Enggan cinta dieksploitasi


ANEH. Percintaan mereka diketahui umum dan mereka juga tidak pernah menyembunyikan percintaan mereka yang pernah menjadi bahan berita media tempatan.

Namun ketika sidang akhbar filem Hantu Gangster, Rabu lalu di Petaling Jaya, Farid Kamil dan Diana Danielle yang merupakan teraju filem itu kelihatan seperti orang asing yang tidak mengenali antara satu sama.

Mereka kelihatan membuat hal masing-masing seolah-olah langsung tiada ikatan cinta yang menyatukan hati kedua-duanya.

Diana kelihatan asyik berbual dengan penyanyi Mizz Nina yang turut membintangi Hantu Gangster tatkala Farid disorong menggunakan kerusi roda oleh beberapa pembantunya untuk bersama-sama barisan pelakon lain yang menjayakan filem berkenaan.

Farid yang kelihatan sukar untuk duduk kerana menggunakan tongkat akibat kecederaan tempurung lutut yang dialami semasa penggambaran filem Dampak, Isnin lalu juga kelihatan tidak dihiraukan oleh Diana untuk duduk di tempat yang disediakan bagi sidang akhbar itu.

Lebih menambah kemusykilan mengenai hubungan cinta mereka itu apabila jurufoto Kosmo!, Rashid Mahfof memberitahu bahawa Diana, 21, menolak untuk bergambar bersama Farid, 31, walaupun kekasih hatinya itu berada tidak jauh daripada dirinya ketika itu.

Selepas berpeluang bertemu dengan Diana selepas sidang akhbar berkenaan, persoalan mengenai situasi berkenaan diajukan. Diana tenang menyatakan faktor di sebalik kenapa dia enggan bergambar dengan Farid adalah kerana itu adalah prinsipnya.

"Maaf, saya bukan nak jadi diva, tetapi ini soal prinsip. Saya tidak mahu kisah cinta dikomersialkan oleh pihak lain. Saya mahu peminat kenal kami kerana lakonan yang baik, bukan kisah cinta kami," jelasnya.

Pemilik nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson bagaimanapun dengan penuh terbuka memberitahu, hubungan cintanya dengan Farid mereka masih berjalan dengan baik dan tiada perselisihan faham, sebaliknya dia tidak mahu kisah cinta terlalu banyak dipaparkan dalam media.

"Nanti peminat lihat kami asyik mahu 'melekat' sahaja, orang akan bosan kalau selalu lihat kami asyik bergambar bersama sahaja. Minta maaf kerana tidak dapat tunaikan permintaan untuk bergambar dengan Farid," tutur Diana tulus.

Diana yang sebelum ini pernah berlakon beberapa filem seperti Magika, ...Dalam Botol dan banyak lagi itu juga menjelaskan, jika dia membenarkan kisah cinta mereka sering menjadi paparan umum, itu akan membuatkan ramai penerbit filem akan menggunakan mereka untuk melariskan produk mereka.

Tolak tawaran

Menjelaskan lagi keadaan sebenar agar tidak disalah anggap mengenai hubungan mereka, Diana berkata, dia tidak mahu populariti yang diraih kini disebabkan kisah cinta.

"Apabila sering ada muka kami berdua, peminat mungkin mengata, kami jaja kisah kami untuk popular. Saya dan Farid tidak mahu semua itu. Kami mahu popular kerana lakonan kami yang bermutu," ujarnya.

Dia yang pernah berduet bersama Imran Ajmain serta pelawak terkenal, Nabil untuk lagu Radio turut menjelaskan, mererka tetap akan menolak sekiranya ditawarkan watak pasangan bercinta dalam drama atau filem.

Bagi Diana, jika bergandingan bersama dalam satu filem, peminat akan menonton produk itu disebabkan kami bercinta bukannya kerana jalan cerita filem itu menarik dan sebagainya.

"Itu sudah dikira macam eksploitasi, saya tidak mahu semua itu, saya hendak peminat tonton lakonan saya kerana ia berkesan dan menarik," ujarnya.

Mengenai gandingannya bersama Farid dalam filem Hantu Gangster pula, Diana menjelaskan, dia sebenarnya tidak mengetahui Farid turut ditawarkan dan bersetuju untuk berlakon dalam filem yang sama.

"Penerbit juga tidak tahu kami sebenarnya bercinta, lagi pun dalam filem ini saya bukan bercinta dengan Farid tetapi dengan orang lain," tambahnya.

Sibuk sepanjang Ramadan

Walaupun kebanyakan artis lain di bulan Ramadan sibuk dengan menjual kuih raya dan berniaga di bazar Ramadan, perkara sebaliknya berlaku kepada gadis kacukan Melayu-Inggeris ini. Dia yang mempunyai jadual yang padat sepanjang bulan Ramadan kerana terpaksa memulakan penggambaran filem terbaharunya yang merupakan genre komedi seram, Kami Histeria.

"Bulan Ramadan tahun lepas juga saya sibuk, ingat tahun ini dapat kurangkan jadual berlakon ketika bulan puasa, tidak dapat juga rasanya sebab jadual memang padat," katanya.

Penggambaran filem berkenaan akan bermula pada hari ketiga bulan Ramadan dan berakhir tiga hari terakhir menjelang Syawal.

Disebabkan itu, Diana memberitahu, dia masih tidak sempat untuk membeli baju raya dan mungkin hanya memberi baju yang telah siap kerana kesuntukan masa.

"Tak payah tempah baju pun tidak mengapa, saya jenis yang senang dan ringkas, baju siap harga RM50 pun boleh pakai," ujarnya.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)