Komen selepas raya


DIA jarang terbabit dengan kontroversi. Namun, gara-gara menghilangkan diri daripada lokasi penggambaran sitkom raya Kampung Prima Sebabak 105 baru-baru ini, profesionalisme Farid Kamil sebagai seorang pelakon kini dipersoalkan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, rakaman sitkom itu sepatutnya turut disertai oleh Farid, namun disebabkan Farid yang tiba-tiba menghilangkan diri ketika sesi penggambaran telah memaksa pihak produksi menukar skrip sitkom tersebut.

"Pada sebelah siang dia ada di lokasi tetapi apabila tiba waktu rakaman pada sebelah malam dia menghilangkan diri. Jadi, kami terpaksa batalkan wataknya dan menukar skrip sitkom tersebut.

"Saya kecewa dengan apa yang terjadi. Apa pun saya tidak boleh membuat sebarang andaian, mungkin dia ada sebab tersendiri. Selama ini Farid tidak pernah buat sebarang masalah, ini kali pertama," ujarnya.

Farid Kamil yang ditemui pada penggambaran telefilem 7 Lagu di Shah Alam baru-baru ini enggan memanjangkan isu tersebut dan menyatakan sampai masanya dia dan pihak pengurusan MIG akan menjelaskan apa yang berlaku.


"Setakat ini saya enggan komen. Tunggu selepas raya nanti, saya dan pihak pengurusan akan membuat penjelasan," katanya.

Namun adakah ia mempunyai kaitan dengan jadual kerjanya yang padat? Biar apa pun, jadual lakonan yang padat menandakan Farid Kamil antara pelakon terhangat di pasaran. Namun, dalam memenuhi tanggungjawab terhadap tawaran yang diterima, dia sebenarnya sudah lama tidak pulang ke kampung halamannya.

Justeru dia berharap ada peluang buatnya pulang ke Alor Setar, Kedah pada bulan puasa ini. "Sudah setengah tahun sebenarnya saya tidak pulang ke kampung. Jadi kalau boleh saya mahu pulang selama sebulan," kata Farid.

Selain kerana sudah lama tidak pulang melawat keluarganya, Farid juga mahu menjaga ibunya yang sedang sakit di kampung.

"Ibu saya sedang sakit sekarang. Dia menghidap penyakit kulit. Namun, pada awal bulan puasa nanti saya ada penggambaran telefilem.

"Maka, hanya selepas penggambaran itu saya akan pulang," jelasnya yang mengamalkan puasa secara sederhana.

Selain lambakan filem yang dijayakannya, ada sebabnya kenapa dia menerima watak Kasyah dalam siri TV Legenda Budak Setan (LBS) walaupun kesemua pelakon lain yang berganding bersamanya dalam versi filem tidak menyertai produksi kali ini.


Farid pada mulanya pernah terfikir untuk tidak menerima tawaran itu. Namun, melihat kejayaan filem LBS yang ditayangkan Jun lalu, Farid yakin karya tersebut telah meninggalkan kesan mendalam kepada setiap audiens.

Menurutnya lagi: "Sebenarnya saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berlakon dalam siri TV LBS, sebab saya rasa tidak ada kepentingan dan keinginan.

"Ini kerana karyanya amat berat serta memerlukan komitmen tinggi. Tapi kejayaan filem LBS membuatkan saya percaya bahawa dramanya juga akan mencipta sejarah tersendiri," ujar Farid ketika ditemui pada sidang media mempromosikan drama tersebut.

Mengakui penglibatan dalam drama lebih sukar berbanding filemnya, Farid bagaimanapun tidak berasa keliru dengan wataknya. Malah, dia mengakui lebih berpuas hati dengan skrip drama kerana lebih mendalam dan terperinci.

"Penglibatan kali ini lebih berat disebabkan faktor durasi kerana saya jarang berlakon dalam drama. Jadi untuk mengekalkan mood itu, saya memerlukan bantuan daripada pengarah, Along Kamarudin. Namun, isinya yang lebih terperinci berbanding filem membuatkan saya lebih puas.

"Sebelum berlakon LBS versi filem, saya sudah membaca novelnya. Jadi apabila mendapat skrip drama, ia seperti membaca novelnya sekali lagi. Jadi dari segi pemahaman watak itu tidak menjadi sebarang masalah," tambah Farid yang sedang menjalani penggambaran sebuah filem baru arahan Mamat Khalid.

Kerja lebih keras

Menjalani penggambaran di sekitar Seremban, Port Dickson dan Kuala Lumpur, drama 26 episod itu sudah selesai dirakamkan. Jika LBS versi filem menggandingkan Farid dengan Lisa Surihani (bagi watak Ayu) yang sudah banyak bergandingannya dengannya dalam filem, namun LBS versi layar kaca sebaliknya memerlukan Farid berlakon di samping pendatang pendatang baru, Maslina Nasir.

Justeru, Farid dan Maslina memerlukan sedikit masa bagi membentuk keserasian antara mereka.

"Dalam versi drama, hanya tinggal saya seorang sahaja yang merupakan pelakon filemnya. Jadi saya perlu bekerja lebih keras dalam menyesuaikan diri. Keserasian dengan Maslina pula dibentuk selepas seminggu kami bekerjasama. Dia merupakan pelakon baru yang boleh digilap dan skrip juga banyak membantu kami," jelasnya lagi.

Selain Maslina yang memegang watak Ayu, siri LBS turut dijayakan oleh Jue Aziz (Emilia), Melissa Maureen Rizal (Katerina) dan Nas T (Azmi).

Bagi Maslina yang sebelum ini hanya menjayakan watak samping dalam drama seperti Kasut Tumit Tinggi serta Akademi Polis musim kelima, dia tidak menyangka dirinya akan terlibat dalam produksi LBS.

"Kawan saya yang memberitahu saya bahawa ada drama yang memerlukan pelakon dan saya terus menghantar gambar saya. Ketika itu saya tidak tahu bahawa itu merupakan drama LBS. Selepas itu, saya dipanggil untuk uji bakat dan berjaya," kata Maslina yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan.

Berusia 20 tahun, minat dalam lakonan telah membuatkan Maslina terus cuba berlakon selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia juga pernah mencuba nasib untuk program realiti Pilih Kasih tetapi tidak berjaya.

Memandangkan pertama kali menjiwai watak utama, Maslina yang akan muncul dalam episod 1 hingga 16 juga membaca novel LBS sebelum ke set penggambaran.

"Ayu seorang gadis lembut yang tegas. Pada mulanya saya berdepan dengan kesukaran untuk memainkan watak itu. Tapi penghayatan skrip dengan pertolongan pengarah banyak membantu saya," jelas Maslina yang mengagumi bakat Erra Fazira.

Berharap menerusi drama LBS audiens akan mula mengenalinya, Maslina menyatakan dirinya amat gementar setiap kali berlakon dengan Farid.

"Sebenarnya sehingga hari terakhir saya berasa gementar apabila berlakon dengan Farid. Saya tahu penonton akan membandingkan saya dengan Lisa.

"Saya terima sebarang kritikan dengan hati terbuka kerana ia akan membantu karier saya. Kalau boleh saya memang mahu berlakon lagi dan dengan komen serta kritikan, saya akan memperbaiki."

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)