Inspirasi Man Bai


MAN BAI bukanlah satu nama asing bagi industri seni tempatan. Namnya cukup harum pada tahun 1980-an dengan sebuah kumpulan yang diberi nama Gersang yang terkenal pada zaman kegemilangannya dengan lagu-lagu seperti Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir.

Dia kemudian menyepi sebentar sebelum pada tahun 1997, Man Bai kembali ke persada dengan sebuah lagu yang amat digemari iaitu Kau Ilhamku.

Kini, setelah beberapa lama menyepi serta tidak muncul dengan sebarang album, pemilik nama Abdul Rahman Osman ini kembali menyerikan persada seni tanah air dengan album solonya yang terbaharu diberi judul Inspirasi.

Apa yang menariknya, nama Inspirasi dipilih kerana semua lagu yang terkandung di dalam album ini merupakan hasil nukilan dirinya sendiri sebagai komposer dan penerbit bagi album ini.

Sebagai seorang artis yang telah lama menapak di dalam industri, ujar Man Bai dia inginkan kelainan untuk menyerlahkan dirinya dengan artis baharu yang datang mencurah.

“Takut juga, kerana Malaysia kini punyai ramai artis, jadi saya akan cuba mengalih perhatian mereka kepada Man Bai iaitu melalui jiwa saya.

“Jadi dengan berkarya sahaja yang akan membuatkan saya diingati. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan bertahan dan bagus juga ada generasi baharu ini dan untuk itu saya akan terus berkarya selagi mampu,” ujar Man Bai tentang perjalanan seninya.

Album Inspirasi yang mengandungi lapan buah lagu yang mana dua buah lagu lama telah dirakam semula iaitu Masih Aku Terasa dan Kau Ilhamku dengan penampilan versi baharu.

Antara lagu baru yang dimuatkan di dalam album ini ialah Air Mata, Tentang Cinta, Awan Berlalu Pergi termasuk lagu duet bersama Datuk Khatijah Ibrahim yang berjudul Kita Cinta.

Album Inspirasi ini telah pun berada di pasaran sejak 30 Jun lalu. Bagi peminat yang ingin memilikinya, boleh dapatkan di kedai muzik dengan harga RM31.90 sahaja.

sumber

Tian Liang suka Malaysia


PERJALANAN seni aktor Tian Liang sebelum bergelar pelakon agak unik. Sebelum membintangi filem sulungnya,The Fantastic Water Babes dan drama sulungnya, Niu Lang Zhi Nu - kedua-duanya pada tahun 2008, dia merupakan seorang bintang sukan bertaraf dunia.

Pemenang satu pingat emas dan satu pingat perak untuk sukan terjun papan anjal di sukan Olimpik di Sydney, Australia pada tahun 2000 dan pemenang satu pingat emas dan satu pingat gangsa untuk sukan yang sama pada Olimpik 2004 di Athens, Greece itu mengumumkan persaraannya dari bidang sukan pada Mac 2007.

Ia rentetan selepas kerajaan China mengharamkan penglibatannya dalam bidang sukan selepas dia terbabit dengan iklan komersial.

Selepas sibuk membintangi pelbagai drama, akhirnya dia kini muncul dengan filem kedua lakonannya, I Love Wing Chun. Apa yang menarik, filem ini membawanya ke Malaysia kerana penggambaran filem itu telah berlangsung di Melaka pada tahun lepas.

"Produksi ini merupakan sesuatu yang sungguh bermakna buat saya. Ia merupakan pengalaman pertama saya melakukan penggambaran sepenuhnya di luar negara," ujar aktor berusia 32 tahun itu.

Tambah Liang: "Saya sangat menyukai cuaca di Malaysia dan begitu juga dengan makanan Malaysia, terutama longan yang dicampur dengan gula perang, lazat sungguh!"

I Love Wing Chun merupakan sebuah filem komedi aksi seni mempertahankan diri mengenai tiga sahabat baik iaitu seorang ahli bisnes yang kaya, seorang mahaguru kung fu dan seorang penipu.


Si penipu yang sedang nazak merayu mahaguru kung fu supaya menjaga dan melindungi anak lelakinya. Pada masa yang sama dia memohon ahli bisnes yang kaya itu membantu anak lelakinya itu dari segi kewangan. Apabila anak si penipu itu meningkat dewasa, segala penipuan mulai terbongkar.

Menurut Liang, dia melakonkan karakter anak si penipu yang mempunyai kepakaran seni mempertahankan diri Wing Chun tetapi tidak menyedari mengenai hal itu.

"Personaliti karakter saya itu merupakan seorang yang sangat jujur dan itu menyebabkan ia agak berlawanan dengan karakter-karakter kelakar yang lain dalam filem ini," jelas Liang mengenai karakter lakonannya dalam I Love Wing Chun.

Bercerita lanjut tentang persediaan yang dilakukannya untuk membintangi filem itu ujar Liang: "Saya belajar asas kung fu dengan menghadiri kelas kung fu pada sebelah pagi dan sebelah petang setiap hari selama seminggu."

Sehubungan itu, bersempena promosi dan tayangan filem edaran RAM Entertainment Sdn. Bhd. yang turut dilakonkan oleh Yuen Wah, Yuen Qiu dan Natalis Chan Pak Cheong bermula pada 28 Julai ini, Liang bakal berkunjung ke Kuala Lumpur.

Dia bakal muncul untuk sesi bertemu peminat di Malaysia pada esok, 22 Julai di Times Square, Genting First World Plaza di Genting Highlands, menjelang pukul 2 petang.

Dalam pada itu pesan Liang buat peminatnya di Malaysia: "Buat peminat di Malaysia, I Love Wing Chun merupakan sebuah filem aksi komedi yang penuh dengan babak aksi dan elemen komedi yang menyeronokkan. Harap anda semua suka dengan filem ini."

sumber

Seungho gagal hidup normal


SALAH seorang anggota kumpulan MBLAQ, Seungho baru-baru ini mengakui dia tiada masa terluang untuk mengadakan temu janji dengan gadis idamannya.

Dalam temuramahnya dalam sebuah program televisyen, kumpulan MBLAQ telah disoal apakah kesukaran yang dihadapi mereka apabila bergelar selebriti.

Jawab Seungho: "Ada yang berkata, kamu hanya akan dapat masuk ke Universiti Seoul jika kamu hanya tidur empat jam sehari dan menghabiskan kebanyakan masa mengulang kaji pelajaran.

"Kebenarannya, memang tidak boleh hidup normal dengan hanya empat jam waktu untuk tidur."

Terangnya lagi betapa penatnya dengan jadual MBLAQ yang padat: "Walaupun kami dapat hari cuti tetapi rasa macam membazir untuk berehat kerana akhirnya kami tetap akan bekerja juga daripada berehat."


Apabila disoal, adakah dia sempat pergi menghadiri temu janji pada waktu cutinya, balas Seungho: "Saya berusia 25 tahun, temu janji dengan gadis adalah perkara yang paling penting dalam minda saya pada usia begini dan saya harap saya dapat pergi temu janji.


"Tetapi secara jujurnya, saya sangat sibuk dan tidak ada masa untuk memikirkan perkara seperti itu. Buat masa ini saya gembira menerima kasih sayang daripada peminat."

MBLAQ baru-baru ini muncul dengan lagu single serta video muzik terbaru mereka berjudul Mona Lisa.


sumber

Wali Band sedia tawan Nilai


TIDAK dinafikan, Wali Band yang terkenal menerusi lagu-lagu berunsur ketuhanan dan nasihat adalah antara band dari Indonesia yang mempunyai ramai peminat di negara ini.

Dikenali menerusi lagu seperti Cari Jodoh yang sering berkumandang di corong-corong radio tempatan, band tersebut bakal beraksi pada Konsert Amal Baik-Baik Sayang Wali Band yang akan berlangsung pada Sabtu, 16 Julai ini di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan.

Vokalis utama band berkenaan, Faank dalam satu temu bual eksklusif menerusi telefon bersama Kosmo! berkata, band tersebut kini sudah bersedia untuk menghiburkan para peminatnya di Malaysia.

“Biarpun persiapan yang dilakukan adalah secara sederhana sahaja, namun kami sudah bersedia untuk membuat satu persembahan yang terbaik menerusi lagu-lagu popular kami yang cukup dikenali di Malaysia.

“Semasa konsert itu nanti, Wali Band akan menyanyikan sebanyak 12 buah lagu dan pastinya lagu-lagu seperti Cari Jodoh, Yank dan Baik-Baik Sayang adalah lagu wajib yang akan dipersembahkan nanti,” ujarnya.

Menurut Faank, pada konsert berkenaan juga, mereka turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan single terbaru berjudul Aku Bukan Bang Toyib yang dimuatkan menerusi album ketiga Wali Band dan telah dilancarkan beberapa bulan lalu.

Ujarnya lagi, album baharu tersebut yang turut menggunakan judul Aku Bukan Bang Toyib itu mengandungi 10 buah lagu dan akan dilancarkan di negara ini pada bulan hadapan.

Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album berkenaan seperti Doaku Untukmu Sayang, Langit Bumi, Yang Penting Halal, Sayang Lahir Batin, Salam Rindu, Aku Tidak Malu, Masih Adakah, Sejuta (Setia, Jujur & Taqwa), Nenek Pahlawanku dan Aku Bukan Bang Toyib.

Ditanya mengenai perasaannya menjelang detik membuat persembahan di Nilai nanti, Faank menjelaskan ahli-ahli Wali Band yang lain turut berasa sangat teruja, meskipun sudah empat kali membuat persembahan di Malaysia sebelum ini.

“Setiap kali kami berada di Malaysia, sambutan yang diterima sangat luar biasa. Kami juga bersyukur kerana peminat di negara ini dapat menerima secara terbuka lagu-lagu serta muzik yang kami bawa,” ujarnya yang turut meminati beberapa artis Malaysia seperti Search, Siti Nurhaliza dan Sixth Sense.


Selain Faank, band yang berasal dari Jakarta, Indonesia dan ditubuhkan sejak tahun 1999 itu pada asalnya turut dianggotai Apoy (gitar), Tomie (drum), Ovie (keyboard) dan Nunu (bass), namun Nunu kemudian keluar dari kumpulan itu pada 2009.

Tujuan kebajikan

Konsert Amal Baik-Baik Sayang Wali Band anjuran Angkatan Seni Baru Yayasan Negeri Sembilan (ASBYNS) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat negeri (Pekerti) merupakan sebuah konsert amal bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Menurut pengarah projek amal tersebut, Farman Osman, idea untuk menganjurkan konsert berkenaan adalah daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Biasanya kebanyakan konsert yang diadakan di negara ini selalu dibuat di sekitar Lembah Klang sahaja. Jadi, beliau merasakan adalah sesuai sekiranya beberapa lokasi menarik di Negeri Sembilan untuk diadakan konsert sebegini.

“Memandangkan sebuah konsert yang cukup besar buat julung-julung kalinya diadakan di Nilai, kami menjangkakan sambutan yang diterima juga hangat dengan sasaran kehadiran kira-kira 5,000 orang,“” ujarnya.

“Sebagai konsert amal, sebahagian daripada kutipan tiket yang terjual akan disalurkan kepada Pekerti dan badan-badan kebajikan terpilih di sekitar Negeri Sembilan.”

Mengenai pemilihan Wali Band untuk konsert amal berkenaan, Farman menjelaskan ia adalah kerana lagu-lagu yang dibawa oleh band tersebut sememangnya sesuai untuk semua golongan.

“Selain mempunyai ramai peminat di Malaysia, lagu-lagu yang dinyanyikan Wali Band banyak mengandungi unsur-unsur nasihat dan mereka yang berkeluarga juga sesuai untuk hadir pada konsert berkenaan,” jelasnya.


sumber

Sekadar lakonan Sam, Lisa


TENTUNYA ramai yang tertanya-tanya sama ada benar Shaheizy Sam dan Lisa Surihani sudah mendirikan rumah tangga sehingga memperolehi seorang anak perempuan yang sangat comel bernama Amy.

Sebenarnya, itu adalah antara jalan cerita yang dipaparkan dalam filem terbaharu keluaran Metrowealth Pictures berjudul Sekali Lagi yang menggandingkan kedua-dua artis popular tanah air serta pelakon cilik Mia Sara Nasuha yang masih lagi ditayangkan.

Menurut Sam, kali pertama menerima tawaran untuk berlakon dalam filem tersebut, dia mula tertarik dengan wataknya sebagai Arman yang ternyata cukup berbeza berbanding filem lakonannya sebelum ini.

"Kalau selama ini saya lebih dikenali dengan watak yang aksi dan komedi, namun untuk filem ini saya membawakan watak seorang lelaki yang melalui kehidupan seperti kanak-kanak.

"Malah, saya akui memang agak sukar untuk membawakan watak tersebut dan memamg ia sangat berat dan mencabar. Namun, saya beruntung kerana digandingkan dengan pelakon-pelakon lain yang cukup hebat,": ujarnya.

Ditanya mengenai persamaan watak Arman dengan Rizwan Khan yang dilakonkan oleh Shah Rukh Khan menerusi filem My Name Is Khan, Sam menjelaskan kedua-dua watak tersebut ternyata begitu berbeza sama sekali.

Ujarnya, watak Rizwan Khan dalam filem berkenaan adalah penghidap autisme. Sedangkan dalam filem terbarunya itu, Arman adalah seorang lelaki yang mempunyai tumor di otak

"Pada asalnya, Arman adalah seorang lelaki normal dan kemudian bertindak meninggalkan isterinya, Sheila setelah mengetahui dia ada tumor tanpa mengetahui isterinya sedang mengandung.

"Selepas menjalani pembedahan, dia terus hilang ingatan dan kehidupannya menjadi seperti kanak-kanak semula. Sebab itu dia rapat dengan Amy yang sebenarnya adalah anaknya sendiri," jelas Sam mengenai filem yang sudah lebih seminggu ditayangkan di pawagam itu.

Bagi Lisa pula, dia sangat beruntung kerana diberi peluang untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Sam, Bront Palarae, Kartina Aziz dan Mia Sara dalam filem tersebut.

Menurutnya, pengarah Hashim Rejab turut memberikan kebebasan kepada pelakon untuk membawakan watak masing-masing dengan cara tersendiri dan kebanyakan babak yang dilakonkan adalah perbincangan sesama pelakon tanpa menjejaskan skrip asal.

"Semasa menjalani penggambaran, kalau ada waktu rehat atau masa terluang, biasanya kami semua akan duduk berbincang bersama-sama dengan pengarah dan masing-masing diberi peluang memberikan idea yang menarik untuk memantapkan lagi jalan cerita.

"Kerjasama dengan pelakon-pelakon lain juga sangat baik. Walaupun dalam filem ini saya dan Sam kali pertama menjadi pasangan suami isteri, namun tidak sukar untuk mencari keserasian bersama," ujarnya.

Mengenai watak Shiela yang dibawakannya pula, Lisa menyatakan ia adalah satu karektor yang agak mencabar untuk membawakan watak sebagai seorang ibu yang memiliki seorang anak memandangkan dia belum pernah berkahwin dan mengandung.


"Dalam drama bersiri Adamaya watak saya juga adalah seorang ibu, namun dalam filem ini ia agak berbeza kerana Shiela adalah seorang wanita yang telah ditinggalkan suami tanpa sebab dan memang banyak bermain dengan perasaan," jelasnya.

Tangkap muat

Semenjak mengukir nama menerusi filem Adnan Sempit yang ditayangkan pada tahun lalu, ternyata pelbagai kejayaan yang telah diraih oleh Sam yang juga anak teruna kepada pelakon Khaty Fauziah itu.

Jika dilihat menerusi laman sosial Facebook miliknya yang sehingga kini mempunyai lebih 800,000 peminat, memang tidak keterlaluan sekiranya dia dikatakan pelakon lelaki yang memiliki peminat paling ramai setakat ini.

Bukan itu sahaja, setiap filem lakonannya bermula dari filem Adnan Sempit sehinggalah Kongsi juga turut mencatatkan kejayaan yang memberangsangkan menerusi kutipan pecah panggung.

Menurut Sam, dia sangat bersyukur kerana setakat ini kesemua filem lakonannya mendapat sambutan ramai dan memberitahu akan ada lapan buah filem lakonannya yang kini sedang menanti untuk ditayangkan.

"Memang tawaran berlakon yang diterima tidak putus, namun itu tidak bermakna saya jenis yang tangkap muat sahaja. Setiap tawaran filem yang diberikan, saya akan kaji setiap watak dan jalan ceritanya.

"Lagipun saya sangat menitikberatkan soal kualiti terhadap setiap filem lakonan saya dan disebabkan itu juga saya terpaksa menolak enam tawaran filem yang boleh dikatakan cukup lumayan," jelasnya.

Menurut Sam lagi, walaupun dia merupakan artis di bawah naungan Metrowealth, namun dia tidak terikat sepenuhnya dengan produksi tersebut dan turut diberi kebebasan untuk berlakon dengan produksi luar.

Ditanya sama ada dia risau atau tidak apabila penonton akan mula rasa bosan dan muak sekiranya dia terlalu kerap tampil di layar filem, Sam menjelaskan karier sebagai seorang pelakon memang ada naik dan turunnya.

Ujarnya, dia sendiri sememangnya sudah cukup bersedia kalau berada dalam zaman kejatuhan dan tidak lagi diminati ramai. Namun, pada masa ini dia mahu lebih fokus terhadap kariernya dan gembira dengan sokongan peminat terhadapnya selama ini.

Mohon maaf

Selain hangat dengan kisah mengenai hubungannya Yusry Abdul Halim semenjak kebelakangan ini, Lisa turut dikaitkan dengan dirinya yang dilihat tidak lagi bersikap seperti dahulu.

Jika sebelum ini dia dilihat sebagai artis yang cukup peramah dan mudah untuk memberikan kerjasama, namun ada sesetengah pihak beranggapan pelakon berkenaan sudah mula sombong dan berlagak diva.

Berkesempatan menemuinya ketika majlis prebiu filem terbaharu lakonannya itu baru-baru ini, Lisa dengan tenang menepis semua tanggapan negatif yang dilemparkan sehingga menjejaskan reputasi baiknya selama ini.

"Saya sendiri tidak tahu macam mana boleh timbul cerita yang kurang enak terhadap diri saya. Saya dikatakan tidak mahu memakai baju murah dan meninggi suara terhadap wartawan, sedangkan semuanya itu langsung tidak pernah berlaku.

"Tentang perkara ini saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang sengaja mereka-reka cerita tersebut. Saya masih lagi Lisa yang sama seperti dahulu dan orang yang rapat dengan saya lebih faham tentang diri saya yang sebenarnya," ujarnya dengan nada tegas.

Jelas Lisa lagi, dia tidak mahu cepat melatah terhadap apa yang berlaku dan sangat bersyukur kerana peminat masih lagi sentiasa memberikan sokongan, meskipun dipalit dengan beberapa cerita kontroversi.

"Mungkin ada pihak yang terasa dengan kesilapan secara tidak sengaja yang telah saya lakukan. Pada kesempatan ini, saya hanya ingin memohon maaf kalau memang benar ada yang berkecil hati," ujarnya.


sumber

Dua bulan berpantang nasi


LUMRAH dunia! Yang kurus mahu berisi, yang sudah berisi mahu pula dikurangkan isinya. Namun, lain pula al-kisahnya bagi pemilik nama Ahmad Kamal Ahmad Adli, figura yang sudah berjaya mendirikan tapak utuh dalam dunia seni lakon.

Kamal, 25, kini dikatakan sedang dalam proses berpantang demi mendapatkan sosok tubuh idamannya seberat 75 kilogram.

Bukan kerana alasan klise perlu memiliki badan yang ideal untuk bergelar selebriti popular, sebaliknya Kamal yang berketinggian 180 sentimeter itu memaksa diri mengurangkan jisim badannya yang terkini seberat 80 kilogram demi menggalas watak utama dalam filem Gerimis Mengundang yang bakal memulakan sesi penggambarannya tidak lama lagi.

Ketika ditemui ketika sesi pelancaran filem Gerimis Mengundang di Hotel Legend, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia berkata, usaha untuk menurunkan berat badannya bermula sejak dua bulan lalu.

“Saya tidak makan nasi selama lebih dua bulan untuk mendapatkan berat lama saya iaitu 75 kilogram.


“Alhamdulillah kini berat badan saya sudah turun sebanyak dua kilogram dan saya masih lagi berusaha untuk menurunkan sebanyak tiga kilogram lagi,” jelas anak kelahiran Pahang itu.

Tambahnya, diet luar biasanya itu sudah diamalkannya sebelum mendapat tawaran berlakon dalam filem Gerimis Mengundang lagi iaitu selepas tamatnya pembikinan drama bersiri Gemilang yang ditayangkan di TV3 sebelum ini.

“Saya menolak untuk berlakon dalam filem ini pada awalnya kerana mempunyai komitmen dengan filem 3 Temujanji bersama Pierre Andre dan Liyana Samsudin. Nasib baik babak saya dalam filem itu tidak banyak maka dapatlah saya memberikan lebih fokus kepada filem ini,” tuturnya.

Menggalas watak utama sebagai Zamani dalam filem yang diarahkan oleh Ahmad Idham itu cukup memberi tamparan hebat buat Kamal.

“Watak ini bukan calang-calang, ia (watak Zamani) adalah yang paling berat yang perlu saya lakonkan, malah demi watak ini saya mahukan bentuk badan yang ideal dan tidak terlalu gempal

“Takut memang ada tapi ini umpama satu penghargaan besar buat saya apabila nama saya tersenarai untuk menggalas peranan ini,” katanya yang gagal membawakan watak Zamani ketika sesi uji bakat kali pertama.

Filem yang bakal menjalani penggambaran di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Jakarta, Indonesia itu dijangka bakal disiarkan di pawagam seluruh Malaysia dan Indonesia pada bulan Februari tahun depan.

Panas baran

Bercerita mengenai karakternya dalam filem Gerimis Mengundang yang diangkat daripada lagu dendangan kumpulan Slam sekitar tahun 1990-an itu, Kamal perlu membawa watak seorang juruterbang helikopter yang panas baran.

“Cabaran untuk membawakan filem kisah cinta dua buah negara antara Malaysia dan Indonesia ini bukan sekadar penjiwaan wataknya yang memerlukan saya menjadi seorang yang cepat marah dan egoistik.

“Tapi juga perbezaan dari segi pertuturan bahasa antara saya dan heroin filem ini yang bercakap dalam dua lenggok bahasa berbeza,” ujarnya tatkala ditebak berkenaan cabaran menjadi pendukung utama karya nostalgia itu.

Dalam filem itu, kisah cinta antara Zamani dan Mikha (heroin utama) yang digalas oleh pelakon remaja dari Indonesia, Olivia Jensen, bermula menerusi satu pertemuan antara mereka di Sabah.

Ubah cara pakai


Menurut Olivia yang tidak mempunyai masalah untuk mengikat hubungan lebih mendalam dengan Kamal menerusi filem itu, cara berpakaian menjadi taruhannya.

“Saya perlu menukar cara berpakaian termasuk potongan rambut untuk kelihatan lebih matang dan bukan seperti usia sebenar saya,” ujar pelakon itu yang pertama kali membikin filem dengan produksi luar negara.

Bagi figura yang melakar namanya menerusi lima buah filem lakonannya di Indonesia itu, kerjasama dua buah negara untuk penghasilan filem Gerimis Mengundang adalah satu langkah proaktif mencari lebih banyak prospek pada masa depan.

“Ini kali pertama saya mendukung watak yang besar sebagai heroin sebuah filem, seharusnya saya perlu berlakon dengan lebih serius dan profesional sesuai dengan watak Mikha yang diberikan kepada saya,” getus pelakon berusia 18 tahun itu yang bernaung di bawah syarikat WannaB Pictures.

Olivia yang baru selesai penggambaran filem Bukan Cinta Biasa 2 bersama penyanyi bersuara lunak merdu, Afgan, turut menjalankan kajian tersendiri berkenaan latar belakang Kamal dan produksi filem Malaysia.

“Sejujurnya saya kurang mengetahui aktor Kamal Adli, sehingga saya membuat kajian sendiri melalui Internet, akhirnya kami dipertemukan di Jakarta baru-baru ini dan saya rasa tidak akan ada masalah untuk kami bersama dalam filem ini,” katanya.

sumber

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)