PENERBIT kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, tidak henti-henti dihambat kontroversi. Terbaru, nenek kepada seorang cucu itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam selepas permohonan untuk bercerai dipersetujui suaminya, bekas pemain badminton negara, Mohd. Jalani Mohd. Sidek, 49, tanpa sebarang syarat.
Perkahwinan mereka yang berlangsung selama 28 tahun itu gagal dipertahankan selepas Raja Azmi mendakwa dia tidak sanggup menanggung segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya sehingga suaminya pernah dituduh dayus oleh sesetengah pihak terutama ekoran tuduhan berkhalwat dengan jaguh badminton Roslin Hashim.
Justeru, bagi penerbit filem Anu Dalam Botol itu, perceraian adalah jalan terakhir serta terbaik bagi kedua-dua mereka. Pasangan itu bernikah di Kamunting, Perak pada tahun 1984 sebelum dikurniakan tiga orang anak, Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23 dan Megat Deli, 18.
Ikuti temu bual bersama Raja Azmi atau lebih mesra dipanggil sebagai Kak Mi ketika di temui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur semalam.
Sejak bila Kak Mi terfikir untuk bercerai dengan Jalani?
RAJA AZMI: (Terdiam agak lama sambil mengesat air mata) Pada sekitar Februari tahun ini. Ia terjadi atas silap saya sendiri kerana membiarkan diri dilanda pelbagai kontroversi. Selepas isu (perceraian) Roslin, kemudian tentang saya dan Roslin ditangkap khalwat di hotel, hari ini (semalam) akhbar Berita Harian tulis saya didakwa oleh Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) kerana berkhalwat tapi itu tidak benar. Saya tidak pernah didakwa, saya terima hukuman daripada Allah, saya tidak mahu memalukan suami saya lagi, dan dia dituduh sebagai dayus. Saya tidak sanggup difitnah dan dituduh dengan macam-macam dugaan.
Adakah tiada cara lain untuk selesaikan kemelut rumah tangga selain bercerai. Apakah usaha yang dilakukan Kak Mi untuk selamatkan perkahwinan?
Saya sudah melakukan macam-macam tapi saya dilanda beberapa masalah. (Saya) Sangat tertekan. Saya sudah cuba selamatkan (perkahwinan) tapi ada orang yang menekan kami supaya bercerai kerana melabel saya isteri yang jahat. Saya reda kerana saya sudah tak tahan lagi.
Maksudnya ada orang yang tidak puas hati dengan rumah tangga Raja Azmi?
Ya.
Adakah ini bermakna ada orang ketiga sehingga terjadi perceraian ini?
Tidak. Ini keputusan kami bersama, saya dan Jalani serta anak-anak, tiada pihak ketiga atau keempat. Ini memang keputusan kami.
Apa reaksi anak-anak?
Anak-anak sudah besar, mereka boleh fikir sendiri, sentiasa faham situasi kami dan telah didik dengan baik oleh Jalani, yang penting mereka ingin lihat kami berdua bahagia, tidak semestinya bercerai akan berakhir dengan kesedihan, keluarga tetap keluarga, saya dan Jalani berjanji untuk menjadi sahabat.
Kak Mi sudah bersedia dengan gelaran janda, dan dugaan selepas ini?
(Sambil ketawa kecil) saya sudah pun bergelar janda sekarang. Saya (sebenarnya) tidak tahu pada peringkat usia macam ini, rasanya tiada dugaan sangat.
Kenapa pilih hari lahir (semalam) untuk bercerai?
Itu kebetulan. Mahkamah yang bagi tarikh hari ini, walaupun ini bukan perkara baik tapi saya anggap ini hadiah dari Allah. Saya terima di dunia untuk membersihkan dosa-dosa saya. Kami sempat menyambut hari jadi malam semalam bersama keluarga di rumah.
sumber
Hadiah basuh segala dosa
Labels: Raja Azmi
Persona Insya Allah
PERJALANAN dari Jakarta menuju Anyer, memakan masa empat jam. Ia juga bukan satu perjalanan mudah, kerana dua jam perjalanan terakhir menuju destinasi yang terkenal dengan keindahan pantai dan panorama kampung itu memerlukan kami meredah jalan yang separuh siap dan berlubang teruk.
Selain kami, terdapat 78 kru dan barisan pelakon sinetron Insya Allah dengan 21 buah kenderaan juga terpaksa melalui situasi yang sama. Namun nasib mereka lebih baik kerana pemandu yang membawa barisan karyawan tersebut memilih jalan alternatif yang lebih elok.
Kepayahan menuju Anyer akhirnya terbayar. Lelah 24 jam menanti pelakon yang pertama kali terjun dalam bidang lakonan itu berbaloi. Sementelah, figura tersebut bukan calang-calang orang.
Beliau ialah Maher Zain. Ya, Maher Zain, penyanyi kelahiran Lebanon yang merupakan rakyat Sweden itu kini bergelar pelakon buat pertama kali dalam hidupnya.
Ironi, Maher tidak menjadi pelakon antarabangsa, setaraf profilnya sebagai penyanyi. Beliau sebaliknya terlibat sebagai pelakon di Indonesia, bersama semua produksi Indonesia dan beliau menjadi satu-satunya orang asing dalam produksi tersebut.
Insya Allah, judul sinetron 40 episod yang berjaya memujuk Maher untuk menjadi pelakon. Sinetron itu bakal ditayangkan sempena bulan Ramadan pada bulan hadapan di tiga saluran serentak iaitu SCTV (Indonesia), Astro Oasis dan Mustika HD (Malaysia) selain boleh ditonton oleh pelanggan Astro di Brunei.
"Pada mulanya, saya kata, saya tak akan berlakon. Namun apabila pulang ke rumah dan berfikir bahawa sinetron tersebut mempunyai mesej yang baik seperti pesanan dalam lagu-lagu saya, saya bersetuju," ujar Maher saat ditemui di lokasi penggambaran terakhirnya, di Marbella Hotel, Resort & Spa, di Anyer baru-baru ini.
Maher saat ditanya bagaimana beliau mampu memberi kata setuju kepada sebuah produksi Indonesia dan begitu asing bagi dirinya, pantas memberitahu: "Indahnya Islam adalah apabila ia mampu mencantumkan semua umatnya walau berlainan bahasa."
Membawa watak diri sendiri, Maher tidak perlu membuat transformasi dirinya sebagai seorang pelakon. Katanya: "Memang saya perlu berlakon sedikit, tetapi dalam kebanyakan masa, saya menjadi diri sendiri.
"Malah melalui sinetron ini, saya dapat menyampaikan banyak hal yang positif dalam setiap episod yang ditonjolkan selama sejam. Saya suka bagaimana setiap perkara yang berlaku mempunyai pengajaran tersendiri."
Tidak hanya muncul dalam beberapa babak, Maher sebaliknya memberi sepenuh komitmen apabila terbabit dengan 40 episod yang disiarkan. Ia juga sebagai satu keperluan kerana Insya Allah merupakan kisah perjalanan Maher dalam bertemu sahabatnya di Indonesia dan dalam kembara tersebut, dia berhadapan dengan pelbagai kisah kehidupan.
Ditanya tentang kesukaran menjadi pelakon buat pertama kali, ujar Maher, secara dasar, walaupun ia agak sukar memandangkan beliau agak pemalu apabila berhadapan dengan kamera, namun semua perasaan itu terhapus apabila mereka memulakan penggambaran.
Ujarnya, selain begitu selesa dengan lawan lakonnya, iaitu Fadly Padi serta produksi, beliau amat menyenangi kembara sinetron tersebut yang banyak menjalani penggambaran di kawasan kampung
"Sebagai seorang yang hidup di kawasan bandar, saya begitu teruja kerana dapat berlakon di kawasan kampung sekali gus melihat realiti kehidupan yang serba sederhana," ujarnya lagi.
Maher juga memberitahu, beliau tidak banyak berhadapan dengan kesukaran sepanjang penggambaran dijalankan selain mengaku kadangkala berasa lelah kerana perlu menjalani puluhan babak dalam sehari kerana kesibukannya sendiri.
Disogok antara lakonan dengan nyanyian, mana yang lebih melekat dihatinya, pantas Maher memberitahu bidang nyanyian. Bagaimanapun, beliau tidak menolak jika pada masa akan datang kembali terbabit dalam mana-mana naskhah yang mampu membawa pesan baik buat seluruh umat Islam di dunia.
Keluarga
Kesibukan yang tidak pernah berpenghujung bukan satu halangan buatnya menghabiskan kualiti masa bersama keluarga. Mengaku bahawa beliau mempunyai masa yang terlalu sedikit buat keluarga, justeru jika punya kesempatan, beliau akan membawa isteri dan anaknya bersama seperti ke Jakarta, Indonesia ini.
"Sejujurnya ia bukan satu perkara yang mudah buat saya. Tapi Alhamdulillah, isteri sangat memahami karier saya, sementelah sewaktu kami bertemu, saya memang telah sibuk dengan karier saya.
"Jadi kesibukan saya sudah menjadi satu hal yang semulajadi buat kami. Ia sudah seperti budaya hidup kami. Namun seboleh-bolehnya, saya mahu mencuri masa untuk dihabiskan dengan mereka," katanya yang paling lama telah berjauhan dengan keluarga selama tiga minggu kerana kesibukannya.
Percubaan Fadly
Seperti pengalaman perdana Maher, ia juga merupakan pertama kali vokalis kumpulan Padi, Fadly terjun ke dalam bidang lakonan secara komersial selepas 16 tahun bergelar penyanyi.
Menyifatkan ia sebagai pengalaman luar biasa, Fadly memberitahu, dia bersetuju untuk terbabit dalam sinetron tersebut kerana pesanan positif yang akan ditebarkan buat umat Islam selain menyatakan kekaguman terhadap karier Maher Zain yang mampu menghidupkan lagu-lagu Islamik membuat beliau tidak menolak tawaran yang datang kepadanya.
"Saya tidak pernah berlakon. Pengalaman membuat klip video tidak pernah sama dengan berlakon yang memerlukan banyak dialog dan saya sangat malu.
"Namun kerana inti sinetron yang sangat kuat, selain Maher sendiri berlakon, saya tidak mahu menolak peluang ini. Saya mahu turut serta dan menjadi sebahagian sejarah kembara seni Maher Zain," ujar vokalis berusia 36 tahun itu.
Membawa watak Fadly, teman Maher yang membantu beliau mencari sahabatnya, ujar pencipta lagu Upin & Ipin berjudul Sahabat Selamanya itu, kekangan yang dihadapinya apabila beliau perlu menghafal skrip, menjadi jurualih bahasa serta berbahasa Inggeris.
"Bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus, sedangkan dialog Maher 100 peratus dalam bahasa Inggeris. Tugas saya juga perlu menjadi jurualih bahasa buat beliau dan serentak menghafal dialog. Walaupun ia sukar, namun ini pengalaman yang mahal nilainya," katanya yang mengaku akan menolak tawaran berlakon jika perlu berlakon sendirian.
sumber
Labels: Maher Zain
Sasha enggan dedah punca cerai
TANGGAL 25 Jun lalu, kehadiran pelakon dan penyanyi Sasha Mohamad Saidin, 35, bersama ibunya ke Mahkamah Syariah Gombak Timur telah menarik perhatian segelintir pihak media yang sedang membuat liputan satu kes khalwat seorang pelakon.
Ketika itu Sasha yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite dilihat berbaju kurung dan berselendang hitam telah memasuki kawasan yang menempatkan Jabatan Agama Islam daerah Gombak Timur sebelum masuk ke mahkamah rendah bersama ibunya.
Apabila ditanya oleh pihak media mengenai kehadirannya di situ, ternyata artis jelita kacukan Melayu-Inggeris itu agak terkejut. Namun, dia sekadar memberi alasan mempunyai urusan berkenaan hal keluarga.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Kosmo! semalam, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu telah membuat pendedahan yang pastinya cukup mengejutkan ramai pihak terutamanya pengikut perkembangan dunia seni.
Kosmo!: Semalam beberapa orang wartawan melihat kehadiran Sasha dan ibu ke Mahkamah Syariah Gombak Timur. Apakah tujuan Sasha hadir ke mahkamah tersebut?
Sasha: Sebenarnya tujuan saya hadir ke mahkamah tersebut kerana mahu membuat permohonan cerai. Saya mengaku yang ketika ini saya memang mahu bercerai dengan suami saya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono.
Sebelum ini tiada sebarang cerita kontroversi yang membabitkan Sasha dan suami. Jadi, kenapa tiba-tiba mahu bercerai pula?
Buat masa sekarang, saya membuat keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan atau menceritakan mengenai perkara yang sebenar sehingga saya membuat keputusan untuk bercerai. Mungkin kalau sudah tiba masa yang sesuai nanti, barulah saya akan mendedahkan tentang permasalahan yang berlaku antara kami berdua. Namun, sekarang ini lebih baik saya berdiam diri sahaja terlebih dahulu.
Adakah Sasha akan membuat sidang akhbar khas dengan media untuk menceritakan permasalahan yang berlaku?
Saya tidaklah terfikir untuk membuat cara yang sebegitu. Cuma saya mahu segala yang berlaku dapat diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang boleh saya nyatakan, keputusan untuk bercerai ini merupakan keputusan kami bersama.
Bagaimana pula dengan perkembangan terkini kerjaya Sasha?
Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Natrah pada bulan lepas dan akan disiarkan di saluran RTM sebanyak 13 episod. Drama berkenaan diarahkan oleh Along Kamarudin dan saya memegang watak Adeline Hertogh yang merupakan ibu kepada Natrah.
Ketika konsert sempena sambutan ulang tahun KRU yang ke-20 baru-baru ini, Sasha dan anggota kumpulan Elite yang lain seperti Azza, Linda dan Watie turut membuat persembahan. Jadi, adakah Sasha tidak teringin untuk kembali menghasilkan semula album bersama Elite?
Kalau diikutkan sehingga kini hubungan saya dan anggota Elite yang lain masih lagi rapat. Namun, untuk kembali membuat kemunculan bersama-sama dengan menghasilkan album baharu agak sukar kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga.
Namun, saya sangat gembira semasa mengadakan persembahan semasa konsert tersebut apabila mereka yang datang turut menyanyi bersama-sama lagu yang kami nyanyikan iaitu GIG, Trauma dan Manisnya Senyumanmu.
Adakah Elite pernah mendapat tawaran untuk menghasilkan album?
Tidak dinafikan tawaran tersebut masih lagi ada dan saya sendiri memang sangat teringin melahirkan album terbaharu bersama Elite. Bagaimanapun, kalau boleh kami mahu album baharu tersebut mendapat sentuhan daripada KRU. Lagipun KRU yang membentuk Elite sehingga kami menjadi antara kumpulan wanita yang dikenali ramai.
sumber
Labels: Sasha Elite
Elfira Loy nafi berlagak
UMURNYA baru mencecah 18 tahun, namun masa depan Nurul Elfira Loy atau Elfira Loy dalam bidang seni tanah air dilihat semakin cerah.
Bersandarkan raut wajah manis serta keningnya yang terukir rapi, tawaran berlakon yang menanti gadis berjiwa kental ini datang mencurah-curah hari demi hari.
Namun sebagai seorang anak seni, dia tidak dapat lari daripada asam garam dunia glamor yang penuh ranjau ini. Terbaru, dia ditohmah sudah mula berlagak!
Bukan setakat itu, gadis kecil molek ini turut dikatakan gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang dimilikinya sehinggakan ada yang mengatakan dia alergi dengan barangan tidak berjenama.
Tidak mudah melenting, Elfira membalas kembali dakwaan tersebut. Katanya, jika benar sekalipun dakwaan tersebut, ia adalah untuk kepuasan diri dan yang paling penting, datang daripada hasil titik peluhnya sendiri.
Ikuti temu bual dengan heroin telefilem popular, Biar Mimpi Sampai ke Bintang yang sedang mengemas rumah ketika dihubungi Kosmo! pagi semalam.
Timbul satu perkhabaran yang mengatakan anda sudah mula pandai berlagak. Benarkah kenyataan ini?
ELFIRA: Saya sebenarnya sedikit hairan bagaimana perkara sebegini boleh timbul sedangkan setahu saya, sifat suka menggedik dan berlagak tidak pernah wujud dalam diri saya. Mereka yang mengenali saya semuanya mengetahui bahawa saya bukanlah jenis yang terlalu terbuka dengan orang yang tidak dikenali. Bagaimanapun, jika saya sudah percaya dan selesa dengan seseorang itu, barulah saya menjadi peramah. Jadi, dari mana datangnya sifat berlagak itu pula?
Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan sifat anda yang gedik?
Bagaimana orang boleh melabel saya sebagai gedik? Bila pula mereka melihat saya berperangai sedemikian? Jujur saya cakapkan, saya jarang keluar bersosial di tempat-tempat awam tanpa kehadiran ibu saya. Jadi, jika saya jarang berada di khalayak ramai, bagaimana pula mereka boleh melihat saya gedik? Saya sendiri tidak faham kenapa isu ini dibangkitkan.
Berdasarkan apa yang ditulis dalam sebuah akhbar, anda dikatakan gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang anda miliki. Adakah benar dakwaan tersebut?
Pada saya, kita tidak perlu untuk bercerita mengenai barangan tersebut kerana jika betul ia berjenama, orang lain pasti akan perasan sendiri. Lagipun tiada sebab untuk saya menghebah-hebahkan perkara tersebut kecuali ditanya mengenainya. Kalau ada orang bertanya, mestilah kita perlu menjawabnya. Namun untuk pengetahuan semua, saya tidak terlalu memilih sama ada sesuatu barangan itu berjenama atau tidak, yang penting saya selesa memakainya.
Jadi benarlah Elfira memang gemar membeli barangan berjenama?
Memang tidak dinafikan kadangkala saya ada membeli barangan yang berjenama seperti kasut dan beg tangan. Namun semua itu dibeli untuk kepuasan diri saya sendiri. Barangan tersebut lazimnya berkualiti tinggi serta tahan lama. Oleh itu, ia juga boleh dianggap sebagai satu pelaburan jangka panjang. Kasut yang dibeli pada tahun ini mungkin boleh digunakan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Pada usia yang masih muda, adakah sukar untuk mengawal kehendak untuk membeli barangan berjenama?
Saya sudah mula bekerja sejak berusia 12 tahun jadi saya tahu bertapa susahnya untuk mencari duit sendiri. Oleh sebab itu, saya sentiasa mengawal perbelanjaan dan tidak terlalu mengikut nafsu. Jika saya benar-benar inginkan sesuatu, saya akan berusaha mengumpul duit untuk mendapatkannya terutamanya jika barangan tersebut mahal dan berjenama. Saya tidak dapat melihat di mana silapnya kerana saya berbelanja dengan menggunakan hasil titik peluh saya sendiri.
Bagaimana anda mengawal perbelanjaan?
Ke mana-mana saya pergi, ibu saya sentiasa berada di sisi. Ibu yang banyak membantu menguruskan pendapatan saya. Setiap kali mendapat bayaran, saya dan ibu akan membahagi-bahagikan wang tersebut mengikut keperluan. Ada yang digunakan untuk membeli kelengkapan untuk berlakon, pembelajaran dan kegunaan seharian. Untuk berseronok pula, saya lebih gemar menghabiskan wang untuk keluarga.
Rezeki anda dalam bidang lakonan dilihat semakin melimpah-ruah, jadi apakah perkembangan terbaharu dalam kerjaya anda?
Alhamdulillah, saya semakin mendapat kepercayaan untuk melakonkan watak-watak yang lebih besar berbanding watak kanak-kanak sebelum ini. InsyaAllah dalam bulan Oktober nanti, drama terbaharu saya, Dalam Hati Ada Taman akan ditayangkan. Selain itu, saya juga akan terlibat dengan dua produksi filem yang bakal memulakan penggambaran pada hujung tahun ini.
sumber
Labels: Elfira Loy
Madonna hapus DNA sendiri
RATU penghapus asid deoksiribonukleik (DNA)! Mungkin itu gelaran terbaharu yang boleh dilabelkan terhadap Madonna.
Bintang tersohor itu sememangnya diketahui umum terkenal dengan lagak seorang diva, terutama dalam menetapkan syarat-syarat dan menyenaraikan benda-benda tertentu yang diinginkan setiap kali muncul dalam persembahan konsertnya.
Namun, Madonna mungkin satu-satunya selebriti yang bersikap ekstra diva apabila satu kumpulan pensterilan telah ditubuhkan khusus untuk membersihkan sebarang DNA dirinya yang terdapat dalam bilik khas tempat dia bersolek dan berehat di belakang pentas MDNA World Tour.
Ikon berusia 53 tahun itu juga menegaskan kepada pihak penganjur konsert jelajah terbaharunya itu bahawa hanya orang-orang tertentu yang disenaraikan oleh dirinya dibenarkan memasuki kawasan belakang pentas yang menempatkan bilik khas itu.
Promoter konsert jelajah itu, Álvaro Ramos yang menguruskan konsert jelajah Madonna di Portugal mendedahkan kepada akhbar The Mirror: "Kami dikehendaki menghapuskan segala bentuk DNA Madonna yang terdapat dalam bilik khas di belakang pentas konsertnya itu.
"Kami sendiri tidak dibenarkan masuk ke situ kecuali selepas Madonna keluar dari bilik itu sehinggalah segala DNA dirinya di situ telah dibersihkan. Malah, kami dilarang sama sekali menyentuh bilik tersebut jika proses pembersihan DNAnya itu belum selesai."
Tambahnya: "Kami hanya dibenarkan masuk ke bilik tersebut selepas segala DNA Madonna di situ telah dihapuskan yang termasuklah helaian rambutnya. Saya faham ia dilakukan untuk menjaga hak peribadinya tetapi bagi saya, ia sangat melampau."
sumber
Labels: Madonna
Sisih kontroversi demi prestasi
TIDAK ke mana kisah sensasi walaupun dijaja ke sana ke mari, lari jauh akhirnya bersua kembali. Ironi kisah kontroversi dalam arena hiburan ketepikan seketika.
Semarak kembali azam serta iltizam untuk membangunkan industri seni tanah air menerusi acara kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan akhbar Kosmo! yang dikenali sebagai Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012.
Bertemakan Pertahankan Hak, Kotakan Janji, acara tersebut berlangsung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur dari pukul 2 hingga 6 petang pada hari ini.
Acara kali ini rentetan kejayaan Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2011 pada 25 Julai tahun lalu, yang membawa kepada pindaan Akta Hak Cipta 1987 pada Oktober 2011 .
Ia tercapai berdasarkan kemahuan penggiat seni yang mahukan hak lebih eksklusif dan terpelihara selain menjaga karya intelek seni mereka agar tidak sewenang-wenangnya dimanipulasi sesuka hati.
Menyisihkan kisah ‘perang’ yang sedang hangat melanda tiga selebriti muda iaitu antara Neelofa, Anzalna dan Tasha Shilla, ketiga-tiga mereka turut tampil menyuarakan pandangan masing-masing berhubung isu hak sebagai karyawan laman seni tempatan.
Kata Anzalna, dia cenderung melihat himpunan yang mengumpulkan karyawan dari pelbagai cabang seni negara seperti penyanyi, pelakon, pelawak, komposer dan lain-lain itu sebagai medium penyatuan selain peluang bertukar-tukar pandangan.
“Selama ini kita sesama rakan artis pun kadangkala terlepas peluang untuk berkenalan antara satu sama lain walau dalam satu industri.
“Insya-Allah menerusi Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! tahun ini, saya akan memanfaatkan peluang sebaik mungkin untuk mengakrabkan tali silaturrahim dan saling mengenali,” katanya yang optimis akan kejayaan pindaan akta tersebut.
Tidak berdepan rintangan yang terlalu perit dalam industri hiburan walaupun masih dianggap umpama pucuk muda, dia masih berharap lapangan yang memberikan punca rezeki kepadanya itu bertambah matang.
“Saya tolak ke tepi pertelingkahan atau isu sensasi yang melibatkan saya dengan sesiapa dan profesionalisme adalah keutamaan saya,” ujar Anzalna lagi yang kini sedang sibuk dengan penggambaran telefilem 2 Dalam 1 bersama Anas Mentor dan Akim Akademi Fantasia untuk siaran Aidilfitri kelak.
Tasha sokong penuh
Aktres muda yang tidak pernah surut dengan kontroversi, Tasha Shilla atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd. Razak buat pertama kalinya menghadirkan diri ke majlis Hari Himpunan Bintang MyIPO- Kosmo!.
Meskipun terikat dengan penggambaran drama, Tasha tetap meluangkan masa untuk hadir ke acara ini kerana dia ingin memahami dengan lebih jelas hak-hak artis yang diperjuangkan oleh MyIPO.
“Saya hadir kerana saya ingin tahu tentang Akta Hak Cipta 1987 yang berjaya dipinda, apa kelebihan dan kebaikannya untuk artis seperti saya
“Selama ini kita sering dengar kalau jadi artis pasti tiada masa depan kerana industri seni tidak ada badan berwajib yang memperjuangkan hak kami selain persatuan seni yang ditubuhkan,” ujarnya yang juga sedang sibuk dengan penggambaran telefilem Pengawal Hatiku dan PA Cinta.
Jelas pelakon drama Gemilang itu, selain mendengar tentang taklimat tentang hak karyawan seni, acara yang yang dihadiri seramai 600 orang artis itu turut dapat membuka ruang untuknya berkenalan dengan artis senior dan baharu sepertinya.
“Bagi saya, perhimpunan seperti ini sangat bagus kerana saya sendiri tidak mengenali ramai artis lain, perhimpunan ini akan menghimpunkan artis senior dan junior seperti saya, jadi tidak secara langsung dapat merapatkan hubungan serta bertukar-tukar fikiran,” tuturnya.
Tasha berharap MyIPO harus kekal aktif dalam memperjuangkan hak penggiat seni bukan sekadar wujud atas nama sahaja.
“Namun, saya berharap sangat agar MyIPO akan terus hidup dan kekal aktif dalam memperjuangkan hak penggiat seni. Janganlah wujud atas nama sebaliknya harus sentiasa berkomunikasi dengan penggiat seni terutama menerusi persatuan-persatuan agar mudah disalurkan kepada ahli mereka,” luahnya.
Waktu kerja terlalu panjang – Neelofa
Seorang lagi aktres muda yang semakin popular Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa turut menyambut baik Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo!.
Meskipun tidak dapat menghadirkan diri kerana terlibat dengan penggambaran drama bersiri 26 episod sempena bulan Ramadan yang berjudul Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima, Neelofa tetap memberikan sokongan.
“Maaf, saya tidak dapat hadir kerana terikat dengan penggambaran drama tetapi saya tetap memberikan sokongan penuh kepada Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo!,” ujarnya.
Menurutnya, industri hiburan tempatan tidak jauh ketinggalan dengan industri hiburan negara lain jika diukur daripada kelebihan yang diterima oleh mereka yang bergelar artis.
Bagaimanapun, masih terdapat masalah yang sudah lama disuarakan oleh pelakon sepertinya terutama durasi kerja yang terlalu panjang.
“Masalah pelakon adalah durasi kerja yang panjang. Bukan tidak boleh kerja lebih waktu tetapi berpada-pada. Biasanya lebih 15 jam atau sehingga 3 hingga 4 pagi.
“Apabila disuarakan masalah itu, produksi mengatakan kos akan lebih tinggi jika penggambaran dilakukan banyak hari, tetapi bagaimana pula dengan nasib pelakon seperti saya. Mungkin boleh dibincangkan masalah ini dan dicapai kata sepakat menerusi perbincangan antara pihak penerbitan dan juga pelakon,” tuturnya.
Luah Neelofa, besar harapannya untuk melihat kewujudan MyIPO boleh membawa kepada perubahan dan menjamin masa depan artis serta penggiat seni tempatan secara keseluruhannya.
sumber
Labels: Anzalza, Neelofa, Tasha Shila
Zain Saidin jadi rapper
Jika sekitar tahun 1990-an penyanyi dan pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Sasha Saidin pernah popular bersama kumpulan Elite, kini adiknya iaitu Zain Saidin yang merupakan seorang pelakon, bakal mengikut jejak langkahnya untuk bergelar penyanyi.
Sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama Naziha dan Bukan Bidadari di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, pelakon yang pernah dikaitkan dengan Rozita Che Wan itu memberitahu dia bakal muncul dengan album sulung.
Menurut Zain, ketika ini proses rakaman berjalan dengan lancar dan berkemungkinan besar album sulungnya itu bakal menemui para peminat pada hujung tahun ini.
KOSMO!: Sebelum ini kakak Zain pernah dikenali ramai sebagai penyanyi. Adakah Zain tidak mahu mengikut jejak langkahnya?
ZAIN: Sebenarnya saya bakal melahirkan sebuah album tidak lama lagi yang berkonsepkan rap. Kini saya baru sahaja menyiapkan single pertama berjudul Transformasi dan saya sudah merancang untuk menghantarnya ke stesen-stesen radio.
Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum bergelar pelakon, saya memang mempunyai impian untuk menjadi penyanyi dan meminati lagu-lagu rap. Malah, saya hampir bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman, tetapi tidak jadi atas beberapa sebab.
Boleh ceritakan sedikit mengenai proses penghasilan album berkenaan?
Setakat ini saya telah merakamkan sebanyak empat buah lagu iaitu Transformasi, Niat Khalifah, Cinta Jelita dan Oh Raya. Untuk album ini saya bekerjasama dengan abang ipar, Salyo Priyanto yang juga suami Sasha dan rakan saya iaitu DJ Anowl.
Mengikut perancangan, terdapat sebanyak enam atau tujuh buah lagu yang terkandung dalam album tersebut dan semua lagu dihasilkan oleh kami bertiga. Kalau tiada sebarang halangan, album sulung saya akan menemui peminat hujung tahun ini.
Kenapa anda memilih Transformasi sebagai single pertama?
Tranformasi menjadi pilihan saya kerana lagu ini menceritakan mengenai transformasi yang saya lalui iaitu daripada bergelar pelakon kepada seorang penyanyi. Saya percaya lagu ini akan menjadi kegemaran ramai.
Berkenaan dengan kerjaya lakonan, adakah anda pernah terfikir untuk mengembangkan karier di Indonesia memandangkan wajah kacukan seperti anda agak mudah untuk menembusi pasaran di sana seperti yang dilalui Ashraf Sinclair?
Saya memang ada terfikir untuk berbuat demikian, tetapi mungkin selepas saya tidak lagi mendapat tawaran berlakon di Malaysia. Setakat ini tawaran lakonan yang diterima tidak putus-putus dan saya gembira untuk terus berlakon di negara sendiri.
Baru-baru ini timbul gosip mengenai hubungan Rozita Che Wan dan Beego. Apa komen anda mengenai gosip tersebut?
Kalau benar Rozita mempunyai hubungan dengan Beego, saya cuma boleh tumpang gembira. Malah, saya gembira kerana selepas ini saya tidak lagi dikaitkan dengannya, biarpun sudah banyak kali saya menjelaskan yang kami tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa sebelum ini.
Adakah anda masih lagi berhubung dengan Rozita?
Sehingga kini kami masih lagi berhubung, tetapi tidaklah terlalu kerap sangat kerana saya dan
Rozita sibuk dengan kerjaya masing-masing. Apa yang boleh saya katakan kami masih lagi berkawan seperti biasa.
sumber
Labels: Zain Saidin
Rita Rudaini fail bantahan perintah kembali taat
PETALING JAYA - Pelakon sensasi, Rita Rudaini memfailkan bantahan awal di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bagi menolak permohonan perintah kembali taat yang dikemukakan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.
Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36, memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mendapat arahan daripada anak guamnya untuk mendapatkan tarikh sebutan bagi memasukkan bantahan awal berkenaan.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian menetapkan sebutan kes pada 9 Julai depan untuk memberi peluang kepada Rita Rudaini (defendan) memasukkan bantahan awalnya berhubung permohonan perintah kembali taat difailkan Mohamad Aidil Zafuan (plaintif) pada 15 Mei lalu.
Terdahulu Rita Rudaini hadir ke mahkamah pada pukul 9 pagi, manakala Aidil Zafuan dan peguam syarienya, Ahmad Nazib Johari tidak hadir, namun mewakilkan seorang peguam dari Tetuan Ahmad Nazib & Associates.
sumber
Labels: Rita Rudaini
Hubungan Rozita, Beego buat Zain lega
PELAKON berwajah Inggeris, Zain Saidin mungkin dicemburui ramai lelaki gara-gara pernah mempunyai hubungan intim dengan janda seksi, Rozita Che Wan.
Lelaki yang juga adik kepada anggota kumpulan Elite, Sasha itu akhirnya mengakui lega dan tumpang gembira gara-gara khabar terbaharu Rozita yang kini dipercayai menjalinkan hubungan istimewa bersama pelakon, Beego.
Awalnya dia tidak tahu-menahu tentang Rozita dan Beego. Dakwa Zain, dia hanya menyedari hal berkenaan selepas mengikuti perkembangan yang dilaporkan pihak media. Apa jua pilihan Rozita, sebagai rakan baik, dia menerima dan menyokong dengan sesiapa sahaja yang akan menjadi pasangan aktres jelita tersebut.
"Kami sendiri sudah lama tidak berhubung, apatah lagi terlibat dengan penggambaran yang sama. Jika Rozita sedang menjalinkan hubungan dengan Beego, saya tumpang gembira untuknya, mungkin itu yang terbaik," katanya selepas pelancaran drama Naziha untuk slot Zehra di TV3.
Menerusi drama bersiri itu, Zain membawa watak Amri, seorang mat rempit yang melakukan kerja-kerja kotor untuk meneruskan hidup
sumber
Labels: Rozita Che Wan, Zain Saidin
Percakaran Anzalna, Neelofa
BERBUNYI klise, namun wanita memang golongan yang mudah menghidap penyakit hati. Pergaduhan kalangan artis juga bukan perkara baharu. Boleh dirumuskan sebagai cemburu, dendam dan tidak puas hati, itu faktor utama kepada perbalahan dua wanita cantik, Noor Neelofa Mohd. Nor, 23, dan Nur Anzalna Md. Nasir, 24.
Ketika ini, kudis yang bernanah dan membengkak di hati dua selebriti muda itu seawal mengenal erti populariti menerusi pertandingan Dewi Remaja sesi 2010/2011 ketara membusung. Jika sebelum ini isu berebut gelaran 'dewi' itu sekadar menjadi bisik-bisik dan mengisi plot sensasi tentang mereka, kenyataan terbaharu Anzalna kepada sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu menjadi klimaks kepada api perseteruan mereka.
Tuduhan Anzalna yang secara terang-terangan menyebut nama Neelofa sebagai menghina keluarganya, mewujudkan akaun Facebook membenci Anzalna secara terbuka bersama peminat serta beberapa tuduhan lain dianggap Neelofa sebagai fitnah yang melampau batasan. Dia bimbang impak besar yang akan meruntuhkan nama dan mencalar imejnya yang kini menjadi duta beberapa jenama. Lantas, tindakan menghantar notis seminggu kepada Anzalna dan menuntut bukti dan penjelasan terhadap fitnah yang telah disiarkan dianggap Neelofa sebagai rasional.
Ketawa baca tuntutan Neelofa
Sehari selepas kenyataan rasmi Neelofa yang melantik dua peguam untuk mengendalikan kes berkenaan iaitu, Ahmad Hidayat Md. Noor dan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak, Anzalna juga tidak kalah menunjukkan taringnya. Kepada Kosmo! Ahad, bintang drama Indera Joned itu bertegas akan berdepan tuntutan Neelofa secara undang-undang.
"Jika Neelofa boleh mengupah peguam, saya juga telah bercakap dengan peguam untuk menguruskan kes ini. Saya sudah melantik seorang peguam iaitu Fakhrul Azman. Saya percaya Fakhrul banyak pengalaman dalam menyelesaikan kes membabitkan selebriti, tidak sekadar Fazura sahaja bahkan Memey Suhaiza dan Norman Hakim juga.
"Hari ini (Jumaat), saya juga telah menerima dan membaca surat notis yang dihantar oleh peguam Neelofa. Membaca notis tuntutan berkenaan membuatkan saya ketawa. Saya langsung tidak takut dengan tuntutan itu.
"Sekarang terpulang kepada kebijaksanaan peguam saya. Ikutkan, saya mahu selesaikan perkara ini tanpa perlu ke mahkamah tapi kalau Neelofa tetap mahu saman, teruskan, saya sedia lawan," jelas Anzalna sambil memberitahu, dia ada cukup bukti yang Neelofa mahukan.
Ditanya jika terpaksa ke mahkamah dan berdepan tempoh perbicaraan yang panjang untuk kes yang pasti mengundang sensasi, pelakon Sepah The Movie itu akur demi maruah.
"Sekarang, orang sudah tuduh saya pembawa fitnah, jadi saya kena buktikan perkara itu tidak benar. Kalau ke mahkamah juga, lebih banyak keburukan yang orang tidak tahu akan terbongkar. Tapi, kalau Neelofa mahu menyelesaikan perkara ini secara damai, saya okey. Sekarang Persatuan Seniman juga beri perhatian. Saya jenis yang mudah berurusan," katanya tanpa rasa bersalah.
Sama ada Anzalna mahupun Neelofa, kedua-dua pelakon yang sedang mencipta nama itu bercakap penuh berani seolah-olah yakin masing-masing berada di pihak yang benar.
"Saya juga tidak bodoh untuk bertindak ambil tindakan tegas dan minta bukti daripada Anzalna jika tahu tindakan saya ini tidak berasas. Saya hantar notis agar Anzalna beri respons, setakat ini belum boleh kata saya mahu saman Anzalna, saya ikut prosedur undang-undang. Bagi saya, perkataan saman itu agak murah, sebab itu saya hantar notis agar Anzalna kemukakan bukti," jelas Neelofa ketika sidang media khas di One World Hotel, Bandar Utama, Rabu lalu
sumber
Eira Syazira basuh kekecewaan
MENGALIR bersama arus seni yang memperkenalkan siapa Eira Syazira seperti dikenali umum, wanita yang pernah diberi jolokan pelakon air mata itu tidak pernah mengalah. Setelah hampir sedekad dalam arena hiburan, dia cukup sedar, kelangsungan menjadi anak seni bukanlah satu tempoh yang mudah buatnya.
Pelakon yang pernah popular menerusi drama Cinta Balqis tidak terusik emosinya apabila bercakap tentang jatuh bangun kariernya. Bagi Eira, dia melihat kejayaannya dalam konteks peribadi. Benar, dia bukan nama besar atau gah dipuja di sana-sini, tapi kejayaan paling besar selama bergelar artis ialah keupayaannya untuk terus kekal di hati peminat.
Biarpun ada yang dengan mudah menggelarkan dirinya pelakon suam-suam kuku yang berangan hendak menjadi penyanyi, Eira juga tidak terguris jika ungkapan itu ditujukan kepadanya.
"Saya tidak rasa begitu. Suam-suam kuku atau tidak, yang penting saya sendiri tidak putus tawaran lakonan bahkan saya lihat graf saya berada di kedudukan yang selesa. Kerja-kerja lakonan saya banyak disiarkan di waktu perdana," ujarnya positif menangani keadaan.
Pelakon berusia 28 tahun itu juga percaya, setiap individu tidak hanya diberikan satu pilihan atau sekadar satu peluang. Dalam kes Eira Syazira, sengaja dibangkitkan satu persoalan berhubung status album sulungnya, Di Hati Ini. Ibarat guruh berdentum hujan tak jadi, kisah album dan langkah Eira sebagai penyanyi tiba-tiba sepi tanpa berita.
"Sepatutnya soalan itu ditujukan kepada syarikat SGM Sdn. Bhd. yang melabur dana untuk menerbitkan album berkenaan. Walaupun sudah dilancarkan dan dicetak sebanyak 2,000 unit, sampai hari ini, saya sendiri tidak tahu apa status album itu.
"Terkilan itu ada, namun bukan kuasa saya. Lagipun, semua kos album itu ditanggung pihak syarikat. Saya tidak boleh kata apa-apa. Kontrak dua tahun bersama syarikat itu juga sudah tamat," jelas Eira yang tidak mengalah untuk dikenali sebagai penyanyi.
Nyanyian beri keseronokan
Ada kematangan terselit daripada bicara isteri pelakon Azad Jasmin itu. Seperti ada rahsia yang tidak mahu diselongkar kembali, Eira akhirnya bercerita. Siapa sangka, di sebalik ketenangan dan kelembutan pada wajahnya, wanita yang sedang berbadan dua ini pernah diuji oleh janji palsu.
"Dahulu keterujaan saya untuk bergelar penyanyi itu membuak-buak. Jadi bila dapat tawaran, saya terus terima dan sanggup belajar menyanyi walaupun susah. Jadi, siapa tidak kecewa. Saya beranggapan rezeki tak menyebelahi saya ketika itu. Saya reda.
"Tapi, sesuatu yang tak disangka berlaku lagi apabila idea untuk merakamkan lagu runut bunyi untuk drama Bonda terbitan JS Pictures akhirnya membuka jalan baharu kepada saya. Lagu runut bunyi drama berkenaan, Prasasti Cinta ciptaan Manusia Putih kini menjadi single pertama saya yang sedang saya promosikan," kongsi Eira yang melihat nyanyian sebagai mata pencarian yang menyeronokkan.
Tambah Eira: "Lakonan kerjanya sepanjang hari di lokasi dan dibayar dengan jumlah tertentu sehinggalah penggambaran selesai. Nyanyian pula, saya sendiri keluar modal. Sukarnya sewaktu proses rakaman dan ketika berdepan penonton secara langsung di atas pentas. Tapi, turun sahaja dari pentas, saya boleh senyum dengan nilai wang yang dibayar secara tunai atau cek. Nyanyian, benda baharu yang banyak ajar saya untuk lebih kuat dari segi mental dan keyakinan diri."
Tidak puas dengan Prasasti Cinta, anak kedua daripada lapan adik-beradik itu menyimpan impian untuk muncul dalam sebuah duet bersama suaminya.
"Cuma buat masa ini banyak perancangan harus ditunda. Tunggulah lepas bersalin nanti. Dalam keadaan sekarang, saya agak lemah untuk memenuhi banyak tuntutan. Kalau diberikan rezeki, Insya-Allah, saya akan muncul dengan single kedua berjudul Sajak Dari Hati selepas selamat bersalin nanti," katanya yang kini hamil tiga bulan.
Jika diukur dari segi populariti, Eira sebenarnya bukan sesiapa. Tempoh hampir sedekad yang dilalui juga tidak banyak menumbuhkan cerita sensasi kecuali kontroversi yang berlaku di awal perkahwinannya dengan Azad. Sementelah Azad sendiri pernah kecoh dengan sengketa bersama Faezah Elai sewaktu di awal perancangan mereka sebelum bernikah September tahun lepas.
Antara Azad dan Eira, karakter mereka seperti langit dan bumi. Bersuamikan lelaki yang pantang terusik dan mudah melenting, itu sesuatu yang agak menggerunkan bagi sesetengah wanita.
"Azad sangat jujur dengan dirinya. Jika ada sesuatu yang tidak kena dan berasa teraniaya oleh pihak lain, dia akan bermati-matian mempertahankan haknya. Saya kenal sangat dengan sikapnya," beritahu Eira yang kini bakal sibuk dengan penggambaran sebuah telemovie untuk siaran menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Rezeki anak
Menanyakan khabar benih yang sedang membesar dalam kandungannya, Eira tersenyum menahan bahagia. Dalam bahagia menunggu kehadiran orang ketiga, ada kerisauan berselindung di sebalik sinar matanya.
Kali pertama, pengalaman pertama. Siapa jua akan berdepan perasaan sedemikian bahkan untuk ibu-ibu yang sudah ada punya anak, setiap kehamilan masih memberi pengalaman berbeza.
"Saya sebenarnya tidak sabar tapi pada masa yang sama berasa takut memikirkan situasi hendak bersalin nanti. Macam-macam cerita yang saya dengar, adakalanya buat saya bertambah takut tapi itulah yang saya mahu tahu," jelas Eira yang mengalami alahan sepanjang sejak mengandung.
Sedikit lemah dan kurang bermaya, namun demi komitmen kepada kerjaya Eira bergagah meneruskan penggambaran. Ketika temu bual ini dilakukan, Eira berada di lokasi telemovie Sejadah Dari Mekah.
"Sebenarnya sejak tahu tentang kandungan, saya bercadang hendak berehat tapi tak sampai hati hendak menolak tawaran. Saya anggap ini rezeki anak. Setakat ambil tawaran telemovie saya masih berani tapi tidak untuk drama bersiri atau penggambaran di luar Kuala Lumpur.
"Saya juga kena pastikan jadual Azad lapang untuk menghantar dan mengambil saya dari lokasi. Tanpa Azad atau adik, saya tak akan ke lokasi, takut nanti menyusahkan kerja orang lain pula," katanya yang belum memutuskan untuk bersalin di Kuala Lumpur atau rumah mertuanya di Pulau Pinang.
sumber
Labels: Eira Syazira
Waktu kejar kualiti
SIFAT sopan dan lemah lembutnya masih menebal. Namun dalam banyak sifat yang ditonjolkan oleh pelakon Diana Danielle sebelum ini, hal yang paling mengesankan, dia kini tampak lebih matang dan tahu diri. Diana yang mesra disapa sebagai D, telah jauh menanggalkan 'pakaian' ala keanak-anakkan.
Dia tersenyum sewaktu ditegur tentang perubahan sifat itu sebelum menjawab: "Setiap orang mempunyai fasa kehidupan tersendiri dan saya telah melalui fasa tersebut sebelum ini.
"Saya akui, jika bercakap dari segi kematangan dalam bekerja, saya mula menjadi matang selepas terbabit dalam filem Magika. Selepas terlibat dengan filem tersebut, saya mahu keluar daripada zon selesa dengan memilih kerja yang lebih mencabar..
"Ia termasuk mengambil kira soal persekitaran dan pergaulan. Semua itu telah membuat saya menjadi matang," ujar D.
Tambah D, dia juga sudah tidak mengejar populariti. Atas alasan tersebut juga, dia tidak kisah jika media massa tidak memainkan cerita tentangnya. Ujarnya, selama beberapa tahun menjadi anak seni, dia juga belajar untuk tidak perlu menonjol diri tanpa sebab atau bercakap tentang perkara yang sama berulang-ulang hanya kerana takut dilupakan khalayak.
Katanya: "Saya sedar saya bukan makin muda. Jadi, saya kena kerja keras dan fokus terhadap apa yang saya lakukan. Sebab itu, saya ambil tawaran seperti berlakon dalam filem Anu Dalam Botol.
"Orang kata kenapa saya perlu terbabit dengan filem kontroversi, tapi saya anggap saya terbabit dalam filem tersebut bukan sebab komersial, tetapi kerana saya mahu mencuba satu karakter yang serius, yang boleh menjadikan saya pelakon lebih baik daripada sebelum ini."
Sebenarnya, gadis berusia 20 tahun itu telah mula terbabit dengan dunia seni seawal usia sembilan tahun sebelum benar-benar tersangkut sebagai pelakon pada usia 14 tahun.
Selama tiga tahun pertama menjadi pelakon, dia mengaku tidak memilih atau menolak watak yang datang. Semua diambil sebagai satu proses pembelajaran, malah akuinya, pada waktu itu juga, ia dianggap sebagai zon selesa.
Namun kini, setiap tawaran yang datang dinilai dengan baik. Dia memilih untuk menjadi selektif bagi meningkatkan kredibiliti selain memberi fokus terhadap filem berbanding drama.
Justeru, saat dia muncul dengan naskhah terkini, Jiwa Taiko yang bakal ditayangkan pada 14 Jun ini, D menampilkan sisi lain terhadap bakat lakonannya.
Memegang watak Trisya, D banyak bermain dengan emosi sehingga lakonan intimnya dengan Remy Ishak sebagai Firman menjadi perbualan hangat selain harus arif tentang seni mempertahankan diri iaitu bersilat.
Mengulas tentang watak Trisya, D memberitahu: "Saya menjalani latihan seni mempertahankan diri selama sebulan, yang saya anggap tidak cukup bagi saya yang tidak mempunyai asas langsung. Tetapi, ia tetap satu pengalaman yang bagus buat saya.
"Tentang aksi lakonan dengan Remy, saya rasa jika orang yang memahami tentang teknik kamera, mereka akan tahu bahawa babak cium saya dengan Remy bukan dilakukan betul-betul. Ia hanya permainan kamera," ujar D yang mengaku lebih senang melakonkan watak romantik berbanding watak aksi.
Selain Jiwa Taiko, tahun ini, D turut menantikan beberapa buah filem untuk ditayangkan termasuklah Hantu Gangster. Untuk tahun hadapan pula, dua naskhah yang benar-benar menguji kredibilitinya, Hanyut dan Azazil bakal ditayangkan.
Ditanya bagaimana dia melihat dirinya dalam bidang seni, D memberitahu dia mempunyai impian yang besar untuk bermain dalam 'padang' lai dunia perfileman.
"Kalau boleh saya mahu terbabit dengan produksi filem luar, untuk filem indie juga tidak mengapa.
"Saya bukan mahu menjadi bintang antarabangsa, tapi mahu mengutip pengalaman yang berbeza kerana saya mengaku, saya cepat bosan dan tidak suka melakukan hal yang sama. Jadi, saya harap saya dapat mencuba benda baharu sebelum orang melupakan saya sebab saya melakukan hal yang sama," ujarnya bersungguh-sungguh.
Menyanyi
Selesa dengan corak kerja yang tidak terlalu padat, kata D, sebab itu dia mahu melunaskan juga impiannya bergelar seorang penyanyi. Bagaimanapun, hal tersebut tidak akan direalisasi dengan segera kerana bimbang hasilnya mengecewakan.
Mengaku dia tidak arif tentang dunia muzik selain mampu menyanyi, D kini memburu barisan komposer yang mampu membimbingnya menjadi penyanyi yang baik selain menghasilkan lagu yang bermutu.
"Saya tak mahu buat lagu asal boleh sebab saya nak sangat jadi penyanyi. Saya boleh tangguhkan hasrat untuk jadi penyanyi sehingga saya dapat material yang berkualiti. Kini saya sedang bekerjasama dengan Anas untuk sebuah single," ujarnya.
Memilih jalur soul, jazz dan blues, kata D dia tidak takut tentang penerimaan yang diketahuinya tidak luas terhadap muzik sebegini. Dia mahu melakukan apa yang disukai dan tidak punya niat untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada.
"Cukup sekadar dapat mengisi kebosanan saya yang mungkin tidak bekerja untuk tiga atau empat bulan selepas selesai satu filem. Jika mendapat undangan menyanyi dalam apa-apa majlis pun sudah okey buat saya," katanya lagi.
sumber
Labels: Diana Danielle
Ras Adiba disaman RM3.2 juta
KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat memfailkan saman berjumlah RM3.2 juta terhadap personaliti televisyen, Ras Adiba Mohd. Radzi kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian penjualan saham.
Pengarah syarikat Inki Plas Holding Sdn. Bhd., Nik Fauzi Nik Hussein memfailkan writ saman tersebut pada 3 Mei lepas menerusi Tetuan K.C. Tang & Co. di Mahkamah Tinggi di sini.
Kes tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes semalam di hadapan Pendaftar Norhanum Hassan dengan dihadiri peguam Datuk Mohd. Haziq Pillay bagi pihak Ras Adiba dan Mohammad Shafie Afendi, mewakili Nik Fauzi.
Haziq memberitahu pemberita bahawa Norhanum menetapkan 27 Jun untuk pengurusan kes.
Menerusi pernyataan tuntutan, Nik Fauzi mendakwa, beliau mempunyai pegangan saham di dalam syarikat Inki Plas Holding Sdn. Bhd. sebanyak 65 peratus dan bersetuju menjual kesemua saham tersebut kepada Ras Adiba.
sumber
Labels: Ras Adiba
Shuib tak sewel
TIDAK dinafikan terdapat sebilangan orang yang berasal dari kampung akan mengalami kejutan budaya apabila berpindah atau berkunjung ke kota-kota besar seperti Kuala Lumpur.
Itulah yang cuba dipaparkan menerusi Man Sewel Datang KL, sebuah filem yang mengisahkan kisah seorang pemuda kampung yang berpeluang datang ke Kuala Lumpur setelah diajak oleh rakannya.
Filem sulung terbitan Work Move Production Sdn. Bhd. turut menampilkan pelawak terkenal iaitu Shuib (Sepahtu) sebagai teraju utama untuk membawakan watak sebagai Man Sewel.
Pengarahnya, Abdul Rahman Adam yang ditemui sewaktu prebiu filem tersebut berkata, dia mengambil risiko dengan mengetengahkan elemen komedi lama dalam filem ketiga arahannya itu.
“Boleh dikatakan kebanyakan adegan yang dipaparkan juga agak klise. Misalnya, pemuda yang tidak mahu dijodohkan dengan gadis pilihan ibunya atau pemuda kampung yang gemar ke tempat-tempat hiburan apabila datang ke bandar.
“Namun, saya percaya filem ini mempunyai kekuatan tersendiri dengan garapan cerita yang menarik serta diperkuatkan lagi dengan adegan-adegan komedi yang mampu mencuit hati penonton,” ujar pengarah berusia 72 tahun itu.
Man Sewel Datang KL mengisahkan tentang Osman atau Man Sewel yang datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama Salim (Razali Hussain) yang merupakan rakan sekampungnya.
Bagaimanapun, Salim banyak mempengaruhi Man Sewel sepanjang melalui kehidupan di ibu kota. Malah, pemuda kampung tersebut juga sanggup menghabiskan wang setelah berkenalan dengan seorang bekas model iaitu Nadia (Julia Ziegler).
Selain menampilkan Shuib, Razali Hussain dan Julia Ziegler, filem tersebut turut dijayakan beberapa pelakon lain seperti Rosnah Mat Aris, Zaibo, Rafidah Ibrahim dan Siti Sarah Raisuddin.
Mengenai pemilihan Shuib sebagai teraju utama, Abdul Rahman menjelaskan pelawak tersebut mempunyai kekuatan dan tarikan tersendiri untuk membawakan watak sebagai Man Sewel.
“Walaupun baru pertama kali berlakon di layar perak, tetapi saya sangat berpuas hati dengan lakonannya. Cuma sesekali saya ada memberi sedikit teguran apabila melakukan banyak addlip dan terlupa skrip.
“Sebenarnya saya agak kagum dengan lakonan Siti Sarah dalam filem ini. Biarpun dia lebih dikenali sebagai penyanyi, namun dia telah menampilkan lakonan yang bagus dan dapat menjiwai watak dengan baik,” ujarnya.
Merupakan filem bergenre komedi ringan, penerbitan Man Sewel Datang KL yang menelan belanja sebanyak RM1.3 juta itu sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 31 Mei lalu.
Filem sulung
Selaku watak utama dalam filem sulung lakonannya itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Mohammad menganggap peluang berlakon dalam filem tersebut memberi banyak pengalaman tentang lakonan di layar perak.
Menurut Shuib, ketika mula-mula menjalani penggambaran, dia tidak yakin dapat membawakan watak Man Sewel dengan berkesan, tetapi berpuas hati setelah menonton filem lakonannya itu.
“Ini merupakan filem sulung saya dan banyak lagi perkara yang harus saya pelajari. Saya akui pada mulanya sukar untuk menjayakan watak ini, tetapi dengan bantuan pengarah saya mula mendapat keyakinan diri.
“Sekarang saya cuma menanti maklum balas daripada penonton. Segala komen yang diberikan saya anggap ia sebagai sesuatu yang positif untuk peningkatan kerjaya sebagai pelakon dan berharap filem ini akan mendapat sambutan,” ujarnya.
Menurutnya, selepas Man Sewel Datang KL terdapat lima buah filem lagi lakonannya yang bakal ditayangkan di pawagam. Tiga daripadanya, menampilkan dia sebagai teraju utama.
Antara filem-filem tersebut seperti Sepah The Movie, Amir dan Lokman Pergi Ke Laut serta Oh Mak Kau (OMK). Dalam filem Mael Lambung dan Tycoon pula, dia membawakan peranan sebagai pelakon pembantu.
sumber
Labels: Shuib
Perkongsian Tasha, Awan Band
LAGU Kartita memperkenalkan jenama Awan Band dalam arena seni tempatan. Single yang dilancarkan pada tahun lalu itu membuka ruang baharu untuk kumpulan itu mengeluarkan single kedua berjudul Lintasan Bintang.
Jika single pertama mereka banyak bermain elemen abstrak, kali ini kumpulan yang dianggotai oleh Faris atau nama sebenarnya Mohd. Shazee Zailani selaku vokalis, Boy (Mohd. Badlyshah, gitaris kedua), Hasnurr (Hasnurr Hashim, basis), Ully (Mohd. Shafry Mohmad, gitaris utama) dan Ijan (Rizal Yaakop, drum) memilih Tasha Shila untuk muncul dalam video klip terbaharu mereka.
Strategi bijak itu bagaimanapun didakwa cuba menumpang tuah dan populariti pelakon cantik manis itu, tambahan Tasha baru mendapat pengiktirafan yang diinginkan oleh setiap pelakon baharu dalam industri hiburan.
Kesempatan bersua dengan anggota kumpulan Awan Band dan Tasha Shila sendiri ketika penggambaran video klip Lintasan Bintang di Bandar Sri Permaisuri, Cheras baru-baru ini mendapatkan penjelasan lanjut.
Kosmo!: Boleh kalian ceritakan apa makna di sebalik single kedua, Lintasan Bintang?
AWAN BAND: Kisahnya tersurat sepertimana lirik lagu itu iaitu mengenai seorang lelaki yang bertemu semula dengan seorang gadis yang dikenalinya sejak kecil dan terbit rasa cinta. Namun, teman lelaki gadis itu muncul dan si gadis pula terperangkap antara cinta zaman kanak-kanak atau cinta terkini. Penggambaran klip video lagu ini dilakukan di sekitar Putrajaya dan Cheras serta diarahkan oleh Juril Jamali.
Memilih Tasha Shila untuk muncul dalam video klip kalian tidakkah itu dianggap menumpang tuah dan populariti beliau memandangkan sahamnya kini semakin meningkat?
Siapa kami untuk menumpang populariti dia? Pada mulanya kami ada menyenaraikan beberapa nama lain antaranya Nora Danish dan Izara Aishah tapi selepas mendengar cadangan kami tiga minggu lalu, dia terus bersetuju. Kami sedar orang akan memandang niat kami dengan sangkaan sebegitu tapi kami percaya pada bakat dia dan sentiasa mengikuti perkembangan karier dia. Lagipun, dia memenuhi kriteria gadis dalam klip video kami.
Awan Band difahamkan sudah lama bertapak dalam industri hiburan tapi kenapa baru sekarang kelibat anda diperhatikan?
Kami akui sejak tahun 2007 hingga sekarang agak sukar untuk kami mencari tapak untuk dikenali. Kalau dulu terpaksa pinjam gitar daripada band lain untuk membuat persembahan tapi bermula tahun lepas, Warner Music memberi kepercayaan kepada kami untuk bernaung di bawah mereka.
Apa kelainan album sulung Awan Band?
Album Awan Band dikeluarkan pada 29 September 2011 dan terdapat enam buah lagu di dalamnya iaitu Lintasan Bintang, Tunggu, All My Love, Dramatik, Kartita dan Roda Khayalan. Album ini sesuai dengan jiwa golongan muda kerana bersifat pop progresif memandangkan kami pun bermula daripada kumpulan indie.
Kosmo!: Tasha Shila menerima pelawaan Awan Band untuk bekerjasama menjayakan penggambaran video klip mereka, kenapa?
TASHA SHILA: Sebelum menerima ‘pinangan’ mereka, saya terlebih dulu membuat kajian mengenai latar belakang Awan Band dan saya melihat mereka ada potensi untuk pergi lebih jauh dengan muzik yang berbeza. Jadi, apa salahnya saya menerima.
Anda tidak merasakan mereka menumpang populariti anda memandangkan pemilihan dibuat selepas anda diiktiraf sebagai artis baharu yang kian menyerlah?
Kalau boleh bantu, saya tidak keberatan untuk berbuat demikian. Tidak salah rasanya untuk menumpangkan populariti yang saya kecapi sesama rakan artis. Lagipun saya juga bermula dari bawah sehinggalah sekarang sudah dapat bergandingan dengan pelakon yang saya idamkan.
Bagaimana anda menyifatkan kerjasama kalian sekarang?
Situasi menang-menang. Tidak salah saya bekerjasama sebab selagi kita tidak mencuba kita tidak akan tahu keupayaan masing-masing.
Anda difahamkan boleh menyanyi, kenapa tidak diketengahkan bakat itu selain berlakon?
Saya akui memang minat menyanyi dan kalau dahulu pun memang saya bercita-cita untuk menjadi penyanyi sebelum ditawarkan berlakon dan menjadi model. Saya pernah pergi ke sesi uji bakat program realiti nyanyian sebelum ini, tapi rezeki tidak berpihak kepada saya. Buat masa sekarang, saya ingin fokus sepenuhnya kepada bidang lakonan. Apabila sudah betul-betul puas, baru saya terjun ke bidang nyanyian.
sumber
Kesederhanaan Jason Mraz
The Remedy (I Won't Worry), I'm Yours dan You And I Both adalah lagu hit yang sering berkumandang di corong-corong radio tidak lama dahulu. Bukan sahaja di negara kelahirannya sendiri iaitu Amerika Syarikat, tapi di seluruh dunia.
Namun begitu, empunya nama Jason Thomas Mraz atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Jason Mraz, tidak menganggap dirinya sebagai seorang bintang besar, tetapi lebih gemar hidup dalam kesederhanaan.
Lelaki kelahiran Virginia, Amerika Syarikat itu memberitahu, dia lebih gemar untuk terlibat dengan aktiviti kemanusiaan dan juga mengusahakan sebuah ladang berbanding hidup dalam dunia glamor.
“Pada saya, hidup dalam serba sederhana adalah kehidupan yang sebenar kerana ia memberi saya kebebasan untuk melakukan pelbagai perkara dan mengetahui apa yang berlaku di dunia ini. Misalnya, dapat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, itu juga sebahagian daripada kehidupan saya.
“Saya juga berharap kehidupan seperti ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain. Namun, pada saya, inilah realiti kehidupan bintang yang saya jalani,” jelas Mraz menerusi temu bual melalui telefon di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.
Bagi Mraz, definisi sukses ialah dapat lakukan apa sahaja yang diminati, dan hal itu dapat dilakukannya setiap hari. Ini termasuklah aktiviti bermain muzik, meluangkan masa bersama rakan, makan makanan berkhasiat dan bercucuk tanam.
“Saya sangat bersyukur dengan kesihatan yang diberi dan bagi saya itu semua merupakan satu pencapaian yang baik dalam hidup saya. Saya mendefinisikan sukses melalui kegembiraan yang dikecapi dalam hidup setiap hari,” ujar penyanyi yang bakal hadir ke Malaysia buat kali kedua pada 19 Jun ini.
Datang lagi
Pertama kali Mraz hadir ke Kuala Lumpur bagi melengkapkan konsert jelajahnya ialah pada tahun 2009. Ketika itu, dia masih lagi popular dengan lagu yang ditunggu peminat ketika mengadakan konsert iaitu I'm Yours.
Kini, buat kali kedua, Mraz bakal mengadakan konsert yang bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 19 Jun ini, pukul 8.30 malam. Ia bersempena dengan kembara promosi album terkininya yang sudah berada di pasaran sejak April lalu, Love Is A Four Letter Word.
Bakal membuat persembahan bersama kumpulan baharunya, konsert tersebut dianjurkan oleh Scenique Concerts & Events Sdn. Bhd. and Live Limited dengan kerjasama Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd.
Konsert jelajah yang diberi nama, Tour Is A Four Letter Word itu bertujuan untuk mempromosi album baharunya yang berjudul Love Is A Four Letter Word dan ujar Mraz, dia sangat teruja untuk mengadakan konsert kedua tersebut.
Tiket boleh didapati pada harga RM345, RM295, RM235, RM185, RM195 dan RM75. Ia boleh dibeli di kedai muzik Rock Corner, Victoria Music dan KL Life Centre. Selain itu, lapan pemenang bertuah bakal memenangi pas belakang pentas dan bertemu dengan penyanyi tersebut.
sumber
Labels: Jason Mraz
Tun Siti Hasmah gugup, Erra tertekan
SEKITAR tiga bulan lagi teater yang mengangkat kisah hidup Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, 85, bakal dipentaskan di Istana Budaya. Ia diberi nama Teater Tun Siti Hasmah.
Dalam tempoh perjalanan tiga bulan ini, berkecamuk pelbagai perasaan dalam diri pendokong karakter tersebut, Erra Fazira. "Saya teruja dan berbesar hati kerana dapat membawa karakter tokoh ini, tapi dalam masa yang sama, agak tertekan kerana tanggungjawab saya besar apabila bersetuju untuk memainkan watak seorang tokoh yang masih hidup," ujar Erra tanpa selindung.
Jelasnya, apa yang lebih membuat dia tertekan adalah perlu mencapai piawaian yang sebenar tentang membawa karakter Siti Hasmah kerana menurut Erra, bukan sahaja Siti Hasmah sendiri yang akan menilainya, tetapi ia juga akan dinilai oleh individu-individu yang dekat dengan diri beliau seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri serta anak-anak mereka. Dalam masa yang sama, dia juga perlu meyakinkan khalayak tentang kredibilitinya membawa karakter tokoh tersebut.
Bagaimanapun ujar Erra, dia tidak mahu tenggelam 100 peratus dalam karakter Siti Hasmah.
Katanya: "Saya memang tidak akan lari daripada perlu membawa karakter Tun Siti Hasmah, tetapi saya juga tidak boleh terlalu berusaha kerana untuk meniru menjadi beliau. Apa yang boleh saya katakan untuk peringkat ini, saya akan cuba memberi gambaran terbaik tentang karakter beliau."
Baru dua kali bertemu dengan Siti Hasmah, aktres tersebut mengaku dia memerlukan beberapa siri pertemuan lagi untuk mendalami emosi Siti Hasmah sebagai seorang wanita, ibu kepada empat orang anak, bekas doktor, isteri kepada Dr. Mahathir dan bagaimana beliau menjalani kehidupan hariannya untuk memantapkan lakonannya kelak.
Jika Erra melahirkan rasa gundahnya untuk membawa karakter sehebat Siti Hasmah, bagi tuan punya badan sendiri, beliau mengaku malu untuk berbagi ceritera kehidupannya kepada khalayak. Ujar wanita yang dilahirkan di Selangor namun menghabiskan kebanyakan masanya di Kedah itu, beliau bukan sesiapa dan tidak mempunyai sejarah penting untuk diangkat ke dalam naskhah teater. Justeru, beliau juga gugup untuk dipentaskan sebagai wanita ikon.
Beliau yang ditemui semasa sesi temu bual santai tentang teater tersebut pada pagi Jumaat lalu, bagaimanapun memberitahu, akhirnya terpaksa memberi persetujuan selepas dipujuk selama setahun oleh pihak produksi yang mahu mementaskan riwayat hidupnya, World Islamic Network Television Sdn. Bhd. (WINTV).
"Secara peribadi, saya malu untuk diangkat ke pentas teater kerana beranggapan saya hanya seorang wanita biasa yang tidak mempunyai apa-apa sejarah besar untuk diberitahu kepada umum.
"Bagaimanapun, saya mengalah selepas didesak dan bersetuju kepada pihak produksi supaya ia memberi fokus terhadap perkhidmatan saya kepada masyarakat iaitu sebagai seorang pegawai kesihatan," ujarnya sambil tersenyum.
Ditanya bagaimana beliau mahu melihat corak pementasan tersebut, adakah ia lebih menekankan kehidupannya sebagai seorang isteri mantan perdana menteri atau memfokus terhadap kepakarannya sebagai doktor, Siti Hasmah pantas menjawab, beliau mahu divisualkan sebagai seorang pegawai kesihatan yang banyak berbakti dan memberi kesedaran kepada masyarakat.
"Saya lebih senang jika teater ini memberi fokus terhadap karier saya sebagai seorang pegawai perubatan. Selain itu, dalam masa yang sama, saya juga merupakan seorang isteri kepada suami yang taat dan hidup bahagia bersama suami saya," katanya penuh berhemah.
Tambah Siti Hasmah, adalah penting untuk khalayak diberitahu tentang kariernya kerana sewaktu zaman beliau berkhidmat sebagai pegawai kesihatan di Kedah ketika awal perkahwinan dahulu, beliau dan pasukannya telah berjaya menukar mentaliti masyarakat untuk meyakini bidang kedoktoran.
"Perkara yang membanggakan pasukan kami pada waktu itu adalah apabila mampu menukar mentaliti para ibu yang selalu mengambil khidmat bidang kampung sewaktu bersalin, agar menggunakan khidmat bidan terlatih daripada hospital. Untuk situasi pada zaman tersebut, ia dianggap sebagai pencapaian yang baik buat kami," ujarnya.
Malah besar harapan beliau untuk melihat impak teater tersebut kelak mampu dirasai oleh para pegawai kesihatan khususnya wanita yang berkhidmat untuk menyelamatkan banyak nyawa.
"Walaupun saya tidak berani mengatakan apakah impak yang akan diperoleh selepas teater tersebut dipentaskan kelak, namun besar harapan saya agar ia mampu memberi inspirasi buat pegawai kesihatan wanita khususnya," tambah Siti Hasmah lagi
sumber