BUKAN menjadi perkara mengejutkan saat Norman Hakim mengambil kata putus mengikat tali pertunangan dengan Memey Suhaiza. Bahkan sebelum ini, bertebaran khabar angin yang mengaitkan pasangan itu bakal bersatu di alam rumah tangga dalam waktu terdekat selepas lama menjalin cinta.
Kini, tiada lagi rahsia apabila kedua-dua pelakon itu bersepakat mengikat tali pertunangan pada 13 September ini bersamaan hari raya keempat selepas sembahyang Asar. Sudah pasti, Norman, 34, dan Memey, 22, mahukan yang terbaik dalam hubungan mereka mengharungi fasa selanjutnya sebagai suami isteri.
Hadir bersama pada majlis berbuka puasa dengan Rumah An-Najjah dan Rumah Nurul Qanaah di Hotel Istana, Kuala Lumpur Rabu lalu, pasangan itu muncul berbaju sedondon rona merah. Wajah masing-masing, baik Norman mahupun Memey, jelas terlihat teruja menantikan hari bersejarah selang beberapa hari lagi.
Pantas sahaja, Norman mengakui sudah lama berniat untuk menjadikan Memey sebagai tunangannya. Cuma, belum bertemu waktu bersesuaian ditambah setiap daripada mereka harus menumpukan sepenuh komitmen terhadap dunia lakonan.
Berikut sedutan temu bual Habhib dengan pasangan berdarah manis itu.
Habhib: Tahniah diucapkan kepada Norman dan Memey yang bakal melangsungkan majlis pertunangan tidak lama lagi. Jadi, bagaimana dengan persiapan untuk acara ini?
Norman: Buat masa ini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran telefilem berjudul Sabar arahan Erma Fatimah sebelum dapat bercuti untuk hari raya. Alhamdulillah, segala persiapan dilakukan oleh keluarga. Tanpa mereka yang banyak membantu, saya tidak tahu macam mana kelak majlis pertunangan ini. Lagipun, saya tidak beria membuat upacara besar-besaran. Yang penting, adat seperti merisik dan bertunang ini tetap mahu dijalankan sebab saya mahu Memey rasa pengalaman pertama ini.
Memey: Saya juga tengah beri sepenuh tumpuan terhadap telefilem Osman Berani untuk siaran Astro Ria. Begitupun, dalam kesibukan berada di set penggambaran, kami sempat mencuri masa untuk membuat persediaan. Saya hanya pulang ke kampung dua hari sebelum raya. nasib baik keluarga saya juga banyak membantu menjalankan persediaan untuk majlis pertunangan ini. Saya akan memakai sepersalinan putih rekaan Ezuwan Ismail dan masih mencari jurusolek sesuai.
Mengapa ia diadakan pada hari raya keempat sedangkan waktu itu orang tengah sibuk menyambut lebaran.
N: Walaupun ia dilakukan pada hari raya, saya bagaimanapun rasa ia lebih bertepatan kerana pada waktu ini keluarga terdekat dan sanak saudara masih berkumpul di kampung halaman masing-masing. Justeru, mereka dapat hadir sambil memeriahkan majlis pertunangan kami walaupun ia dibuat dalam suasana cukup sederhana.
M: Saya tidak kisah dengan tarikh pertunangan ini yang berada pada hari keempat seluruh umat Islam menyambut hari raya. Yang penting, ramai keluarga dapat hadir sama menyaksikan hari bersejarah kami.
Bagaimana perasaan untuk bergelar tunangan orang?
N: Terus terang, perasaan saya biasa saja sebab sebelum ini pernah melalui proses mendirikan rumah tangga. Cuma, pada pendapat saya, apabila sudah lama berkawan, tibalah masa untuk saya melakukan anjakan paradigma terhadap hubungan ini agar ia dapat lebih keberkatan. Saya harus bergerak ke hadapan dalam soal ini. Institusi kekeluargaan menjadi pengasas dan akar umbi untuk saya membina masa depan karier dan bisnes dengan lebih baik. Saya dapati, ia soal rumah tangga terkait dengan bidang lain yang saya lakukan dalam hidup.
M: Saya hendak tergelak dan pada waktu sama mengucapkan syukur, rasa bahagia dan teruja kerana kami yang sudah lama berkawan berakhir dengan sesuatu yang baik. Sudah tentu saya gembira kerana dapat menjalani fasa pertunangan sebelum pergi pada peringkat lebih serius - perkahwinan.
Bila mahu mengadakan majlis pernikahan?
N: Dari segi kesesuaian masa, insya-Allah, ia bakal dilangsungkan pada tahun ini atau jika lambat sekalipun tahun depan.
M: Sama seperti apa yang dikatakan Norman, majlis pernikahan dijangka tidak lama lagi.
Apa yang diharapkan selepas Norman dan Memey mengikat tali pertunangan?
N: Sejujurnya, saya tidak boleh tutup sebarang tanggapan orang sama ada ia bersifat positif atau negatif. Saya ambil keputusan untuk bertunang dengan Memey bukan sebab hendak menyangkal pelbagai dakwaan kurang enak sebilangan masyarakat. Tetapi, pertunangan kami lebih dilihat sebagai peribadi ditambah saya dan Memey sudah bersedia sepenuhnya untuk melewati perjalanan seterusnya dalam hubungan ini.
M: Tiada apa yang dapat saya beritahu. Kenyataan saya sama saja seperti yang Norman kata tadi. Paling pasti, saya cukup bersyukur apabila hubungan ini dapat diakhiri dengan sesuatu yang diredhai Allah.
credit:KOSMO
Memey hampir tergelak
Labels: Memey Suhaiza, Norman Hakim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment