Cabaran kekal populariti Halimah Jongang


SUASANA petang di sebuah rumah kampung di Hulu Langat yang menjadi lokasi penggambaran drama bersiri paling popular di Astro Prima, Halimah Jongang kelihatan meriah dengan gelagat pelakon drama berkenaan. Mereka menunggu giliran untuk disolek bagi memulakan penggambaran.

Sesetengah pelakon kelihatan berbual-bual sesama sendiri. Ada juga yang sedang leka baca skrip dan sesetengahnya lebih suka menyendiri. Untungnya, lokasi rumah kampung yang dipilih diteduhi rimbunan pokok-pokok menjadikan bahang kepanasan tidak terasa sangat.

Pengarahnya, T S Jeffrey kelihatan sibuk mengendalikan krunya untuk mencari sudut terbaik bagi merakamkan babak yang menggunakan lokasi perpustakaan desa kampung. Jeffrey memikul tanggungjawab sebagai pengarah musim baru manakala musim pertama drama terbitan A Aida Production Sdn Bhd ini diarahkan Yusnizar Nasir.

Lokasi pada hari berkenaan membabitkan ramai pelakon apabila turut memuatkan kempen cegah jenayah. Penerbitnya, A Aida juga turun padang bagi memastikan segala perancangan untuk penggambaran Halimah Jongang musim kedua dan ketiga ini berjalan lancar.

Aida atau nama sebenar, Zaidah Awang berkata, dia sengaja memasukkan babak kempen cegah jenayah menerusi Rakan Cop bagi memberi maklumat kepada masyarakat bagaimana cara untuk mencegah jenayah.

Ramai yang tidak tahu cara sebenar untuk menghubungi polis apabila terjadi sesuatu kes jenayah.

“Kes jenayah terutama di kampung semakin menjadi-jadi. Justeru, paparan ini bermaksud agar masyarakat ambil langkah berjaga-jaga untuk menghindari jenayah. Mereka perlu tahu nombor yang boleh dihubungi jika ternampak kejadian jenayah di depan mata. “Anggota polis diwakili Pegawai Turus Hal Ehwal Awam, Rakan Cop Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman menunjukkan cara bagaimana masyarakat kampung boleh menghubungi Rakan Cop menerusi talian disediakan. “Sebenarnya, ia sangat mudah, tapi ramai yang tidak tahu menggunakannya.

“Drama saya sebenarnya sarat dengan mesej berguna untuk masyarakat dan bukannya hanya hiburan kosong. Dalam Halimah Jongang ini, saya turut tampilkan mesej lain seperti kaum wanita perlu jaga badan selepas kahwin supaya suami tak beralih pandangan kepada wanita lain.

“Babak itu ditunjukkan menerusi adegan bagaimana Halimah (Sheera) buatkan mereka sedar bahawa penampilan itu penting supaya tak ditinggalkan suami. Saya juga selitkan mesej wanita yang berkahwin tak perlu berhenti kerja kerana ini persediaan masa depan mereka sekiranya berlaku perkara tak elok dalam rumah tangga.

“Saya turut tampilkan persoalan mengenai jodoh ditentukan ibu bapa. Ada sesetengah anak membantah, tapi ibu bapa ada gerak hati menunjukkan pilihan itu yang terbaik. Saya juga bongkarkan mengenai khazanah hutan rimba tempatan yang berkhasiat dan bermutu tinggi dalam bidang perubatan,” katanya.

Sementara itu T S Jeffrey berkata, cabaran mengarah Halimah Jongang sebanyak 13 episod sebenarnya terletak kepada cara bagaimana mahu mengekalkan popularitinya di Astro Prima.

“Sudah tentu saya cuak takutkan sama ada kerja saya boleh atasi kerja pengarah musim lalu. Saya kena bekerja keras perah otak untuk buat lagi bagus. Untuk musim baru ini, saya janjikan kelainan kerana ada pertukaran pelakon serta watak baru yang ditambah.

“Misalnya saya wujudkan watak Ropi sengau yang saya lakonkan sendiri dan watak Mek Yah lakonan Azza AF. Selain itu, watak suami miang lakonan Amran Tompel dan Ben Kanobi juga ditampilkan bagi memeriahkan lagi Halimah Jongang. “Saya tak berdepan masalah bekerja dengan pelakon kerana mereka memang terbukti hebat dan bergelar pelakon sebenar. Hanya saya penat apabila syot untuk setiap pelakon makin bertambah. Tapi itu bukanlah masalah besar sangat. “Saya juga tak perlu tunjuk ajar pelakon kerana masing-masing tahu watak sendiri. Mula-mulanya Ako yang melakonkan watak Ali nampak kekok berlakon, tapi beberapa hari selepas itu dia mula boleh sesuaikan diri.

“Mengenai teknik penggambaran pula, saya lebih suka bercerita dengan menampilkan warna dan videografi yang berlainan daripada biasa. Tambah lagi drama ini banyak berlatarkan suasana kampung, jadi saya cuba nampakkan pandangan yang cantik supaya peminat lebih teruja menyaksikan drama ini,” katanya.

T S Jeffrey juga lega apabila A Aida memberi kebebasan penuh kepadanya dan tidak pernah masuk campur dalam kerja pengarahannya, sekali gus melancarkan lagi penggambaran drama yang berjalan selama sebulan ini.

“Kami sudah kenal selama 20 tahun dan dia tahu bagaimana kerja saya. Sepanjang penggambaran, baru sekali dia datang menjenguk di lokasi. Ini menunjukkan dia percaya pada saya dan kru yang terbabit menangani setiap masalah di lokasi. “Saya tak ubah langsung skrip drama ini. Kalau ada pun, saya hanya tokok tambah bahagian tertentu untuk sesuaikan dengan suasana. Saya percaya musim kali ini akan lebih meletup dan berharap peminat akan terima,” katanya.

Penggambaran drama ini turut dibuat di Ampang, Janda Baik dan Kuala Lumpur ini.

Borak Lokasi TAJUK: Halimah Jongang 2 GENRE: Komedi TERBITAN: A Aida Production Sdn Bhd PENERBIT: A Aida PENGARAH: T S Jeffrey PENOLONG PENGARAH: Amilianor Nawari SKRIP: A Aida KONTI: Dina Mariana PENGURUS PRODUKSI: Zalina Ismail PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Norlidia PEMBANTU PERIBADI PRODUKSI: Zali Mak Wan JURU SOLEK: Amy Jepun PROPMASTER: ShahruL Idris (Caun) PROPMAN: Safuan (Wan) JURUKAMERA: Hazmata Abdul Rahman PENATA CAHAYA: Yusof Rashid JURU BUNYI: Mohd Faiz Yusof KRU: Bob Koyan WARDROBE: Normala Ismail RUNNER: Ziela Bum HANDYMAN: Along PELAKON: Sheera Iskandar, Ako Mustapha, Diya Kholid, Azza AF, Aishah Atan, Opie Zami, Delimawati, Norlia Ghani, Zami Ismail, Hamid Gurkha dan ramai lagi. SIARAN: Astro Prima, mulai Oktober

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)