Libas angkat sepak takraw


SUDAH lama Libas dikeroncongkan ke sana sini. Ia mengisahkan permainan sepak takraw yang ditulis oleh Martias Mohd. Ali dan diarahkan oleh Jurey Rosli.

Libas mula dihasilkan pada 2009 selepas terperam sejak 2002 ekoran masalah kewangan. Cita-cita dan keinginan Jurey untuk mengangkat sukan tradisional ini direalisasikan oleh syarikat MDAG Sdn. Bhd. yang berminat untuk menjadi penerbit bersama filem tersebut.

Dengan modal RM1.9 juta, Libas mengangkat Rosyam Nor selaku Raja Libas sekali gus menjadikan aktor tersohor tersebut sebagai peneraju utama filem pertama arahan Jurey.

Selain Rosyam Nor, Jurey juga memilih pelakon-pelakon ternama tempatan termasuk Scha Al-Yahya sebagai Ratna, Johan Raja Lawak (Hamadi), Beego (Megat) dan Fadzly Kamarulzaman (Kumok).

Libas mengisahkan Adnan Saladin lakonan Rosyam Nor, seorang pakar libasan dalam permainan sepak takraw (Libas). Dia digelar sebagai Raja Libas Malaysia. Kehebatan libasan Raja Libas sangat digeruni lawan terutamanya pasukan Siam (Thailand).


Dalam satu perlawanan, tekong Malaysia (Dali) parah apabila Libas gagal menampan libasan kuat Ak Nangkhon lalu terkena dadanya. Akibatnya Malaysia tumpas kepada Thailand untuk kali kedua berturut-turut. Jurulatih dan rakan sepasukan, Megat turut menyalahkan Adnan Saladin kerana kekalahan itu sehingga jurulatih sanggup memutuskan pertunangan anaknya, Ratna.

Raja Libas resah apabila diketahui Mr. Wilson menawarkan perlawanan Libas lebih awal daripada selalunya untuk mendapatkan bola warisan yang mempunyai nilai sejarah dan kuasa mistikal. Tawaran lumayan diberikan kepada pasukan Thailand demi mendapatkan bola warisan tersebut yang berada pada Raja Libas.

Raja Libas berfikir siapa yang harus dia ambil sebagai pemain bagi mengekang kehebatan pemain Thailand. Akhirnya Raja Libas dapat menemui pemain baru dan mengumpulkan regu pasukan yang terdiri daripada Megat (pemain lama), Hamadi dan Kumok yang merupakan taruhan Libas untuk menentang Thailand nanti.

Filem ini menjalani penggambaran selama 35 hari di Terengganu dan Kuala Lumpur. Ia mengangkat genre komedi aksi serta menyerap sedikit pengaruh filem Hong Kong lakonan Chow Sin Chee iaitu Shaolin Soccer.

Buat Rosyam, Libas membawa pengertian dan tanggungjawab yang agak besar dalam melakonkan watak utama, Adnan Saladin yang juga dikenali dengan gelaran Raja Libas.


Watak tersebut mengembalikan kesan sentimental dan nostalgia tersendiri terhadap pemain sepak takraw tersohor negara, Adnan Saidin yang pernah mengharumkan nama negara.

Rosyam menghadapi cabaran dalam mengangkat watak tersebut kerana Adnan Saidin merupakan satu nama besar dunia sepak takraw tanah air.

"Saya perlu menunjukkan kepada penonton watak yang saya bawa ini adalah setanding dengan Adnan Saidin dan kalau boleh Libas dapat menaikkan semangat anak muda terhadap sukan sepak takraw," ujarnya yang patah bahu kiri ketika menjalani penggambaran.

Akui Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem ke-21 tersebut, risiko berlakon dalam Libas memang agak tinggi kerana banyak babak dalam filem ini memerlukan Rosyam bergantung kepada tali.

Daya tarikan utama Libas yang akan ditayangkan pada 29 September ini menggunakan hampir 80 peratus teknik janaan komputer (CGI). Ia diperkuatkan lagi dengan olahan skrip yang mengisahkan Adnan Saladin sebagai seorang pakar libas dalam permainan sepak takraw.

sumber

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)