BUKAN pertama kali kisah pelakon jelita Rozita Che Wan, 37, mahu bersara daripada dunia seni kedengaran tahun ini. Sudah beberapa kali. Dan hal itu tidak sedikit pun dinafikan oleh anak Kedah Darul Aman ini. Dia nekad. Rozita digembar-gemburkan tidak mahu lagi bergelumang dalam dunia penuh glamor ini.
Empat tahun menjadi anak seni, disepak terajang pelbagai gosip yang kebanyakannya mengarut, kata Rozita, tahun hadapan dia mahu kembali hidup normal seperti dahulu. Dia mahu merasai semula nikmat keluar rumah tanpa rasa diperhatikan atau sekurang-kurangnya setiap tingkah tidak akan menimbulkan sebagai spekulasi. Dia mahu bebas terbang di awan tinggi tanpa melanggar norma anak seni lagi.
Takkan itu sahaja alasan Rozita sehingga sanggup meninggalkan 'lubuk emas' ini? Banyak yang dapat menghidu pengunduran Rozita didakwa mempunyai kaitan dengan keputusannya untuk berkahwin, sekali gus mengakhiri zaman ibu tunggal kepada dua anaknya, Ammar Effendy, 14 dan Aniq Ezzra, 12.
Namun setiap kali soalan kahwin diajukan, Rozita pantas menggeleng. Katanya, bukan itu sebab utama. Sebab utama hanya kerana dia mahu kembali menikmati kehidupan manusia normal.
"Betul, saya memang mahu bersara tahun hadapan. Boleh dikatakan ini tahun terakhir untuk saya sibuk dalam bidang seni. Saya mahu kembali hidup normal. Saya mahu kembali hidup dengan privasi dan tumpukan masa untuk anak-anak.
"Lagipun saya rasa sudah empat tahun saya dalam bidang ini. Saya sudah merasakan semuanya. Saya juga bersyukur kerana selama empat tahun ini, banyak kepercayaan yang saya terima daripada para penerbit. Banyak juga kesempatan membawakan variasi watak yang membuatkan saya rasa lakonan saya tidak statik. Jadi saya rasa cukuplah setakat di sini," katanya penuh makna.
Rozita juga menambah, menjadi anak seni adalah pekerjaan paling lama yang pernah dilakukannya. Sebelum ini, kebanyakan pekerjaan yang dilakukan termasuk pramugari dan setiausaha hanya bertahan kurang tiga tahun.
Lantas dia sendiri berasa sedikit letih dengan pekerjaan sebagai pelakon yang diakuinya bukanlah pekerjaan idaman, namun pulangan yang diperoleh membuatkan dia bertahan untuk sebuah kehidupan yang baik demi anak-anak.
Malah, dia sendiri punya perancangan yang sudah dipasang lama di minda untuk dilakukan saat dia bersara kelak. Dia mahu menjalankan bisnes sendiri. Dalam masa yang sama, dia tidak menolak untuk muncul di kaca televisyen bagi menyambung drama-drama yang masih memerlukan kesinambungan terhadap khidmatnya yang pernah digunakan sebelum ini.
Disogok pertanyaan adakah keputusan itu juga didorong rasa kecewa dengan pelbagai nista yang kebanyakannya mengarut, Rozita hanya mengangguk kecil. Namun dia kembali menyatakan, apa pun yang telah terjadi di dalam lapangan ini selama empat tahun berkecimpung, adalah satu daerah yang banyak memberi pengajaran buatnya. Dia juga tidak pernah menyalahkan sesiapa.
Kembali menyentuh isu pengunduran kerana mahu berkahwin, Rozita yang ditemui sewaktu sibuk menjalani penggambaran program Aidilfitri, Lawaknya Fantasia Raya di Merlimau, Melaka bertegas menyatakan ia tiada kena mengena dengan isu tersebut.
Mengaku sedang mengulit cinta dengan teman lama yang kini bertugas di Singapura, Rozita memberitahu: "Bukan, bukan sebab saya mahu kahwin. Ya, saya ada kekasih. Tapi kami tidak merancang untuk berkahwin. Benar, memang dia ada melamar saya berkahwin. Namun saya masih belum membuat keputusan lagi. Nantilah dulu. Siapa yang tak mahu kahwin kan. Kalau ada jodoh semula saya juga mahu kahwin. Tapi perlahan-lahanlah."
Namun saat ditanya adakah dia jenis individu yang mempunyai kebarangkalian akan menyorokkan berita perkahwinannnya kelak, Rozita memberi dua jawapan yang memiliki maksud tersendiri.
Duduk di bawah pokok ceri sambil menanti babak seterusnya dirakamkan, Rozita menjawab persoalan tersebut tanpa selindung tetapi dengan pemilihan ayat yang cukup berhati-hati.
Katanya, jika benar jodohnya sampai tahun hadapan dan dia juga sudah tidak bergelar artis, dia tidak akan menghebohkan berita perkahwinannya. Alasan Rozita: "Sebab pada waktu itu, saya bukan lagi artis.
"Jadi buat apa saya nak umumkan tentang perkahwinan saya. Ada lagi ke orang peduli tentang apa yang saya mahu atau sedang lakukan pada waktu itu. Jadi sebagai orang biasa, saya memilih untuk tidak mengumumkannya."
Tetapi saya mencelah dengan mengatakan seorang anak seni tetap akan menjadi anak seni walau sudah meninggalkan karier itu. Justeru tidak mustahil berita perkahwinannya nanti adalah hal yang ditunggu para peminatnya. Lantas kata saya, adakah Rozita masih mahu menyorok atau akan ada satu pesta keraian persandingan untuk perkahwinan itu kelak?
Dan ia dijawab spontan oleh Rozita: "Kalau begitu, insyaAllah saya tidak akan sorok. Saya juga tidak akan kahwin secara sembunyi-sembunyi. Lagipun saya bukan kahwin kena tangkap atau kahwin dengan suami orang.
"Saya kahwin orang bujang, jadi saya tidak akan sorok. Saya juga tidak menolak untuk bersanding jika tiba waktunya. Tapi seperti yang saya katakan tadi, buat masa ini memang tidak ada perancangan ke arah itu. Kami selesa berkawan dan jarang bertemu kerana pertembungan waktu kerja dan hubungan jarak jauh.
"Namun jika memang ditentukan Tuhan kami akan bertemu jodoh kelak, saya okay. Lagipun anak-anak saya memang menyukainya. Hanya saya yang tidak mahu mengulang kesilapan lalu, sebab itu saya memerlukan lebih banyak masa untuk bersetuju berkahwin semula."
Sibuk sepanjang Ramadan
Meninggalkan kisah peribadinya, Rozita mengaku dia begitu sibuk di lokasi penggambaran sebaik pulang daripada menunaikan umrah sekitar Mei lalu. Jadual kerjanya kini diisi dengan penggambaran sempena Ramadan yang bakal menjelma bulan hadapan dan diikuti Aidilfitri pada pertengahan September nanti.
Usai penggambaran Lawaknya Fantasia Raya, Rozita akan masuk gelanggang sebuah telemovie Kiah Pekasam Raya yang dijadualkan menjalani penggambaran di Perlis. Terdahulu, dia baru menyudahkan drama berantai 13 episod khusus untuk tayangan Ramadan sehingga Aidilfitri berjudul Kuih Goyang Shafiq.
Walau ramai pelakon memilih untuk memperlahankan rentak kerja pada Ramadan untuk memberi laluan membuat lebih banyak ibadah, Rozita pula memberitahu dia sudah terbiasa sibuk bekerja pada bulan mulia itu. Namun itu bukan alasan untuk dia tidak melunaskan tanggungjawab bertarawih atau membuat amal.
Sebagai ibu tunggal dan tahu membahagikan masa untuk beribadat dan bekerja, Rozita tidak kisah bekerja pada Ramadan.
"Kalau nak ikutkan, jadual kerja saya sepanjang Ramadan nanti memang sibuk. Saya mungkin hanya akan berhenti bekerja seminggu sebelum Aidilfitri selepas semua penggambaran selesai. Namun apa yang saya suka tentang penggambaran drama raya tahun ini ialah saya memainkan watak komedi.
"Semua lakonan saya untuk raya nanti adalah watak komedi, watak yang lari jauh daripada watak-watak sebelum ini. Mencuba watak komedi ternyata agak menarik.
"Saya mahu lari daripada menjadi pelakon stereotaip yang hanya berlegar dalam satu jenis karakter. Jadi apabila diberi kepercayaan membawa watak komedi, saya teruja," katanya yang baru pulang daripada bercuti di Paris dan London sehari sebelum masuk lokasi penggambaran Lawaknya Fantasia Raya minggu lalu.
Menjelang Oktober nanti pula dia akan memperlahankan sedikit rentak kerjanya bagi memberi tumpuan kepada anak keduanya, Aniq yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Katanya: "Saya mahu dia lulus cemerlang supaya dapat masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seperti abangnya. Jadi saya harus memberi sokongan buat dia untuk peperiksaan itu nanti. Senang hati saya kalau dia boleh masuk ke sekolah asrama penuh kerana memang itu impian saya selama ini iaitu dua anak bujang saya menuntut di MRSM dan berjaya dalam pelajaran mereka."
Tahun terakhir Rozita
Labels: Rozita Che Wan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment