Anita tembusi pasaran AS


MENGENALI penyanyi Anita Sarawak, dia seorang penghibur yang tidak pernah tenggelam di bibir para peminatnya biarpun sudah menjangkau usia 58 tahun.

Malah, aura pemilik nama sebenar Ithnaini Taib itu masih kuat dengan persembahannya yang mantap serta energetik, sesuai dengan gelaran Diva yang diberi umum kepadanya.

Tidak salah rasanya jika dikatakan kehebatan Anita sukar untuk dicari ganti.

Justeru, sebagai hadiah buat para peminat, Anita menghasilkan sebuah album kompilasi, Cinta Anita, di bawah terbitan Life Records Singapura.

Menariknya, selepas menjangkau usia 45 tahun pembabitan dalam bidang seni, barulah Anita dapat merealisasikan impiannya untuk memasarkan album kompilasinya itu ke pasaran yang lebih luas selain Malaysia dan Singapura.

Beritahu Anita, beberapa lagu daripada Cinta Anita telah pun dimainkan di beberapa buah stesen radio di Jepun dan Amerika Syarikat

"Mungkin ada yang berfikir saya dah terlambat kerana baru dapat tembusi pasaran luar. Tapi saya bangga kerana ia satu impian yang sudah lama saya impikan. Semua ini berlaku dalam sekelip mata, saya sendiri tak sangka album ini berjalan dengan sangat baik.

"Sebanyak 16 buah lagu daripada seribu lebih koleksi lagu milik Anita dimuatkan dalam album tersebut. Pemilihan dibuat berdasarkan respons daripada peminat-peminat serta stesen-stesen radio.

"Agak membanggakan, dalam tempoh masa sebulan, Cinta Anita telah punterjual sebanyak seribu unit," katanya selepas majlis pelancaran album Cinta Anita di Life Centre, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Tambahnya, selain lagu-lagu hit dari tahun 1969, album tersebut turut memuatkan lagu terbaru berjudul Asmara 2010 serta sebuah lagu raya, Maafkan.

Dalam pada itu, peminat turut dapat membaca biografi perjalanan seni penyanyi legenda itu sepanjang berkecimpung dalam industri seni yang ditulis oleh peminatnya, Mohamad Fauzi Omar.

Pada majlis di Life Centre tersebut, Anita telah menghiburkan para peminatnya dengan lagu-lagu popular antaranya Seksis, Joget Sayang Di Sayang, Kisah Kawanku dan Lodeh Mak Lodeh.

Malah, penyanyi tersohor itu turut membawa anak didiknya, iaitu penyanyi-penyanyi daripada Akademi Fantasia 8 (AF8) seperti Shahir, Maulana, Iwan, Anum, Adira, Ain dan Ema untuk bersama-samanya menyanyikan lagu Celebration dan A Cup Of Life.

Walaupun aura Anita berjaya menenggelamkan kesemua penyanyi-penyanyi AF8 itu, Anita sedang berusaha untuk membentuk mereka menjadi penghibur tempatan profesional.

Malah, usaha Anita untuk mengasah bakat mereka wajar diberikan pujian kerana dia sanggup mengetepikan beberapa undangan persembahan semata-mata mahu memberi tumpuan kepada 'anak-anak buahnya' itu.

Malah, suaminya, Mahathir Abdullah turut membantu dalam menyumbangkan ilmu kepada ketujuh-tujuh bakat muda itu dengan memberi pelajaran menerusi bengkel Sahsiah Diri yang diadakan sejak 8 Jun lalu.

Ternyata, Anita mempunyai ciri-ciri seorang mentor yang mampu memberikan pengajaran berdasarkan pengalaman luasnya.

Ditanya adakah Anita mempunyai keinginan atau bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengetua AF9, katanya, dia lebih selesa sekadar bekerja di belakang tabir sahaja.

"Rasanya, bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab besar itu. Walaupun sudah lama bergelar penyanyi tetapi saya masih lagi dalam proses belajar. Cukuplah jika saya bekerja di belakang tabir.

"Sekarang ini saya mahu tampilkan tujuh pelajar ini ke dalam persembahan skala yang lebih besar. Mana tahu, mungkin satu hari nanti bila saya membuat konsert, saya bawa sekali mereka untuk melakukan persembahan.

"Kalau boleh, saya mahu mereka merasai pengalaman yang berbeza setiap kali mengadakan persembahan dan saya akan pastikan mereka boleh membawakan pelbagai genre lagu kerana ia sekali gus dapat mengasah bakat mereka untuk menjadi penghibur profesional," katanya.

Majlis pelancaran album Cinta Anita bersempena dengan festival Muzik Kuala Lumpur itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)