Memey diminta berhenti berlakon


MEMEY Suhaiza, 22, terlihat matang sebelum usianya. Dia sering bercumbu dengan perasaan, emosi malah sikap toleransi.

Dalam senyuman yang tidak pernah tawar, dia mengaku dirinya menjeruk perasaan itu seolah-olah ia telah sebati dengan jasad dan jiwanya.

"Banyak sangat dan kalau saya terus bermain dengan perasaan itu, saya mungkin tidak boleh memberi komitmen terhadap kerjaya.

"Hakikatnya saya manusia biasa yang masih muda tetapi sudah tua dengan pengalaman," akui Memey dalam nada lembut.

Katanya lagi, insiden terjeruk perasaan itu lebih menjurus kepada hubungannya dengan sang kekasih bernama Norman Hakim.

Siap bergelar suri

Akur bahawa khalayak masih meletakkan kesalahan di bahunya atas keruntuhan rumah tangga pertama Norman dengan pelakon Abby Abadi, Memey berpegang pada kata-kata bahawa apa yang berlaku sudah berlaku dan sejarah itu tidak mungkin dapat dipadam atau diperbetulkan kembali.

Sudah dibawa angin cerita 24 Julai adalah tarikh penggabungan hati Norman dan Memey. Difikir-fikirkan kembali kalau benar ia berlaku, semalam Memey sah bergelar suri di hati Norman.

Bagaimanapun, takdir mereka bertemu jodoh belum tiba pada tarikh tersebut.

Terlihat klise namun pasangan ini berkata, kesibukan menghalang mereka daripada bersatu.


Memey akur, bahkan sebagai si dara sunti, untuk berkata lebih bukanlah kuasanya. Keterujaan bergelar isteri sudah dirasai tetapi tidak ditiup dengan angin kegelojohan.

Ini yang pertama buatnya, cinta pertama malah juga pelamin pertama dan terakhir doanya. Memey tidak mahu tergesa-gesa hingga momen berharga itu gagal dinikmati secara total.

"Saya akur dengan penundaan tarikh nikah kami. Bagi abang (Norman) kalau lagi cepat lagi bagus. Tapi kami belum dapat tarikh lain bagi menggantikan 24 Julai.

"Saya hanya mengikut dan takut untuk berkata lebih-lebih. Jujurnya saya sudah membuat persiapan kecil-kecilan," katanya yang baru sahaja selesai dengan penggambaran drama Bola Cinta dan mula memasuki set telefilem Ghia.

Ketawa dia membuka cerita bahawa dahulu sasarannya untuk bergelar isteri adalah pada usia 25 tahun namun jika ditakdirkan awal, dia tidak menolak.

"Saya berkali-kali tanya pada diri, 'adakah aku betul-betul bersedia untuk semua ini?' Kalau memikirkan usia dan kerjaya, mungkin jawapannya tidak.

"Tetapi saya fikir sampai bila saya mahu begini. Saya tahu orang luar menunggu perkembangan dan di mana titik akhir perhubungan kami.

"Abang mahukan keluarga dan saya tahu ia satu pengakhiran yang baik," kata anak ketiga daripada enam adik-beradik ini.

Saya tanyakan dia akan statusnya sebagai pelakon selepas berkahwin. Memey menghela nafas lalu tertawa. Mula membuka cerita, dia ketawa lagi.

"Sebenarnya abang minta saya berhenti berlakon selepas kahwin. Awalnya saya fikir, saya muda lagi dan masih banyak yang perlu dipelajari. Tapi abang mahu saya menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga dirinya.

"Perkara itu membuatkan saya terfikir untuk belum mahu kahwin lagi sebab banyak perkara saya belum rasa.

"Fikir kembali alasan abang, saya tahu dia sudah lalui pelbagai perkara dan ada sebab dia meminta saya berhenti. Akhirnya kami berunding dengan baik.

"Hati saya masih mahu berlakon. Abang memahami kehendak saya dan menerima permintaan saya," ujarnya yang mengaku banyak menggunakan kaedah psikologi ketika bersama Norman.

Bertukar situasi, Norman juga meminta dia memahami posisi dirinya yang tetap bergelar bapa kepada tiga cahaya mata. Sejarah silam Norman perlu diterima dan difahami Memey.

"Sejak kami membuat pengumuman bahawa hubungan kami serius, saya sudah tanamkan dalam fikiran bahawa saya perlu bersikap terbuka dan faham kedudukan abang.

"Dia ada tanggungjawab yang lebih besar dan saya tidak mahu menimbulkan masalah."

Rapat dengan anak kedua Norman, Memey mencelah bahawa niatnya menghantar SMS kepada bekas isteri Norman berbalut kebaikan.

Dia sendiri turut dimaklumkan pelbagai perkara oleh Norman termasuk hasratnya yang pernah satu ketika mahu berbaik dengan Abby. Hati gadis ini seakan-akan telah kalis cemburu.

"Saya bukan jenis yang cemburu sebaliknya Norman yang kuat cemburu," akui Memey.

Buat masa ini semuanya terserah pada takdir. Untuk Memey, ruang yang diberikan buatnya digunakan sebaik mungkin untuk terus belayar sebagai anak seni.

Dalam masa yang sama, dia sedang menjejak setapak demi setapak untuk mengenali dunia. Menjadikan sejarah silam satu pengajaran, hari-hari depan mahu digauli dengan retrospeksi diri yang tinggi agar tidak tersadung lagi.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)