TIDAK dinafikan, Wali Band yang terkenal menerusi lagu-lagu berunsur ketuhanan dan nasihat adalah antara band dari Indonesia yang mempunyai ramai peminat di negara ini.
Dikenali menerusi lagu seperti Cari Jodoh yang sering berkumandang di corong-corong radio tempatan, band tersebut bakal beraksi pada Konsert Amal Baik-Baik Sayang Wali Band yang akan berlangsung pada Sabtu, 16 Julai ini di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan.
Vokalis utama band berkenaan, Faank dalam satu temu bual eksklusif menerusi telefon bersama Kosmo! berkata, band tersebut kini sudah bersedia untuk menghiburkan para peminatnya di Malaysia.
“Biarpun persiapan yang dilakukan adalah secara sederhana sahaja, namun kami sudah bersedia untuk membuat satu persembahan yang terbaik menerusi lagu-lagu popular kami yang cukup dikenali di Malaysia.
“Semasa konsert itu nanti, Wali Band akan menyanyikan sebanyak 12 buah lagu dan pastinya lagu-lagu seperti Cari Jodoh, Yank dan Baik-Baik Sayang adalah lagu wajib yang akan dipersembahkan nanti,” ujarnya.
Menurut Faank, pada konsert berkenaan juga, mereka turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan single terbaru berjudul Aku Bukan Bang Toyib yang dimuatkan menerusi album ketiga Wali Band dan telah dilancarkan beberapa bulan lalu.
Ujarnya lagi, album baharu tersebut yang turut menggunakan judul Aku Bukan Bang Toyib itu mengandungi 10 buah lagu dan akan dilancarkan di negara ini pada bulan hadapan.
Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album berkenaan seperti Doaku Untukmu Sayang, Langit Bumi, Yang Penting Halal, Sayang Lahir Batin, Salam Rindu, Aku Tidak Malu, Masih Adakah, Sejuta (Setia, Jujur & Taqwa), Nenek Pahlawanku dan Aku Bukan Bang Toyib.
Ditanya mengenai perasaannya menjelang detik membuat persembahan di Nilai nanti, Faank menjelaskan ahli-ahli Wali Band yang lain turut berasa sangat teruja, meskipun sudah empat kali membuat persembahan di Malaysia sebelum ini.
“Setiap kali kami berada di Malaysia, sambutan yang diterima sangat luar biasa. Kami juga bersyukur kerana peminat di negara ini dapat menerima secara terbuka lagu-lagu serta muzik yang kami bawa,” ujarnya yang turut meminati beberapa artis Malaysia seperti Search, Siti Nurhaliza dan Sixth Sense.
Selain Faank, band yang berasal dari Jakarta, Indonesia dan ditubuhkan sejak tahun 1999 itu pada asalnya turut dianggotai Apoy (gitar), Tomie (drum), Ovie (keyboard) dan Nunu (bass), namun Nunu kemudian keluar dari kumpulan itu pada 2009.
Tujuan kebajikan
Konsert Amal Baik-Baik Sayang Wali Band anjuran Angkatan Seni Baru Yayasan Negeri Sembilan (ASBYNS) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat negeri (Pekerti) merupakan sebuah konsert amal bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Menurut pengarah projek amal tersebut, Farman Osman, idea untuk menganjurkan konsert berkenaan adalah daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Biasanya kebanyakan konsert yang diadakan di negara ini selalu dibuat di sekitar Lembah Klang sahaja. Jadi, beliau merasakan adalah sesuai sekiranya beberapa lokasi menarik di Negeri Sembilan untuk diadakan konsert sebegini.
“Memandangkan sebuah konsert yang cukup besar buat julung-julung kalinya diadakan di Nilai, kami menjangkakan sambutan yang diterima juga hangat dengan sasaran kehadiran kira-kira 5,000 orang,“” ujarnya.
“Sebagai konsert amal, sebahagian daripada kutipan tiket yang terjual akan disalurkan kepada Pekerti dan badan-badan kebajikan terpilih di sekitar Negeri Sembilan.”
Mengenai pemilihan Wali Band untuk konsert amal berkenaan, Farman menjelaskan ia adalah kerana lagu-lagu yang dibawa oleh band tersebut sememangnya sesuai untuk semua golongan.
“Selain mempunyai ramai peminat di Malaysia, lagu-lagu yang dinyanyikan Wali Band banyak mengandungi unsur-unsur nasihat dan mereka yang berkeluarga juga sesuai untuk hadir pada konsert berkenaan,” jelasnya.
sumber
Wali Band sedia tawan Nilai
Labels: Wali Band
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment