JIKA ada yang sangsi dengan keupayaan juara Raja Lawak musim kedua, Nabil sebagai pembawa watak C’Tan menerusi Cuci The Musical 2 apatah lagi karakter sama pernah dinaungi pelakon senior, AC Mizal pada musim pertamanya, anda barangkali harus berfikir dua kali sebelum lekas menjatuhkan hukuman.
Nampak selamba biar masih terlihat sedikit getar di dada, anak muda berusia 27 tahun itu berjaya meneroka watak tersebut dengan gaya sendiri.
Bahkan, dia memuntahkan komedi tanpa paksaan. Hanya dengan lenggok dan bahasa badan, audiens tertawa melihat sosok tinggi lampai Nabil di atas pentas Istana Budaya itu.
Tidak dinafikan, beberapa kali ditawar kesempatan watak utama menerusi medium filem, sayang sekali, rata-rata mutu lakonan Nabil masih pada paras biasa. Namun sesuatu yang mengejutkan, walaupun pentas teater kali pertama disinggahi, ia dilihat sebagai persembahan terbaik Nabil.
Gelanggang teater sememangnya berisiko tinggi dan mampu menyebabkan pelakon senang tergelincir daripada landasan lakonan, namun Nabil sebaliknya berhasil meluahkan bakat sebagai pelakon lebih daripada apa difikirkan. Ironi, C’Tan bukan satu bayangan orang lain. Itu merupakan sebenar Nabil, realitinya.
Sejak mula dia muncul di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur 26 Julai lalu, tiada langsung kelihatan bayang AC Mizal yang turut memukau tumpuan khalayak sejak dipentaskan pada 23 Oktober hingga 6 November 2009 menerusi rumah penerbitan, Tall Order Productions Sdn. Bhd. itu.
Kenyataan Nabil sebelum ini: “Disatukan bersama pelakon-pelakon senior dan melibatkan diri dalam pasukan teater muzikal ini menjadi antara impian emas saya. Kini, ia ibarat mimpi jadi kenyataan.”
Maka, tidak hairanlah apabila dia bersedia memupuk sepenuh komitmen berbanding hari pertama datang ke latihan teater muzikal pernah meraih tiga anugerah
pada Anugerah Seni BOH Cameronian 2009 tersebut, progres Nabil dianggap sedikit perlahan.
Berdurasi sekitar dua jam, Nabil beberapa kali seperti terlupa dialog dan rentak tarian. Tidak terkecuali, dia sendiri tertawa kerana tidak mampu menahan kelucuan mendengar serta menyaksikan tiga pendukung lainnya, Hans Isaac sebagai Khai, Afdlin Shauki (Fairil) dan Awie (Jojo) beraksi di luar kawalan. Keempat-empat mereka melunaskan karakter sebagai adik-beradik.
Begitupun, dia meneruskan lakonan dengan selamba tanpa menghirau atmosfera spontan yang berlaku. Lantaran itu, peminat terpaksa menelan dan merelakan segala cacat cela kecil sepanjang teater arahan Harith Iskandar dan Datuk Zahim Al Bakri itu berlangsung.
Seorang lagi muka baru Cuci The Musical 2, Jaclyn Victor yang memegang peranan sebelum ini diamanahkan kepada Adibah Noor, juga antara dinantikan penonton. Lagak pelakon yang pernah mengungguli Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 itu sebagai Jessy kelihatan seperti seorang profesional.
Jika malam pertama, momentum Jac awal persembahan dilihat menaik perlahan-lahan sebelum dilampias sepenuhnya, hari kedua Cuci The Musical 2, penyanyi bersuara lantang itu segera memateri penglihatan mata-mata memandang. Beragam rasanya - gembira, sedih dan nakal, turut dirasai.
Penyucian jalan cerita
Tidak melupakan watak lain masih setia berkhidmat dengan produksi Cuci The Musical 2, Afdlin, Hans, Awie, Vanidah Imran, Harith Iskandar, Rehman Rashid dan Reefa. Soal lakonan, kredibiliti nama-nama disebut tadi tidak perlu dipersoalkan lagi. Masing-masing berjaya mempamer karakter diberikan dengan baik sekali.
Selain Nabil dan Jac, keserasian para pelakon teater muzikal itu terlihat asli disebabkan setiap daripadanya pernah berkongsi pentas menjayakan Cuci The Musical pertama. Paling melucukan, Awie yang sebelum ini sinonim dengan gelaran penyanyi rock berubah transisi 360 darjah dengan sisi lembut.
Dengan humor menjadi Nabil, keperibadian murni Hans serta emosi seorang abang juga pemimpin kepada adik beradiknya, Afdlin melengkapkan cerita yang berkisar tentang empat adik-beradik dengan keinginan tinggi melangit untuk memberi servis mencuci tingkap di Menara Berkembar Petronas itu.
Impian mereka itu bagaimanapun hanya terlaksana jika menyertai dan perlu memenangi pertandingan Window Washing Olympics (WWO) yang dikepalai oleh CJ lakonan Vanidah dan bapanya, Rehman.
Sementara itu, juara bertahan WWO beberapa tahun berturut-turut, Wira Maju diketuai Wira (Harith Iskdandar) yang pada waktu sama mencintai CJ. Gara-gara hati CJ lebih tertarik kepada Khai, syarikat empat beradik itu iaitu Cuci Cuci Services dibenarkan bertanding.
Penyucian jalan cerita Cuci The Musical 2 sebenarnya dilihat masih sama walaupun ada beberapa aspek diperkemaskan. Cuma, kostum, stail, set, koreografer, lawak jenaka dan susunan muzik disuntik elemen baru bagi meniup angin kesegaran dan pembaharuan kepada umum.
Contohnya, menyelitkan unsur tarian Bollywood, Vanidah menyanyi rap, Reefa sebagai pencerita untuk pelbagai situasi, pengucapan dialog berkaitan laman web sosial popular, Facebook dan Twitter serta banyak lagi. Kelainan itu bagaimanapun meninggalkan kesan di hati.
Teater muzikal dengan durasi dua jam itu turut mempersembah lagu-lagu seperti Impianku, Apa Di Hati, Apakah Ini Cinta, Janjiku Pada Ummi, Dua, Bilakah Akan Tiba Harinya, Apa Dah Jadi, Kenyataan dan Pasti Ada Cahaya.
Suntikan efektif Nabil, Jac
Labels: Jaclyn Victor, Nabil
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment