3 Macan seksi semacam


SEKALI pandang, kita terus mengagak tiga ‘cewek’ yang menggelarkan diri mereka sebagai 3 Macan dari Indonesia ini berimej seksi.

Telahan itu tidak salah kerana anggotanya, Lia Ladysta, 26, Yenny Anggraeni, 27, dan Ayu Terra, 19, memang suka beraksi seksi di pentas.

Ketika berkunjung ke Malaysia, baru-baru ini, kumpulan yang dulunya menggunakan nama Trio Macan tanpa segan-segan mengakui 3 Macan terkenal dengan aksi tarian hangat.

Ia bersesuaian dengan konsep lagu yang dibawa iaitu dangdut yang diadunkan dengan unsur muzik dance dan Timur Tengah. Sejarah mereka bermula apabila 3 Macan yang berasal dari Jawa Timur ini meletup menerusi lagu SMS. “Trio Macan asalnya dianggotai oleh saya, Dian dan Iva. Bagaimanapun mereka mengundur diri kerana hamil dan digantikan oleh Yenny dan Ayu. Syarat untuk jadi anggota 3 Macan ialah keupayaan beraksi lincah atas pentas. Kami juga perlu buat aksi seperti akrobatik. “Goyang kami di pentas sangat ditunggu peminat kerana unik dan memerlukan banyak tenaga. Ia terhasil menerusi gabungan idea kami bertiga. Kami sudah keliling seluruh Indonesia dan setiap lokasi dikunjungi ramai peminat.

“Ada juga kumpulan lain yang cuba tiru identiti kami tapi tidak menjadi. Setakat ini kami sudah menghasilkan lima album. “Daripada itu, hanya album keempat iaitu Aku Punya Nama kurang dapat sambutan peminat kerana kurang promosi. Ketika itu Yenny dan Ayu sedang mengandung,” jelas Lia.

Katanya, 3 Macan juga pernah menang anugerah The Best Dangdut MTV 2006, tampil dalam acara sempena Festival Filem Asia-Pasifik (FFAP) di Taipei pada 2006 serta raih beberapa anugerah lain.

Kata Lia, peminat lebih menyukai lagu-lagu mereka yang digubah semula seperti Ketahuan (Matta). Untuk album keempat pula, mereka tampilkan lagu Sexy yang juga popular di Indonesia.

3 Macan kini muncul dengan album terbaru yang lebih mantap apabila memuatkan lagu-lagu popular, Makhluk Tuhan Paling Seksi, Doktor Cinta, Ku Cinta Kau Apa Adanya, Munajat Cinta dan Jatuh Cinta Lagi terbitan Falcon Music. Ia diedarkan Life Records Sdn Bhd.

Apa yang jelas, 3 Macan sentiasa menyedari sensitiviti masyarakat Malaysia mahupun Indonesia yang sukar menerima gaya keterlaluan.

“Kami akur dengan kemahuan penganjur di mana kami pergi. Sebenarnya di Indonesia pun, tidak semua tempat kami boleh beraksi lincah. Ada di sesetengah kawasan kami perlu merujuk dulu dengan pihak tertentu.

“Kami boleh bertolak ansur dan optimis dengan apa yang kami buat. Kami juga percaya muzik dangdut boleh diterima ramai pendengar,” kata Lia.

Selain menyanyi, 3 Macan juga aktif berlakon filem dan drama apabila membintangi filem Darah Janda Kolong Wewe pada 2009 dan filem yang menggunakan tajuk kontroversi, Hantu Puncak Datang Bulan pada tahun ini.

Mereka juga berlakon sinetron Dawai Asmara terbitan Multivision untuk siaran Indonesia.

Terbaru mereka juga berlakon sinetron Mendadak Dangdut sebanyak 156 episod yang disiarkan menerusi Trans 7. Biarpun baru ditayangkan, drama yang mengisahkan mengenai kehidupan penyanyi dangdut itu mendapat sambutan baik daripada penonton di negara mereka.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)