Qiraat pikat finalis AQ4


ADA sesuatu yang menarik dalam program terbitan TV9, Akademi al-Quran (AQ) sehingga menyebabkan ramai yang ingin menyertainya dan ia bukan kerana mahu mengejar hadiah yang ditawarkan atau populariti.

Bagi dua peserta peringkat akhir Akademi al-Quran musim ke-4 (AQ4), Husni Ali Hassan, 25 dan Ahmad Termizi Ali, 25, niat mereka memasuki program realiti TV berbentuk ilmiah itu telah timbul sejak mereka masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir beberapa tahun lalu.

Menurut Husni, semasa berada di sana dia sering melihat program itu melalui laman sesawang dan perkara itu menguatkan lagi hajatnya untuk menyertainya.

Beritahu Husni, selepas pulang ke tanah air hujung tahun lalu dia sanggup tidak memohon apa-apa pekerjaan demi untuk menunaikan hajat untuk turut serta dalam program yang telah berjaya mendedahkan ilmu-ilmu bacaan al-Quran.

Apa yang membuatkan saya tertarik untuk turut serta ialah program seumpama ini ibarat sebagai salah satu cara berdakwah pada masa sekarang.

"Bagi saya, secara tidak langsung program ini dapat memberi info-info berkenaan al-Quran kepada masyarakat yang menontonnya," kata lulusan Sarjana Muda, Universiti Al Azhar itu.

Tambahnya, walaupun telah mempelajari Ilmu Qiraat semasa melanjutkan pelajaran dahulu dia ingin mendalami ilmu itu ketika di Akademi al-Quran.

"Kalau nak bandingkan antara saya dan Ahmad Termizi dengan dua finalis lagi memang kami ada kelulusan dan pernah belajar mengenai ilmu Qiraat sebelum ini.

"Tetapi apa yang membezakannya ialah dalam Akademi al-Quran kami akan disoal ketika di atas pentas dan perkara itu adakalanya sukar untuk dijawab kalau seseorang itu gugup atau sebagainya," ujarnya.

Ahmad Termizi yang turut menyimpan hasrat itu sejak di Mesir lagi merasakan program itu mempunyai cabarannya yang tersendiri



Menurutnya, antara cabaran besar yang perlu dilalui sepanjang AQ4 yang berlangsung sejak 21 Mei lalu adalah dia perlu membaca ayat-ayat yang ditanya secara terus mengikut ragam yang ditentukan.

"Cabaran-cabaran itu juga antara faktor yang menarik saya untuk turut serta dalam program ini.

"Dalam AQ kami perlu membacakan Qiraat lain dari yang biasa digunakan di negara ini.

"Sebagai contoh, biasanya di Malaysia mereka akan menggunakan Qiraat 'hafs' tetapi dalam program ini kami perlu melagukan menggunakan Qiraat lain," katanya.

Sementara itu dua finalis lagi seperti Muhammad Ahmad Zahid, 15 dan Yahya Ali, 23, turut terbuka hati untuk menyertai program itu juga kerana ingin belajar ilmu Qiraat.

Beritahu Muhammad, dia yang meminati program AQ sejak dari musim pertamanya itu lagi pada mulanya tidak berhasrat untuk turut serta dalam program tersebut.

Namun atas dorongan ibu dan bapa, dia meneruskan perjuanngan itu demi untuk mendalami ilmu Qiraat yang tidak diperolehi ketika di sekolah.


"Qiraat adalah ilmu yang sukar, jadi ketika dalam kelas yang diadakan sekali seminggu itu saya terpaksa memberikan sepenuh perhatian.

"Apa yang tidak faham saya akan bertanya dan kalau sudah pulang saya akan hubungi ustaz dan bertanya lagi sehingga saya faham," katanya yang bercita-cita menjadi ulama profesional.

Tambahnya, dia berharap dapat mempersembahkan bacaan terbaik pada malam akhir nanti dan apa yang paling penting dia ingin penonton dapat menghayatinya.

Yahya, yang merupakan adik kepada Termizi pula turut memasuki program itu adalah untuk mendalami ilmu seperti Tajwid, Tarannum, Qiraat dan pecahan-pecahan Qiraat yang banyak membantu mereka dalam memperbaiki dan memantapkan cara bacaan al-Quran.

"Banyak kelemahan saya sebelum ini dapat diperbaiki selepas menyertai AQ4.

"Sebelum melanjutkan pelajaran, saya pernah menuntut di sekolah pondok. Ketika itu saya belum berminat lagi untuk menyertai kerana berpendapat program ini keduniaan sahaja," ungkapnya.

Tambahnya, selepas dua abangnya yang lain memasuki program yang sama beberapa tahun lalu hatinya terbuka untuk turut serta.

"Saya lihat dua abang saya boleh membaca al-Quran dengan Qiraat yang lain. Perkara itu telah membuka hati saya untuk turut menyertai program ini," jelasnya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)