PERANCANGAN untuk mendirikan rumah tangga sebelum usia melebihi angka 30 tahun tercapai apabila aktor dan pengacara Ashraf Muslim telah selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya yang merupakan bakal seorang doktor pada 1 Syawal lalu di hadapan Kaabah di Mekah.
Majlis persandingannya pula berlangsung dengan penuh meriah bertemakan warna ungu di kediaman keluarga pihak perempuan di Gombak pada Sabtu lalu.
Kata Ashraf yang ditemui pada majlis persandingannya itu: "Saya sudah lama mencari wanita untuk menjadi isteri saya kerana saya memang merancang untuk berkahwin sebelum usia 30 tahun. Tahun ini umur saya 30 tahun kiranya perancangan saya masih mengikut landasan.
"Saya tidak tahu nak cakap sampai seru ke tidak sebab ketika saya menunaikan umrah, nama Dayana yang muncul di fikiran saya. Itu yang membuatkan saya yakin, dia wanita yang tepat untuk saya, tambahan pula dia rapat dengan keluarga saya, bagi saya itu perkara paling penting."
Tegas Ashraf, dia sememangnya mahu mencari wanita yang solehah menjadi suri hatinya dan melihat Dayana cukup sempurna untuk dirinya.
"Memang saya berniat untuk cari wanita solehah sebagai isteri, walaupun tidak seratus peratus sempurna tetapi Dayana masih boleh dibimbing dan kerana itu hubungan kami lebih akrab dan kuat," ucap Ashraf sambil menjeling ke arah isterinya.
Bercerita lanjut mengenai pernikahannya yang berlangsung di Mekah pada 1 Syawal lalu, kata Ashraf, pernikahannya dilakukan pada selepas Asar mengikut waktu di Mekah dan pada pukul 9 malam mengikut waktu Malaysia berlangsung dengan sekali lafaz sahaja.
Bagaimanapun, Ashraf yang berada di sana lima hari selepas majlis pernikahan berlangsung, mengakui gementar tatkala menerima Dayana sebagai isteri.
"Selain ayahnya yang menikahkan kami, pernikahan yang berlangsung di hadapan Kaabah membuatkan saya bertambah gementar tetapi Alhamdulilah semuanya berjalan lancar, hanya dengan sekali lafaz, Dayana menjadi isteri saya.
"Selepas nikah, kami menunaikan solat sunat nikah, kemudian melakukan tawaf sebanyak tujuh kali, sambil berdoa meminta yang terbaik untuk rumah tangga yang baru dibina," cerita Ashraf mengenai majlis pernikahan yang dihadiri 12 ahli keluarga termasuk mereka serta beberapa orang jemaah yang turut mengerjakan umrah bersama mereka pada bulan Ramadan.
Perubahan hidup
Ketika ditemui Kosmo! Ashraf baru bergelar suami selama 17 hari dan banyak perubahan dalam kehidupannya sejak Dayana, 24, menjadi suri hidupnya.
"Saya rasa kehidupan saya semakin teratur, makan minum terjaga. Sekarang semakin ringan kalau nak membuat sesuatu kerja kerana sudah berdua boleh saling membantu, tetapi tanggungjawab saya semakin berat sebagai seorang suami," kata Ashraf.
Apabila disoal siapakah Dayana di mata Ashraf, kedua-duanya tersipu-sipu malu dan tersenyum. Ashraf memulakan bicara, sebelum bertunang dan bernikah, dia hanya menganggap Dayana sebagai adik disebabkan dia menganggap bapa Dayana sebagai abang kerana dia bekerjasama dengan bapa Dayana di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.
Bagaimanapun semuanya berubah selepas dia sah menjadi suami Dayana, kini panggilan sayang laju meluncur di bibir Ashraf sebagai ganti nama buat isterinya.
"Banyak yang berubah, daripada segi perkataan, layanan dia terhadap saya, kalau saya ada masalah, saya banyak luahkan kepadanya," ucap aktor yang popular dengan drama Ustaz Amirul itu lagi.
Dayana yang setia duduk di sebelah Ashraf pula menjelaskan, sebelum bernikah, mereka tidak begitu mengenali antara satu sama lain, kerana hubungan mereka berlangsung dengan begitu pantas.
"Kami bercinta selepas bernikah, sebelum itu biasa-biasa sahaja. Selepas bergelar isteri saya cuba untuk mengenalinya dengan lebih mendalam lagi. Alhamdulillah, saya lihat kami serasi dalam banyak perkara," tutur Noor Dayana.
Melaka, Kuala Lumpur
Tidak seperti pasangan suami isteri yang lain, Ashraf dan Dayana terpaksa berkorban untuk berpisah buat sementara waktu sehingga Dayana tamat pengajiannya dalam bidang perubatan di Universiti Mannipal, Melaka pada Mac tahun depan.
Disebabkan itu perancangan untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat juga harus ditunda.
"Dia masih belajar, jadi untuk masa terdekat ini kami harus bercinta jarak jauh, hanya hujung minggu sahaja akan berjumpa. Saya akan tinggal bersama keluarga Dayana di Gombak, manakala Dayana pula akan menghabiskan pengajiannya di Melaka," kata Ashraf.
Disebabkan sibuk dengan jadual kerja dan kuliah, pasangan ini tidak akan pergi berbulan madu dalam waktu yang terdekat, tetapi mereka sudah mempunyai destinasi impian yang ingin dilawati bersama kelak.
"Sekarang saya tengah cuti semester, selepas ini akan sibuk dengan kuliah jadi tidak sempat untuk berbulan madu. Tetapi kalau destinasi pilihan, kami berdua pilih untuk ke New Zealand. Bila akan ke sana belum tahu lagi kerana abang Ashraf pun sibuk dengan kerjanya," kata Dayana yang semakin menyesuaikan diri dengan status selebriti suaminya itu.
sumber
Panggilan adik bertukar sayang
Labels: Ashraf Muslim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment