NAMA Farid Kamil bukan lagi asing dalam gelanggang seni lakon tempatan. Selain pelbagai pengiktirafan diraih melalui mutu persembahan cemerlang dalam filem lakonannya, anak jati Alor Setar ini bijak mencatur langkah supaya impian yang digenggam berjaya digapai.
Kata Farid, rezeki yang datang adalah habuan atas segala usaha keras selama ini. Meskipun ada beranggapan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan dari Universiti Teknologi Mara ini punya laluan mudah menembusi pagar gelanggang dunia seni selepas ditawarkan peluang oleh pensyarahnya, A Razak Mohaideen, bagi Farid rezeki tidak datang bergolek tanpa usaha.
“Saya sangkal persepsi sebegitu kerana jika tiada kesungguhan, peluang yang terbentang depan mata akan terlepas begitu saja. Benar pintu itu dibuka buat saya, tetapi saya perlu melipatgandakan usaha supaya tahu bagaimana mahu membukanya sendiri pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, kembara seni saya lancar. Itu semua berkat kesungguhan dan komitmen yang tidak bertepi hingga berjaya memancing kepercayaan pihak penerbit untuk terus menggunakan khidmat saya.
“Realitinya, bukan mudah untuk saya jadi seperti hari ini. Banyak dugaan serta rintangan terpaksa ditempuh dan semua itu menguji kesabaran.
“Segala pengalaman dikutip sepanjang bergiat aktif sebagai pelakon, termasuk tunjuk ajar mereka yang lebih arif, saya simpulkan jadi satu ilmu dan rujukan setiap kali berdepan apa juga halangan. Perkhabaran negatif dan gosip saya campak jauh dengan harapan rezeki saya tidak terganggu,” katanya.
Jejaka berusia 30 tahun ini sempat berkongsi cerita gembiranya selepas berjaya merealisasikan hasrat bergelar pengarah. Sejak awal melangkah ke Fakulti Seni Persembahan dan menaruh sejuta harapan bagi menjadi anak seni tegar, Farid yang pernah membintangi 29 filem termasuk Cinta Kolestrol, Anak Halal, I’m Not Single, Kala Malam Bulan Mengambang hingga yang terbaru, Semerah Cinta Stileto mengimpikan tanggungjawab itu.
Peluang menerajui filem aksi sulungnya, V3: Samseng Jalanan, awal Mac lalu, membuktikan kredibiliti anak sulung daripada lima beradik ini. Selepas pedih telinga menerima kritikan dan senyuman meleret berdepan pujian, Farid kembali mencoret lakon layar serta duduk di kerusi pengarah bagi percubaan keduanya menerusi filem Kongsi.
“Tiada apa yang menggembirakan selain berjaya mencapai apa yang kita hajati. Ternyata impian itu terlaksana meskipun tidak sebaik mana. Tidak selama-lamanya saya akan kekal popular sebagai pelakon, justeru dengan kelulusan dan latar pendidikan yang saya ada, ditambah sedikit pengalaman, saya ingin melonjak kerjaya ke tahap lebih tinggi dan terjamin.
“Mungkin jika ada rezeki dan dipermudahkan laluan, saya mahu terus menghasilkan karya terbaik buat kaki wayang tempatan.
“Ada kalanya saya rasa muak dengan plot cerita sama dan gagal memenuhi selera penonton yang besar dan pelbagai. Kongsi adalah karya yang berbeza daripada garapan saya sebelum ini.
“Sebenarnya plot cerita komedi bukan genre kegemaran, namun saya memandang usaha ini bagai sebuah cermin kepada tahap kreativiti saya jika garapan disuntik mampu memancing selera penonton kelak.
“Malah saya bertuah kerana barisan pelakonnya seperti Shaheizy Sam, Fizow Omar dan Puteri Mardiana berjaya menghidupkan watak yang saya wujudkan,” katanya.
Ditanya adakah puas dengan pencapaiannya setakat ini, pemenang Anugerah Bakat Muda Seni Lakon Negara di majlis penganugerahan Seni Negara Malaysia kelapan tahun lalu ini bingkas menggeleng seraya menjelaskan, masih banyak perlu diperbaiki jika mahu memperkemaskan kariernya baik sebagai pelakon mahupun pengarah.
Terbaru, filem lakonannya yang diadaptasi daripada karya novelis terkenal, Ahadiat Akashah iaitu Lagenda Budak Setan (LBS) mendapat sambutan hangat hingga ceritanya disambung dalam versi drama bersiri yang bakal menemui penonton bermula 10 Ogos ini, setiap Selasa jam 10.30 malam di Astro Prima.
Watak Kasyah yang dramatik dan sarat mainan emosi sekali lagi terpikul di bahu Farid. Malah, dengan tiada kekangan waktu sepertimana versi filemnya, watak Kasyah dikembangkan lagi selain disuntik lebih emosi dan rasa cinta.
“Drama ini memberi saya lebih ruang untuk berkarya dan menzahirkan segala perasaan sebaik mungkin. Mana tidaknya, kali ini penonton dibawa menyusuri kehidupan Kasyah dari zaman sekolah hingga berusaha memenangi hati Ayu meskipun perlu menempuh seribu halangan.
“Kelakar juga apabila kembali menyarungkan pakaian sekolah, namun saya yakin drama ini mampu membuai perasaan penonton.
“LBS sangat besar dan berat buat saya namun apabila diterjemah ke dalam konsep televisyen serta drama bersiri, apa yang berubah adalah naratif strukturnya semata-mata tanpa mengubah garapan keseluruhannya.
“Watak Kasyah tidak jauh berbeza daripada apa yang pernah saya lontarkan dalam filem, cuma kali ini perlu lebih menghayati setiap babak yang cuba diketengahkan pengarahnya, Along Kamaludin kerana sedaya upaya pihak produksi mahu pastikan Kasyah sama seperti digambarkan dalam novel.
“Saya beri yang terbaik kerana sangat meminati karya tulisan Ahadiat Akashah, malah watak Kasyah sah sebati dengan jiwa saya,” katanya yang tidak sabar-sabar menanti tayangan filem Estet selain sibuk dengan penggambaran filem Apokalips arahan Mamat Khalid.
Habuan Farid
Labels: Farid Kamil
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment