Dulu mengenali, kini memahami


PASANGAN ini mula bertemu sekitar dua tahun lalu untuk satu sesi fotografi bersama sebuah majalah tempatan. Namun, tiada sebarang ikatan yang terjalin antara Shila mahupun Sharnaaz sebaliknya hanya perkenalan sesama artis dan ia berlalu begitu sahaja.

Sehinggalah kedua-duanya bertemu sekali lagi ketika menjayakan klip video Patah Seribu nyanyian Shila. Berlakon sebagai pasangan kekasih dalam klip video itu, hubungan Sharnaaz dan Shila mula rapat selepas itu namun ia bukanlah cinta.

Pencipta klip video Patah Seribu, Micheal Ang kemudiannya menyusulkan cadangan kepada Astro untuk menghasilkan sebuah telefilem yang menggunakan judul yang sama, Patah Seribu.

Pihak Astro bersetuju malah mahukan Shila dan Sharnaaz membintangi telefilem tersebut. Kedua-duanya bersetuju dan akhirnya cinta mula berputik di lokasi penggambaran Patah Seribu.

Jika dulu, pasangan ini mengakui sedang dalam proses mengenali, kini mereka mengakui pula sedang dalam proses memahami. Namun, sejauh mana hubungan cinta anak perempuan tunggal ND Lala itu mampu pergi kerana Sharnaaz sendiri mengakui seorang yang panas baran.

Malah, khabarnya ke mana sahaja pasangan ini pergi mereka akan ditemani oleh ibu mahupun adik-beradik Shila.

Kosmo! bersemuka pasangan ini seterusnya merungkai segala intipati hubungan mereka ketika ditemui pada sidang media telefilem Patah Seribu di Alexis, Garden, Kuala Lumpur.

Sharnaaz tidak khianati Shila

Mengakui sedang dalam proses memahami sang kekasih, pemilik sebenar nama Sharnaaz Basir Ahmad, 27, memberitahu, tidak terdetik langsung di hatinya untuk mengkhianati cinta Shila kerana baginya penyanyi lagu Patah Seribu itu telah melengkapkan dirinya.

"Semua orang tahu keperibadian uncle ND Lala. Bagaimana dia menjaga anak perempuannya dengan baik. Tidak terlintas langsung di hati saya untuk mengkhianati cinta Shila.

"Dalam keluarga saya pun tak pernah ada unsur khianat. Kehadiran dia dalam hidup saya memang banyak membantu dari segi kerjaya saya dan sahsiah diri saya. Saya mengaku seorang yang panas baran. Tetapi Shila membantu meredakan saya seterusnya mengubah sahsiah diri saya ini," ungkapnya jujur.

Tutur Sharnaaz lagi, selama mereka bercinta sudah tentu berlakunya pergaduhan. Namun, tempoh pergaduhan itu tidak lama apabila selepas tiga jam mereka akan mula menghubungi antara satu sama lain dan berbincang.

Ditanya mengenai respons kedua-dua belah keluarga, ujar Sharnaaz, penerimaan keluarga Shila adalah memadai setakat hubungan mereka sekarang. Dia juga mengakui selesa dan menerima layanan yang baik daripada keluarga Shila.

Bagaimanapun Sharnaaz masih belum berpeluang menemukan Shila dengan keluarganya, dek kerana sibuk dengan kerja dan kekangan masa.

"Walaupun keluarganya menerima hubungan kami tetapi masih ada batas-batas dalam hubungan kami dan saya menghormatinya. Begitu pun saya menyedari dalam usia cinta yang masih muda ini, banyak perkara yang harus dijaga supaya tidak timbul pandangan negatif umum.

"Kata orang, masa ini lah peringkat yang paling menguji tetapi kita harus kuat untuk mengatasi segala halangan dan rintangan yang hadir," jelasnya yang sering ditemani oleh ibu atau adik-beradik Shila tatkala keluar dengan kekasih hatinya.

Melalui pengalaman keluar bersama kekasih sambil ditemani ahli keluarga tidak timbulkah rasa dikongkong? Saat diajukan soalan itu kepada Sharnaaz, ternyata pemegang Ijazah Logistik dari Kolej Olimpia, Kuala Lumpur itu tidak langsung merasai dikongkong malah menghormati perkara itu.

"Kalau dulu sebelum bercinta bila dengar keluar dengan pasangan kekasih dating sambil ditemani ahli keluarga rasa kelakar tetapi kini tidak lagi. Bila kita dah sayang seseorang itu kita tidak kisah. Lagipun, sebelum kami bercinta memang Shila sentiasa 24 jam bersama ibunya. jadi tidak timbul rasa dikongkong atau tidak selesa apabila keluar dengan Shila ditemani ahli keluarganya.

"Malah, saya akui lega dan boleh tidur lena bila berjauhan dengannya. Sebab, saya tahu dia tidak akan ke mana kerana sentiasa dijaga oleh keluarganya," tuturnya yang sudah berbincang mengenai masa depan bersama Shila tetapi belum ke tahap mahu berkahwin.

"Kami ada juga bercakap tentang masa depan. Tapi buat masa ini belum sampai ke tahap untuk berkahwin lagi. Memang kalau difikirkan saya pun bukan muda lagi, dah 27 tahun. Tapi saya rasa biar kami betul-betul bersedia. Sebab bila berkahwin ini, tanggungjawabnya lebih besar. Banyak perkara yang perlu diambil kira. Lagipun keluarga tak mendesak saya akhiri zaman bujang dalam masa terdekat ini," kata Sharnaaz lagi.

Sharnaaz cinta pertama Shila

Mempunyai pendapat sama dengan kekasih hatinya itu, ungkap Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah, 22, pula, dia dan Sharnaaz tidak mahu tergesa-gesa untuk ke tahap itu. Lebih-lebih lagi dia masih muda, baru 22 tahun.

Penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu ini merasakan buat masa ini dia belum benar-benar sempurna dan masih banyak yang perlu dipelajari di samping berusaha memberikan yang terbaik dalam perhubungan mereka. Shila turut mengharapkan semua pihak mendoakan agar perhubungan mereka ini berkekalan dan menuju ke arah kebaikan.

Dalam pada itu, ada suara nakal yang mendakwa Shila sendiri yang memilih Sharnaaz sebagai pelakon lelaki dalam klip videonya, Patah Seribu. Malah, menerima tawaran berlakon buat pertama kalinya dalam telefilem judul yang sama kerana ingin lebih mengenali hati budi dan mendampingi pelakon filem Seru itu.

Ditebak dengan soalan tersebut, Shila mengakui meminati lakonan Sharnaaz dalam telefilem Ungunya Cinta tetapi dia tidaklah sehingga mengambil peluang untuk mengenali pelakon itu dengan lebih rapat.

"Saya tidak meminta Sharnaaz untuk berlakon dalam klip video Patah Seribu sebaliknya Micheal Ang yang mencadangkannya kepada saya. Saya juga tak ambil peluang berlakon dalam telefilem Patah Seribu disebabkan ingin mendampingi atau mengenali hati budi Shahnaaz.

"Saya terima disebabkan telefilem ini mengangkat jalan cerita berdasarkan lagu Patah Seribu hasil ciptaan saya," itu lontaran kata-kata tersebut di bibir munggil Shila yang seterusnya mengakui tidak menyangka menceburi bidang lakonan dalam masa secepat ini.

Shila juga mengakui selepas bercinta dengan Sharnaaz dirinya lebih berasa tanggungjawab dan matang.

"Saya akui mengambil masa yang lama untuk menerima perasaan cinta yang lahir dalam diri saya. Namun, setelah mengenalinya saya boleh menerimanya dalam hidup saya dan tidak berselindung mengakui dialah cinta pertama yang hadir dalam hidup saya,

"Sebelum bertemu dengan dia saya seorang yang lain. Bukan berubah kepada yang buruk tetapi berubah kepada yang lebih baik," ujarnya lagi.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)