Tian Liang suka Malaysia


PERJALANAN seni aktor Tian Liang sebelum bergelar pelakon agak unik. Sebelum membintangi filem sulungnya,The Fantastic Water Babes dan drama sulungnya, Niu Lang Zhi Nu - kedua-duanya pada tahun 2008, dia merupakan seorang bintang sukan bertaraf dunia.

Pemenang satu pingat emas dan satu pingat perak untuk sukan terjun papan anjal di sukan Olimpik di Sydney, Australia pada tahun 2000 dan pemenang satu pingat emas dan satu pingat gangsa untuk sukan yang sama pada Olimpik 2004 di Athens, Greece itu mengumumkan persaraannya dari bidang sukan pada Mac 2007.

Ia rentetan selepas kerajaan China mengharamkan penglibatannya dalam bidang sukan selepas dia terbabit dengan iklan komersial.

Selepas sibuk membintangi pelbagai drama, akhirnya dia kini muncul dengan filem kedua lakonannya, I Love Wing Chun. Apa yang menarik, filem ini membawanya ke Malaysia kerana penggambaran filem itu telah berlangsung di Melaka pada tahun lepas.

"Produksi ini merupakan sesuatu yang sungguh bermakna buat saya. Ia merupakan pengalaman pertama saya melakukan penggambaran sepenuhnya di luar negara," ujar aktor berusia 32 tahun itu.

Tambah Liang: "Saya sangat menyukai cuaca di Malaysia dan begitu juga dengan makanan Malaysia, terutama longan yang dicampur dengan gula perang, lazat sungguh!"

I Love Wing Chun merupakan sebuah filem komedi aksi seni mempertahankan diri mengenai tiga sahabat baik iaitu seorang ahli bisnes yang kaya, seorang mahaguru kung fu dan seorang penipu.


Si penipu yang sedang nazak merayu mahaguru kung fu supaya menjaga dan melindungi anak lelakinya. Pada masa yang sama dia memohon ahli bisnes yang kaya itu membantu anak lelakinya itu dari segi kewangan. Apabila anak si penipu itu meningkat dewasa, segala penipuan mulai terbongkar.

Menurut Liang, dia melakonkan karakter anak si penipu yang mempunyai kepakaran seni mempertahankan diri Wing Chun tetapi tidak menyedari mengenai hal itu.

"Personaliti karakter saya itu merupakan seorang yang sangat jujur dan itu menyebabkan ia agak berlawanan dengan karakter-karakter kelakar yang lain dalam filem ini," jelas Liang mengenai karakter lakonannya dalam I Love Wing Chun.

Bercerita lanjut tentang persediaan yang dilakukannya untuk membintangi filem itu ujar Liang: "Saya belajar asas kung fu dengan menghadiri kelas kung fu pada sebelah pagi dan sebelah petang setiap hari selama seminggu."

Sehubungan itu, bersempena promosi dan tayangan filem edaran RAM Entertainment Sdn. Bhd. yang turut dilakonkan oleh Yuen Wah, Yuen Qiu dan Natalis Chan Pak Cheong bermula pada 28 Julai ini, Liang bakal berkunjung ke Kuala Lumpur.

Dia bakal muncul untuk sesi bertemu peminat di Malaysia pada esok, 22 Julai di Times Square, Genting First World Plaza di Genting Highlands, menjelang pukul 2 petang.

Dalam pada itu pesan Liang buat peminatnya di Malaysia: "Buat peminat di Malaysia, I Love Wing Chun merupakan sebuah filem aksi komedi yang penuh dengan babak aksi dan elemen komedi yang menyeronokkan. Harap anda semua suka dengan filem ini."

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)