Mahu tembus rantau Asia


PADA lima tahun pertama penglibatannya sebagai wartawan penyiaran, Aznil Nawawi tidak pernah terfikir dia akan menjadi orang popular atau seorang bintang.

Pada hematnya juga, dia beranggapan akan terus menjadi orang di belakang tabir yang menjadi pemecah idea pada sesuatu program yang bakal diterbitkan. Bukan menjadi perhatian umum di hadapan kaca televisyen. Namun segalanya berubah apabila dia mula menjadi hos program seperti Pop Kuiz dan Melodi sekitar awal 90-an.

Aznil kini adalah satu jenama penting dalam dunia penyiaran terutama dalam bidang pengacaraan.

Duduk bersama Aznil pada tengah hari Selasa lalu untuk bercakap tentang kembara seni selama 21 tahunnya, kata Aznil apa yang dilewatinya sepanjang tempoh tersebut adalah satu perjalanan yang penuh dengan keterujaan. Sehingga hari ini, pada usia 48 tahun, dia masih belum lelah atau mahu berhenti daripada dunia yang amat dicintainya ini.

"Dulu saya tidak pernah terfikir akan menjadi peneraju kepada sesuatu program. Saya fikir orang penyiaran tidak akan popular atau menjadi terkenal, sebab saya adalah salah seorang tenaga kerja untuk sesebuah program sahaja.


"Tapi ia telah berubah apabila saya mula diberi kepercayaan untuk berada di depan kaca televisyen dan bertanggungjawab untuk mengendalikan sesebuah program. Daripada situ, saya terus bergerak dan Alhamdulillah, sehingga hari ini, saya sudah menghasilkan banyak program sendiri dengan saya juga masih diterima baik oleh khalayak," kata Aznil.

Benar apa yang diluahkan Aznil. Nama-nama program seperti Macam-Macam Aznil, Tom Tom Bak, Jangan Lupa Lirik dan Serasi Bersama misalnya adalah antara produk yang dihasilkan olehnya. Bersama produk sendiri, anak kelahiran Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini juga cukup sinonim sebagai hos program realiti Akademi Fantasia.

Dalam masa yang sama, popularitinya juga membawa dia masuk ke dalam dunia radio sebagai deejay ERA dan sebagai pelakon. Hampir semua cabang seni yang ada telah 'disapu bersih' oleh Aznil.

Aznil ketawa dengan perhitungan yang dibuat. Tetapi kemudian dia berkata, semua pekerjaan yang dilakukannya itu adalah rekod peribadi buat dirinya. Aznil mengaku sengaja mencipta sebanyak mungkin rekod agar dia sentiasa bergerak dan tidak statik pada satu kedudukan. Semuanya demi kecintaan yang cukup mendalam terhadap bidang seni.

"Saya harus terus mencipta rekod untuk diri sendiri sebagai pendorong buat saya terus bergerak ke hadapan. Saya mahu melawan limitasi diri agar setiap yang saya lakukan itu berbaloi.


"Jujurnya, sepanjang tempoh 21 tahun, saya berpuas hati dengan hampir semua rekod yang telah saya cipta kerana rekod-rekod tersebut membuat saya terus wujud sehingga hari ini. Dan suka saya katakan, saya masih belum mahu berhenti mencipta rekod lagi kerana saya membayangkan kerjaya saya masih lagi panjang," katanya penuh semangat.

Namun saat ditanya rekod apa lagi yang belum dicapainya, Aznil pantas memberitahu: "Kalau boleh saya mahu terkenal di rantau Asia. Itu adalah rekod yang belum mampu saya lakukan.

"Namun saya tetap bersyukur kerana selama 21 tahun, saya masih terkenal di negara sendiri dan mampu mendorong atau membuka pintu buat generasi baru dalam bidang ini. Itu sudah memadai buat saya."

Bual bicara serius

Cukup sinonim dengan program bual bicara berbentuk kekeluargaan dan santai, Aznil saat ditanya tidakkah dia mahu mencuba bual bicara yang serius, seiring dengan usia dan kematangannya dalam industri memberitahu dia mempunyai impian berbuat demikian pada masa akan datang.

"Saya memang sedang menuju ke arah itu," katanya pendek sebelum menyambung: "Dulu, khalayak mempunyai stigma bahawa program bual bicara itu membosankan. Oleh kerana itu saya melahirkan program Macam Macam Aznil untuk memecah stigma program bual bicara yang bosan.

"Apabila banyak program bual bicara saya yang berbentuk santai sudah berjaya, saya kini menuju untuk membikin program bual bicara yang lebih serius," katanya lagi.

Bosan

Aznil, Aznil, Aznil dan Aznil lagi. Barangkali ia akan menimbulkan rasa muak bagi segelintir orang yang berasa Aznil di sana atau Aznil di sini. Lebih-lebih lagi apabila dia kini mahu membikin konsert perdananya, Konsert Hore-Hore Aznil yang bakal dilaksanakan pada pada 12 Mac, pukul 8.30 malam di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Lelaki lulusan Universiti Malaya itu tersenyum mendengar persoalan tersebut. Bersetuju dengan apa yang diajukan kepadanya, namun Aznil tetap mempunyai jawapan bagi persoalan tersebut.

"Jujurnya, saya memang pernah terfikir orang akan bosan dengan penampilan saya yang berulang kali. Sebab itu saya akan pastikan penampilan saya akan berbeza-beza dalam setiap program yang saya kendalikan. Saya tidak mahu menjadi stereotaip.

"Misalnya untuk Konsert Hore- Hore ini, saya akan tampil dengan versatil. Dalam durasi dua jam persembahan, saya bukan sahaja menyanyi tapi juga akan mengendalikan konsert ini dengan beberapa segmen termasuk permainan," katanya yang akan menyanyikan lebih 20 buah lagu termasuk miliknya serta lagu legenda pujaannya, Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Mengaku bukan seorang penyanyi yang bagus, namun dia yakin mampu menghiburkan khalayak yang datang kelak. Justeru dia kini giat menjalani rejim senaman dan mahu menurunkan berat badannya daripada 70 kilogram kepada 65 kilogram. Alasan Aznil, dia tidak mahu memberi sebuah persembahan asal boleh kerana khalayak membayar untuk menonton persembahannya nanti,

Katanya: "Saya tahu saya mungkin tidak mempunyai vokal sebaik penyanyi profesional. Tetapi saya yakin saya mampu menghiburkan khalayak dengan cara saya tersendiri. Demi sebuah persembahan yang energetik dan tidak nampak pasif, saya kini giat bersenam dan akan membuat latihan penuh bersama band dua minggu sebelum persembahan untuk sebuah persembahan yang tidak merugikan peminat saya."

Ditanya apa sahaja habuan yang akan diperoleh penonton yang hadir kelak, Aznil memberitahu selain banyak hadiah yang menanti, dia sendiri akan tampil dengan fesyen busana ala Hong Kong dan sebuah persembahan yang terbaik hanya untuk peminat-peminatnya pada konsert anjuran RYE Production dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.


source

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)