BAKAL beraksi buat kali pertama di Malaysia, penyanyi popular kelahiran Lebanon, Nawal Al-Zoghbi mungkin tidak begitu dikenali masyarakat tempatan.
Namun, dipilih untuk membuat persembahan di atas pentas Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pada 2 Ogos nanti, Nawal pastinya bukan penyanyi calang-calang namanya.
Sudah 20 tahun bertapak dalam industri hiburan, Nawal, 38, yang pernah menerima pelbagai pengiktirafan mula dikesan selepas menyertai pertandingan nyanyian, Studio El Fann pada tahun 1988.
Menerbitkan album pertamanya, Wehyati Andak pada tahun 1992, Nawal yang kini memiliki tujuh buah album sudah digelar artis kelas A di bumi Arab.
Itu menjadi salah satu sebab mengapa penganjur Jojo Events Sdn. Bhd. tidak teragak-agak untuk mempersembahkan sebuah konsert Nawal yang disasarkan kepada 4,000 audiens.
"Kami percaya ada ramai peminat Nawal di Malaysia. Kami amat bertuah kerana mampu menjemput dia untuk beraksi di Malaysia kerana dia seorang legenda di negaranya," kata Pengerusi Jojo Events Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir pada sidang media mempromosikan konsert tersebut.
Konsert Nawal Al-Zoghbi Live In Malaysia 2010 juga diadakan bagi menyokong hasrat Kementerian Pelancongan Malaysia yang mahu menghiburkan pelancong Timur Tengah di Malaysia.
"Ada sesetengah pelancong dari negara Timur Tengah sendiri tidak dapat melihat konsert Nawal di negara mereka. Jadi adalah menarik jika mereka dapat melihat konsertnya di Malaysia.
"Lagipun Nawal memiliki ramai peminat di Asia. Maka, dengan adanya konsert ini, ia akan menarik ramai orang untuk datang ke Malaysia," tambah Syed Yusuf.
Sedang menjalankan konsert jelajah di Amerika Syarikat dan Kanada, Nawal tidak dapat menghadirkan diri pada sidang media tersebut. Namun, dia yang terkenal dengan lenggok tarian sensasinya sudah mengetahui peraturan serta etika pakaian konsert.
"Segala peraturan dan etika telah diberitahu kepada Nawal dan dia juga sudah bersetuju. Jadi, tidak ada sebarang isu mengenai pemakaian yang timbul di sini," kata Syed Yusuf lagi mengenai persembahan selama 90 minit itu.
Memilih Faizal Tahir sebagai artis pembukaan, persembahan pada pukul 8 malam itu nanti akan melibatkan 13 pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Lebanon. Tiket pula dijual pada harga RM188, RM288, Rm388 dan RM888.
"Bagi seorang penyanyi bertaraf antarabangsa seperti Nawal, harga tiket ini tidak begitu mahal memandangkan kos untuk membawa dia bersama pasukan krunya amat tinggi. Ia seperti membawa penyanyi lain yang pernah kami anjurkan. Maka, pada kami harga tiket ini amat relevan," jelas Syed Yusuf.
Konsert itu juga memilih Rumah Nursalam sebagai penerima amal dengan menyalurkan RM30,000 daripada jualan tiket. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari laman web www.ticketpro.com.my.
Nawal jejak Malaysia
Labels: Nawal Al-Zoghbi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment