Selamat RM2 juta Nabil


SEBELUM ini, pengarah dan penerbit bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Raphor berdiri teguh pada pendirian untuk menyaman pelakon filem itu, Ahmad Nabil Ahamad (Nabil) tidak kira berapa kali pelawak tersebut meminta maaf.

Nabil disaman sekitar Mac lalu apabila didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap menjejaskan reputasi serta kutipan filem tersebut. Itu yang membuatkan syarikat produksinya, SDAF Pictures Sdn. Bhd. memfailkan saman.

Juara Raja Lawak musim kedua itu dikatakan telah melanggar kontrak. Ganti rugi yang dituntut bernilai RM2 juta. Ketika itu, Nabil secara terbuka telah meminta maaf tetapi tidak dilayan. Namun, pihak SDAF Pictures Sdn. Bhd. bagaimanapun mengubah fikirannya baru-baru ini.

Menarik semula saman tersebut, Nabil bukan sahaja tidak perlu membayar ganti rugi RM2 juta tetapi juga segala kos peguam. Ditemui pada sidang media yang berlangsung di pejabat dua peguamnya, Datuk Mohd. Haaziq Pillay dan Nizam Bashir, Nabil terharu kes itu akhirnya selesai.

Mahu lebih berhati-hati pada masa akan datang, Nabil memberitahu dia sebelum ini tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana kes itu merupakan kes mahkamah. Kini apabila episod itu sudah berakhir, Nabil menjawab segala pertanyaan.

Apakah pengajaran yang diterima daripada kejadian itu?

NABIL: Selepas ini, sebelum saya menandatangani sebarang kontrak, saya akan mendapat rujukan daripada orang lebih berpengalaman dalam industri. Saya kena memahami isi kandungan kontrak sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Adakah kejadian itu memberikan impak negatif terhadap karier anda?

Ibu saya menangis di rumah. Tapi saya mengambilnya dari sudut positif. Malah, saya diberi peluang untuk terlibat dalam muzikal Cuci musim kedua. Jadi rasanya ia tidak memberi sebarang impak negatif. Tapi selepas ini saya tidak akan bekerjasama dengan syarikat SDAF lagi.

Bagaimana pula dengan kerjasama bersama pengarah, Aminah Raphor?

Dengan dia juga mungkin saya tidak akan bekerjasama lagi bagi mengelakkan perkara sama berlaku. Rasanya rezeki saya ada pada orang lain. Tapi saya masih menghormati dia sebagai seorang yang lebih tua, pensyarah dan pengarah. Saya juga tidak mahu saman balik kerana masih sayang pada industri.


Perasaan apabila mengetahui diri anda disaman?

Mula-mula menerima berita itu, saya rasa takut kerana jumlahnya amat besar. Saya ada minta nasihat daripada Afdlin Shauki dan mendapatkan bantuan peguam. Selepas mendengar nasihat mereka, rasa trauma saya semakin kurang. Nasib ada pihak yang sudi membantu saya.

Apa yang membuatkan anda meminta maaf ketika itu?

Saya minta maaf kerana terkenang duit yang dilaburkan oleh penerbitnya, Datuk Suhaimy Othman. Jadi saya cuba cari jalan penyelesaian dengan membuat penjelasan dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) dengan menyatakan ia adalah gimik semata-mata. Namun, filem itu ditayangkan lebih dua minggu dan mendapat kutipan melebihi kos pembikinan. Jadi kenyataan saya sebenarnya tidak menjejaskan filem itu.

Bagaimana anda menerima tawaran lakonan itu?

Saya habis program Raja Lawak sekitar April 2008 dan menerima tawaran sebulan kemudian. Ketika itu saya masih baru dan tidak mempunyai sebarang panduan. Malah, mereka menggunakan tagline saya, Lu Pikirlah Sendiri tanpa bayar. Tapi saya tidak kisah kerana saya masih baru dan berniat untuk belajar.

Jika difikirkan itu merupakan filem kedua saya selepas Sifu & Tongga. Saya sebenarnya boleh meminta bayaran lebih tinggi tetapi duit bukan keutamaan ketika itu. Namun, janji benda ini sudah diselesaikan sekarang.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
 

3-column blogger templates(available in 4 different styles)