Luaran saja dingin



Zulhuzaimy memang bijak berkata-kata kalau kena gaya

SUKAR didekati, sombong dan dingin serta bersikap acuh tak acuh. Itulah karektor Zulhuzaimy Marzuki yang menimbulkan rungutan kepada peminat, mahupun orang media yang hendak menemubualnya

Dari hujung talian, Zul seperti tidak berminat menjawab soalan yang diajukan. Sepuluh patah perkataan yang ditanya, hanya sepatah dua yang dijawab. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi pertemuan di majlis pengumuman 12 pasangan finalis Mari Menari serta pengumuman tenaga penasihat yang terdiri daripada Erra Fazira, Lisdawati, Ferhad dan dirinya.

Kesempatan untuk mendekati Zul dan menemuramah lelaki berusia 32 tahun tidak dilepaskan kerana bukan mudah melihat dia muncul di khalayak ramai. Lebih-lebih lagi kalau acara atau majlis itu tidak berkaitan dengannya.

Soalan pertama yang diajukan sebaik saja pelakon itu melabuhkan punggung di kerusi empuk di sebuah kelab di tengah-tengah segi tiga emas Kuala Lumpur tentu sekali mengenai sikapnya yang dikatakan ‘kekwat’ atau sombong.

Namun Zul bertanya kembali apa maksud perkataan ‘kekwat’, seraya mengeluarkan falsafah berbahasa Inggeris, katanya, untuk mengenali seseorang itu, kita perlu masuk ke dalam kasutnya.
Tutur itu bagaikan salam perkenalan selepas beberapa ketika berbual dengannya. Ternyata pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2009 itu bukanlah sukar untuk didekati.

Cuma perlu kena cara dan gayanya. Malah, dia yang lebih banyak bercerita sehingga terleka mendengar celotehnya.

Kehebatannya beraksi di depan kamera dan kelincahan bergerak di pentas teater menyebabkan bapa kepada seorang cahaya mata Awal Haziq yang berusia empat tahun itu mendapat kepercayaan menjadi seorang daripada empat tenaga penasihat program terbaru Mari Menari yang akan mula disiarkan pada 16 Oktober ini.

Segala persiapan berdepan tiga pasangan yang bakal berada di bawah jagaannya kini sedang dipersiapkan. Mendengar dia bercerita, menyerlahkan kesungguhan dan keikhlasan pelakon itu terhadap kerjanya.

Sebaik dilamar untuk memikul tanggungjawab dalam program itu, Zul mula membuat persediaan seperti mencari kembali nota yang pernah dipelajari sewaktu menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang sebelum ini dikenali Akademi Seni Kebangsaan atau ASK.

“Jangan kecewa mendapat saya atau penasihat lain hanya disebabkan kami pelakon. Janganlah meletakkan harapan orang setanding Michael Jackson atau Britney Spears untuk membimbing mereka, kerana kami juga ada pengalaman lain yang boleh dikongsikan bersama.

“Saya mahu melihat peserta di bawah bimbingan saya kelak mempunyai jiwa dan raga ketika membuat persembahan. Salah langkah ketika menari bagi saya tidak mengapa, asalkan penonton dapat merasakan gerak tubuh mereka,” kata pelakon itu yang sememangnya berkebolehan menari.

Wawasan Zulhuzaimy untuk program ini cukup besar. Dia mahu menurunkan segala ilmu yang pernah dipelajari ketika menuntut kepada pelajarnya nanti. Sebelum pelajarnya mempelajari lebih lanjut mengenai ilmu tarian, kata Zul, mereka terlebih dulu perlu tahu sejarah dan asal usul tarian. Tidak hanya di dalam negara, tetapi mereka juga perlu tahu sejarah tarian di seluruh dunia.

“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menari tetapi mereka perlu tahu sejarah. Mereka tak boleh sibuk menghafal langkah tarian tetapi mereka perlu ada jiwa ketika menari.

“Saya akan mengajar mereka bagaimana untuk mengatasi rasa gementar ketika membuat persembahan di hadapan penonton. Juga bagaimana menonjolkan apa yang ada dalam diri mereka. Selain itu mengenai pergerakan, pengurusan pentas dan ruang serta pencahayaan dan juga pergerakan kamera.

“Sejak diundang untuk menjayakan program ini, saya mula buat persiapan rapi. Segala nota yang pernah saya belajar dulu semuanya dikeluarkan balik, saya memang tidak membuang nota yang dipelajari kerana mengikut pesanan pensyarah. Katanya, apa yang kita pelajari jangan dibuang, sebaliknya di simpan kerana kita tak tahu satu hari mungkin kita akan mencarinya kembali,” kata Zul.
Memang ketika menyertai Mari Menari, Zul sendiri bertanya kenapa dia? Sedangkan masih ramai lagi insan lebih berbakat.

Bagaimanapun hatinya terpanggil menerima pelawaan itu kerana berasa tanggungjawab untuk berkongsi ilmu yang dimiliki dengan peserta program realiti baru itu.

Ini bermakna, selepas ini saban minggu wajah Zul akan kelihatan muncul di kaca televisyen. Zul memberitahu, selama ini bukan dia tidak suka tampil ke depan tetapi peluang tidak banyak yang datang kepadanya.

“Bukan saya mengelakkan diri atau tidak suka ke depan. Saya juga memerlukan publisiti tetapi peluang tidak datang kepada saya untuk menonjolkan diri,” katanya

credit:serima

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)