Kekeliruan pencalonan AIM ke-18


SETELAH ramai yang menunggu dan berteka-teki mengenai lima calon terbaik untuk setiap kategori yang dipertandingkan Anugerah Industri Muzik ke-18, kini terjawab sudah apabila pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkannya pada 14 September lalu sewaktu sidang media di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Banyak kejutan dan perubahan mengenai calon mahupun kategori yang bertanding.

Antaranya beberapa nama artis luar negara yang dicalonkan seperti pengarah muzik, DJ CZA (Singapura) dan sebaliknya, penyanyi tempatan Zee Avi yang layak pula tidak dicalonkan.

Bukan itu sahaja, jika sebelum ini pihak RIM mengumumkan 19 jumlah kategori yang dipertandingkan tetapi kini hanya 18 kategori sahaja yang akan dipertandingkan dalam AIM ke-18 yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 12 November ini pukul 9.00 malam.

Ramai yang terkejut dan ada yang terkilan selepas lima calon terbaik untuk 18 kategori AIM ke-18 diumumkan.

Mengulas tentang isu itu, Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM ke-18, Rosmin Hashim memberitahu, sepatutnya terdapat 19 kategori untuk tahun ini, tetapi panel hakim telah sebulat suara memansuhkan satu kategori iaitu Lagu Hip Hop Terbaik kerana kekurangan penyertaan yang menepati kriteria.

“Walaupun kategori berkurangan, jumlah pencalonan AIM tahun ini masih menggalakkan. Ini bermakna syarikat rakaman masih aktif menghasilkan lagu-lagu.

“Saya juga lihat sudah banyak pihak rakaman dan artis lebih mengutamakan penerbitan lagu single dari album. Jadi, ia boleh dikatakan industri muzik kita masih dinamik,” katanya.

Mengulas mengenai isu calon luar negara yang tersenarai manakala artis Malaysia sendiri tidak tersenarai, kata Rosmin, pihak RIM telah menetapkan untuk album, sekurang-kurangnya 60 peratus lagu bahasa Melayu perlu dihasilkan oleh warganegara Malaysia.


“Untuk single pula, ia mesti 100 peratus digubah oleh komposer tempatan dan juga di bawah label tempatan. Ini bermakna, jika seseorang artis Malaysia itu menyanyi atau menggubah lagu dengan sendiri tetapi bernaung di bawah syarikat luar negara maka secara automatik dia tidak layak. Hanya calon atau artis yang bernaung di bawah label Malaysia dan berdaftar dengan RIM sahaja yang layak bertanding.

“Merujuk kes Zee Avi, dia memang artis Malaysia, namun dia tidak layak bertanding kerana bernaung di bawah label Amerika. Pencalonan untuk DJ Cza pula kerana dia bernaung di bawah label Malaysia. Kedua-dua individu ini layak tercalon kerana syarat-syarat yang ditetapkan jelas menyatakan artis luar negara layak bertanding selagi terikat dengan label Malaysia,” jelas Rosmin.

Selain itu, Rosmin turut mengumumkan Datuk Ramli MS sebagai Ketua Hakim AIM ke-18 selama tiga tahun berturut-turut serta menyiarkan nama-nama hakim lain yang terlibat dalam penghakiman nominasi AIM ke-18 untuk pengetahuan umum.

Antara artis yang banyak mendapat pencalonan untuk beberapa kategori ialah Aizat Amdan, Yuna, Anuar Zain, Najwa dan Sheila Majid.

Sementara itu, Sheila Majid tidak menyangka menerima empat pencalonan dalam AIM ke -18.

Menyifatkan pencalonan itu sebagai rezeki, antara kategori yang mencalonkan nama Sheila ialah kategori Album Terbaik, Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Dengarkanlah manakala untuk kategori Album Terbaik pula dan dua pencalonan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu untuk lagu Jeritan Batinku dan Ku Mohon.

“Sebenarnya saya masih terkejut kerana berjaya dicalonkan untuk empat kategori. Mungkin sudah menjadi rezeki saya dipilih oleh pihak juri.

“Saya muncul dengan album The Malaysia Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid adalah untuk peminat yang tidak dapat hadir pada konsert tersebut dan tidak pernah mengimpikan sebarang anugerah,” ujarnya mengenai album yang menerima pencalonan kategori Album Terbaik.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)