Artis tempatan celik ilmu


"SAYA mula belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada umur 74 tahun dan berjaya memperolehi PhD (Ijazah Doktor Falsafah) selepas tempoh dua tahun tiga bulan. Kalau saya boleh, mengapa tidak anda yang masih muda?" soal pembawa status salah seorang alumni universiti berkenaan dan penggiat seni tersohor, Tan Sri Dr. Jins Shamsudin.

Tidak dinafikan, lembut sahaja ucapan Jins kepada khalayak di depannya. Namun, dalam erti kata lain, kenyataan itu sifatnya sinikal. Begitupun, tiada yang lain, dia meniup semangat buat golongan artis, penggiat seni termasuk pengamal media untuk menyambung pelajaran pada tahap lebih tinggi.

"Untuk melangkah kaki dalam lapangan glamor, bakat tidak disangkal menjadi syarat utama. Tetapi, harus diingat, persediaan diri akan lebih mantap jika dibalut kelulusan tinggi. Malah, jika tidak lagi popular atau bersara, ilmu ditimba mampu membantu hari mendatang," jelas Jins ketika ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran kemasukan 38 artis ke UUM berlangsung di Hotel Nikko, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berfungsi sebagai pusat pengajian prihatin dan menjalankan tanggungjawab sosial buat tiga golongan itu, UUM memperkenalkan program khas pengajian luar kampus. Dua kursus itu - Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (Kepujian).

Pelakon Emelda Rosmila, Zamzuri, Diddy Hirdy, Akim AF7, Mohammad Noh Salleh (vokalis Hujan), Zehra Zamri, Sheila Abdull, Yok (pemain bass Bunkface), Alif AF6, Afiq AF5, Zahid AF2, Hazama, Zed Zaidi dan Neves (Pretty Ugly) antara 38 penggiat seni yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran pengkhususan komunikasi.

Turut menyertai program khas itu ialah personaliti Astro Awani, Ashwad Ismail yang terbabit dalam misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin Mei lalu serta pembaca berita saluran sama, Rizal Zulkapli mengikuti pengajian hal ehwal antarabangsa secara eksekutif.

Tanggungjawab sosial UUM



Sementara itu, Naib Canselor UUM Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihaknya melancarkan program berkenaan selepas menerima banyak permintaan daripada selebriti di Malaysia yang meluah keinginan untuk menyambung pelajaran.

"Pengajian selama empat tahun ini membolehkan mereka menghadiri kelas dalam waktu lebih fleksibel dan bersesuaian dengan jadual harian masing-masing yang padat. Meskipun sibuk dengan kerjaya, mereka masih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran.

"Kelas bermula bulan ini dengan dijalankan satu atau dua kali seminggu. Yuran tidak dikenakan. Mereka sebaliknya perlu bayar jumlah bilangan kredit sebanyak RM150 untuk satu subjek," ujarnya turut menyangkal tiada sebarang keistimewaan diberi kerana mereka masih perlu menjalani proses permohonan seperti calon lain.

Tawaran yang dibentangkan, ulas Mohamed Mustafa, selaras dengan hasrat melahirkan modal insan di samping usaha UUM membantu meningkatkan lebih ramai masyarakat celik ilmu selain menguak tirai peluang kepada selebriti melanjutkan pengajian lebih tinggi.

"Permohonan mereka mengikut syarat kemasukan dikhusus oleh kementerian. Kami tidak ambil sesuka hati. Tetapi, ia mengikut tahap pendidikan serta pengalaman pernah ditimba sebelum ini. UUM sebagai pusat pengajian hanya menyajikan peluang kerana kejayaan artis ini berbalik pada kerja keras mereka sendiri," tutur Mohamaed Mustafa.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)