ENGGAN lagi muncul bersendirian, Aizat, 21, sebaliknya kini mahu kerap dilihat muncul bersama pemuzik iringan sewaktu menjayakan persembahan pentas. Itu kata putus anak muda bercita-cita tinggi melangit tersebut selepas memasuki umur tiga tahun beradu nasib di gelanggang seni dan memunculkan naskhah kedua, Urusan Aizat Amdan baru-baru ini.
Bukan takut menjadi sebagai subjek utama di atas pentas secara solo, pemilik nama berdaftar Muhamad Aizat Amdan, sebenarnya sudah lama memasang angan-angan menampilkan pemuzik sendiri mengiringi semua pertunjukan pentasnya.
"Terus terang, impian menampilkan pemuzik bersama ketika menyanyi disebabkan mahu mempromosi persembahan muzik secara langsung. Tambahan pula saya begitu mencintai muzik jenis ini dan sama halnya dengan orang ramai, saya lihat tiba masa membawa pasukan pemuzik sendiri selepas ini.
"Awal kemunculan dalam bidang seni, saya sudah ada hasrat untuk muncul dengan pemuzik sendiri. Cuma, waktu itu, saya masih baru dan belum memiliki pengalaman. Mahu tidak mahu, saya pendam terlebih dulu keinginan ini ditambah bukan masa sesuai orang baru macam saya menyuarakan permintaan ini.
"Sekarang, tanpa rasa ragu-ragu ditambah mulai belajar sedikit perkara tentang bidang muzik, saya anggap ia bertepatan dengan apa dirancang selama ini," ujarnya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran album kedua, Urusan Aizat Amdan di Saloma Bistro, ibu negara minggu lalu.
Barisan pemuzik yang sentiasa terlihat bersama penyanyi terkenal dengan lagu Pergi itu merupakan hasil pemilihan Aizat sendiri dan abangnya, Muhammad Anas, 24. Selain Anas bertindak selaku pemain gitar kedua, tiga lagi anak muda membentuk formasi grup pemuzik itu ialah Tarmizi (gitar utama), Pito (bass) dan Ruvi (drum).
"Saya mula menjalani kerjasama dengan mereka sejak tahun lepas. Ini semua selepas saya belajar sedikit demi sedikit soal teknikal serta krew dalam muzik secara langsung. Tidak lupa, mereka melibatkan diri sepenuhnya dengan penghasilan Urusan Aizat Amdan.
"Kami sudah rapat dan faham cara kerja masing-masing. Saya tidak lihat kami berdepan sebarang masalah untuk muncul lalu mengiringi mana-mana persembahan dijayakan selepas ini. Dan paling pasti, biarpun kugiran ini tiada nama tertentu, saya lebih senang sebenarnya dengan stail macam ini.
"Saya ingin ikut konsep yang dipraktikkan oleh penyanyi solo antarabangsa seperti John Mayer dan Jason Mraz. Semua peminat sedia maklum, mereka selalu buat persembahan bersama pemuzik sendiri," ungkap Aizat yang berbangga dengan pembikinan Urusan Aizat Amdan disebabkan ia produksi 100 peratus diri sendiri bersama Anas di bawah payung Kasi Gegar Entertainment Sdn. Bhd.
Peningkatan
Kegembiraan jelas terpancar pada raut wajah Aizat dengan penghasilan Urusan Aizat Amdan. Masakan tidak, mengambil tempoh selama setahun mencari material serta keluar masuk studio menjalani proses rakaman, akhirnya ia menjadi nyata.
Mudah dijelaskan, album itu merupakan kudrat penuh Aizat dan Anas menggubah lagu, menulis lirik, menyusun bunyi-bunyian muzik dan diterbitkan olehnya. Bukan menjadi perkara mudah untuk menyudahkan segala-galanya apatah lagi Aizat masih mentah di laman hiburan.
"Ini menjadi satu lagi peningkatan bagi saya dan Kasi Gegar Entertainment dalam usaha bergerak secara sendiri melalui penerbitan album penuh. Album ini menampilkan karya-karya berentak rancak, lebih segar dan mesra di telinga pendengar.
"Berbanding album pertama, Percubaan Pertama kira-kira dua tahun lalu, Urusan Aizat Amdan menghidang lagu-lagu tentang nilai diri serta menyelitkan pelbagai mesej semangat diri berbanding kisah percintaan semata-mata sebelum ini.
"Saya sengaja tidak meletakkan genre tertentu pada album ini kerana enggan membatas setiap keindahan seni. Sekadar ambil contoh, saya tidak menyatakan ia seperti hip hop atau progresif rock kerana pada penghujung, niat utama hanya berkarya," akui Aizat yang kini ada banyak koleksi lagu disimpan sejak beberapa tahun lepas.
Tidak mendapatkan khidmat komposer berpengalaman atau individu-individu telah ada nama di negara ini, bukan bererti Aizat tidak punya segenap kepercayaan kepada mereka. Dia sebaliknya ingin berkongsi bakat menghasilkan lagu bersama peminat yang selama ini menyokong di belakang.
"Memasukkan lagu ciptaan sendiri dalam album ini, saya rasa kepuasan yang sukar terucap dengan kata-kata kerana setiap karya terlahir ini datangnya dari jiwa luhur. Sekadar dengan lagu, saya dapat mentafsirkan isi hati," ucap Aizat tersenyum.
Tujuh buah lagu dimuatkan ke dalam Urusan Aizat Amdan terdiri daripada Years From Now, Mana Oh Mana, Senyum, Susun Silang Kata, Erti Hari Ini, Emotions dan Sungai Lui.
Album Aizat dengan harga RM25.90 itu telah dijual di kedai-kedai muzik sejak minggu lalu. Selain itu, peminat boleh membelinya menerusi laman web www.aizatamdan.com atau memuat turun di www.erama.com.
Dalam masa sama, Aizat sedang merancang mempromosikan album berkenaan dengan mengadakan Konsert Urusan Aizat Amdan (UA2) di lokasi-lokasi yang bakal diumum mulai November nanti dan berakhir Februari 2011 bagi bertemu peminat dengan lebih dekat.
Aizat tubuh band
Labels: Aizat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment