Inspirasi Man Bai


MAN BAI bukanlah satu nama asing bagi industri seni tempatan. Namnya cukup harum pada tahun 1980-an dengan sebuah kumpulan yang diberi nama Gersang yang terkenal pada zaman kegemilangannya dengan lagu-lagu seperti Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir.

Dia kemudian menyepi sebentar sebelum pada tahun 1997, Man Bai kembali ke persada dengan sebuah lagu yang amat digemari iaitu Kau Ilhamku.

Kini, setelah beberapa lama menyepi serta tidak muncul dengan sebarang album, pemilik nama Abdul Rahman Osman ini kembali menyerikan persada seni tanah air dengan album solonya yang terbaharu diberi judul Inspirasi.

Apa yang menariknya, nama Inspirasi dipilih kerana semua lagu yang terkandung di dalam album ini merupakan hasil nukilan dirinya sendiri sebagai komposer dan penerbit bagi album ini.

Sebagai seorang artis yang telah lama menapak di dalam industri, ujar Man Bai dia inginkan kelainan untuk menyerlahkan dirinya dengan artis baharu yang datang mencurah.

“Takut juga, kerana Malaysia kini punyai ramai artis, jadi saya akan cuba mengalih perhatian mereka kepada Man Bai iaitu melalui jiwa saya.

“Jadi dengan berkarya sahaja yang akan membuatkan saya diingati. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan bertahan dan bagus juga ada generasi baharu ini dan untuk itu saya akan terus berkarya selagi mampu,” ujar Man Bai tentang perjalanan seninya.

Album Inspirasi yang mengandungi lapan buah lagu yang mana dua buah lagu lama telah dirakam semula iaitu Masih Aku Terasa dan Kau Ilhamku dengan penampilan versi baharu.

Antara lagu baru yang dimuatkan di dalam album ini ialah Air Mata, Tentang Cinta, Awan Berlalu Pergi termasuk lagu duet bersama Datuk Khatijah Ibrahim yang berjudul Kita Cinta.

Album Inspirasi ini telah pun berada di pasaran sejak 30 Jun lalu. Bagi peminat yang ingin memilikinya, boleh dapatkan di kedai muzik dengan harga RM31.90 sahaja.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)