Rindu, sunyi dan kehilangan


TIDAK menjadi rahsia lagi mengenai berita penceraian pelakon dan penyampai radio, Raja Azura dengan Adzmin Tan Sri Osman kerana ia sudah dilaporkan oleh semua media utama

Dan kini, selepas hampir tiga minggu bercerai, Raja Azura yang juga dikenali dengan nama di pentas sebagai Kak Engku mengakui betapa hidupnya kini dibelenggu rasa sunyi, rindu dan terasa ‘kehilangan’ selepas bercerai pada 28 September lalu.

Tanpa berselindung, Raja Azura yang lebih dikenali dengan nama pentas sebagai Kak Engku, menegaskan dia bersedia rujuk kalau Adzmin jujur untuk berbuat demikian.

"Ia (penceraian) sekali gus menilai perasaan kami. Adakah perkahwinannya seharusnya diteruskan atau perlu meletakkan titik noktah? Nyata, perceraian ini mematangkan kami. Saya yakin jika jodoh kami panjang, ruang dan harapan memulih serta menyelamatkan rumah tangga masih terbentang luas.

"Peluang rujuk atau berkahwin semula masih terbuka kerana perceraian bukanlah penamat kehidupan. Selagi nyawa dikandung badan, segala-galanya belum selesai. Saya akui jika saya sayangkan seseorang, saya akan menyayanginya sampai mati. Terserah pada Adzmin, saya sentiasa menunggunya,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah tidak ada lagi ikatan suami isteri, hubungan dengan Adzmin masih rapat dan mereka kekal menjadi sahabat yang baik demi anak-anak kami yang masih kecil dan memerlukan perhatian ibu bapa.
"Saya tidak sanggup melihat anak-anak terabai disebabkan perceraian. Mereka tidak pernah tahu apa yang berlaku, malah hingga hari ini mereka tidak pernah diberitahu saya dan Adzmin sudah berpisah. Adzmin melaksanakan tanggungjawabnya sebagai bapa seperti biasa, cuma tidak tinggal sebumbung dengan kami selepas melafazkan talak pada saya.

"Adzmin pulang ke rumah selepas saya keluar bekerja kira-kira jam 5 pagi. Dia masih menidurkan anak-anak sebelum pulang ke rumahnya. Jadi, anak-anak tidak pernah sedar kami sudah berpisah. Kami bukan berlakon, tetapi apa yang dilakukan demi tidak mahu mengganggu dan melukakan perasaan anak-anak. Atas permintaan Adzmin, dia juga mahu ikut serta dalam apa saja majlis keluarga atau percutian," katanya.

Mengakui sangat kecewa dengan apa yang berlaku tetapi keputusan amat berat terpaksa dilakukan kerana dia tidak sanggup untuk berkongsi kasih dengan ‘orang ketiga’.

Kak Engku, 38, dan Adzmin Tan Sri Osman, 37, yang dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 7, Megat Luqman Hakim, 6, dan Puteri Mia Maizura, 4, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor pada 28 September lalu. Ia dilakukan dalam prosiding tertutup atas permintaan mereka.

"Saya buntu seketika. Rumah tangga kami sudah bergolak sejak tujuh tahun lalu tetapi saya masih berusaha mempertahankannya. Bagaimanapun, saya hanya manusia biasa, tahap kesabaran saya ada batasannya. Apabila bekas suami tidak mampu bersikap jujur, saya tekad memfailkan perceraian. Ruang sudah diberikan, tetapi perselisihan antara kami tidak mampu diselesaikan.

"Tidak guna memaksa hati dan perasaannya. Saya punya perasaan, saya tidak rela berkongsi apa yang dimiliki dengan orang lain. Bagaimanapun, saya sentiasa memaafkannya walaupun hati dan perasaan saya terluka dalam.

“Apapun yang dilakukan pintu hati saya sentiasa terbuka untuknya, tetapi Adzmin perlu berubah. Kembalikan kepercayaan saya. Ambillah masa selama manapun, saya dan anak-anak sentiasa menanti kehadirannya dalam hidup kami,” katanya.

Kak Engku juga menegaskan, kasih dan sayang serta kesetiaan pada suaminya memang tidak berbelah bagi kerana selama sembilan tahun mendirikan rumah tangga, hanya Adzmin saja lelaki yang sentiasa bertakhta di hatinya.

Mungkin lama memendam rasa, Kak Engku kelihatan cengkung tetapi masih mampu berlawak, satu sifat semula jadi yang ada pada dirinya.

Kak Engku berkata, bekas suami memang ada memintanya memberikan ruang untuknya memperbaiki kekurangan diri tetapi dia tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila perkara sama berulang.

"Kami tidak bersengketa malah sepanjang perkahwinan Adzmin tidak pernah bergaduh, meninggikan suara dan mengangkat tangannya pada saya. Cuma perselisahan antara kami tiada mampu diselesaikan melainkan dipulihkan dengan perceraian. Rumah tangga mana tidak bergelora, tetapi kami bercerai secara aman, selain berusaha mencari jalan penyelesaian selama tiga bulan tempoh edah.

“Saya tahu Adzmin sendiri pun memang sangat berat hati mahu melafazkan talak tetapi terpaksa mengikut permintaan. Saya percaya perceraian bukan bermakna rumah tangga kami tidak dapat diselamatkan lagi. Pemimpin, ulamak, orang kenamaan dan artis juga bercerai,” katanya

credit: rajamawar

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)