JIKA mengikut perancangan, vokalis legenda tanah air, Amy Search sepatutnya menunaikan umrah yang diselenggara oleh Kejora Travel The Business & Leisure Planner pada 19 Ogos yang bersamaan dengan 9 Ramadan ini. Berdepan alasan tertentu, dia bagaimanapun terpaksa menangguhkan impian mengunjungi tanah suci itu terlebih dahulu.
Pernah sampai ke Mekah untuk kali pertama pada tahun 2007, pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman itu sebaliknya memilih November depan sebagai bulan untuk mengerjakan ibadat selama dua minggu bersama 20 tetamu Allah lain terdiri daripada para peminatnya yang membuat tempahan sebelum 15 Julai lalu.
Biarpun tidak berpeluang menyambut bulan puasa di sana, Amy yang mengambil pakej berharga RM6,850 menganggap belum sampai rezekinya untuk menikmati momen indah sambil menahan lapar dan dahaga ibarat diungkapkan oleh teman-temannya dan ustaz sebelum ini.
"Hendak buat macam mana, ramai ahli rombongan mohon penangguhan pada saat akhir kerana masing-masing ada komitmen sendiri. Tidak mengapa, yang penting hasrat saya buat umrah dengan peminat bakal terlaksana beberapa bulan lagi," jelas Amy yang punya visi untuk berdoa di depan untuk kebahagiaan hidupnya.
Berkongsi cerita tentang kedatangan Ramadan ini, selebriti yang masih mementingkan gaya walau usianya sudah melepasi 50 tahun itu mengakui kedatangan bulan puasa disambut seperti tahun-tahun sebelumnya. Tiada sebarang perubahan, melainkan dia mahu menambahkan amal dan ibadat kepada-Nya.
"Seperti kebiasaan, bulan ini saya lebih banyak berehat di rumah ditambah tidak mengambil apa jua undangan nyanyian. Masa saya lebih banyak diluang bersama isteri dan anak-anak," ungkapnya yang menunaikan sembahyang tarawih di masjid berhampiran tempat tinggalnya di pinggir ibu kota.
Bergelar duta LMG
Meraikan ulang tahun kelahiran yang ke-52 tanggal 28 Julai lalu, tiada lain diinginkan oleh sang suami kepada Norhasniza Hassan atau cukup mesra dengan panggilan Norish itu kecuali segala langkahnya dipermudahkan oleh Allah SWT. Itu jawab Amy ringkas tentang azam barunya.
"Saya tidak berani cakap mahu itu atau ini kerana semua telah dirancang oleh Yang Maha Kuasa. Paling penting, saya kena bekerja lebih keras dan melakukan yang terbaik dalam segala pekerjaan," luah Amy yang mengadakan majlis doa kesyukuran di rumahnya pada 30 Julai lepas.
Menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah, ceramah dikepalai oleh Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani dan solat Isyak, majlis itu dihadiri kira-kira 50 orang terdiri daripada keluarga terdekat dan sahabat handai. Amy kemudian memotong pulut kuning sebagai simbolik menyambut ulang tahun kelahirannya.
Terdahulu, Amy menerima kejutan besar apabila dihadiahkan sebuah kereta pikap LMG Trekker 2.2L (4X2) berharga RM53,888 sumbangan LM Star Autoworld Sdn. Bhd. dan diumum oleh pengerusi syarikat tersebut, Datuk Abdullah Shikh Mohamed sebagai jurucakap LMG.
Dilihat cukup terharu, pemuja Led Zeppelin itu menganggap pemberian pikap LMG Trekker sebagai rezeki. Malah, perlantikan sebagai duta kenderaan buatan tempatan dengan teknologi bertaraf antarabangsa tersebut tanpa ada had masa, sebagai tidak pernah terlintas di fikiran.
"Saya bersyukur sebab dapat kereta sempena hari lahir. Terima kasih tidak terhingga diucap kepada pemilik LM Star Autoworld yang mempercayai kemampuan saya," kata Amy sambil berharap penglibatan bersama syarikat tersebut mampu meningkatkan jumlah jualan kereta berkenaan.
Tanpa berselindung, pelontar Fantasia Bulan Madu, Isabella, Rozana dan Gadisku itu mengaku pernah memandu uji kereta berkenaan di Johor Bahru, Johor beberapa bulan lalu.
"Dalaman dan luaran kereta pikap LMG Trekker cukup menarik hati saya. Lagipun, saya memang suka kenderaan pacuan empat roda. Semasa memandu, saya rasa selesa tambahan pula dengan penjimatan minyak serta sesuai digunakan di kawasan bandar," jelas Amy bersungguh-sungguh.
Dalam waktu sama, Abdullah menjelaskan pemilihan Amy sebagai duta disebabkan kenderaan pikap itu bersesuaian dengan imejnya sebagai bintang rock tersohor selain fizikal LMG Trekker yang ranggi.
"Pihak kami akan mengadakan pelancaran rasmi Amy sebagai duta LMG Trekker Oktober nanti. Salah satu promosi, Amy akan menggunakan kenderaan ini mengelilingi Malaysia setiap kali buat persembahan pentas," ungkap Abdullah yang sudah memasarkan produk keluarannya di Indonesia, Brunei, Jordan, Dubai dan lain-lain.
Amy tangguh ke Mekah
Labels: Amy Search
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment