SUDAH nasib badan menjadi suami artis terkenal, Real Ding terpaksa menerima hakikat itu apabila kunjungannya ke sebuah hospital baru-baru ini telah menyebabkan timbul kontroversi.
Suami bintang tersohor Hong Kong, Miriam Yeung itu telah menjadi bahan spekulasi media di Hong Kong apabila sebuah majalah telah membuat spekulasi terhadap kunjungannya ke sebuah hospital swasta baru-baru ini.
Apa yang menimbulkan kontroversi adalah spekulasi itu mendakwa Real pergi ke hospital itu untuk membuat analisis terhadap spermanya.
Majalah itu juga mendakwa Miriam dan Real yang sudah berkahwin sejak tahun 2009 sukar mendapat zuriat.
Impaknya, ketika menghadiri sebuah acara hiburan di Hong Kong, Miriam terperanjat besar apabila mendapat tahu tentang apa yang ditulis oleh majalah tersebut.
"Dia tidak memberitahu saya apa-apa tentang kontroversi yang timbul itu, mungkin kerana dia tidak mahu mengganggu jadual seni saya," ujarnya.
Tambah Miriam, dia memang mengetahui suaminya itu ke hospital tersebut tetapi untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang biasa.
"Tiada apa yang mahu disembunyikan dan saya tidak rasa kami malu dengan hal itu. Suami saya sememangnya mencadangkan kami berdua pergi ke hospital itu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan tetapi saya tidak dapat pergi kerana ada kerja.
"Nasib baik saya tidak pergi sama, kalau tidak macam-macam lagi spekulasi yang direka oleh media," ujarnya.
Miriam mempersoalkan bagaimana majalah itu mendapat maklumat suaminya mengunjungi hospital tersebut. Katanya: "Pemeriksaan tubuh adalah sesuatu yang sangat peribadi dan ia sepatutnya menjadi maklumat sulit dan hanya diketahui oleh pihak hospital sahaja. Pihak hospital itu tidak profesional dalam hal ini kerana mendedahkan maklumat sulit tentang suami saya."
Ditanya tentang dakwaan majalah itu bahawa dia dan Real sukar mendapat zuriat, ujar Miriam: "Macam mana media tahu tentang perkara itu. Itu hal peribadi kami. Kami sebenarnya yang belum bercadang untuk mendapat zuriat lagi.
"Kami merancang untuk menyelesaikan segala urusan kerja (seni) saya dan menjelang Tahun Baru Cina 2012 saya akan berehat dari dunia seni buat sementara."
Miriam, 37, dan Real, 32, berkahwin secara senyap-senyap di Las Vegas pada 2009 sebelum mengumumkan perkahwinan mereka secara rasmi pada majlis resepsi mereka yang berlangsung pada 20 Disember tahun lepas.
sumber
Kontroversi suami Miriam
Labels: Miriam Yeung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment