Dedah perkara sebenar


MEMEGANG gelaran sebagai juara program realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4) membuatkan dirinya tidak dapat lari daripada gosip-gosip liar yang cuba untuk menjatuhkan namanya.

Kira-kira setahun yang lalu pemilik nama Mohd. Faizal Ramly ini telah dihambat dengan pelbagai gosip angkara berkahwin dengan tidak memberitahu pihak media dan peminat-peminat. Pendek kata perkahwinan anak kelahiran Terengganu itu secara senyap-senyap dan sudah tentu menimbulkan misteri, khususnya buat pihak media – misteri yang harus dibongkar! Itu menjadi pencetus Faizal sering menjadi berita hangat yang malangnya bukan berunsur positif, sekali gus menenggelamkan publisiti tentang karier seninya.

Mengimbas semula pernikahan kontroversinya itu, menurut Faizal, dia dan isterinya Nur Asyikin Mansor, 24, telah diijabkabulkan pada 12 Februari 2009 di Temerloh, Pahang.

Katanya, dia dan Nur Asyikin sebenarnya sudah lama berkenalan tetapi selepas berlakon bersama dalam filem Momok The Movie, barulah mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

“Mungkin saya pun silap juga sebab tidak memberitahu media saya hendak berkahwin. Saya ingat nak buat majlis kecil-kecilan sahaja. Masa itu saya fikir nak buat benda baik, jadi buat apa nak tunggu-tunggu lalu kami pun terus berkahwin,” ucapnya ketika hadir pada sesi fotografi di Studio Utusan, baru baru ini.

Dalam pada itu, Faizal menegaskan dia ingin membetulkan fakta tentang berita yang ditulis sebelum ini yang mendakwa keluarganya di Terengganu tidak mengetahui tentang perkahwinannya itu.

Bukan untuk menegakkan benang yang basah tetapi Faizal hanya mahu memberitahu perkara sebenar kepada umum demi keberkatan hidupnya bersama keluarga di hari-hari yang mendatang kelak.

“Ketika (dihujani pertanyaan media) itu, keluarga saya sebenarnya panik kerana tiba-tiba sahaja wartawan datang dan menghubungi mereka di rumah. Keadaan itu membuatkan mereka panik dan secara tidak langsung keluar kenyataan bahawa mereka tidak tahu bahawa saya sudah berkahwin,” ujarnya.

Nikmat hidup berkeluarga


Lega selepas meluahkan mengenai perkara itu, Faizal sambil menguntumkan senyuman buat dua insan di sebelahnya yang benar-benar membawa sinar harapan yang terang dalam hidupnya kini. Jika pada tahun lepas, dia pertama kali bergelar suami, namun pada tahun ini dia melengkapkan dirinya dengan bergelar bapa pula.

Sememangnya kurniaan Allah memberikan rezeki yang tiada tolok bandingnya ini – seorang bayi comel yang dinamakan sebagai Nur Alia Damia, lapan bulan menambahkan lagi kebahagiaan rumah tangga yang didirikan Faizal dan isteri.

Justeru, sambutan hari raya kali ini benar-benar membawa keseronokan buat Faizal kerana ini kali pertama dia menyambutnya sebagai seorang bapa.

Ketika sesi fotografi ini kebahagiaan keluarga muda itu terserlah saat Faizal dan isteri asyik melayan telatah anaknya yang ceria setiap kali dirinya dirakam jurufoto.

“Saya mengakui dapat merasakan betapa nikmatnya hidup berkeluarga dan keseronokan menjadi seorang suami dan bapa kepada Damia yang keletahnya agak lasak ini. Selepas sudah berkeluarga ini, fokus saya pun lebih menjurus kepada keluarga terutamanya isteri dan anak-anak,” ungkapnya.

Selain keluarga, Faizal kini menumpukan perhatian kepada kerjayanya sebagai anak seni. “Tujuan saya berada di sini sebagai artis juga adalah untuk menjual bakat yang saya ada. Sebab itu kalau boleh, saya tidak mahu melibatkan isteri dan anak-anak dalam kerjaya seni saya,” tutur Faizal.

Bagaimanapun, Faizal bersyukur kerana peminat-peminat sentiasa dan masih menyokong kerjayanya sehingga sekarang.

“Bila terjumpa peminat, mereka juga sering bertanya khabar dan menanyakan perkembangan terkini diri saya,” ujarnya.

Sementara menurut Nur Asyikin, keputusan yang diambilnya untuk berkahwin dengan Faizal adalah tepat kerana dia tertarik dengan kesopanan dan senyuman Faizal.

“Faizal suka merendah diri dan tidak sombong, hormat orang tua, tidak berlagak dan yang paling saya suka senyumannya.

“Tetapi selepas berkahwin dengan Faizal, saya harus faham dengan kerjaya dia sebagai seorang artis dan mempunyai ramai peminat,” akuinya.


credit:KOSMO

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)