Alleycats kembali ke IB


AURA dan semangat Datuk David Arumugam untuk menyanyikan lagu kepada peminat masih kuat biarpun usianya sudah menjangkau 61 tahun. Peminat-peminatnya juga masih menaruh harapan besar agar vokalis kumpulan Alleycats itu tidak mengundurkan diri dan setia menyanyikan lagu-lagu malar segar mereka.

Biarpun sudah 40 tahun berada dalam dunia seni, aura Alleycats masih utuh. Lagu-lagu hit mereka masih menjadi siulan sehingga kini.

Untuk itu satu konsert Alleycats bakal diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 September ini. Ia juga merupakan konsert kedua Alleycats di Istana Budaya selepas konsert pada tahun 2008 yang lalu.

Terkenal dengan fesyen rambut afro dari dulu hingga kini, David yang juga merupakan pengasas kumpulan Alleycats itu tidak dapat menyorokkan perasaan terujanya saat dipelawa mengadakan konsert di Istana Budaya.

“Memang gembira bila dapat buat konsert semula di Istana Budaya. Malah, konsert Alleycats kali ini turut disuntik kelainan apabila ia diiringi dengan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Mengenai pemilihan lagu untuk konsert itu nanti, David dan pengganti mendiang Datuk Loganathan Arumugam, Glen akan menyanyikan koleksi lagu-lagu popular Alleycats dan juga lagu-lagu popular yang lain.

Abang kepada Loga itu juga akan menyampaikan lagu Cina dan India sempena konsert sambutan Hari Malaysia yang berkonsepkan 1Malaysia itu.

“Berapa banyak lagu yang akan saya sampaikan nanti masih lagi belum tahu. Cuma konsert itu nanti akan berlangsung selama sejam setengah atau dua jam,” katanya mengenai konsert anjuran Aktif Mestika Sdn. Bhd. itu.

Ditanya sama ada dia sudah boleh menyesuaikan diri menyanyi tanpa Loga yang meninggal dunia akibat barah paru-paru pada tahun 2007 lalu, pelantun lagu Hingga Akhir Nanti itu mengakui terpaksa mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri tanpa Loga di atas pentas.

“Walaupun sudah empat tahun berlalu, saya masih perlu menyesuaikan diri berada di atas pentas tanpa Loga. Saya tidak putus asa dan masih meneruskan nyanyian tanpa Loga,” katanya yang juga terpaksa menyanyikan lagu berpandukan lirik kerana tidak mahu melakukan kesilapan.

Malah, katanya, usianya kini menghalangnya untuk menghafal lirik lagu-lagu yang banyak dan pelbagai.

Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu nanti akan terbahagi kepada tiga segmen. Segmen pertama, David akan menyampaikan lagu-lagu 1Malaysia. Segmen kedua pula bagi mengenang mendiang Loga iaitu Tribute To Loga. Segmen itu nanti turut mengundang anak perempuan Loga, Priyadashini, 24, untuk menyampaikan lagu-lagu bapanya. Bagi segmen ketiga pula, David akan menyanyikan lagu-lagu malar segar Alleycats

Menurut Priyadashini, dia berasa teruja kerana diberi peluang menyanyikan lagu-lagu mendiang bapanya. Namun, dalam masa yang sama dia juga merasa gementar untuk beraksi di atas pentas Istana Budaya itu nanti.

“Saya akan menyanyikan lagu-lagu mendiang ayah saya seperti Berjuta Batu dan Jika Kau Bercinta Lagi mengikut gaya saya sendiri,” katanya yang merahsiakan penampilannya di atas pentas Istana Budaya nanti.

Tiket-tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 boleh didapati secara dalam talian di www.ticket2u atau hadir ke kaunter tiket di Istana Budaya. Diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada pembeli yang awal.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)