BERDASARKAN popularitinya di Malaysia, tidak hairan jika showcase penyanyi kelahiran Amerika Syarikat, Jason Derulo dihadiri lebih 2,000 peminatnya. Berlangsung pada 21 Julai lalu di kelab Dragonfly, Jason menepati waktu apabila muncul di pentas bertemu khalayak pada pukul 8.30 malam.
Walaupun hanya menghiburkan peminatnya dengan tujuh buah lagu, dinamik dan semangat yang dipaparkan penyanyi berusia 20 tahun itu sudah cukup memuaskan. Menghadiahkan lagu seperti Sky The Limit, Ridin's Solo, What If, Watcha Say, Love Hang Over dan In My Head, Jason terharu dengan sokongan peminat tempatan.
Maka, apabila meluangkan masa selepas showcase untuk sesi autograf bersama peminatnya, dia menggunakan ruang itu sebaiknya untuk melayan penyokongnya. Pertama kali menjejakkan kaki di Malaysia, Jason menyukai kepelbagaian budaya dan masyarakat tempatan.
Katanya pada sidang media yang berlangsung di sebelah pagi sebelum persembahannya: "Pada saya, Malaysia bagaikan syurga di dunia. Kunjungan pertama ini amat menyeronokkan kerana saya tidak pernah berada di rantau Asia Tenggara. Gembira rasanya apabila saya dapat berkongsi muzik dengan peminat di setiap pelosok dunia."
Meminat penyanyi seperti Justin Timberlake dan Usher, Jason berharap muziknya mampu menyalurkan energi positif kepada pendengar. Namun, dalam aspek berkarya, Jason mahu dirinya dilabelkan sebagai seorang penyanyi versatil.
"Bijak dan positif merupakan elemen penting dalam lagu-lagu saya. Tapi saya tidak mahu menjadi penyanyi yang statik dengan satu stail lagu. Saya suka mencabar diri dan ingin menjadi penyanyi versatil seperti Michael Jackson," tambahnya yang suka bermain bola keranjang.
Turut meminati filem, Jason boleh menonton tiga hingga empat buah filem di atas kapal terbang. Mahu terus menakluk dunia dengan muziknya, Jason hanya menghabiskan masa selama sejam sehari untuk melawat laman sosial Facebook serta Twitter.
Namun, jejaka kegilaan ramai itu mengaku dirinya masih solo. Bukannya tidak mahu bercinta, Jason terlebih dahulu mahu memberi tumpuan kepada kariernya. "Mengembara ke seluruh dunia, saya amat terharu apabila muzik saya dapat menyentuh perasaan ramai pendengar.
"Jadi saya mempunyai rasa tanggungjawab untuk terus menghasilkan muzik yang baik kepada mereka. Mungkin disebabkan itu saya rasa adalah lebih baik saya kekal solo dan menumpukan perhatian kepada pembikinan muzik," tambahnya yang suka bersenam.
Berasa seronok membuat persembahan di hadapan peminatnya, Jason yang turut meminati dunia fesyen memberitahu cerita di sebalik penggubahan lagu pertamanya semasa berusia lapan tahun. Lagu itu, Crush On You bagaimanapun tidak pernah dinyanyikan sehingga kini.
"Lagu itu digubah semasa saya menyukai seorang budak perempuan. Jadi ketika itu saya mahu menunjukkan perasaan saya terhadapnya. Tapi saya mahu mencari jalan yang lebih kreatif. Dari situ saya menggubah lagu tersebut tetapi malangnya ia belum pernah dinyanyikan," katanya.
Kehebatan Jason Derulo
Labels: Jason Derulo
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment