni sama sepertinya, ungkap Alyah: " Saya tidak kisah asalkan ilmu penuh di dada. Alyah mahu mereka menjadi seorang penghibur yang berdaya saing dan lengkap dengan pengetahuan."
Oleh kerana kesibukannya kini, kedua-dua anak angkatnya itu kini dijaga oleh ibunya di Gelang Patah, Johor.
"Tapi Alyah akan pastikan setiap hari akan bercakap dengan mereka walaupun sekejap, sekadar melepas rindu kata orang," getusnya yang teruja memikirkan masa depan kedua-dua anak angkatnya
sumber
Alyah temui Chocolate
Labels: Alyah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment