TANGGAL 25 Jun lalu, kehadiran pelakon dan penyanyi Sasha Mohamad Saidin, 35, bersama ibunya ke Mahkamah Syariah Gombak Timur telah menarik perhatian segelintir pihak media yang sedang membuat liputan satu kes khalwat seorang pelakon.
Ketika itu Sasha yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite dilihat berbaju kurung dan berselendang hitam telah memasuki kawasan yang menempatkan Jabatan Agama Islam daerah Gombak Timur sebelum masuk ke mahkamah rendah bersama ibunya.
Apabila ditanya oleh pihak media mengenai kehadirannya di situ, ternyata artis jelita kacukan Melayu-Inggeris itu agak terkejut. Namun, dia sekadar memberi alasan mempunyai urusan berkenaan hal keluarga.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Kosmo! semalam, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu telah membuat pendedahan yang pastinya cukup mengejutkan ramai pihak terutamanya pengikut perkembangan dunia seni.
Kosmo!: Semalam beberapa orang wartawan melihat kehadiran Sasha dan ibu ke Mahkamah Syariah Gombak Timur. Apakah tujuan Sasha hadir ke mahkamah tersebut?
Sasha: Sebenarnya tujuan saya hadir ke mahkamah tersebut kerana mahu membuat permohonan cerai. Saya mengaku yang ketika ini saya memang mahu bercerai dengan suami saya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono.
Sebelum ini tiada sebarang cerita kontroversi yang membabitkan Sasha dan suami. Jadi, kenapa tiba-tiba mahu bercerai pula?
Buat masa sekarang, saya membuat keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan atau menceritakan mengenai perkara yang sebenar sehingga saya membuat keputusan untuk bercerai. Mungkin kalau sudah tiba masa yang sesuai nanti, barulah saya akan mendedahkan tentang permasalahan yang berlaku antara kami berdua. Namun, sekarang ini lebih baik saya berdiam diri sahaja terlebih dahulu.
Adakah Sasha akan membuat sidang akhbar khas dengan media untuk menceritakan permasalahan yang berlaku?
Saya tidaklah terfikir untuk membuat cara yang sebegitu. Cuma saya mahu segala yang berlaku dapat diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang boleh saya nyatakan, keputusan untuk bercerai ini merupakan keputusan kami bersama.
Bagaimana pula dengan perkembangan terkini kerjaya Sasha?
Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Natrah pada bulan lepas dan akan disiarkan di saluran RTM sebanyak 13 episod. Drama berkenaan diarahkan oleh Along Kamarudin dan saya memegang watak Adeline Hertogh yang merupakan ibu kepada Natrah.
Ketika konsert sempena sambutan ulang tahun KRU yang ke-20 baru-baru ini, Sasha dan anggota kumpulan Elite yang lain seperti Azza, Linda dan Watie turut membuat persembahan. Jadi, adakah Sasha tidak teringin untuk kembali menghasilkan semula album bersama Elite?
Kalau diikutkan sehingga kini hubungan saya dan anggota Elite yang lain masih lagi rapat. Namun, untuk kembali membuat kemunculan bersama-sama dengan menghasilkan album baharu agak sukar kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga.
Namun, saya sangat gembira semasa mengadakan persembahan semasa konsert tersebut apabila mereka yang datang turut menyanyi bersama-sama lagu yang kami nyanyikan iaitu GIG, Trauma dan Manisnya Senyumanmu.
Adakah Elite pernah mendapat tawaran untuk menghasilkan album?
Tidak dinafikan tawaran tersebut masih lagi ada dan saya sendiri memang sangat teringin melahirkan album terbaharu bersama Elite. Bagaimanapun, kalau boleh kami mahu album baharu tersebut mendapat sentuhan daripada KRU. Lagipun KRU yang membentuk Elite sehingga kami menjadi antara kumpulan wanita yang dikenali ramai.
sumber
Sasha enggan dedah punca cerai
Labels: Sasha Elite
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment