Jual tart resepi arwah ibu



SETIAP tahun, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy lebih gemar untuk merehatkan diri sepanjang bulan Ramadan. Mengurangkan aktiviti seni, aktres tersohor itu bagaimanapun menemui minat baru pada bulan Ramadan ini.

Meraih pelawaan daripada Presiden Seniman, Harun Salim Bachik, Ogy buat pertama kalinya mencuba nasib sebagai peniaga di bazar Ramadan yang terletak pada lot parkir Kompleks Gurney, Persiaran Gurney, Kuala Lumpur.

Seronok dengan pengalaman baru itu, Ogy kini lebih memahami serta menghargai mereka yang berniaga di bazar Ramadan. "Memang pengalaman ini menyeronokkan. Sekarang saya faham dengan pengurusan masa seorang peniaga.

"Selain melakukan persiapan, saya juga perlu ke hulu dan hilir untuk mendapatkan barangan perniagaan. Diakui ia amat penat tetapi melihat hasilnya, semuanya amat berbaloi," bicara Ogy ketika ditemui pada majlis pelancaran bazar Ramadan Seniman tersebut baru-baru ini.



Walaupun pertama kali berniaga di bazar Ramadan, Ogy sebenarnya pernah membuka gerai di Stadium Putra, Bukit Jalil baru-baru ini. Namun, ia hanya untuk empat hari yang diadakan sejajar dengan Hari Usahawan.

Maka, perniagaan yang bakal berlangsung selama sebulan itu akan memberikan pengalaman berbeza terutama apabila Ogy memilih untuk menyewa dua gerai sekali gus. Satu daripada gerai itu yang dinamakan sebagai Azura menjual sup tulang daging.

Sementara, gerai bernama Suara Kekasih pula menjual sejadah, tudung, baju, kerepek pisang serta kuih tart yang dibuat oleh Ogy sendiri. "Kuih tart itu dibuat berdasarkan resepi arwah ibu saya. Ramai orang di sekeliling yang sudah merasa kuih itu dan mereka menyukainya. Jadi saya berani untuk menjual.

"Kalau sup tulang itu, bukan saya yang masak. Namun, jualannya amat memberangsangkan setakat ini. Mungkin tidak ada orang lain yang menjual makanan sama di bazar ini," tambahnya.

Begitu teruja dalam perniagaan, Ogy tanpa berselindung memberitahu dia mahu lebih giat dalam bidang tersebut daripada aktif berlakon.

Namun, ini bukan bermaksud Ogy mahu bersara terus. Cuma dia menantikan naskhah yang mampu memberi cabaran kepada dirinya.

"Kalau boleh saya mahu serius dalam bidang perniagaan. Bukannya saya ingin bersara tetapi apabila saya berlakon, ia mengambil masa yang amat panjang. Banyak masa dibazirkan hanya untuk menunggu.

"Lagipun buat masa ini saya tidak menerima sebarang skrip yang mencabar atau mengujakan saya. Sekarang pada usia 47 tahun, rasanya saya sudah melakukan bahagian saya sebagai anak seni. Jadi, ini adalah masa yang sesuai bagi saya untuk menceburi bidang lain.

"Dalam dunia perniagaan, saya tidak boleh membazirkan satu saat pun. Semuanya melibatkan wang ringgit. Jadi ia lebih mencabar berbanding dengan lakonan," ujarnya yang popular dengan filem Ali Setan.

Ada sebabnya mengapa Ogy bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan perniagaan sendiri. Selain daripada keterujaan, Ogy juga mahu menyediakan masa depan yang lebih baik kepada anak angkatnya, Nur Aishah Aminah yang dijaganya sejak berusia dua hari.

Turut mahu mendidik anaknya yang kini menghampiri usia tiga tahun sebagai usahawan, impian Ogy bakal terlaksana pada penghujung tahun ini. Dia yang sentiasa membawa Nur Aishah Aminah ke mana-mana sahaja akan melahirkan jenama pakaiannya.

"Berbekalkan perniagaan, ia akan menjamin masa depan anak saya. Siapa tahu apa yang akan berlaku nanti tetapi dengan perniagaan sekurang-kurangnya hidupnya akan lebih terjamin. Dalam perancangan saya, jenama pakaian itu merupakan pakaian Islamik," katanya.

Selain pakaian Islamik, Ogy juga merancang untuk mengeluarkan pakaian kanak-kanak yang akan menggunakan nama anaknya sebagai jenama. Dia juga menggunakan khidmat pereka fesyen, Natasha Mazalan dan produk pakaiannya itu dijangka dijual di semua lokasi pusat membeli-belah.

"Sebenarnya saya mahu melancarkan pakaian tersebut sebelum bulan Ramadan atau hari raya tetapi tidak sempat. Sekarang ini pun hanya siap 80 peratus sahaja. Jadi diharap ia boleh dilancarkan penghujung tahun ini. Kalau jenama pakaian orang dewasa, saya memilih nama Ogy by Fauziah Ahmad Daud. Bagi pakaian kanak-kanak pula, saya meletakkan nama Che Mina," sambungnya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)