Dynas bermasalah hafal skrip


CENGKERANG mutiara yang menghiasi kediaman ibu bapa pelakon jelita, Wan Intan Edrinaz Datuk Wan Mokhtar (Dynas) menjadi tumpuan utama. Bukan sahaja kerana hiasannya yang cantik tetapi bayi kecil yang berada di dalamnya berjaya mencuri perhatian.

Diadakan sempena majlis cukur jambul dan aqiqah puteri sulung milik Dynas dan suaminya, Mohd. Hafizi (Fizy), Khyra Khalyssa kelihatan comel dalam dres kecil labuh berwarna putih. Meriah dengan kedatangan sanak saudara serta sahabat handai, majlis tersebut sepatutnya berlangsung lebih awal.

Namun, disebabkan persediaan yang tidak dapat disiapkan, majlis itu hanya berlangsung pada Sabtu lalu. Kata Dynas: “Sebenarnya majlis ini dirancang pada saat-saat akhir. Jadi, banyak benda yang tidak dapat disiapkan tepat pada masanya. Maka, ia ditunda sehingga minggu ini.”

Dilahirkan pada 24 April lalu, Fizy mengakui anaknya itu memiliki berat yang berlebihan berbanding bayi lain seusianya. Sudah menghampiri usia enam bulan, berat Khyra kini mencecah 6.9 kilogram. Menyukai perasaan menjadi seorang bapa, Fizy memberitahu dia sepatutnya menjadi ayah 10 tahun lalu.

“Kalau saya tahu menjadi ayah begitu menyeronokkan, 10 tahun lalu saya sudah mahu menjadi bapa. Selain belajar menukar lampin, saya juga kini kurang bekerja di luar Kuala Lumpur.

“Saya mahu memastikan saya berada di sisi Khyra sekurang-kurangnya sehingga dia berusia setahun. Lagipun, ibunya sudah mula bekerja sekarang. Jadi saya akan menemani Khyra semasa ibunya sedang bekerja,” kata Fizy.

Pernah keguguran pada tahun lalu, Dynas bagaimanapun menyatakan dia tidak akan memanjakan Khyra disebabkan pengalaman pahit itu. Bagi Dynas, dia seorang yang tegas dalam hal berkaitan kerja atau soal penjagaan keluarga.

“Memang saya lebih berhati-hati kali ini tetapi bukannya dengan memanjakan dia. Ya, dia amat berharga bagi saya dan keluarga tetapi ini tidak bermaksud saya perlu manjakan dia. Saya akan memberikan sepenuh kasih sayang tetapi berpada-pada,” ungkap Dynas.


Sudah bersedia untuk melahirkan anak kedua, Dynas bagaimanapun ingin menunggu Khyra berusia setahun lebih sebelum memulakan perancangan.

Mula bekerja selepas berpantang, Dynas sedang sibuk sebagai pengacara program Si Kecilku Chakk yang bersiaran pada setiap Selasa, pukul 11 pagi di TV3.

Selain daripada itu, dia baru sahaja menghabiskan rakaman drama, Gia yang disiarkan di RTM. Turut terlibat dalam penggambaran siri Awan Dania musim baru, Dynas kini lebih selektif dalam memilih kerjanya.

“Dulu kalau saya bekerja, saya akan pulang sebelum pukul 12 tengah malam. Sekarang, selepas mempunyai anak, saya akan pulang sebelum pukul 10 malam.

“Itu antara perjanjian dengan pihak produksi sebelum saya menerima mana-mana tawaran kerja. Saya juga tidak akan pergi ke luar negeri atau negara untuk penggambaran,” jelasnya lagi.

Bagaikan pelakon baru

Khyra akan dijaga oleh ibu, ibu mertua dan orang gajinya semasa Dynas sibuk bekerja. Namun, dia juga akan mencuri masa untuk menyusukan anaknya yang masih mengambil susu badan itu.

Merindui Khyra ketika mula kembali bekerja, Dynas juga mempunyai masalah untuk menghafal skrip. Tidak dapat memberikan tumpuan, Dynas juga berasa tertekan.

“Keadaan menjadi begitu teruk sehingga saya bertanya kepada orang-orang di sekeliling adakah situasi yang saya hadapi itu normal. Saya tidak boleh fokus dan tidak tahu apa yang berlaku. Semua skrip tidak dapat dihafal bagaikan saya seperti seorang pelakon baru. Namun, kemudian Daphne Iking memberitahu saya bahawa ia adalah benda biasa yang berlaku kepada setiap wanita yang baru bersalin,” kata pelakon berusia 27 tahun itu.

Terkenal dengan jenama fesyen sendiri, DnA Exclusive, Dynas kini lebih memberi perhatian kepada koleksi pakaian ibu yang sedang menyusu anak.

Malah, dia sendiri juga memakai jenamanya pada majlis cukur jambul anaknya itu. Selain itu, dia masih menjual pakaian kasual serta baju untuk ibu mengandung.

“Pakaian saya dijual secara eksklusif. Hanya ada dua atau tiga helai sahaja untuk satu-satu rekaan. Walaupun masih ada menjual pakaian kasual, pakaian ibu menyusu menjadi titik fokus sekarang,” ujarnya.

Menjual pakaiannya di laman web www.dna. com.my, jenama Dynas bagaimanapun akan dijual di pusat membeli-belah The Curve tidak lama lagi.

“Sekarang saya masih berbincang dengan pihak The Curve mengenai rekaan kedai saya kerana mereka mempunyai garis panduan tersendiri.

“Kedai saya akan berada di tingkat satu dan di bahagian luar. Ia lebih berbentuk kios kaca,” tambahnya yang juga terkenal sebagai model.

credit: jessabell

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)