Filem: Epik cinta dalam perang


JIKA filem aksi dan epik percintaan, Pearl Harbor pernah menjadi pilihan filem terbaik dalam koleksi anda, pastinya karya terbaru daripada Mikael Hafstrom yang mengangkat genre hampir sama iaitu aksi, drama misteri dan percintaan iaitu Shanghai akan turut menjadi filem yang wajib ditonton.

Plot ceritanya bermula dengan satu ancaman dan teka-teki sebelum bermulanya perang antara Jepun dan Amerika Syarikat di pangkalan tentera, Pearl Harbor.

John Cusack kali ini melakonkan watak utama, Paul Soames yang juga ejen perisikan Amerika. Meskipun Cusack bukan pelakon hebat dan pernah diiktiraf dalam mana-mana acara penganugerahan, watak Soames dibawa dengan karakter tersendiri dan penuh keyakinan.

Kononnya Soames ke Shanghai bagi membongkar cerita di sebalik pembunuhan teman baiknya yang dikatakan berkaitan propaganda pihak Jepun yang menjahanamkan kota Shanghai dengan agenda tersembunyi mereka.

Temannya yang dibunuh tanpa kesan dan alasan kukuh menyebabkan Soames tidak berfikir panjang bagi mengekori beberapa sasaran yang dikatakan ada kaitan dengan pihak Amerika, terutama ketegangan yang berlaku semakin memuncak, kira-kira empat bulan sebelum serangan Pearl Harbor dilancarkan.

Namun dalam pada menyelongkar kisah sebenar di sebalik itu, Soames mendapati ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Malah pelbagai agenda mula diselidik berkaitan kerajaannya.

Mula berasa sangsi dan seakan-akan mengubah fikirannya, Soames meneruskan misinya membongkar kisah sebenar yang berlaku.

Soames bertembung pula dengan pakar perisikan Jepun, Tanaka dalam usaha membongkar tragedi yang membunuh temannya dan rahsia di sebalik kerajaannya sendiri.

Kemudian muncul pula watak pasangan suami isteri yang semakin menguatkan lagi misi pemburuan Soames iaitu Anthony Lan-Ting dan Anna Lan-Ting.

Mengejar misinya dan mencuba pelbagai helah bagi mencapai sasarannya, Soames tidak mampu menolak perasaan cinta yang mula berputik di hatinya terhadap Anna meskipun dia tahu risikonya kerana Anthony bukan watak yang dekat dengannya. Skandal dan cinta terlarang itu terus berlaku di belakang suaminya.

Kiranya, segala drama dan misteri itu terus menyelubungi sepanjang plot ceritanya dan susunannya diatur sempurna mengikut momentum perjalanan kisahnya.

Babak percintaan yang digarap mencantikkan lagi jalur ceritanya, terutama gabungan Gong Li dan Cusack berjaya menarik perhatian untuk terus melekat menyaksikan episod cinta mereka.

Tiada apa perlu disangkal dalam lakonan Chow Yun-Fat kerana drama yang disuntik pada lakonannya seimbang dengan ekspresi wajah aksi yang cuba ditonjolkan.

Begitu juga Ken Watanabe yang sememangnya bijak melakonkan watak misteri dan penuh bahaya seperti ini kerana kesudahannya watak Tanaka banyak membantu menghidupkan lagi keseluruhan plot cerita.

>Data
FILEM: Shanghai
ARAHAN: Mikael Hafstrom
PELAKON: Chow Yun-Fat, Gong Li, John Cusack dan Ken Watanabe
GENRE: Drama Misteri
TAYANGAN: 22 Julai 2010
ULASAN: Murshid Eunos

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)