Yuna buka pintu ke Amerika


TIGA anak muda berjaya mencipta gelombang - Aizat, Noh dan Yuna saling bercanda dan mengusik sesama sendiri. Tidak ketinggalan, kedengaran ucap serentak dilontar dua jejaka tersebut dalam nada bersahaja: "Kami cemburu dengan Yuna sebab dia dapat pergi ke luar negara untuk mengetengahkan bakat seni kepada orang asing."

Pemilik mata bundar, Yuna pula hanya mampu terkebil-kebil sambil wajah manisnya bertukar merah padam menahan malu dipuji tinggi melangit. Enggan tunduk dengan kenakalan dua sahabat sama aliran itu, sempat juga Yuna mencelah sekali gus mengisyarat dia juga punya potensi bergelar pelawak.

"Aizat dan Noh apa kurangnya. Populariti masing-masing juga sedang naik ditambah ramai peminat terutama wanita yang meminati kamu," jawab Yuna spontan sambil dibalas hilaian tawa Aizat dan Noh sebelum larut dalam perbualan membahas keakraban mereka sebagai sahabat dan memperdagang karya berkualiti.

Tidak dinafikan, Aizat, Noh dan Yuna punya persamaan. Paling ketara, mereka masih ranum baik dari segi umur dan hayat beradu nasib di padang seni. Dikurnia segudang bakat - menyanyi, menggubah serta menulis lirik dan bermain alat muzik, itu pakej dibalut oleh ketiga-tiga nama tersebut sebagai kelangsungan pelapis karyawan sedia ada.


Bukan itu sahaja, Aizat, Noh dan Yuna muncul membuat persembahan di atas pentas sambil membawa kumpulan sendiri. Noh terbiasa dengan ahli kumpulan Hujan manakala Aizat dan Yuna selesa dilihat bersama pemuzik iringan tidak bernama bagi melengkapkan penghasilan bunyi-bunyian indah sewaktu berdendang serta menghibur audiens.

Lantaran itu, penyatuan Aizat, Noh dan Yuna menerusi program raya, Akustika 2010 dijangka bertandang di skrin televisyen pada 11 September pukul 6 petang bukan satu atmosfera luar biasa. Menjalani rakaman di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, individu-individu saling memuji itu nampak teruja saat diminta memuntahkan rasa sesama sendiri.

Cemburu Yuna

Tidak mencuri masa panjang menghurai, Muhammad Aizat Amdan atau Aizat menganggap Yuna dan Noh sebagai bakat muda berjaya menarik perhatian dirinya. Selepas kemunculan mereka, anak muda berusia 21 tahun itu melihat kedua-duanya memiliki aura dalam menghimpun pengikut tersendiri.

"Terus terang, saya anggap Yuna macam kakak manakala Noh ibarat abang selama bergiat dalam industri ini. Selain itu, saya sentiasa mahu mengikut jejak langkah mereka kerana setiap karya dipersembah kepada umum, ia lekas meraih tumpuan daripada khalayak.

"Tipu kalau saya cakap tidak cemburu dengan kejayaan Yuna yang sudah mara setapak di tahap antarabangsa dan Hujan juga dikenali di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Cuma, perasaan ini tidak sampai dengki mendengki. Paling teruk sekalipun, cemburu sikit dengan setiap dicapai oleh mereka.


"Tetapi, ia hanya melibatkan persaingan sihat supaya saya dapat lakukan lebih baik pada masa depan. Setiap daripada kami bertiga ada pencapaian berbeza dan berlainan cerita. Justeru, kami gembira tengok masing-masing melangkah setapak lagi meluaskan skil.

"Pernah terfikir untuk menggandingkan saya, Noh dan Yuna dalam sebuah projek istimewa selain menyanyi di pentas sama. Tetapi, mereka sangat sibuk dengan komitmen kerja. Harap ia jadi kenyataan suatu hari nanti," jelasnya yang sempat menghubungi Yuna ketika penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu berada di Los Angeles selama tiga bulan mencari peluang membikin album dan menjayakan persembahan.

Julang Aizat

Vokalis Hujan, Mohammad Noh Salleh atau akrab disapa sebagai Noh, 25, pula menjulang Aizat sebagai antara graduan Akademi Fantasia (AF) paling menyerlah. Apa tidaknya, dia berhasil membuktikan dirinya sebagai pendatang baru punya variasi kemahiran untuk dikongsi bersama peminat.

"Sejujurnya, saya cukup menghormati Aizat. Sebelum kami betul-betul rapat, saya beberapa kali pernah melepak dengan Aizat. Tidak malu cakap, saya sentiasa teruja untuk mengenali insan-insan hebat seperti Aizat yang ada keupayaan membikin serta menulis lagu dengan stail tertentu.

"Benar, ada orang yang sukar sikit hendak faham dengan sesebuah lirik lagu ditulis. Tetapi, impak penulisan Aizat cukup berkesan. Aizat menjadi antara orang-orang misteri menurut pemerhatian saya," jelasnya yang ternyata tidak sabar lagi menjalankan kolaborasi dengan Aizat dan Yuna kelak.

Mengulas tentang keperibadian dan pengkhususan Yuna, pelontar Pagi Yang Gelap itu menerangkan, selain memiliki wajah jelita, artis sinonim dengan imej bertudung tersebut ada keberanian menghadapi rintangan di laluan depan. Mengambil contoh, dikritik khabarnya kurang mesra dan sukar memberi kerjasama dengan pihak media sebelum ini.

"Bayangkan, walaupun dia masih mentah dalam muzik arus perdana, Yuna okey saja melalui pengalaman dihentam para wartawan. Bukan calang-calang, kalau artis baru, sudah pasti ada antara mereka awal-awal lagi telah mengaku kalah sekali gus tidak berupaya meneruskan perjuangan.

"Diakui, perkenalan saya dengan Aizat boleh dikatakan baru. Dengan Yuna, kami mengenali antara satu sama lain sekitar tiga tahun lalu semasa terlibat dalam muzik bebas. Malah, Yuna sebelum masuk ke pentas komersial, dia pernah bertanya pendapat saya terlebih dulu," ujar Noh sambil mengerling ke arah Yuna yang duduk bersebelahan dengannya.

Noh abang

Puas sudah berdiam diri, giliran Yuna, 23, pula membuka lembaran satu persatu mengulas tentang Aizat dan Noh. Pemuja Alanis Morrissette dan Norah Jones itu mengaku dua artis dambaan ramai wanita itu merupakan orang-orang paling erat dengan dirinya dalam dunia muzik tanah air.

"Kebetulan, kami banyak persamaan yang membuatkan Aizat, Noh dan saya boleh duduk sekali bercakap soal muzik sambil bergelak ketawa. Saya baru kenal rapat dengan Aizat ketika kami menjayakan persembahan di satu pentas sama Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17) beberapa bulan lalu.

"Saya lihat Noh dan Aizat sebagai abang dan adik. Sudah pasti, saya mahukan kami yang masih baru ini dapat bertahan lama dalam lapangan hiburan. Kalau boleh, saya hendak setiap daripada kami ada pencapaian lebih besar selepas ini lalu mampu mengharumkan nama negara di mata dunia.

"Begitupun, dengan bakat dimiliki oleh Aizat atau Noh, saya harap dalam usia 40 tahun, kami masih boleh berkarya untuk industri. Indah rasanya dapat merealisasi setiap impian dipendam kerana kami boleh dianggap mendaki tangga bersama merasai manis dan pahit sebagai penggiat seni," tuturnya manakala Aizat dan Noh yang berada dekat di sisinya bertepuk tangan tanda setuju dengan bicara Yuna.

Sebelum perbualan bertemu titik noktahnya pada malam itu, sekali lagi Aizat dan Noh membuka mulut sambil menunjukkan reaksi wajah penuh sedih dan kasihan: "Yuna, jangan lupa bawa kami sekali kalau pergi ke Amerika Syarikat (AS) selepas ini. Teringin juga hendak tembusi pasaran luar dan kerja dengan orang-orang hebat."

Yuna yang muncul dengan album sulung, Decorate itu kini berada di AS selepas menerima tawaran menyertai label pengurusan, Kensaltown Studios yang pernah mencungkil bakat penggubah lagu termasuk beberapa nama masyhur di Hollywood seperti James Morrison, James Blunt dan Jason Mraz.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)