Klik untuk remaja


MENYEDARI rancangan hiburan untuk remaja berusia 10 hingga 14 tahun masih lagi berkurangan, Astro Ceria (saluran 611) tampil membuat pembaharuan dengan menyajikan drama bersiri Klik.

Drama Klik boleh dikatakan seperti Geng Bas Sekolah versi sekolah menengah.

Sama juga dengan Geng Bas Sekolah, Klik menampilkan watak-watak remaja di sekolah dengan pelbagai perangai.

Diarahkan oleh Hashim Rejab, drama bersiri 13 episod itu menampilkan Ariel Zafril, Zoey, Erin Malik, Aren Yunus, Wawa Zainal, Fifi Natasya dan Chee Ka Yee selaku pendukung utamanya. Drama bersiri itu disiarkan sejak Januari lalu setiap Ahad pukul 10.30 pagi.

Klik menceritakan kehidupan sekumpulan remaja yang terdiri daripada remaja sekolah yang berkonsepkan santai dan mencuit hati dengan gelagat bersahaja serta mengupas persoalan dalam lingkungan remaja seperti persaingan mendapat tempat terbaik, kemahuan untuk dikenali dan menjadi pujaan ramai.

Selain kisahnya memberi pengajaran kepada remaja, Klik juga menyingkap keindahan dunia remaja pada zaman kini yang biasanya dipandang serong.

Klik bertujuan untuk menyedarkan para penonton bahawa hidup sebagai seorang remaja tidak kira di kota besar atau di pinggar bandar, mereka tetap seorang remaja yang perlu didekati.

Menonton drama ini membolehkan kita lebih memahami dan membantu mereka pada masa hadapan untuk sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran.

“Klik merupakan drama bersiri pertama untuk remaja berusia 10 hingga 14 tahun. Belum ada lagi drama untuk mereka dan Ceria sendiri sebelum ini lebih memfokuskan kepada kanak-kanak di bawah usia 10 tahun.

“Menerusi maklum balas yang kami terima, ramai remaja yang mahukan drama yang bersesuaian dengan mereka dan akhirnya Klik menjadi taruhan pertama kami,” kata Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri tersebut yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Sebagai saluran yang menyasarkan penonton kanak-kanak dan golongan remaja, Evon berkata Astro Ceria terpanggil dan bertanggungjawab untuk mendekatkan masyarakat dengan kehidupan dan konflik remaja yang dipaparkan dalam drama ini.

Menggabungkan pelakon-pelakon lama dan baru, ia memberi sedikit cabaran buat Hashim yang mengarahkan drama bersiri terbitan MIG Production Sdn. Bhd. kerana ia mencabar kredibilitinya sebagai pengarah, memandangkan kesemua pelakon yang terlibat merupakan bakat-bakat muda yang baru dalam industri ini.

“Memang agak susah kerana drama ini menampilkan majoriti pelakon baru dan ada yang tidak pernah berlakon sebelum ini. Mereka masih tidak mengetahui istilah-istilah penggambaran dan ada yang tidak tahu untuk membuat apa-apa.

“Cabarannya saya terpaksa mengajar mereka bermula dari yang paling asas, ketika hari pertama penggambaran sepatutnya 12 babak dirakamkan tetapi hanya tiga babak yang siap,” katanya yang berpuas hati selepas pelakon-pelakon drama ini berjaya membawakan watak mereka dengan jayanya.

Selain itu, sepanjang mengarah drama ini, Hashim juga perlu berhati-hati dan memastikan agar isu-isu yang dipilih tidak tersasar dari usia mereka.


source

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)