Shakira dedah maksimum


MENGENALI penyanyi Latin popular, Shakira Isabel Mebarak Ripoll atau nama komersialnya, Shakira, dia bukanlah seorang penyanyi yang sering diberi label ikon fesyen.

Dia tidak dianggap begitu walaupun telah mencipta nama di gelanggang muzik antarabangsa sejak 10 tahun lalu.

Walau bagaimanapun, sejak diberi tanggungjawab untuk menyanyikan lagu tema perlawanan bola sepak FIFA Piala Dunia 2010, Waka-Waka, penampilannya sedikit sebanyak menjadi perhatian ramai setelah mengenakan pakaian khas rekaan Roberto Cavalli pada majlis pembukaan rasmi Piala Dunia pada 10 Jun lalu.

Oleh kerana Shakira memiliki bentuk badan yang menarik, Cavalli yang mereka pakaian khas ala catsuit untuknya itu dengan 'sengaja' menunjukkan bahagian pinggang berotot penyanyi itu.

Ditambah pula dengan elemen liar jalur kuda belang yang dipadankan dengan skirt sutera rambu-ramba.

Pakaian itu sekali gus menonjolkan keseksian penyanyi Latin itu yang memberikan persembahan nyanyian dan tarian mantap.

Disebabkan pakaian khas itu juga, imej Shakira mula diimbas kembali oleh beberapa majalah serta blog-blog hiburan.

Bagi Shakira, imejnya tidaklah berubah terlalu ketara sejak bergelar penyanyi pada tahun 1990.

Malah, kata penyanyi yang sudah pun mencecah usia 33 tahun itu, dia bukanlah seorang penyanyi yang mengikut trend fesyen. Dia mengaku berpenampilan mengikut kesesuaian majlis dan cita rasa gaya tersendiri.

"Memandangkan saya memiliki kacukan Lebanon dan Sepanyol, saya suka menggabungkan gaya dua negara itu dalam pemakaian saya. Saya rasa ia sesuai dengan konsep muzik pop Latin yang saya bawakan.

"Kalau hendak diikutkan, gaya asas saya adakalanya berubah mengikut keinginan diri sendiri dan jangan terkejut jika saya tampil dengan gaya lama saya.

"Seperti pakaian khas yang direka Cavalli, ia sebenarnya merupakan imej saya sejak dulu," kata Shakira yang gemar memakai fesyen baju yang menampakkan perutnya.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Hips Don't Lie itu, dia tidak bijak mengikuti trend fesyen terkini dan lebih suka memakai pakaian yang mempunyai material yang sedikit agar menampakkan sosok tubuhnya semaksimum mungkin.

"Dengan berpakaian sederhana dan seksi, saya percaya ia boleh menjadi fesyen yang boleh dipakai pada bila-bila masa.

"Lagipun, tiada siapa yang akan mengkritik imej sebegitu. Bagi saya, keluarga merupakan pengkritik fesyen saya.

"Pernah sekali mereka mengkritik gaun saya yang dipakai sempena Krismas. Semua itu gara-gara saya memakainya tiga tahun berturut-turut.

"Ya, saya tidak suka membazir dalam bab berpakaian. Saya hanya membeli-belah jika benar-benar memerlukannya, misalnya pakaian untuk persembahan pentas.

"Kadangkala, jika anda perasan, saya kerap menyuai padan pakaian-pakaian lama saya," selorohnya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)