Dunia baru Amber-Nadia


KEDUA-DUA figura jelita ini baru sahaja melepasi satu lagi episod hidup yang memberi 1001 keistimewaan tersendiri.

Aktres dan model tersohor, Amber Chia kini beralih status daripada seorang isteri kepada seorang ibu selepas melahirkan seorang bayi lelaki pada penghujung September tahun lalu.

Pendatang baru, Nadia Heng pula sedang mempersiapkan diri untuk beraksi di pentas peragaan dan mencuri tumpuan lensa selepas dia dinobat juara Ratu Cantik Malaysia 2010.

Begitupun, apa yang pasti, sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, kedua-dua rupawan itu mengharapkan dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam kehidupan dan keseimbangan dalam apa juga yang dilakukan.

Anak perempuan

Memulakan bicara dengan Amber terlebih dahulu, model tinggi lampai itu memberitahu, sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini memang mempunyai kelainan yang amat ketara bagi dirinya.


Selepas selamat berkahwin dengan dengan kekasihnya, Adrian Wong, 37, pada 25 Mac tahun lalu, kehidupan Amber kini diserikan dengan kehadiran Ashton Wong dan perayaan tahun ini merupakan yang terindah baginya.

"Tahun ini ada kelainan sebab saya akan sambut dengan suami dan anak. Selain itu, tahun ini juga merupakan tahun pertama saya beri angpau kerana sudah berkahwin. Sudah tentu ramai orang akan cari saya untuk mendapatkan angpau.

"Pada tahun ini juga, buat pertama kalinya saya akan merayakan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur kerana anak saya masih kecil. Jadi, pada tahun ini, rumah saya akan menjadi tumpuan sanak saudara untuk beraya bersama-sama," katanya yang sebelum ini akan balik ke Tawau, Sabah untuk beraya.

Amber yang ditemui semasa majlis pertunjukan fesyen The Green Cheongsam di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini turut meluahkan keterujaan membeli-belah pakaian untuk Ashton sehingga persiapan sendiri perlu ditangguhkan sementara.

"Semua kelengkapan untuk anak saya sudah siap sehingga persiapan saya sendiri tertangguh. Bagi saya, semua ibu pun begitu, mereka lebih dahulukan kelengkapan anak berbanding diri sendiri.

"Begitupun, saya masih sempat untuk membeli perhiasan rumah yang baru dan warna merah menjadi warna pilihan. Bagi saya, setiap kali tiba hari perayaan, saya mahu semua kelihatan baru termasuk pakaian dan perhiasan rumah dan itu sememangnya merupakan tradisi masyarakat Cina," katanya yang lahir pada tahun rusa.

Sekalipun sudah mempunyai keluarga sendiri, Amber tidak akan sesekali meninggalkan rutin azalinya sebagai seorang model kerana bidang itu merupakan minatnya sejak sekian lama.

"Walaupun sudah bergelar ibu, saya akan terus menjadi model dan pada masa depan, jika khidmat saya masih diperlukan, saya akan terima. Pada masa yang sama, saya juga mahu mengukuhkan lagi perniagaan saya.

"Pada tahun ini, saya berhasrat untuk membuka dua lagi cawangan Amber Chia Academy di Pulau Pinang dan Johor Bahru selepas dua cawangan pertama di Petaling Jaya dan Melaka menunjukkan prestasi yang baik," tutur anak ketiga daripada enam adik beradik itu.

Amber juga amat bertuah apabila ibunya yang sudah berpindah dan menetap bersamanya kini akan menjaga Ashton pada sebelah siang sewaktu Amber dan suami keluar bekerja.


"Selepas kelahiran anak saya, ibu saya adalah orang yang paling gembira kerana Ashton adalah cucu lelaki pertama dalam keluarga. Dalam adik-beradik saya pun hanya ada seorang lelaki sahaja. Cucu pertama dalam keluarga saya ialah perempuan dan kini dia sudah berusia 12 tahun, jadi selama 12 tahun ibu saya menunggu saat-saat kehadiran bayi lelaki," ujarnya dengan diiringi tawa kecil.

Selain mahu mengukuhkan empayar perniagaannya, Amber turut menyimpan impian untuk memilik seorang lagi anak pada tahun depan iaitu pada tahun naga.

Hanya mahukan dua cahaya mata, Amber sangat berharap agar anak bongsunya itu nanti merupakan anak perempuan.

Bagi model berusia 30 tahun itu, kedatangan tahun arnab pada perayaan tahun ini tidak mempunyai banyak perbezaan kerana ia hanya melambangkan karakter seseorang sahaja.

"Bagi saya, ia tidak bermakna apa-apa. Semua binatang bagus. Bagi saya apa yang paling penting ialah pembawaan diri sendiri kerana ia yang akan menentukan hala tuju hidup seseorang.

"Bercakap mengenai feng shui pula, saya tidak akan mempercayainya 100 peratus, tetapi saya akan tetap dengar dan ambil tahu mengenainya," jelasnya ringkas.

Isu kahwin

Berdarah campuran Inggeris-Cina, Nadia Heng tidak pernah sesekali melepaskan peluang untuk berkumpul bersama keluarga tersayang untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

Seperti tahun-tahun sudah, Nadia bersama kakak dan ayahnya akan balik beraya di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk bersama ahli keluarga yang lain.

"Selepas menetap di United Kingdom kira-kira 10 tahun yang lalu, saya menghabiskan masa kanak-kanak saya dengan membesar di Port Dickson dan itulah kampung saya.

"Jadi, setiap kali Tahun Baru Cina, kami sekeluarga akan balik ke sana meskipun pada tahun ini hanya segelintir sahaja keluarga yang akan balik," kata model berusia 25 tahun itu.

Sebaik bergelar Ratu Cantik Malaysia pada Oktober tahun lalu, dunia yang ditempuhi Nadia kini sedikit asing baginya yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai perhubungan awam.

"Kini semuanya serba baru bagi saya dan semakin hari saya sibuk dengan pelbagai acara. Dulu saya yang bertugas menjemput media datang ke majlis yang diadakan, kini saya pula yang dijemput.

"Seronok juga berada dalam keadaan sebaliknya. Dengan pengalaman yang saya ada sebagai pegawai perhubungan awam, saya semakin memahami keperluan antara media dan selebriti," katanya.

Mengakui bidang peragaan merupakan pekerjaan yang menarik, Nadia pada masa yang sama masih lagi menjadikan kerja pertamanya iaitu pegawai perhubungan awam sebagai kerja separuh masa.

"Saya baru berhenti bekerja, tetapi masih lagi membuat kerja perhubungan awam secara bebas," tuturnya.

Gemar menguji diri

Sebelum terlibat dengan pertandingan ratu cantik, wajah Nadia sudah banyak kali menghiasi kaca televisyen dengan menceburi bidang pengacaraan dan pernah membintangi iklan seperti Spritzer dan jenama kosmetik, Revlon.

Antara rancangan yang pernah dikendalikan oleh pemegang Ijazah Sarjana Komunikasi Pemujukan Universiti Sains Malaysia itu ialah Health Blitz di TV2 serta dua program ntv7, Deal or No Deal (ntv7), dan Breakfast Show.

"Saya memang gemar untuk meneroka bidang-bidang baru untuk menguji kemampuan diri saya. Saya mahu mendapatkan banyak pendedahan sebanyak mungkin untuk memajukan diri sendiri. Saya juga mahu mencuba untuk berlakon.

"Bagi saya, kita hanya muda sekali sahaja. Ambil peluang untuk lakukan apa yang kita mampu dan kecapi segala kemahuan yang kita inginkan," luahnya.

Tatkala disogok dengan isu kahwin, Nadia hanya tersenyum dan mengakui hatinya kini sudah dimiliki oleh seseorang.

"Benar saya sedang bahagia dengan seseorang, tetapi kami tidak pernah lagi membicarakan tentang perkahwinan. Saya masih agak muda untuk berkahwin!," ujarnya dengan nada sedikit menjerit.


sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)