BUKAN mudah berdepan dengan dua penceraian sebelum ini untuk terbuka hati menerima cinta baharu yang hadir tanpa diduga. Itu luahan hati Noraniza Idris, 43, yang selesa disapa Kak Ani.
Namun, jika jodoh sudah sampai masakan tega dirinya berdalih untuk menolaknya dan mengatakan tidak demi perkara yang menyeru ke arah kebaikan.
Berkongsi momen indah bagaimana tertautnya cinta pasangan dua sejoli itu sejak penghujung tahun lalu, sebuah majlis ringkas diadakan bersama media bertempat di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Cerita Kak Ani, kelembutan hati dan tutur kata Ustaz Jeffri Hudi, 52, mencairkan sukmanya untuk menerima lamaran duda beranak empat yang berasal dari negara jiran, Singapura itu.
"Sebelum ini saya sentiasa bersama dengan lelaki yang agak keras dan tegas orangnya, tapi berbeza dengan Abang Jeff yang lebih penyayang, berlembut dan cara percakapannya sangat diplomasi.
"Selama saya mengenali dia, susah sekali untuk saya melihat dia marah. Biasanya dia hanya akan berdiam diri dan tersenyum apabila berdepan dengan situasi itu," bicaranya yang mengakui wujud keserasian antara sifatnya yang tegas dan ciri kelembutan pada diri Jeffri.
Bagi Jeffri pula, kriteria Kak Ani yang lebih suka berterus-terang menjadi penyemat erat yang membajai pepohon cinta antara mereka berdua.
"Ani suka berterus-terang, punyai wawasan yang sama seperti saya dan tidak ada masalah untuk mencari satu pendekatan untuk menikmati masa depan yang cerah dan membentuk keluarga mithali bersamanya," kata bilal di sebuah masjid di tanah Temasik itu.
Begitu pun, Jeffri menegaskan dia tidak akan sesekali menyekat haluan kerjaya seni yang telah dibina Kak Ani memandangkan itu kurniaan Allah.
"Kami ingin terus maju ke hadapan dan melupakan semua kisah silam yang menghantui, Insya-Allah saya tidak menghalang perjuangan seni Ani dan menyokong setiap tindakannya memandangkan suara dan bakat adalah kurniaan Allah," ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar Pelancaran Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Detik pertemuan
Mengimbas kembali detik pertemuan sulung antara pasangan yang hadir sedondon menyarung busana hijau pucuk pisang pada majlis yang sama itu, ujar Kak Ani, segala yang berlaku tidak dirancang.
Katanya, lembaran cintanya bermula ketika mengadakan jualan kuih-muih tradisional yang dibikinnya sendiri untuk disalur ke tabung amal anak-anak yatim di Johor.
"Kemudian, sebahagian daripada hasil kutipan itu dibawa ke masjid di Johor untuk diserahkan kepada seorang ustaz yang kebetulannya berkawan rapat dengan Abang Jeff.
"Pada masa itu, dia banyak membantu saya menerangkan prosedur berkaitan penyerahan sumbangan itu yang seterusnya saya serahkan kepada adik saya, Norzi, yang berniaga di Singapura untuk berurusan dengannya berkenaan tabung amal tersebut," katanya yang pertama kali bersua muka dengan Jeffri ketika bulan Ramadan tahun lepas.
Akui Kak Ani, kehadiran Jeffri seolah-olah pelengkap kepada dirinya yang sentiasa sibuk dengan karier dan urusannya di Akademi Tatih Seni yang ditubuhkannya di pada awal tahun ini.
"Sepanjang masa saya bersama dengan laptop dan hampir 90 peratus kehidupan saya adalah untuk karier saya, syukur Alhamdulillah dipertemukan dengan Abang Jeff yang selalu bertanya khabar menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas).
"Pada masa yang sama juga saya sering bertanyakan mengenai surah dan amalan yang menjadi pedoman saya sehari-hari untuk diperbetulkan Abang Jeff," ungkapnya menelusuri detak cinta dalam kalbu.
Majlis resepsi mega
Lain pula bagi Jeffri yang tertaut dengan keenakan dan keunikan rasa kuih tart tradisional yang dibikin air tangan Kak Ani.
"Kuih tart adalah lambang cinta saya dengan Ani, setiap kali menjamah kuih tart saya akan ingat Ani. Tambah-tambah apabila Ani menjalankan perniagaan kuih tart tradisionalnya demi tujuan amal," tuturnya yang menduda lebih 13 tahun setelah dikurniakan empat orang anak lelaki berusia 16, 17, 25 dan 26 tahun.
Juga menganggap Kak Ani sebagai wanita berwibawa, Jeffri juga tidak menolak untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinannya dengan pelantun lagu Dikir Puteri itu secara mega.
Majlis perkahwinan dan persandingan kedua-dua mempelai itu akan diadakan di Padang A, Plaza Angsana Johor Bahru, Johor dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang 29 September ini sempena Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011.
Festival yang dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sd. Bhd. itu akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 29 September hingga 2 Oktober.
Kata Jeffri: "Keluarga saya adalah yang bersederhana, saya setuju dengan apa jua yang dilakukan Ani untuk peminatnya termasuk konsep kahwin terbuka ini dan saya sentiasa menganggap anak-anak Ani seperti anak-anak saya sendiri."
sumber
Kuih Tart penyatu kasih
Labels: Noraniza Idris
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment