DIRAIKAN sebagai salah seorang pelakon paling versatil dalam dunia perfileman, Nicolas Cage berjaya menguasai setiap aspek seni lakonan. Bukan sahaja berjaya memikat audiens di serata dunia dengan bakatnya, Nicolas juga salah seorang pelakon yang mampu menjana kutipan pecah panggung.
Hubungan berprofil tinggi dengan penerbit Jerry Bruckheimer sedikit sebanyak membantu mengindahkan karier Nicolas, apabila mereka pernah bekerjasama dalam tujuh buah filem. Naskhah seperti The Rock, Con Air, Gone in 60 Seconds, National Treasure, National Treasure: Book of Secrets dan G-Force, terbaru dalam senarai adalah The Sorcerer's Apprentice.
Tahun 2010 juga menandakan kemuncak karier Nicolas apabila dia terlibat dalam filem Season of the Witch, Kick-Ass dan Bad Lieutenant: Port of Call New Orleans. Terkenal menerusi watak kembar Charlie dan Donald Kaufman dalam filem komedi, Adaptation, kredit juga diberikan untuk hasil kerjanya dalam Knowing, Ghost Rider, World Trade Center, City of Angels, Face Off, Raising Arizona dan Vampire's Kiss.
The Sorcerer's Apprentice merupakan karya epik inovatif mengenai ahli sihir dan penggantinya yang berada dalam konflik antara baik dan jahat. Balthazar Blake (Nicolas Cage) merupakan ahli sihir di bandar moden Manhattan. Dia cuba untuk melindungi bandar itu daripada musuhnya, Maxim Horvath (Alfred Molina).
Namun, Balthazar tidak boleh melakukannya seorang diri. Merekrut Dave Stutler (Jay Baruchel), seorang remaja biasa tetapi memiliki bakat terpendam sebagai protegenya. Bersama meneroka seni dan sains magis, mereka perlu menumpaskan kuasa jahat.
Bagi mendalami proses pembikinan dan pengalaman Nicolas dalam filem yang diarahkan oleh Jon Turteltaub, ikuti petikan aktor berusia 46 tahun itu yang disediakan oleh Buena Vista Columbia Tristar Films.
Ceritakan sedikit tentang plot The Sorcerer's Apprentice.
NICOLAS:Balthazar Blake sudah mencari pengganti yang sesuai untuk mewarisi ilmu sihirnya serta menyelamatkan dunia selama 1,000 tahun. Terjumpa Dave Stutler, dia dilihat sebagai pewaris kerana mampu memakai cincin naga miliknya. Maka, kini merupakan tugas Balthazar untuk mengajar Jay ilmu sihirnya.
Bagaimana anda mendapat idea untuk membikin filem itu?
Saya mahu mengetahui sama ada saya mampu untuk menghiburkan audiens dengan magis dan imaginasi tanpa perlu menggunakan limpahan darah serta kekejaman. Lagipun saya sendiri memang mahu menjayakan watak sebagai ahli sihir. Jadi dari situ kami mengembangkan idea itu kepada sebuah filem aksi dua jam.
Kemudian kami mendapat Jerry Bruckheimer untuk menyertai projek ini. Jerry memiliki formula tersendiri untuk menghiburkan penonton. Pengarah, Jon Turteltaub pula seorang yang bijak dalam menyampaikan komedi. Jadi, dengan gabungan ini, saya pasti The Sorcerer's Apprentice akan memuaskan hati penonton.
Walaupun The Sorcerer's Apprentice bukan dibikin semula daripada filem klasik Disney, Fantasia, penonton masih akan mengaitkan ceritanya dengan filem itu. Adakah anda berasa tertekan semasa menghasilkan karya itu?
Ada orang bertanya sama ada saya gementar kerana kami membikin sebuah filem berkaitan dengan karya klasik Disney. Jawapannya tidak. Saya percaya saya berada di tempat dan masa yang sesuai untuk membikin filem ini. Saya tidak mempunyai harapan tinggi kecuali melihat kanak-kanak senyum semasa menyaksikan filem ini. Itu adalah cara terbaik untuk membuktikan kemampuan sebagai aktor.
Semasa kecil, pernahkan anda menyaksikan Fantasia?
Saya amat muda semasa pertama kali menonton Fantasia. Rasanya itu merupakan filem pertama yang ditonton di pawagam. Karya itu merupakan pengenalan saya terhadap filem, animasi Disney serta muzik klasikal.
Animasi itu telah mempengaruhi kehidupan saya serta memberikan inspirasi. Saya masih menyaksikan Fantasia sekali setahun. Melihat hutan, kelip-kelip dan cendawan menari membuatkan saya relaks. Ia satu pengembaraan yang diinginkan setiap kanak-kanak.
Bagaimana pula dengan watak yang dimainkan oleh anda, Balthazar Blake?
Balthazar hidup pada tahun 500 sebelum Masihi bersama kawannya, Maxim Horvath dan Veronica. Pada mulanya, kami bertiga merupakan pelajar Merlin dan pada masa yang sama, Morgana menggunakan ilmu sihirnya untuk kepentingan sendiri.
Jadi kami menggunakan ilmu kami untuk membantu manusia. Apabila Merlin meninggal dunia, Balthazar mempunyai tugas untuk menjadi pewaris baru dan telah mencari selama 1,000 tahun sebelum bertemu dengan Dave Stutler.
Ceritakan sedikit watak Maxim Horvath lakonan Alfred Molina.
Maxim pada mulanya merupakan kawan baik Balthazar tetapi bertukar jahat kerana perasaan cemburu. Dia menolong Morgana untuk menjajah dunia serta menjadikan manusia sebagai hamba. Balthazar cuba untuk menghalang perbuatan itu. Jadi mereka berdua sebenarnya sudah bertarung selama 1,000 tahun.
Mengapa membuat keputusan untuk menjalankan penggambaran di New York?
Bandar ini penuh dengan sejarah serta destinasi penukaran budaya. Ia juga memiliki seni bina unik stail Amerika Syarikat. Lihat sahaja berapa banyak filem klasik pernah menjadikan bandar penuh misteri ini sebagai latar belakangnya. Ia mampu memberikan satu latar belakang magis seperti apa yang diolah dalam filem ini.
Anda dan Jay Baruchel kelihatan serasi di skrin layar. Bagaimana hubugan anda semasa menjalankan penggambaran?
Dia seorang yang kelakar dan bijak. Anda boleh bertanya dia apa-apa sahaja soalan dan dia mempunyai jawapan. Dia akan memberikan contoh yang mengagumkan. Kami saling menghormati dan sentiasa bertukar pendapat. Ramai pelakon tidak suka apabila berlakunya perubahan. Mereka lebih suka berada dalam zon selesa dan kekal dengan skrip yang diberikan. Bagi Jay, perubahan adalah sesuatu yang mengujakan dia.
Sebagai kanak-kanak, adakah anda mempercayai magis?
Pastinya dan saya akan terus percaya. Apabila anda berfikir mengenai magis, ia adalah gabungan imaginasi serta fokus minda anda. Ia membolehkan anda mencipta efek dalam dunia kebendaan.
Lukisan, buku, eksperimen sains semuanya merupakan sebahagian daripada magis. Sebarang ucapan yang menyentuh perasaan anda merupakan magis. Cuma persoalannya adalah adakah anda menggunakan magis untuk membantu orang atau untuk kepentingan diri? Itu adalah asas cerita The Sorcerer's Apprentice.
Terdapat visual menakjubkan dalam filem itu. Adakah aspek produksinya mencabar bagi anda?
Saya tidak rasa berlakon dengan kesan khas amat sukar kerana ia tidak mempunyai perbezaan seperti mana anda berada di belakang rumah dan berpura-pura sedang menaiki kapal atau kokpit. Apa yang anda perlu buat adalah imaginasi untuk menghidupkan watak anda.
Guna imaginasi hidupkan watak-Nicolas Cage
Labels: Nicolas Cage
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment